Santapan Ahli Neraka

Sedapnya makan-minum di dunia, cuba tengok ayat 16 dan 17 Surah Ibrahim, apa santapan ahli neraka.

Maksud ayat:

Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka).

Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.

Dicampak ke neraka walaupun sering seru dakwah?

Sering seru kepada kebaikan & tinggalkan keburukan, tapi dicampak ke neraka? Tak takutkah?

Usamah berkata; “Aku mendengar Baginda (Nabi Muhammad s.a.w) bersabda: Pada hari qiyamat akan dihadirkan seseorang yang kemudian dia dilempar ke dalam neraka, isi perutnya keluar dan terburai hingga dia berputar-putar bagaikan seekor keledai yang berputar-putar menarik mesin gilingnya. Maka penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata; “Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat ma’ruf dan melarang kami berbuat munkar?”. Orang itu berkata; “Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat ma’ruf tapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat munkar, namun malah aku mengerjakannya”.

Hadith menggerunkan ini ada dalam Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Jumaat Hari untuk Menggerunkan hati!

Jumaat hari akan berlakunya kiamat. Maka ia sering dijadikan hari menggerunkan hati terhadap kiamat. Lalu Solat Subuh pagi Jumaat biasa Nabi s.a.w membaca surah As-Sajdah rakaat pertama dan surah Al-Insan rakaat kedua, kedua-dua surah ada cerita kedasyatan kiamat. Masa khutbah Jumaat pun Nabi menyeru taqwa yang menggerunkan hingga kadang nampak merah muka baginda berkhutbah menunjukkan betapa seriusnya isi yang disampaikan.

Apakah kita asyik nak mengingat Jumaat sebagai hari untuk pasangan suami isteri ‘beradu’ sedangkan kesahihan hadith yang mengatakannya ia sunat pada malam Jumaat betulkah ada?

Ayuh berubah, jadikan Jumaat hari menggerunkan hati kepada kiamat. Kiamat diri kita sendiri (mati) boleh datang tiba-tiba. Gerunilah ia!

Ambillah Peranan Menyebar Ilmu

Biasa tak anda temui risalah / pamphlet di masjid-masjid dan surau-surau?

risalah_02

Sebenarnya anda juga boleh mengambil peranan menyebarkannya. Keluarkanlah sedikit belanja ke jalan Allah dengan cara ini. Cetak risalah-risalah di bawah yang disediakan oleh Sheikh Dr Abdul Basit Abdul Rahman (klik untuk mengenalinya) :

  1. Risalah Ramadhan al-Mubarak (1) –  Amalan-amalan di Bulan Ramadhan
  2. Risalah Ramadhan al-Mubarak (2) – Lailatul Qadar & I’tikaf
  3. Risalah Ramadhan al-Mubarak (3) – Hukum Semasa Berkaitan Puasa
  4. Risalah Ramadhan al-Mubarak (4) – Sunnah-Adab Sahur dan Iftar (Berbuka Puasa)

Panduan Mencetak

Sebelum mencetak, dalam kekotak Print, lihat ruang Page Handling, pastikan pilihan Page Scaling adalah None agar cetakan betul-betul tepat untuk lipatan risalah kelak.

Fotostat sebanyaknya

Kemudian fotostat depan belakang, contohnya sebanyak 100 keping setiap satu dengan kertas yang berlainan warna. Kos untuk empat risalah ini menjadi RM0.10 x 400 keping, iaitu RM40.00.

risalah_01

Kemudian letaklah di ruang risalah untuk diambil di masjid-masjid dan surau-surau berhampiran anda. Perhatikan keadaan masyarakat di masjid-masjid dan surau-surau itu. Sekiranya mereka biasa mengambil sendiri risalah-risalah begini, letakkan saja di kotak risalah. Sekiranya mereka tidak biasa melihat risalah begini untuk diambil secara percuma, mainkan sedikit peranan untuk meminta pihak masjid-masjid dan surau-surau mengumumkan adanya risalah itu untuk mereka ambil, bawa pulang dan baca di rumah. Boleh juga anda sediakan kotak-kotak atau bakul risalah dan tulis dengan jelas perkataan “RISALAH ILMU ISLAM PERCUMA, SILA AMBIL SATU“.

Walaupun anda tidak mampu menulis dan berceramah, ambillah peranan menyebar ilmu dengan cara begini. Semoga usaha anda mendapat barokah daripada Allah s.w.t. Jadikanlah ia sebagai amal jariah dan ilmu bermanfaat yang pahalanya akan berterusan setelah kematian kita kelak selagi mana ilmu yang disampaikan dalam risalah itu digunakan oleh mereka yang membacanya.

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسلَّمَ: إِذَا مَاتَ الْعَبْدُ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَاِلحٍ يَدْعُوْ لَهُ
(رواه مسلم)
Maksudnya:
Daripada Abi Hurairah (ra), katanya: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasalam; Apabila mati seorang hamba (manusia) maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.
(HR Muslim)

Sekian, terima kasih.

Bulan Ramadhan boleh, kenapa bulan lain tak?

Mari kita soal diri masing-masing.

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba tak tinggal berjemaah Isya’ dan taraweh. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba bangun sebelum Subuh untuk bersahur, masa tu jugak dapat aku bertahajjud dan membaca Al-Quran seperti selalu nabi buat. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba datang berjemaah subuh di Surau/Masjid terdekat. Solat sunat sebelum Subuh pun tak tinggal. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba membaca kitab Al-Quran sebanyaknya, ada je waktu lapang, aku akan buka kitab suci ni. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba peruntukkan sejumlah pendapatan aku untuk sedekah. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba kawal kata-kataku, penglihatanku, pendengaranku, perbuatanku agar tidak melakukan perkara lagho@sia-sia. Aku tak lagi mengumpat, aku tak lagi berbual kosong, gelak ketawa, aku tak lagi mendengar lagu-lagu yang melekakan, aku tak pergi tengok wayang, melepak, ronda-ronda shopping complex tanpa tujuan. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba banyakkan zikir kepada Allah, pagi petang malam, tak henti-henti aku berzikir. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Kenapa? Oh..betapa sebelas bulan yang lain, aku jauh terleka. Ini semua salah kamu syaitan. Kau yang menyebabkan aku leka. Bulan Ramadhan, kau terikat. Mudah untuk aku kembali mengingat Alloh.

Eh..kenapa aku salahkan syaitan? Bukan ke aku sendiri bersalah? Mengikut saja kata teman aku tu tanpa menolak. Huhuu..lemahnya diri aku ini.

Sekarang aku sedar, aku insaf. Tapi kuatkah aku untuk kekal beramal sepanjang tahun..bukan pada bulan Ramadhan saja? Kawan-kawan aku semua macam ni, kalau aku berubah..aku jadi macam kera sumbang. Aku akan kehilangan kawan-kawan aku.

Tapi itu bukan alasan untuk aku berkawan rapat dengan syaitan durjana yang melekakan aku dan kawan-kawan aku. Oh..aku tahu jalannya. Kenapa tidak, aku ajak sekali kawan-kawan aku yang lain juga berubah seperti keinginan aku ini.

Lalu soalan-soalan pada diri sendiri ini aku fowardkan untuk tatapan kawan-kawan semua. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi titik tolak untuk kita berubah. Kalau berubah sendiri, aku tak kuat..aku perlukan juga kawan-kawan semua.

Sebelum aku berhenti, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kawan-kawan semua kerana sudi membaca dan sudi turut serta bersama-sama aku untuk berubah. Kita tetap kawan kan? Tapi hubungan kita kali ini lebih bersih..kita sama-sama halau syaitan durjana!

p/s – bicara hati ini dikongsikan di sini untuk anda kongsikan dengan rakan-rakan lain. Terima kasih.

Membazir = Saudara Syaitan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Kemelesetan ekonomi sering melanda dunia. Begitu juga pada waktu ini, kita diberitakan banyak syarikat-syarikat gergasi di negara kuasa besar ekonomi dunia, US telah banyak yang mengalami kerugian hinggakan presidennya terpaksa mengeluarkan sejumlah peruntukan besar bagi membantu syarikat-syarikat besar. Tempiasnya tidak dinafikan telah dirasai di Malaysia.

Acapkali kita dilanda krisis ekonomi, namun adakah ia telah mengajar kita agar tidak membazir? Adakah kita telah berjaya mendidik diri agar sentiasa berjimat-cermat dan membuat tabungan untuk kegunaan pada masa diperlukan?

Allah s.w.t memberi ancaman dalam Al-Quran, ayat 27 Surah Al-Isyra’ iaitu:

http://quran.com/images/ayat/17_27.png

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Bagaimana hanya dengan membazir, kita boleh menjadi saudara-saudara Syaitan? Sedarilah bahawa dalam diri Syaitan adanya sifat takabbur, meninggi diri. Manakala perbuatan membazir itu biasanya didasari oleh perasaan merasa mempunyai kelebihan, jika membazir pun tiada apa-apa yang terkurang padanya. Perasaan itu jika dibiarkan boleh menghampiri kepada sifat meninggi diri yang sangat dilarang.

Sama-samalah kita memperbaiki diri, periksa diri kita, adakah kita sering membazir?

Di bawah ini dikongsikan beberapa tips berjimat-cermat ketika di pejabat.

  1. Matikan PC ketika keluar bermesyuarat dan waktu keluar makan tengahari. Gunakan fungsi hibernate jika ingin mudah menyambung kerja selepas PC dimatikan.
  2. Matikan PC selepas waktu pejabat, bila pulang ke rumah. Ramai ingin mudah terus sambung kerja esok paginya, tetapi sebenarnya pembaziran telah berlaku lebih 12 jam tanpa PC digunakan.
  3. Kurangkan tahap kesejukan penghawa dingin. Tidak perlu set terlalu sejuk, tetapi penggunanya sendiri memakai jeket tebal kerana kesejukan.
  4. Kurangkan penggunaan lampu. Ada pejabat terang-benderang  hinggakan untuk satu meja pegawai memerlukan tiga lampu pendaflour panjang yang sebenarnya cukup sekiranya hanya satu saja dihidupkan.
  5. Tidak mencetak e-mail yang tidak perlu.
  6. Mencetak menggunakan recycle paper sekiranya cetakan bukan untuk tujuan rasmi.

Tambahan tips, sama-samalah kita fikirkan sendiri.

Semoga bermanfaat. Sekian, terima kasih.

Gempa Haiti 2010 Sangkal Malaysia Tak Akan Gempa Besar

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Sekadar ingin mengingatkan, Malaysia kita sememangnya aman daripada gempa bumi skala besar. Yang ada hanya gegaran kecil yang tak menyebabkan lagi runtuhnya bangunan, bukit, retaknya tanah dan sebagainya.

Namun, gempa bumi yang melanda Haiti 12 Januari 2010, Selasa lepas boleh kita ambil sebagai peringatan, bahawa sangkaan Malaysia aman daripada gempa besar adalah tidak tepat. Haiti yang tak pernah gempa besar, sehingga dikatakan sejak 200 tahun, kini berkemungkinan mencatat lebih 200,000 kematian.

Sama-samalah kita mengambilnya sebagai peringatan. Janganlah sentiasa berasa aman daripada datangnya ajal yang Allah telah tetapkan akan tiba kepada setiap kita. Datangnya boleh tiba tanpa kita bersedia, tanpa disedari dan secara tiba-tiba.

Bersediakah kita ditamatkan riwayat hidup pada ketika ini? Marilah persiapkan diri melengkapkan bekal menuju alam pasti yang tiada peluang berpatah-balik, alam akhirat kelak.

Sekian, terima kasih.

Instrumental Intensity Image

Sumber: http://earthquake.usgs.gov/earthquakes/eqinthenews/2010/us2010rja6/