Ramadhan membuah taqwa lalu dirai dengan Eidulfitri. Zulhijjah membuah syukur lalu dirai dengan Eiduladha.
Tag: Syukur
Cukuplah!
Cukuplah!
.
Ramadhan kali ni tercemar dek kes buli sampai mati, bergaduh sebab kurma, bertumbuk kerna mulut celupar sebut “kepala bapak kau”, ketegangan politik Saudi dan Qatar, apa lagi nak tambah??
.
Dalam Facebook pun tak habis-habis kecam, kutuk, ejek, sindir-perli..
.
Mana ucapan “Ramadhan karim” yang maksudnya Ramadhan mulia, maka kena beringat supaya tingkahlaku kita pun mulia juga.
.
Apatah lagi Ramadhan ini “mubarak”, diberkati. Amalan sedikit, ganjarannya berlipat ganda.
.
Kenapa mulut dan tangan masih tak nak jaga??
.
Sungguh kecewa diri ini!
.
Sudah-sudahlah tu..
.
Cuba tengok balik, puasa bulan Ramadhan ni apa tujuannya?
.
Kita dapat capai tak tujuan tu?
.
Nak jadi orang bertaqwa, tangan dan mulut kena jaga.
.
Nak jadi orang bersyukur, tangan dan mulut kena jaga.
.
Jomlah, berhenti sampai sini je biarkan tangan dan mulut tak terjaga tu.
.
Semak balik, macam mana ciri orang bertaqwa.
.
Semak balik, macam mana ciri orang bersyukur.
.
Sama-sama kita kongsi cara nak jadi orang bertaqwa dan bersyukur itu lebih baik.
.
Atau pun tahan saja tangan dan mulut tu daripada menaip-menyebut apa-apa di media sosial ni.
.
Kalau nak bersama saya, kongsikan hash tag #TipsTaqwa dan #TipsSyukur.
.
Sama-sama kita perbanyakkan bekalan ke akhirat.
.
Satu orang ikut tips kita, bertambah bekalan pahala di akhirat.
.
Satu orang kongsi tips kita, bertambah panjang tips tersebar, bertambah banyak bekalan pahala di akhirat.
.
Tak nak selamat dan bahagia ke di akhirat?
.
Kalau nak, jom tahan tangan dan mulut tu, jom kongsi tips jadi orang bertaqwa dan bersyukur.
Tips mencapai taqwa dan menjadi orang yang bersyukur
Dikongsikan tips mencapai taqwa dan menjadi orang yang bersyukur yang telah dipos ke Facebook dalam bulan Ramadhan lalu:
#1
Puasa bulan Ramadhan melatih kita mencapai syukur selain untuk mencapai taqwa.
Jom amal doa Nabi Sulaiman minta Allah tetapkan diri dengan kesyukuran dalam ayat 19 surah semut (An-Naml), baginda ucapkan doa ini atas rasa syukur dengan nikmat dapat mendengar dan memahami bahasa komanden semut yang arahkan semua semut masuk dalam sarang kerana tentera Nabi Sulaiman akan lalu. Doanya:
َ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.
#2
Dalam ayat 15 surah Al-Ahqaf, Allah membawa kita mengenang jasa ibu-bapa ke atas kita selepas menegaskan kewajiban berbuat baik kepada keduanya. Lalu kemudiannya kita diajarkan doa ini sebagai tanda syukur atas jasa-jasa mereka:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
#3
Ayat 12 Surah Al-Hujurat ada seruan taqwa daripada Allah. Perhatikan ayat ini, betapa banyak kalinya kita terjerumus dengan dosa-dosa yang disebut. Tips bertaqwa dalam ayat ini, bila mulut nak mengumpat, bayangkan anda sedang cuba mengunyah mayat orang yang anda nak umpatkan itu.
Ayatnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
#Syukurselalu Al-Quran sudah tersedia menempelak dan menyedarkan semula kalau kita terleka melakukan dosa, bacalah Al-Quran yang sudah bersedia menegur keterlekaan kita.
#4
Kadangkala ada nikmat yang Allah kurniakan kepada kita tetapi tidak kepada yang lain. Kembalikanlah ingatan kepada Allah dengan menyebut zikir tahmid ini sebagai tanda syukur, tahmid yang disebutkan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dalam ayat 15 Surah An-Naml:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ
“Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”.
#5
Apakah ucapan yang patut diungkap sebagai tanda syukur atas suatu nikmat yang tidak disangka-sangka dikurniakan kepada kita? Lihat ayat 40 Surah An-Naml, bagaimana ucapan Nabi Sulaiman bila diberi nikmat yang sangat besar, singgahsana ratu negeri Saba’ dibawa kepadanya dengan sekelip mata:
َ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.
#6
Orang bertaqwa bila terdetik melakukan kemungkaran, dia akan teringat betapa siksanya api neraka. Api yang lebih panas dari api di dunia.
Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Api anak keturunan Adam yang kalian nyalakan itu merupakan satu bahagian dari 70 bahagian api neraka Jahannam”.
Para sahabat berkata; “Walaupun hanya satu bahagian, akan tetapi ia sudah cukup wahai Rasulullah”.
Baginda bersabda; “Sesungguhnya satu bahagian dari api itu ditambah lagi dengan 69 bahagian”.
[Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim]
#7
Siapa yang kaya sebenarnya?
Dari Abu Hurairah r.a, beliau mengatakan Rasulullah s.a.w bersabda; “Kekayaan itu bukan dengan banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kekayaan hati”. [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam Ahmad]
Dari Abdullah bin Amr r.anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Sungguh beruntubg orang yang masuk Islam lalu diberi kecukupan rezeki, dan Allah menjadikan dirinya merasa puas dengan rezeki yang diberikan oleh-Nya”. [Hadith Riwayat Imam Muslim]
#8
Apa khabar saudara kita di Palestin, Syria, Myanmar dan lain-lain? Ada rumah untuk berteduh dari kepanasan dan kesejukan? Sebelum tidur, ucapkanlah syukur kita ada tempat berteduh. Ini tahmid Nabi s.a.w ajar untuk diucapkan sebelum tidur, hadith riwayat Imam Muslim:
الْحَمْدُ للّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا، وَكَفَانَا، وَآوَانَا، فَكَمْ مِمَّنْ لَا كَافِيَ لَهُ وَلَا مُؤْويَ
“Segala puji bagi Allah yang memberi makan dan memberi minum kepada kami dan mencukupkan kami serta memberi tempat berteduh kepada kami. Alangkah ramainya orang yang tidak ada yang mencukupkannya dan memberi tempat ia berteduh.”
#9
Puasa bulan Ramadhan sasaran taqwa dan syukur. Ini doa yang patut kita amal selalu sepanjang Ramadhan yang berbaki ini.
#10
Puasa bulan Ramadhan membentuk kita menjadi orang yang bersyukur. Amalkan doa ini sebagai tambahan kepada puasa kita moga matlamat itu tercapai.
Harapan-harapan dalam Ayat Perintah Puasa Ramadhan
Ayat 183 hingga 187 Surah Al-Baqarah merupakan ayat-ayat perintah berpuasa dalam bulan Ramadhan kepada setiap orang yang beriman. Sering diulang sebut oleh para asatizah mengenai matlamat atau harapan daripada puasa itu iaitu semoga / agar / mudah-mudahan menjadi orang bertaqwa. Bila dipetakan ayat-ayat ini dalam bentuk peta minda begini, kita dapat lihat ada lagi matlamat atau harapan-harapan lain yang disebut dalam ayat-ayat ini. Mari kita lihat harapan-harapan ini dan kita berusaha untuk mencapainya.
- Semoga kamu bertaqwa:
Puasa menjadi medan melatih diri menjadi orang bertaqwa. Taqwa maksud mudahnya ialah menuruti perintah dan larangan Allah dengan cermat bersungguh-sungguh. Dalam puasa peluang makan-minum ada depan mata, tapi kita menahan diri daripada makan-minum dan segala yang dilarang. Maka, dalam keadaan lain pun, untuk capai taqwa, perlu jugalah bersungguh menahan diri daripada melanggar larangan Allah dan menahan diri daripada meninggalkan perintah Allah. - Semoga kamu bersyukur:
Al-Quran itu nikmat Allah beri kepada kita, petunjuk cara hidup dengan baik di dunia, petunjuk bagaimana cara mendapatkan redha Allah dan pelbagai lagi petunjuk. Ruksah kepada yang tidak mampu berpuasa juga adalah nikmat daripada Allah yang tidak mahu menyusahkan kita. Maka bersyukurlah atas pelbagai nikmat itu. Syukur perlu mengiringi taqwa. Selepas mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah, kita iringi pula dengan pelbagai amalan soleh yang disunatkan sebagai tanda syukur. Nabi Muhammad s.a.w yang maksum telah pasti syurga untuknya tetapi tekun solat malam hingga bengkak kakinya ketika kebiasaan orang lain tidur bila ditanya mengapa, dijawab ketekunannya itu sebagai tanda syukur. - Semoga kamu berada dalam kebenaran:
Segala perintah dan larangan Allah ada hikmah kebaikan yang mungkin kita tidak tahu dan sedari. Turuti saja tanpa bersoal apakah kebaikannya. Perbanyakkan doa memohon yang baik-baik daripada Allah. Walaupun di mata manusia melihat apa yang ada dalam perintah dan larangan Allah itu tidak sesuai, salah, tidak perlu dan sebagainya, sebenarnya ia adalah dalam kebaikan dan kebenaran, sentiasa rasional cuma mereka tidak melihatnya. Tetaplah mentaati Allah, tentu kita berada dalam kebaikan dan kebenaran. - Semoga mereka bertaqwa:
Segala perintah dan larangan telah diterangkan oleh Allah, terserah kita mentaati atau mengingkarinya. Manusia lain yang tidak beriman kepada Allah, cubalah lihat ayat-ayat Al-Quran yang datang menerangkan cara sebenar untuk hidup di dunia ini, lihat dan fikir. Umpama anda membeli sebuah kereta, akan ada buku manual penggunaan kereta itu, apa yang boleh, apa yang tidak boleh dilakukan semuanya diterangkan dalam buku manual itu oleh pembuat kereta itu supaya kereta itu berfungsi dengan baik dan sentiasa dalam keadaan baik. Bumi ini, diri kita ini, hidup kita ini, semuanya Allah yang cipta, maka Allah datangkan Al-Quran sebagai manual panduan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan supaya bumi ini, diri kita ini, hidup kita ini sentiasa dalam keadaan baik. Lihatlah isi kandungan Al-Quran mengikut bahasa yang anda fahami, kemudian fikirkan kebaikan-kebaikannya. Semoga anda juga menjadi seorang yang bertaqwa iaitu seorang yang bersungguh mengikut panduan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan yang disebut dalam Al-Quran itu.
Bila Ditimpa Musibah, Termasuk Golongan Manakah Kita?
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ketahuilah, bahawa apabila kita ditimpa musibah, kita akan termasuk ke dalam salah satu daripada empat golongan iaitu:
- Orang yang berkeluh-kesah
- Orang yang sabar
- Orang yang bersikap redha
- Orang yang bersyukur
Orang yang berkeluh-kesah
Golongan yang berkeluh-kesah adalah golongan yang paling buruk, paling dibenci Allah serta paling besar kerugiannya di dunia dan akhirat. Mereka adalah orang yang tidak rela dan kecewa terhadap takdir (ketentuan) dan qadha’ (ketetapan) Allah. Mereka akan sentiasa mengeluh dan mengesali musibah yang berlaku. Lebih teruk lagi, ada yang memukul-mukul dirinya tanda tidak rela.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):
“Bukan termasuk (golongan) kami orang yang memukul-mukul pipi, menyobek-nyobek baju dan berdoa dengan doa (kaum) jahiliyah.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi)
Mereka juga akan meratap (nihayah) dan berteriak secara melampau yang mana ia boleh mendatangkan laknat. Satu riwayat yang baik dalam Shahihut Targhib wat Tarhib, disebutkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):
“Ada dua suara yang dilaknat: suara seruling ketika mendapat kenikmatan dan suara teriakan ketika mendapat musibah.”
Orang yang sabar
Mereka yang sabar dengan musibah yang berlaku akan meraih darjah mulia dan dicukupkan pahalanya tanpa batas. Allah berfirman dalam suroh Az-Zumar ayat 10, maksudnya:
“Sesungguhnya, hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
Orang yang sabar akan menjaga beberapa bentuk kesabaran iaitu kesabaran dengan berani terhadap pelbagai kesukaran dalam jihad, kesabaran dengan menjaga kesucian diri daripada nafsu, kesabaran dengan berlemah-lembut atas pembangkit amarah dan kesabaran dengan menjaga rahsia daripada menyebarkannya. Mereka yang sabar akan bertindak atas keyakinan bahawa apa yang berlaku adalah telah ditetapkan pasti terjadi dan tidak dapat dielak.
Orang yang bersikap redha
Mereka yang redha pula merupakan pemilik darjat yang lebih tinggi daripada mereka yang sabar. Di samping bersabar, mereka akan rela dan redha dengan ketentuan Allah. Mereka akan merasa senang dengannya dan tidak menunjukkan reaksi marah yang menunjukkan dirinya tidak redha.
Perasaan senangnya terhadap musibah adalah sama saja seperti mendapat nikmat kerana baginya, kedua-duanya adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah terhadapnya.
Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka, siapa yang redha (terhadap ujian tersebut), baginya redha (Allah), namun siapa yang marah (terhadap ujian tersebut), baginya murka (Allah).”
(Hadith Riwayat Abu Daud)
Orang yang bersyukur
Terakhir, mereka yang bersyukur adalah orang yang paling agung di antara golongan sebelumnya kerana mereka menghimpun sabar, redha dan bersyukur dengan turunnya ujian kepada dirinya. Mereka yang bersyukur kerana diuji akan mampu tersenyum.
Mereka akan menginsafi apa yang berlaku adalah tanda cinta Allah kepadanya. Mereka akan menyambut cinta daripada Tuhannya dengan tenang dan gembira. Mereka akan memperkemaskan kembali rasa cinta mereka kepada Allah dengan memperbaiki amalannya, berpegang teguh pada sunnah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم serta bersedia berkorban demi Tuhannya yang tercinta.
Namun sangat sedikit sekali mereka yang bersyukur sebagaimana diberitahu Allah dalam surah Saba’, ayat 13 yang maksudnya:
“Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.”
Kerana itu, pupuklah rasa syukur kepada Allah bukan sahaja apabila menerima nikmat, bahkan apabila menerima musibah. Buahkan rasa syukur dengan mengingat Allah (zikrulloh). Sesungguhnya Allah akan mengingat kita apabila kita mengingati-Nya. Allah berfirman dalam ayat 152, surah Al-Baqarah maksudnya:
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.
Seruan Hijrah Melalui Blog
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Alhamdulillah, sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Alloh atas nikmat-nikmatNya yang tak ternilai. Yang dengan kasih sayangNya, kita diberikan nikmat hidup, nikmat Iman dan Islam, akal, hati, pancaindera..oh terlalu banyak untuk disebut. Cukuplah kita sedar, bahawa diri kita ini sangat fakir tanpa nikmat-nikmat kurniaan Alloh yang banyak itu.
Hari ini, kemudahan dalam hidup adalah salah satu nikmat yang kita kecapi yang patut kita sedari dan syukuri. Pelbagai kemudahan kita nikmati, daripada mudahnya bergerak dengan teknologi pengangkutan, kemudian mudahnya berhubung dengan teknologi komunikasi, hinggalah mudahnya menyampai dan mendapatkan maklumat dengan teknologi maklumat.
Sebagai salah satu cara menzahirkan rasa syukur atas nikmat kemudahan dalam hidup ini, maka ramai yang menggunakan teknologi maklumat untuk menyampai ilmu agama Islam dengan mencipta blog masing-masing. Jadi, saya juga tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan rasa syukur ini dengan mencipta blog juga yang diharapkan dengannya, saya dapat meningkatkan lagi syukur kepada Alloh, dapat menyampaikan seruan dakwah walaupun dengan limitasi ruang masa dan keadaan, serta bagi para pengunjung pula diharapkan dapat suatu faedah berguna untuk kita meraih redha Alloh bagi kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat.