Tiada Istilah Sambut Tahun Baharu Cara Islam

Surah Al-Kafirun:

 

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Meneliti surah ini, mudah kita memahaminya sebagai satu pegangan utuh umat Islam iaitu umat Islam tidak melakukan ritual peribadatan orang kafir, begitu juga mereka. Namun menjelang 1 Januari saban tahun, apa yang terkandung dalam surah ini seperti dilupakan.

Pada mulanya, umat Islam khususnya di negara kita MALAYSIA menyambutnya dengan mengikut kebiasaan dunia iaitu dengan berkumpul beramai-ramai di lapangan, menonton konsert nyanyian beberapa jam sebelum detik 12 malam 1 Januari, kemudian apabila detik 12 malam tiba, mereka menjerit keriangan melihat dentuman bunga api. Sejak kebelakangan ini pula, mereka yang sedar atas kejahilan itu mula memikirkan alternatif lalu timbullah istilah “Sambutan Tahun Baharu Cara Islam”. Mereka berkumpul di lapangan menunaikan Solat Maghrib dan Isya’ berjamaah, kemudian diadakan ceramah, konsert nyanyian dan bila tiba detik 12 malam, lagu Asma ul-Husna dinyanyikan beramai-ramai dan diakhiri dengan doa memohon kebaikan pada tahun baharu itu.

“Sambutan Tahun Baharu Cara Islam” kedengaran cantik, namun bila difikirkan semula ia hanya cantik pada “make-up”nya sahaja. Tahun baharu masihi bukan perayaan umat Islam, tiada juga istilah sambutan tahun baharu secara Islam. Tidak betul bila nak Islamkan amalan menyambutnya, ia ibarat soalan “Bagaimana nak menyembah salib secara Islam”, adakah ada caranya? Nak buat azam baharu sempena tahun baharu, silakan, nak menyambutnya, TIDAK SAMA SEKALI!

Dulu orang Yahudi ada sambutan tahun baharu mereka, bila mereka masuk Islam, masih nak sambut, lalu Nabi s.a.w gantikan dengan dua perayaan: ‘Eidul-fitr, dan ‘Eidul-adha. Kalau masih tak puas dengan dua perayaan ini, tiap minggu juga kita boleh meraikan hari Jumaat dengan bergembira bersalawat dan berzikrullah, bersihkan diri, mandi, memakai pakaian cantik, berwangi-wangian dan kemudian berkumpul di masjid mengerjakan Solat Jumaat yang ramainya lebih ramai daripada solat-solat lain dalam seminggu itu.

Sejarah bagaimana manusia mula menyembah berhala ialah bermula dengan niat mengingati orang-orang soleh yang telah mati, manusia pada masa itu dihasut syaitan untuk membina patung menyerupai orang-orang soleh, awalnya ia sekadar untuk mengingati, setelah bertahun-tahun lamanya, manusia sudah tidak tahu asalnya hingga akhirnya patung-patung itu disembah.

Sambutan tahun baharu masihi awalnya adalah acara keagamaan sebahagian penganut Kristian sejak sebelum kalendar masihi lagi, lama kelamaan, setelah lebih seribu tahun, manusia seluruh dunia mengadakan upacara menyambutnya dengan cara masing-masing. Sekarang, segelintir umat Islam pula cuba menyambutnya dengan upacara-upacara keagamaan seperti majlis baca Yasin dan tahlil, solat hajat, menyanyi asmaul-husna dan doa. Jika saban tahun acara ini diteruskan dengan jenama Islam, mungkin 100 tahun lagi, umat waktu itu ada yang menyangka ia adalah satu upacara yang memang wujud dalam Islam.

Dulu Yahudi puasa pada 10 Muharram, hari Assyura’ sebagai tanda syukur Nabi Musa diselamatkan daripada Firaun pada hari itu, bila Nabi s.a.w tahu, baginda mengatakan umat Islam lebih berhak lalu menganjurkan puasa pada hari itu dan berniat ingin berpuasa sehari sebelumnya juga pada tahun depannya.

Sekarang, Nasrani bergembira mengadakan upacara tertentu menyambut 1 Januari, ada sebahagian umat Islam yang turut menyambutnya tapi dengan cara berbeza daripada upacara kaum nasrani. Bolehkah? Bukan saja tiada kaitan dengan agama Islam yang mana umat Islam lebih berhak, bahkan Nabi sudah tiada untuk menunjukkan penganjurannya, siapa pula Nabi rujukan mereka?

Lebih kurang sejak 300 tahun dahulu, kaum Nasrani akan menyanyi lagu “Auld Lang Syne” beramai-ramai dalam menyambut ketibaan tarikh 1 Januari. Sekarang ada sebahagian umat Islam menyanyi lagu “Asma ul-Husna” beramai-ramai dalam menyambut ketibaan tarikh 1 Januari.  Nampak tak persamaannya? Ya, menyanyi beramai-ramai sebagai upacara menyambut tarikh 1 Januari. Ia peniruan yang tak perlu bahkan dilarang.

Apa yang jelas, sambutan tahun baharu yang mereka dakwa secara Islam itu tetap wujud persamaan dengan cara orang kafir iaitu:

  1. sambutan sempena 1 Januari.
  2. berkumpul beramai-ramai di lapangan.
  3. menanti detik 12 malam.
  4. menyanyi beramai-ramai bila detik 12 malam tiba.
  5. berharap tahun baharu itu membawa kebaikan.

Ada yang berhujjah, tidak mengapa kerana sambutan tahun baharu sudah menjadi budaya, bukan lagi upacara agama Kristian. Hujjah ini patut dijawab dengan pertanyaan, jika menyembah berhala sekarang ini upacara agama, kemudian 1,000 tahun lagi ramai manusia hilang agamanya lalu menyembah berhala menjadi sekadar budaya, adakah boleh umat Islam waktu itu juga menyembah berhala, tetapi ditukar bacaannya kepada doa berbahasa Arab?

Sebaiknya buat tak tahu saja dengan sambutan tahun baharu, tinggalkan sahaja upacara khas sambutan tahun baharu itu, bukan menyediakan upacara alternatif yang nampak Islamik tetapi tetap banyak persamaannya dengan orang kafir.