Ubah Tabiat Buruk

Sempena Maal Hijrah, nak cakap sikit pasal ubah tabiat buruk.

Tabiat ni macam “auto-pilot”, macam tak sedar buat benda tu. Lama-lama jadi kebiasaan, hingga lebih teruk kalau jadi seperti sifat tabii, semula jadi. Contoh sifat tabii seperti kucing, bila nak buang air tabiinya akan korek pasir, tabii ayam nak mencakar masa mematuk untuk makan dan lain-lain.

Bagi kita manusia, cuba kita perhati diri kita, ada tak perbuatan yang menjadi tabiat buruk, yang terpupuk sekian lama tanpa kita sedar, menjadi satu kemestian yang kita tak endahkan keburukannya?

 

Senaraikan dan cuba sedari perbuatan itu dan hijrah diri untuk tinggalkannya. Apa cara nak tinggalkannya? Mulakan dengan sedari bahawa itu adalah tabiat yang buruk, fikir adakah ia disenangi oleh orang lain atau tidak. Kemudian, dengan diri yang sedar, ubahlah ia.

Contoh tabiat buruk yang sedikit demi sedikit boleh terpupuk dalam diri jika kita tak sedar ianya adalah suatu yang buruk:

  1. Bila masuk dewan ceramah, duduk belakang.
  2. Bila sesak sedikit, potong barisan, lebih buruk lagi, masuk ke lorong kecemasan untuk memotong.
  3. Bila berkumpul, mengumpat orang.
  4. Bila beza pendapat, kecam dan londehkan keperibadiannya.
  5. Bila ada masa terluang, belek sosial media WhatsApp, Facebook dan lain-lain di telefon, abaikan sosial depan mata dengan keluarga dan orang sekeliling.
  6. Sila tambah…

Dua Hari Raya untuk Umat Islam

Terfikir… Kalau sambutan hari Karbala oleh orang Syiah dan sambutan hari Thaipusam oleh orang Hindu berlaku pada tarikh yang sama, adakah orang Syiah akan masih anjurkan upacara mencederakan badan? Tak rasa macam nak sama dengan Hindu kah?

Terfikir… Kalau sambutan hari Thaipusam oleh orang Hindu dan sambutan Maulidur Rasul oleh orang Islam berlaku pada tarikh yang sama, adakah orang Islam masih akan anjurkan upacara perarakan? Tak rasa macam nak sama dengan Hindu kah?

Terfikir… Kalau ditiadakan upacara perarakan sempena Maulidur Rasul, adakah umat Islam di tempat itu telah melakukan satu dosa?

Terfikir… Orang Kristian berselisih tarikh lahir Nabi Isa a.s, ada pendapat 25 Disember, 1 Januari dan 7 Januari. Orang Islam juga berselisih tarikh lahir Nabi Muhammad s.a.w, ada pendapat 9 Rabiul Awal, 10 Rabiul Awal dan 12 Rabiul Awal. Orang Kristian sambut kelahiran Nabi Isa a.s. Orang Islam pun sambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Kalau tarikh sambutan kelahiran Nabi Isa a.s dan sambutan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w berlaku pada tarikh sama, adakah umat Islam akan mengadakan upacara sambutan juga? Tak rasa macam nak sama dengan orang Kristian kah?

Eid dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang kembali dan berulang-ulang biasanya merujuk kepada tempat atau waktu.

Dalam sejarah, Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah, mendapati masyarakat berseronok bermain pada dua hari perayaan turun-temurun zaman jahiliyah, lalu baginda memaklumkan bahawa Allah menggantikannya dengan yang lebih baik iaitu hari Nahr dan hari Fithri (Eiduladha dan Eidulfitri).

Hanya dua hari itu menjadi hari perayaan yang disyariatkan disambut oleh Umat Islam yang berulang-ulang setiap tahun.

Manakala peristiwa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w (Maulidur Rasul), peristiwa hijrah (Ma’al Hijrah), peristiwa Isra’ Mi’raj dan peristiwa penurunan Al-Quran (Nuzul Quran) bukanlah waktu yang disyariatkan disambut dan dirayakan berulang-ulang setiap tahun.

Apabila ia bukan suatu yang disyariatkan, tidak menjadi suatu dosa jika ia tidak disambut dan dirayakan berulang-ulang setiap tahun. Bahkan boleh menjadi satu dosa jika ia disambut dan dirayakan berulang-ulang setiap tahun sebagai dosa mengada-adakan syariat baharu yang asalnya tiada dalam Islam.

Maksud “disambut dan dirayakan” pula difahami dengan ia dibesarkan berbanding hari-hari lain dengan diadakan upacara khas tertentu yang hanya diadakan pada hari itu oleh sekumpulan orang ramai, hingga masyarakat sekeliling mengingati peristiwa pada tarikh itu dengan adanya upacara khas berkenaan.

Jadi, demi wasatiyyah yang dilaungkan dan demi mengendur pertikaian, adalah lebih baik tarikh-tarikh peristiwa itu sekadar diingati dengan menyebutnya, menceritakan kembali peristiwa itu dan mengambil pengajaran daripada peristiwa itu tanpa upacara khas untuk mengingatinya.

Rabiul Awal bulan kesedihan para sahabat dengan kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Jom imbas kembali detik-detik menyedihkan itu. Moga kita dapat bersama baginda di syurga nanti.

Detik kewafatan Nabi Muhammad s.a.w ada tiga versi sampai kepada kita, cerita wafat di pangkuan Aisyah, cerita “Ummati..ummati..” dan cerita Jibrail enggan melihat Nabi Muhammad s.a.w dicabut nyawanya. Yang mana yang shahih? Jemput download dan tonton.

http://www.youtube.com/watch?v=i4XqLzxPfCs

Fadhilat Doa Awal dan Akhir Tahun Bukan Daripada Nabi S.A.W?

Menjelang 1 Muharram setiap tahun, akan tersebarlah doa yang dikatakan doa awal tahun dan doa akhir tahun. Banyak juga masjid-masjid dan surau-surau yang akan mengadakan satu majlis khusus untuk membaca doa tersebut beberapa minit sebelum masuknya waktu Maghrib yang menandakan masuknnya tarikh 1 Muharram. Kebiasaan ini sudah menjadi amalan turun-temurun mungkin kerana ia diajarkan sejak dahulu menerusi buku kecil “Manzil” yang memuatkan panduan doanya berserta fadhilat apabila seseorang itu berdoa dengan doa tersebut. Namun menjadi satu tanda tanya adakah fadhilat yang disebut itu datangnya daripada Nabi Muhammad s.a.w?

Sejarah menunjukkan bahawa tahun Islam telah diperkenalkan dalam zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a yang mengambil alih pemerintahan Islam selepas terbunuhnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a yang mengambil alih pemerintahan Islam selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w . Sebelum itu, umat Islam tidak mempunyai kiraan tahun, hanya ada kiraan bulan dan hari dalam kalendarnya. Ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w wafat sebelum tahun hijrah diperkenalkan. Jadi fadhilat doa dan panduan doa awal dan akhir tahun itu memang wajar dipersoal kerana ia hanya muncul selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Doa adalah Ibadah

Amalan doa, umumnya ialah satu ibadah yang dituntut untuk dilakukan oleh semua Umat Islam. Banyak doa boleh didapati dalam Al-Quran dan hadith-hadith shahih. Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w juga pernah menggalakkan doa mengikut kehendak masing-masing, contohnya selepas bertasyahhud dan sebelum memberi salam di dalam solat. ‘Abdullah bin Mas’ud r.a berkata (maksudnya);

“Nabi SAW telah mengajarkan kepada beliau al-Tasyahhud kemudian baginda bersabda: “Setelah itu hendaklah dia memilih mana-mana doa yang dikehendakinya, dan berdoa.”” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Jadi, doa awal tahun dan akhir tahun itu tiada masalah untuk diamal. Namun, fadhilat yang dikatakan diperoleh daripada membaca doa itu tidak wajar untuk dijadikan satu perkara yang diyakini kerana perkara ghaib perlu dihujjahkan daripada kalam Allah menerusi Al-Quran ataupun daripada Nabi Muhammad s.a.w dalam hadith-hadith yang shahih. Fadhilat yang disebutkan ternyata menyentuh perkara ghaib, disebutkan:

“Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu.”

“Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.”

“Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:”Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.”

Menyentuh mengenai malaikat dan syaitan, ianya merupakan perkara ghaib yang boleh diterima jika datangnya daripada sumber yang disebutkan sebelum ini. Oleh kerana itu, perkara ini telah dibawa kepada kajian di Fatawa Islamiyah namun hasil kajian mendapati fadhilat dan doa-doa ini tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadith shahih mahupun dhoif. Justeru mereka menyimpulkan ianya adalah fadhilat yang bathil. Tatacara bacaan doa seperti penetapan waktu dan bilangan juga tiada asalnya. Jika ingin berdoa dengan doa tersebut, ia sepatutnya terbuka boleh dibaca bila-bila masa dan tidak salah sekiranya sekadar dibaca sekali tanpa diulang-ulang.

Perlindungan daripada Syaitan

Jika ramai berkejar ke masjid dan surau untuk mendapatkan fadhilat-fadhilat yang disebutkan, ada pilihan lain yang boleh diamal bahkan ianya shahih daripada Al-Quran dan juga hadith (Hadirlah ke masjid dan surau selalu, ayat ini bukan menghalang para pembaca pergi ke masjid dan surau). Antara yang terpenting ialah sentiasa mengingat Allah (zikrullah). Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya;

“Dan aku memerintahkan kalian untuk mengingat Allah kerana perumpamaan mengenai hal itu seperti seorang lelaki yang dikejar oleh musuh-musuhnya hingga ia sampai di sebuah benteng kukuh yang melindungi dirinya dari mereka. Sama halnya dengan seorang hamba tidak akan dapat menjaga dirinya dari syaitan kecuali dengan mengingat Allah (berzikir kepada Allah).” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Ada satu zikir yang sangat baik untuk melemahkan gangguan syaitan. Ia biasa diajarkan untuk mangsa gangguan jin syaitan dan juga sihir. Disebut dalam Sahih Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):

Sesiapa yang membaca:

(“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan segala pujian. Dia-lah yang berkuasa atas segala sesuatu.”)

dalam sehari sebanyak seratus kali, nescaya dia mendapat pahala sebagaimana memerdekakan sepuluh orang hamba. Dia juga diampunkan seratus kejahatan, dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang. Tidak diganjarkan kepada orang lain lebih baik daripadanya kecuali orang tersebut melakukan amalan lebih banyak daripadanya. Manakala mereka yang berkata: (“Maha Suci Allah, aku memujiNya”) dalam sehari sebanyak seratus kali nescaya terhapuslah segala dosanya sekalipun dosanya itu banyak seperti buih di lautan.

Zikirullah

Zikir juga sebenarnya adalah satu latihan untuk memupuk diri sentiasa mengingati Allah s.wt dalam setiap ketika. Apabila mulut sentiasa mengucapkan zikir, hati lebih mudah mengingati Allah s.w.t di saat seseorang itu sendang marah, kecewa, sedih dan ketakutan. Cubalah menjadikan zikir sebagai ‘makanan’ kepada rohani kita setiap ketika. Contohnya, ketika memandu ke tempat kerja, ketika makan, berjalan, menggosok baju, memasak dan sebagainya. Jika ketika itu ada sesuatu perkara yang boleh menyebabkan hati kita mempunyai perasaan negatif, insyaAllah zikir itu dapat menundukkannya. Contohnya dalam keadaan kesesakan jalanraya..hiburkanlah hati kita dengan melagukan zikir di bibir. Sama-samalah kita membudayakan zikrullah di dalam kehidupan seharian kita.

Panduan Pelindung Keselamatan

Banyak lagi doa-doa dan juga amalan-amalan sunat serta pantang-larang dalam Islam yang shahih dan disebutkan fadhilatnya untuk menjaga keselamatan secara umum ataupun keselamatan daripada kejahatan syaitan. Sebagai panduan, dapatkan aplikasi MyPerisai untuk telefon pintar iPhone dan Android,  satu kumpulan doa-doa dan amalan-amalan sunat untuk keselamatan diri, keluarga dan harta yang mana dibangunkan oleh saya dan beberapa rakan dengan kerjasama Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Mudir Pondok Sungai Durian, Kelantan, Panel Tanyalah Ustaz TV9, Panel Pondok Warisan IKIM.FM, Penulis buku Zikir Pagi Petang dan Selepas Solat dan lain-lain).

Sekian, terima kasih.

Hadith-hadith Anjuran Puasa `Asyura’ (10 Muharram)

“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah – Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”

(HR. Muslim no. 1163, daripada Abu Hurairah)

Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah? Baginda menjawab, “Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Baginda juga ditanya mengenai keistimewaan puasa `Asyura’? Baginda menjawab, “Puasa `Asyura’ akan menghapus dosa setahun yang lalu.”

(HR. Muslim no. 1162)

“Di zaman jahiliah dahulu, orang Quraisy biasa melakukan puasa `Asyura’. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam juga melakukan puasa tersebut. Tatkala tiba di Madinah, Baginda melakukan puasa tersebut dan memerintahkan yang lain untuk melakukannya. Namun tatkala puasa Ramadhan diwajibkan, Baginda meninggalkan puasa `Asyura’. (Lalu Baginda mengatakan) Barangsiapa yang mahu, silakan berpuasa. Barangsiapa yang mahu, silakan meninggalkannya (tidak berpuasa).”

(HR. Al-Bukhari no. 2002 dan Muslim no. 1125)

Ketika tiba di Madinah, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa `Asyura’. Kemudian Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam bertanya, “Hari yang kalian bepuasa ini adalah hari apa?” Orang-orang Yahudi tersebut menjawab, “Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya, dan Fir’aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini dalam untuk bersyukur, maka kami pun berpuasa pada hari ini”. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam lantas berkata, “Kami lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kalian.”. Lalu setelah itu Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa.

(HR. Muslim no. 1130)

“Sesungguhnya orang-orang Jahiliah biasa melakukan puasa pada hari `Asyura’. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam pun melakukan puasa tersebut sebelum diwajibkannya puasa Ramadhan, begitu pula kaum muslimin saat itu. Tatkala Ramadhan diwajibkan, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam mengatakan: Sesungguhnya hari ‘Asyura’ adalah hari di antara hari-hari Allah. Barangsiapa yang ingin berpuasa, silakan berpuasa. Barangsiapa meninggalkannya juga silakan.”

(HR. Muslim no. 1126)

Sunnah juga puasa pada hari ke 9 Muharram

Ibnu Abbas radhiallahu ’anhuma berkata bahawa ketika Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam melakukan puasa hari `Asyura’ dan memerintahkan kaum muslimin untuk melakukannya, pada saat itu ada yang berkata, “Wahai Rasulullah, hari ini adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Kristian.” Lantas Baginda mengatakan, “Apabila tiba tahun hadapan, insyaAllah (jika Allah menghendaki) kita akan berpuasa pula pada hari kesembilan.” Ibnu Abbas mengatakan, “Belum sampai tahun hadapan, Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam telah meninggal dunia.”

(HR. Muslim no. 1134)

Bacaan tambahan: http://lobaitampin.blogspot.com/2009/12/dianjurkan-banyak-berpuasa-di-bulan.html