Positif di awal tahun

Awal-awal tahun, jom kita ambil sikit petua Prof. Dr. Muhaya Muhammad: reset minda, bahagia membahagiakan.

Pandang positif tiap apa yang berlaku. Walau awalnya rasa marah, kecewa, sedih dan lain-lain yang negatif, reset semula kepada positif sesuai dengan perintah dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 agar tidak bersangka-sangka yang buruk:

 Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Kalau pandang sesuatu itu jahat, reset kepada kasihan dengan kejahatannya, tukar kepada rasa nak bantu jadikannya baik, doakan hidayah. Daripada nampak buruknya yang satu, lihat kebaikan-kebaikannya yang banyak. Berterima kasih menyedarkan kita, memberi feedback kepada kita akan perbuatan kita yang kita pun rasa patut diubah.

Keluarkan kata-kata kurang baik datang dari hati yang juga kurang baik. Reset kata-kata kita, ubah kepada kata-kata positif. Sering amal bercakap yang buruk, mengeluh, risau, marah dan sebagainya hanya membuatkan diri lemah, bahkan orang keliling juga terheret kepada yang negatif mana-mana sudut.

Bagaimana nak bahagia kalau diri lemah dengan segala yang negatif itu? Diberi perkara negatif, dibalas negatif, negatiflah jadinya. Cuba balas dengan positif, akan positif jadinya walapun di pihak sana tidak nampak kesannya, tapi positif sudah ada dalam hati kita. Bila hati positif, mudah dapat bahagia. Bila bahagia, boleh membahagiakan orang lain.

Dalam hidup, jangan mengharap dapat bahagia daripada pemberian orang lain atau bahagia bersyarat contohnya rasa bahagia kalau kaya dan rasa bahagia kalau disayangi. Cuba beri bahagia (bahagiakan orang) untuk rasa bahagia. Contohnya ada seorang yang rupawan, kaya, berpangkat tinggi tapi hidup tak rasa bahagia, bila diajak sertai program amal di Bosnia, dia dudukkan anak kecil di atas wheelchair, tiba-tiba anak kecil tu pegang kakinya dan menatap wajahnya sambil kata, “Nanti dulu Kak, saya nak tatap wajah yang akan saya jumpa di Syurga nanti kerana bantu saya”. Menitik air matanya dan barulah dia rasa bahagia.

Akhir kata, sama-samalah kita bahagia membahagiakan kepada sesiapa pun. Hanya musuh Allah yang nyata memusuhi Islam saja layak dimusuhi. Wallahu’alam bissawab.