Cermin Diri: Aku orang yang suka sakiti orang lain ke?

Nak tanya orang lain, adakah aku ni seorang yang suka sakiti orang lain, rasanya masing-masing ada ego diri, bertuah nak tanya orang pasal negetif diri kita, kan?

Jadi, jomlah tengok cermin dan semak senarai contoh perbuatan dan percakapan (termasuk teks taip di media sosial) yang menyakiti orang lain:

PERBUATAN

  1. Langgar lampu isyarat merah, sedangkan orang lain berhenti. Ya, dari arah yang lampu hijau tiada kenderaan, tapi mana hilangnya sifat hormat kepada yang lain yang berhenti tu? Sekurang-kurangnya berhenti untuk ajar diri sendiri dengan disiplin. Kalau tak ajar, ia jadi tabiat kebiasaan, asalkan lampu merah saja, nak cuba jalan bila tiada kenderaan, makin ramai jadikannya tabiat, tak pasal-pasal ada yang berlanggar.
  2. Potong barisan, yang selalu nampak ialah di jalanraya. Orang yang berbaris lama kalau sakit hati, mulalah keluar kata-kata maki walaupun orang yang potong barisan tu tak dengar. Kalau hari-hari potong barisan, hari-hari kena maki, entah-entah kata-kata makian itu jadi satu doa yang makbul sebab salah satu sebab doa makbul ialah doa orang teraniaya. Sudah kena potong dengan tidak adil, orang itu boleh jadi teraniaya. Hati-hati!
  3. Tidak flush tandas hingga dipastikan bersih, lepas gunakan. Ini pun mengundang doa makbul orang yang teraniaya. Masa mula-mula kita masuk, nak pilih yang bersih saja, jadi bila keluar pun patut buatkan ia bersih juga.

PERCAKAPAN

  1. Gelar orang yang tak sehaluan sebagai sesat, kafir, anjing dan sabagainya. Adalah lebih baik, tidak sebutkan secara langsung diri orang itu sebegitu, sebaliknya sebutkan ciri-ciri perbuatan atau pemikiran yang tidak betul itu. Contohnya menyebut “Engkau kafir!” ditukar kepada “Tinggalkan solat dengan menganggap ia tidak wajib boleh menjatuhkan engkau kepada kekafiran.”
  2. Beri gelaran hebat dan merendah diri untuk menyindir: contohnya, “Bila otai besar sudah bersuara, kita yang tak sampai setahun jagung ni angguk sajalah.”
  3. Perli dengan sesuatu yang mustahil berlaku atau orang tak terfikir lakukan, contohnya, “Otak letak lutut ke, benda macam tu pun tak boleh nak fikir?” dan “Kamu ni nak merawat pesakit ni atau nak bunuh pesakit ni? Masukkan endoscopy macam bomba nak padam api.”

Kalau nampak perbuatan dan percakapan begini semakin menjadi-jadi sekarang ini, eloklah, panjangkan / forward / viralkan posting ini, sama-sama ingat-mengingati dan baiki diri. Akhir kalam, disertakan hadith ini untuk kita renungkan, adakah kita orang Islam yang afdhal (utama)?

Daripada Abu Musa Radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Aku katakan, ‘Wahai Rasulullah, muslim yang bagaimanakah yang paling afdhal (utama)?’ Baginda menjawab, ‘Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.’” (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Muhasabah Diri: Kita Celik, Rabun atau Buta?

Muhasabah diri: KITA CELIK, RABUN ATAU BUTA? Dimaklumkan Ramadhan ini bulan yang diberkati, amal sedikit ganjarannya banyak. Ianya perkara ghaib, hanya orang yang beriman sahaja nampak ganjarannya. Action apabila orang itu celik, nampak ganjarannya ialah orang itu akan cuba meraih seberapa banyak ganjaran dengan memperbanyakkan amal ibadah. Orang yang rabun pula, dia nampak tapi agak kabur, kurang yakin dengan ganjarannya, actionnya ialah dia tidak peduli dengan ganjaran itu, dia beribadah ikut-ikutan, orang puasa, dia pun puasa, orang ke masjid solat tarawih, dia pun ke masjid solat tarawih. Orang yang buta pula, dia tak nampak langsung, langsung tidak percaya pahala dilipat-ganda di bulan Ramadhan, lalu actionnya ialah terus-menerus dalam maksiat dalam bulan Ramadhan, puasanya tidak, solatnya tidak, hanya kesedapan hidup di dunia yang difikir setiap masa. Jadi, siapakah kita, orang yang CELIK, RABUN, atau BUTA?

Bulan Ramadhan boleh, kenapa bulan lain tak?

Mari kita soal diri masing-masing.

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba tak tinggal berjemaah Isya’ dan taraweh. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba bangun sebelum Subuh untuk bersahur, masa tu jugak dapat aku bertahajjud dan membaca Al-Quran seperti selalu nabi buat. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba datang berjemaah subuh di Surau/Masjid terdekat. Solat sunat sebelum Subuh pun tak tinggal. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba membaca kitab Al-Quran sebanyaknya, ada je waktu lapang, aku akan buka kitab suci ni. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba peruntukkan sejumlah pendapatan aku untuk sedekah. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba kawal kata-kataku, penglihatanku, pendengaranku, perbuatanku agar tidak melakukan perkara lagho@sia-sia. Aku tak lagi mengumpat, aku tak lagi berbual kosong, gelak ketawa, aku tak lagi mendengar lagu-lagu yang melekakan, aku tak pergi tengok wayang, melepak, ronda-ronda shopping complex tanpa tujuan. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba banyakkan zikir kepada Allah, pagi petang malam, tak henti-henti aku berzikir. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Kenapa? Oh..betapa sebelas bulan yang lain, aku jauh terleka. Ini semua salah kamu syaitan. Kau yang menyebabkan aku leka. Bulan Ramadhan, kau terikat. Mudah untuk aku kembali mengingat Alloh.

Eh..kenapa aku salahkan syaitan? Bukan ke aku sendiri bersalah? Mengikut saja kata teman aku tu tanpa menolak. Huhuu..lemahnya diri aku ini.

Sekarang aku sedar, aku insaf. Tapi kuatkah aku untuk kekal beramal sepanjang tahun..bukan pada bulan Ramadhan saja? Kawan-kawan aku semua macam ni, kalau aku berubah..aku jadi macam kera sumbang. Aku akan kehilangan kawan-kawan aku.

Tapi itu bukan alasan untuk aku berkawan rapat dengan syaitan durjana yang melekakan aku dan kawan-kawan aku. Oh..aku tahu jalannya. Kenapa tidak, aku ajak sekali kawan-kawan aku yang lain juga berubah seperti keinginan aku ini.

Lalu soalan-soalan pada diri sendiri ini aku fowardkan untuk tatapan kawan-kawan semua. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi titik tolak untuk kita berubah. Kalau berubah sendiri, aku tak kuat..aku perlukan juga kawan-kawan semua.

Sebelum aku berhenti, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kawan-kawan semua kerana sudi membaca dan sudi turut serta bersama-sama aku untuk berubah. Kita tetap kawan kan? Tapi hubungan kita kali ini lebih bersih..kita sama-sama halau syaitan durjana!

p/s – bicara hati ini dikongsikan di sini untuk anda kongsikan dengan rakan-rakan lain. Terima kasih.

Kenapa Tak Mahu Berubah?


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bersempena memperingati peristiwa hijrah yang banyak diulang sebut setiap kali tibanya 1 Muharram, saya ingin membawa para pembaca kepada satu artikel yang pernah saya tulis tidak berapa lama dahulu iaitu berkaitan hijrah diri, berubah daripada satu tahap kepada tahap yang lebih baik di dalam cara kita mengamalkan Islam yang kita anuti.

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. ” (Maksud ayat 128, surah Al-Nahl)

Daripada ayat ini, ketahuilah bahawa kita dituntut untuk sentiasa memperbaiki amalan kita yang juga memerlukan kita memperbaguskan ilmu untuk memperbaiki amalan serta memperkemaskan iman.

Namun bukan mudah untuk seseorang itu membawa dirinya berhijrah kepada tahap yang lebih baik berbanding dirinya kini. Kenapa tak mahu berubah? Mari kita bermuhasabah diri, adakah perkara-perkara di bawah ini menjadi penyebabnya. Untuk memudahkan, kita ambil satu contoh amalan, iaitu Solat.

  1. Selesa cara sekarang
    Melanggar perintah tapi tak nampak apa-apa kemudaratan, maka selesalah kita dengan dosa kita. Kita rasakan tiada beza kalau meninggalkan atau mengerjakannya suruhan Solat fardhu lima kali setiap hari. Kita rasakan tak rugi apa-apa bila tidak solat. Sungguh, perasaan selesa ini amat berbahaya jika kita biarkan.
  2. Tiada teguran
    Sudahlah hati berasa selesa dengan dosa yang dibuat, tiada pula yang menegur. Kalau ditegur pun, org yang menegur tidak bersungguh. Atau sekadar dengar teguran di dalam khutbah Jumaat, dalam tazkirah ringkas di radio atau tv tanpa orang yang menegur betul-betul berada di hadapannya, boleh diajak berkomunikasi secara dua hala.
  3. Takut dikata “Kera Sumbang!”
    Pernah terfikir untuk berubah, tapi takut menjadi orang asing bagi keluarganya atau rakan-rakannya yang masing-masing melakukan dosa meninggalkan solat. Contohnya sedang menonton konsert Rock bersama rakan-rakan, terfikir untuk bersolat hampir tamat waktunya, tapi tiba-tiba rasa seperti “Kera Sumbang” kalau pergi bersolat, sedangkan rakan-rakan lain tidak.
  4. Gelap mata hati
    Banyak mendengar amaran siksaan balasan dosanya, tahu yang mana dosa, yang mana pahala, yang mana larangan yang mana perintah, tapi mata hati dah gelap..tak diendahkan semua itu.
  5. Bisikan syaitan
    Mungkin ramai yang akan tidak bersetuju dengan sebab ke lima ini kerana kita tak nampak apa itu bisikan syaitan. Tetapi yakinlah bahawa mereka wujud dan mereka ialah golongan yang tidak berputus asa untuk menghanyutkan manusia dengan dosa. Allah dan rasul-Nya telah mengajar bagaimana melindungi diri daripada kejahatan syaitan. Tapi ramai yang tak mengendahkannya. Maka mudahlah syaitan dan sekutunya mempengaruhi manusia.
  6. Akan berubah, tapi nanti..di hari tua
    Ada jugak yang jawab begini. Saya masih muda, nanti dah tua nanti, saya taubatlah, saya duduklah di masjid selalu, sekarang masa untuk dunia, masa untuk akhirat nanti..dah tua nanti. Sebenarnya mereka yang memberi jawapan ini telah tertipu. Tertipu dengan dirinya yang sihat dan usianya yang muda, sedangkan ada orang yang bertemu ajal walaupun tidak sakit, walaupun masih muda. Ajal maut kita tak tahu bila, selagi berkesempatan janganlah bertangguh.
  7. Tiada tunjuk ajar
    Teringat saya, Ustaz Masridzi Sat ada cerita, remaja-remaja rosak ahklak yang dibawa ke pusat pemulihan dan perlindungan PERKID ada berkata, mereka pernah rasakan mereka teruk, ada keinginan untuk berubah, tapi tiada siapa nak beri tunjuk ajar. Ibu dan bapa di rumah tak pernah nak tegur, nak tunjuk yang mana salah yang mana betul, jenguk surau dan masjid-masjid pula..Ustaz-ustaz asyik buka kitab dan yang datang mendengar golongan tua-tua belaka.. Maka mereka tak jumpa siapa nak tolong untuk bimbing nak berubah, sedangkan keinginan ada.

Itu antara sebab mengapa kita tidak mahu berhijrah. Ya..memang betul smuanya bergantung kepada hidayah daripada-Nya. Dengan hidayah-Nya sahaja yang boleh membawa cahaya Iman kepada seseorang. Tetapi mengikut akidah Ahli Sunnah Waljamaah, kita bukan disuruh menurut saja apa yang ditakdirkan, sebaliknya perlu berusaha merubah diri sendiri, memohon hidayah daripada-Nya selalu, meminta Iman yang ada sentiasa terpelihara, mengharap diberi pertolongan utk meningkatkan ketakwaan. Itulah anjuran yang sebaiknya.

Allah juga ada menyatakan, hidayah itu perlu diusahakan untuk diperolehi, ada disebut yang maksudnya:

Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)“.

(As-Sajedah, ayat 13)

Allah juga ada menyatakan mendapat hidayah atau tidak, itu sebenarnya adalah pilihan manusia itu sendiri, seperti firmanNya yang bermaksud:

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah ( dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah ( dengan sebab pilihannya yang benar), maka tidak ada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah)?

(Az-Zumar, ayat 36-37)

Oleh itu, sama-samalah kita bermuhasabah diri, adakah kita memilih untuk ke Syurga atau memilih untuk ke neraka? Sebagai akhirnya, saya senaraikan dosa-dosa besar dan kecil yang sering dipandang ringan oleh umat Islam hari ini yang mana ia perlu diubah agar tidak dilakukan lagi. Sama-samalah kita berazam untuk mengubah diri kita.

Senarai 10 dosa-dosa besar dan kecil yang dipandang ringan oleh umat Islam hari ini:

  1. Meninggalkan solat, terutamanya solat Subuh.
  2. Tidak menunaikan zakat pendapatan.
  3. Mendedahkan aurat kepada golongan ajnabi (orang yang boleh dikahwini). Wanita memakai wangi-wangian untuk dihidu ajnabi.
  4. Mengumpat, mengata, mencarut.
  5. Bersalaman lelaki perempuan (adik-beradik ipar bukanlah haram dikahwini selamanya, tetapi haram sementara, maka elakkan bersalaman dengan adik-beradik ipar berlainan jantina).
  6. Leka dengan hiburan nyanyian hingga lalai mengingat Alloh.
  7. Melewat-lewatkan solat tanpa keuzuran.
  8. Meminggirkan jiran-jiran tetangga.
  9. Boros berbelanja hingga membazir kepada perkara yang tidak perlu.
  10. Tidak menepati masa bila berjanji.