Sahur yang berkat tu macam mana?

Ini sahabat baik saya, Ustaz Johari Madu.
.
Dua-tiga hari ni, video rakaman kuliahnya ini tular / viral masuk beberapa page FB yang suka buat post tular.
.
Video tu cerita pasal keberkatan lewatkan makan sahur, rasanya rakaman kuliah sekitar tahun 2012 atau 2013.
.
Cuba dengar sampai habis.
.
Lebih-lebih lagi mereka yang ada tabiat merokok selepas makan.
.
Lewatkan sahur hingga cecah Azan Subuh, nak hisap rokok sepam je, boleh tak?
.
Ustaz kata tak ada masalah..
.
Cuba dengar betul-betul sampai habis apa ustaz kata.

URL video viral: https://www.facebook.com/sstv.my/videos/1964945207083624/

Ramadhan Pergi

RAMADHAN PERGI

Ramadhan datang riangkan hati
Bulan berkat limpahan Ilahi
Amal sedikit pahala berlipat kali
Itulah Ramadhan yang dinanti-nanti
Sebulan berlalu hari ke hari
Siangnya shiam menahan diri
Makan minum dan nafsu berahi
Malamnya qiam ke dini hari
Masjid yang lengang sebulan dibanjiri
Ramai bertamu menagih janji
Ganjaran besar dari Robbi
Tak nampak di sini tapi akhirat nanti
Hanya Allah empunya autoriti
Sama-sama berharap keampunan diberi
Dengan RahmatNya tuk ke syurgawi
Sebulan sudah tibanya kini
Masanya untuk Ramadhan pergi
Tinggalkan kita yang sudah disiapi
Sebulan tarbiah membersih hati
Kuatkan diri tempuh ranjau berduri
Disiapkan si syaitan musuh sejati
Apakah tewas atau teguh berdiri
Ramadhan pasti dirindu lagi
Terasa ingin sentiasa di sisi
Apakan daya tak mungkin terjadi
Maka bila ia datang lagi
Sambutlah Ramadhan dengan iman di hati
Jangan biar diri merugi
Biarkan saja Ramadhan datang dan pergi

Catatan 7.00PM, 30 Ramadhan 1437
IZATUL LAIL MOHD YASAR (I.L.M.Y)

Tips mencapai taqwa dan menjadi orang yang bersyukur

Dikongsikan tips mencapai taqwa dan menjadi orang yang bersyukur yang telah dipos ke Facebook dalam bulan Ramadhan lalu:
#1

Puasa bulan Ramadhan melatih kita mencapai syukur selain untuk mencapai taqwa.

Jom amal doa Nabi Sulaiman minta Allah tetapkan diri dengan kesyukuran dalam ayat 19 surah semut (An-Naml), baginda ucapkan doa ini atas rasa syukur dengan nikmat dapat mendengar dan memahami bahasa komanden semut yang arahkan semua semut masuk dalam sarang kerana tentera Nabi Sulaiman akan lalu. Doanya:

َ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”.

#2

Dalam ayat 15 surah Al-Ahqaf, Allah membawa kita mengenang jasa ibu-bapa ke atas kita selepas menegaskan kewajiban berbuat baik kepada keduanya. Lalu kemudiannya kita diajarkan doa ini sebagai tanda syukur atas jasa-jasa mereka:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

#3

Ayat 12 Surah Al-Hujurat ada seruan taqwa daripada Allah. Perhatikan ayat ini, betapa banyak kalinya kita terjerumus dengan dosa-dosa yang disebut. Tips bertaqwa dalam ayat ini, bila mulut nak mengumpat, bayangkan anda sedang cuba mengunyah mayat orang yang anda nak umpatkan itu.

Ayatnya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

‪#‎Syukurselalu‬ Al-Quran sudah tersedia menempelak dan menyedarkan semula kalau kita terleka melakukan dosa, bacalah Al-Quran yang sudah bersedia menegur keterlekaan kita.

#4

Kadangkala ada nikmat yang Allah kurniakan kepada kita tetapi tidak kepada yang lain. Kembalikanlah ingatan kepada Allah dengan menyebut zikir tahmid ini sebagai tanda syukur, tahmid yang disebutkan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dalam ayat 15 Surah An-Naml:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

“Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”.

#5

Apakah ucapan yang patut diungkap sebagai tanda syukur atas suatu nikmat yang tidak disangka-sangka dikurniakan kepada kita? Lihat ayat 40 Surah An-Naml, bagaimana ucapan Nabi Sulaiman bila diberi nikmat yang sangat besar, singgahsana ratu negeri Saba’ dibawa kepadanya dengan sekelip mata:

َ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.

#6

Orang bertaqwa bila terdetik melakukan kemungkaran, dia akan teringat betapa siksanya api neraka. Api yang lebih panas dari api di dunia.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Api anak keturunan Adam yang kalian nyalakan itu merupakan satu bahagian dari 70 bahagian api neraka Jahannam”.

Para sahabat berkata; “Walaupun hanya satu bahagian, akan tetapi ia sudah cukup wahai Rasulullah”.

Baginda bersabda; “Sesungguhnya satu bahagian dari api itu ditambah lagi dengan 69 bahagian”.

[Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim]

#7

Siapa yang kaya sebenarnya?

Dari Abu Hurairah r.a, beliau mengatakan Rasulullah s.a.w bersabda; “Kekayaan itu bukan dengan banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kekayaan hati”. [Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam Ahmad]

Dari Abdullah bin Amr r.anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Sungguh beruntubg orang yang masuk Islam lalu diberi kecukupan rezeki, dan Allah menjadikan dirinya merasa puas dengan rezeki yang diberikan oleh-Nya”. [Hadith Riwayat Imam Muslim]

#8

Apa khabar saudara kita di Palestin, Syria, Myanmar dan lain-lain? Ada rumah untuk berteduh dari kepanasan dan kesejukan? Sebelum tidur, ucapkanlah syukur kita ada tempat berteduh. Ini tahmid Nabi s.a.w ajar untuk diucapkan sebelum tidur, hadith riwayat Imam Muslim:

الْحَمْدُ للّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا، وَكَفَانَا، وَآوَانَا، فَكَمْ مِمَّنْ لَا كَافِيَ لَهُ وَلَا مُؤْويَ

“Segala puji bagi Allah yang memberi makan dan memberi minum kepada kami dan mencukupkan kami serta memberi tempat berteduh kepada kami. Alangkah ramainya orang yang tidak ada yang mencukupkannya dan memberi tempat ia berteduh.”

#9

Puasa bulan Ramadhan sasaran taqwa dan syukur. Ini doa yang patut kita amal selalu sepanjang Ramadhan yang berbaki ini.

11722162_952654104756593_5351775008898922851_o

#10

Puasa bulan Ramadhan membentuk kita menjadi orang yang bersyukur. Amalkan doa ini sebagai tambahan kepada puasa kita moga matlamat itu tercapai.

11713666_952647924757211_5896819661677671143_o

Harapan-harapan dalam Ayat Perintah Puasa Ramadhan

 

Ayat 183 hingga 187 Surah Al-Baqarah merupakan ayat-ayat perintah berpuasa dalam bulan Ramadhan kepada setiap orang yang beriman. Sering diulang sebut oleh para asatizah mengenai matlamat atau harapan daripada puasa itu iaitu semoga / agar / mudah-mudahan menjadi orang bertaqwa. Bila dipetakan ayat-ayat ini dalam bentuk peta minda begini, kita dapat lihat ada lagi matlamat atau harapan-harapan lain yang disebut dalam ayat-ayat ini. Mari kita lihat harapan-harapan ini dan kita berusaha untuk mencapainya.

  1. Semoga kamu bertaqwa:
    Puasa menjadi medan melatih diri menjadi orang bertaqwa. Taqwa maksud mudahnya ialah menuruti perintah dan larangan Allah dengan cermat bersungguh-sungguh. Dalam puasa peluang makan-minum ada depan mata, tapi kita menahan diri daripada makan-minum dan segala yang dilarang. Maka, dalam keadaan lain pun, untuk capai taqwa, perlu jugalah bersungguh menahan diri daripada melanggar larangan Allah dan menahan diri daripada meninggalkan perintah Allah.
  2. Semoga kamu bersyukur:
    Al-Quran itu nikmat Allah beri kepada kita, petunjuk cara hidup dengan baik di dunia, petunjuk bagaimana cara mendapatkan redha Allah dan pelbagai lagi petunjuk. Ruksah kepada yang tidak mampu berpuasa juga adalah nikmat daripada Allah yang tidak mahu menyusahkan kita. Maka bersyukurlah atas pelbagai nikmat itu. Syukur perlu mengiringi taqwa. Selepas mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah, kita iringi pula dengan pelbagai amalan soleh yang disunatkan sebagai tanda syukur. Nabi Muhammad s.a.w yang maksum telah pasti syurga untuknya tetapi tekun solat malam hingga bengkak kakinya ketika kebiasaan orang lain tidur bila ditanya mengapa, dijawab ketekunannya itu sebagai tanda syukur.
  3. Semoga kamu berada dalam kebenaran:
    Segala perintah dan larangan Allah ada hikmah kebaikan yang mungkin kita tidak tahu dan sedari. Turuti saja tanpa bersoal apakah kebaikannya. Perbanyakkan doa memohon yang baik-baik daripada Allah. Walaupun di mata manusia melihat apa yang ada dalam perintah dan larangan Allah itu tidak sesuai, salah, tidak perlu dan sebagainya, sebenarnya ia adalah dalam kebaikan dan kebenaran, sentiasa rasional cuma mereka tidak melihatnya. Tetaplah mentaati Allah, tentu kita berada dalam kebaikan dan kebenaran.
  4. Semoga mereka bertaqwa:
    Segala perintah dan larangan telah diterangkan oleh Allah, terserah kita mentaati atau mengingkarinya. Manusia lain yang tidak beriman kepada Allah, cubalah lihat ayat-ayat Al-Quran yang datang menerangkan cara sebenar untuk hidup di dunia ini, lihat dan fikir. Umpama anda membeli sebuah kereta, akan ada buku manual penggunaan kereta itu, apa yang boleh, apa yang tidak boleh dilakukan semuanya diterangkan dalam buku manual itu oleh pembuat kereta itu supaya kereta itu berfungsi dengan baik dan sentiasa dalam keadaan baik. Bumi ini, diri kita ini, hidup kita ini, semuanya Allah yang cipta, maka Allah datangkan Al-Quran sebagai manual panduan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan supaya bumi ini, diri kita ini, hidup kita ini sentiasa dalam keadaan baik. Lihatlah isi kandungan Al-Quran mengikut bahasa yang anda fahami, kemudian fikirkan kebaikan-kebaikannya. Semoga anda juga menjadi seorang yang bertaqwa iaitu seorang yang bersungguh mengikut panduan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan yang disebut dalam Al-Quran itu.

Puasa: Pengajaran Kisat Tholut Dalam Surah Al-Baqarah

Dikongsikan semula daripada tulisanku dalam forum maya bincang.net pada tahun 2006 moga masih dapat dimanfaatkan:

Dibawakan kepada anda kupasan beberapa potong ayat dalam surah Al-Baqarah yang diharapkan dengannya, dapat menambahkan lagi keimanan kita.

[246] Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. 

[247] Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. 

[248] Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”. 

[249] Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”. 

[250] Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir” 

[251] Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam. 

[252] Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah. 

[253] Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. 

[254] Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

 Kita diseru melihat kisah ini kerana terdapat suatu pengajaran yang perlu kita ketahui. 

Pada masa itu, Bani Israel meminta Nabi Samuel untuk dilantik seorang ketua (raja), untuk memerangi Jalut dan pengikutnya yang telah menghalau mereka dari perkampungan mereka. Ditanya jika difardukan perang, adakah mereka akan pergi berperang, mereka katakan sanggup. Tetapi bila difardukan ramai pula yang berpaling melainkan sedikit yang tinggal.

Kemudian Nabi Samuel memaklumkan Allah SWT telah melantik Tholut, seorang rakyat biasa yang tiada darah raja ataupun nabi, serta tiada kekayaan. Maka Bani Israel ini pula persoalkan mengapa Tholut dilantik, dan merasakan beliau tidak layak sedangkan Allah telah kurniakan kebijaksanaan dan kekuatan. Mereka meminta bukti bahawa Tholut lebih layak menjadi ketua.

Lalu didatangkan kepada mereka bukti iaitu turunnya Tabut iaitu peti kayu bersalut emas dengan dibawa Malaikat. Dalam riwayat (ada yang daif), di dalam peti itu terdapat gambar nabi-nabi dari Nabi Adam hingga yang terakhir selain adanya cebisan-cebisan Kitab Taurat peninggalan Nabi Musa dan Nabi Harun, kasut dan tongkat Nabi Musa, Serban Nabi Harun serta sumpit.

Akhirnya mereka bersetuju Tholut menjadi pemimpin mereka. Maka Tholut membawa tenteranya seramai 70,000 / 80,000 / 120,000 (berbeza mengikut riwayat), termasuk Nabi Daud. Pada waktu itu ialah musim panas. Tentera-tenteranya kehausan dan meminta Tholut memohon didatangkan air. Maka Tholut memaklumkan akan mereka temui sebatang sungai dihadapan, nanti.

Tetapi Tholut berpesan, sungai itu adalah ujian Allah SWT, bahawa sesiapa yang meminumnya dengan banyak maka dia bukanlah tergolong dalam golongannya melainkan yang hanya meminumnya sekadar secebuk ditangan. Lalu mereka temui sungai di antara Urdus (Jordan) dan Palestin. Tanpa mengingati pesanan Tholut, mereka meminum air sungai itu sepuas-puasnya melainkan sedikit sahaja yang mengikut pesanan Tholut. Diriwayatkan hanya 313 orang sahaja yang mengikut pesanan Tholut.

Setelah berehat, mereka meneruskan perjalanan dengan menyeberangi sungai itu. Tetapi hanya yang mengikut pesanan itu sahaja yang melepasi, sedangkan yang lain tak dapat menyeberangi sungai itu. Sedangkan yang lain takut dan keberatan untuk teruskan perjalanan untuk berperang. 

Mereka yang tinggal itu tetap yakin walaupun hanya sedikit sedangkan lawan mereka sangatlah ramai berpuluh-puluh ribu. Akhirnya, dengan izin Allah SWT, mereka menang dan Nabi Daud telah berjaya membunuh Jalut.

Banyak pengajaran yang terdapat di dalam kisah ini, antara yang boleh saya senaraikan ialah:

  • Tetap dan yakinlah dengan perintah dan ketentuan Allah SWT. Seperti dalam kisah ini, Allah SWT telah menetapkan Tholut sebagai pemimpin mereka. Sebagai orang yang beriman, seharusnya ketetapan itu diterima tanpa bantahan. Kisah ini juga jangalah tidak diyakini kebenarannya. Ambillah pengajaran daripadanya. Suatu perintah itu tentu ada hikmah yang tersembunyi.
  • Berbuka puasalah sekadar mengurangkan rasa lapar, bukannya makan dan minum sepuasnya setelah masuknya waktu berbuka. Ia boleh menyebabkan kita berasa malas untuk menunaikan solat Maghrib selepas itu, serta Isya’ dan solat sunat Taraweh. Begitu juga diwaktu tidak berpuasa. Apabila makan, janganlah terlalu kenyang, sebaliknya kosongkan sedikit ruang di dalam perut kita untuk pengudaraan yang baik kepada perut.
  • Puasa orang yang beriman sebenarnya dapat membina kekuatan, bukannya menyebabkan badan menjadi lemah. Muhasabahlah diri kita, bagaimana puasa kita. Adakah dengan berpuasa, badan kita menjadi lemah? Lihat sahaja tentera Tholut yang lemah imannya tidak terdaya meneruskan perjuangan, sedangkan mereka yang minum sekadar seceduk air itu mempunyai kekuatan untuk menghadapi musuh yang ramai.
  • Doa orang berpuasa adalah mudah dimakbulkan Allah SWT. Maka banyakkan lah berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat apabila kita berpuasa.


Setakat itu sahaja daripada hamba yang daif ini. Semoga ia memberi pengajaran kepada kita semua. Sebarkanlah kupasan kisah ini, seperti yang telah disebutkan di dalam terjemahan ayat terakhir yang saya petik di atas:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Ingat, apa itu misi puasa

Misi menggemukkan iman dan mengkuruskan badan melalui Ramadhan, apa kesudahannya? Berjaya atau gagal? Baki 9-10 hari ini kena all out untuk capai misi.

Lalu sangat malanglah mereka yang melalui Ramadhan sekadar proses hidup tahunan tanpa apa-apa misi.

Ingat apa itu misi puasa, jangan laluinya tanpa apa-apa misi:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, SUPAYA KAMU BERTAQWA”. (Maksud Ayat 183, Surah Al-Baqarah)

Apa Hasilnya Buat Dirimu?

15 hari sudah Ramadhan bertamu,
Setengah bulan lagi menunggu,
Apa hasilnya buat dirimu?
Badan makin kurus rasa makin ayu?
Iman makin gemuk atau makin layu?
Kemaskanlah langkah mari bergerak laju,
Bonus berganda janji Tuhanmu,
Kutiplah ia sebanyak mampu,
Ibarat jalanraya berlorong satu,
Dengan Ramadhan kini seperti lorong seribu,
Masing-masing pecut kereta dipacu,
Jangan masih ada yang buat tak tahu,
Bergerak perlahan mahu tak mahu,
Apakan daya mata dah kelabu,
Raya sahaja bermain di kalbu,
Itulah kebiasaan umat Melayu,
Mari berubah jangan membatu,
Perkemas ibadah amal dengan ilmu,
Moga diredhai Allah Yang Satu.

Puasalah pada 9 dan 10 Muharram.

Tazkirah Subuh pagi ini menyebut berkenaan suatu sunnah yang dianjur dalam bulan Muharram iaitu berpuasa pada hari Assyura. Semoga dengan mengamal sunnah anjuran Nabi Muhammad s.a.w, cinta kita kepadanya semakin kuat, dan dengan cinta itu kita dapat bersama dengannya di Syurga kelak.

Dalam hadith shahih riwayat Imam Muslim menyebut seutama-utama puasa selepas puasa bulan Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah: Muharram. Hadith lain juga daripada Imam Muslim menyebut, puasa Assyura menghapus dosa setahun yang lalu. Nabi s.a.w juga pernah berazam tahun hadapannya berpuasa pada 9 Muharram iaitu sehari sebelum hari Assyura agar berbeza dengan Yahudi yang juga berpuasa pada hari Assyura atas terima kasihnya kepada Allah yang menyelamatkan mereka dan Nabi Musa serta tenggelamkan Firaun dan tenteranya pada hari Assyura. Namun baginda s.a.w wafat sebelum tertunai azamnya.

Kata-kata (azam) Nabi Muhammad s.a.w itu menjadi sumber hukum mensunnahkan berpuasa juga pada 9 Muharram di samping 10 Muharram.

Wallahu’alam.