Santapan Ahli Neraka

Sedapnya makan-minum di dunia, cuba tengok ayat 16 dan 17 Surah Ibrahim, apa santapan ahli neraka.

Maksud ayat:

Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli neraka).

Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.

Dicampak ke neraka walaupun sering seru dakwah?

Sering seru kepada kebaikan & tinggalkan keburukan, tapi dicampak ke neraka? Tak takutkah?

Usamah berkata; “Aku mendengar Baginda (Nabi Muhammad s.a.w) bersabda: Pada hari qiyamat akan dihadirkan seseorang yang kemudian dia dilempar ke dalam neraka, isi perutnya keluar dan terburai hingga dia berputar-putar bagaikan seekor keledai yang berputar-putar menarik mesin gilingnya. Maka penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata; “Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat ma’ruf dan melarang kami berbuat munkar?”. Orang itu berkata; “Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat ma’ruf tapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat munkar, namun malah aku mengerjakannya”.

Hadith menggerunkan ini ada dalam Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Makanan orang berdosa di neraka

Peringatan mengenai dahsyatnya seksa neraka, rujuk ayat 43 – 48 Surah Ad-Dukhan maksudnya:

Sesungguhnya pokok Zaqqum, (buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa. Seperti tembaga cair, mendidih dalam perut. Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. “Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka. Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – dari air panas yang menggelegak”.

Jom konsisten amal istighfar mohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa kita 100 kali setiap hari.

Penghuni neraka nak keluar dari neraka

Jumaat datang lagi, jadikanlah Jumaat hari untuk kita ingat kedahsyatan kiamat dan alam akhirat.

Ahli neraka nanti akan rasa azab yang sangat pedih, sampai mereka rasa nak lari keluar dari neraka. Bila mereka nak keluar saja, mereka akan dimasukkan semula ke dalam neraka. Macam manalah pedihnya tu?

Masa hidup di dunia, Allah berikan sedikit keperitan @ kesakitan @ azab untuk kita beringat, azab neraka berlipat ganda, janganlah tidak dipedulikan peringatan tu.

Lihat ayat 20 hingga 22 Surah As-Sajadah, maksudnya:

Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu”.[20] Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.[21] Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.[22]

Khutbah Jumaat Yang Baik Menyeru Taqwa

Tonton rakaman Khutbah Jumaat yang baik ini, khutbah yang menyeru kepada taqwa disampaikan ringkas dan padat oleh Ustaz Johari Abdul Wahab. Khutbah pertama mensyarahkan hadith yang dasyat mengenai siksaan neraka di mana orang itu dicampak ke dasar neraka sehingga terburai segala isi perutnya. Khutbah kedua pula membawa para jamaah berfikir ke manakah mereka setelah mati, bersama orang soleh atau sebaliknya.

Jemput tonton dan sebarkan. Moga ramai lagi khatib yang dapat berkhutbah dengan baik seperti ini.