Mufti Wilayah Persekutuan: Adab Islam bagi Menghadapi Kematian

Sumber asal: http://www.muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=210

doa buat tok guru

Mukaddimah

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kematian salah seorang tokoh yang dihormati di Malaysia iaitu mantan Menteri Besar Kelantan. Selepas kematian dan pengebumian maka terlalu banyak kenyataan dan juga pandangan serta perbuatan yang kadang-kadang kurang tepat dan tidak sayugia dilakukan oleh seseorang yang beriman.

Bayan Linnas pada kali ini cuba menjelaskan adab-adab yang sepatutnya diambil perhatian oleh kita sebagai umat Islam tatkala berlaku kematian. Semoga dengan pencerahan ini dapat menyelesaikan sedikit kefahaman dan salah faham berkaitan dengan isu ini.

Pertama: Hakikat Kematian 

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk : 2)

Al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.

Boleh jadi juga kerana asal manusia daripada tiada kemudian diwujudkan. Begitu juga kerana matlamat sebenar manusia bukan hanya dibataskan di dunia sehaja tetapi ia akan di soal di hadapan Allah pada hari harta benda dan anak pinak tidak boleh memberi manfaat kecuali menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.

وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).”

(Surah al-An’am : 94)

Kedua: Menerima Kematian dengan Cara dan Adab Islam

Antaranya

  • Istirja’ ( Mengucapkan إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ ) apabila menerima berita kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 dan 156:

 

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.

Juga boleh memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) kemudian istirja’. Ini berdasarkan hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Hibban di mana Allah bertanya kepada Malaikat (dalam riwayat Ahmad: Malaikat Maut) yang mengambil nyawa anak kesayangan hambaNya:

مَاذَا قَالَ عَبْدِي, فَيَقُوْلُوْنَ: حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ

Maksudnya: Apa yang disebut oleh hambaKu. Maka jawab para Malaikat: Ia memujiMu dan istirja’.

Bersabar dalam menerima berita. Ini kerana menurut dalil ayat di atas, diberi pahala yang besar kepada orang yang bersabar.

Berdoa seperti yang diajar oleh Baginda SAW

اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.”

Riwayat Muslim (918)

Ketiga: Solat Jenazah Kepada Si Mati dan Berdoa Untuknya.

Umat Islam menjadi fardhu kifayah ke atas mereka melaksanakan solat jenazah kepada saudaranya yang meninggal dunia. Begitu juga dengan memandikan, mengkafankan dan mengebumikannya.

Pensyariatan solat jenazah berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”

Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)

 

Antara doa yang diajar

  • Doa pertama

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ

 

Maksudnya:  “Rasulullah SAW telah melakukan solat jenazah, lalu aku mendengar Baginda berdoa. Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Auf berkata: Aku berharap biarlah aku menjadi mayat itu kerana doa Rasulullah SAW ke atas mayat tersebut.”

Riwayat Muslim (963)

 

  • Doa kedua

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.”

Riwayat Abu Daud (3201)

  • Doa ketiga

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا، وَمَيِّتِنَا، وَصَغِيرِنَا، وَكَبِيرِنَا، وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا، وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا، اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ، وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ، اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ، وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud 3201, al-Turmudzi (1204) al-Nasai (1986), Ibn Majah (1498) dan lain-lain.

Keempat:Larangan Meratap

Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:

اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ: الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ

Maksudnya: Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.

Riwayat Muslim (67)

Keterangan: Dibolehkan menangis/mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Bahkan dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ المَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.”

Riwayat al-Bukhari (1286), Muslim (928)

 

Mengikut Imam al-Nawawi, hadith ini diberi beberapa takwilan antaranya:

  • Ia ditanggung dengan maksud jika si mati mewasiatkan kepada keluarga dan yang hidup untuk meratap dan meraung atas kematiannya.
  • Ia memberi maksud kaum keluarga menangis pada tahap ratapan
  • Ia bermaksud ia diazab dengan sebab memperdengarkan tangisan keluarganya untuk menjadikan hati mereka mengasihani berlebihan. Inilah pendapat Ibn Jarir al-Tabari. Hal ini juga dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh.

Sekadar tangisan biasa atau kesedihan tidaklah menjadi kesalahan.

Kelima:  Larangan Mengandaikan Kematian Dengan Terjadinya Sesuatu Peristiwa 

Hal ini pernah berlaku pada zaman Nabi SAW apabila puteranya Ibrahim telah meninggal dunia dan berlaku gerhana maka Rasulullah SAW membetulkan hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَصَلُّوا وَادْعُوْا حَتَّى يَنْكَشِفَ مَا بِكُم

Maksudnya: “Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.”

Riwayat Muslim (904)

Berdasarkan hadith di atas, beberapa pengajaran dapat diambil.

  • Hari kematian putera Rasulullah SAW, Ibrahim sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Mubarakafuri: Sepakat ahli tahqiq dari kalangan ahli sejarah dan ahli falak mengikut perkiraan falak ia berlaku pada 28 atau 29 Syawwal Tahun ke-10 Hijrah bersamaan 27 Januari tahun 632 Masihi pada jam 8.30 pagi.
  • Putera Nabi, Ibrahim tersebut adalah hasil perkahwinan Baginda dengan Mariyyah al-Qibtiyyah di mana ketika meninggal usianya 18 bulan.
  • Boleh menangis tetapi tidak boleh meratap sebagaimana kata Baginda SAW tatkala wafat puteranya itu.

العَيْنُ تَدْمَع، وَالْقَلْبُ يَحْزَنُ، ولا نَقُولُ إِلَّا مَا يُرْضِى الرَّبُّ، وَإْنَّا عَلَيْكَ يَا إِبْرَاهِيم لَمَحْزُونُون

Maksudnya: “Mata mengalirkan airnya, hati begitu sedih dan kami tidak kata kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan. Dan sesungguhnya kami atas perpisahanmu hai Ibrahim begitu sedih.

  • Wujudnya adat Jahiliyyah yang menyandarkan berlaku gerhana dengan sebab kematian tokoh atau kehidupan tokoh yang lain. Hadith ini membatalkan sangkaan golongan ahli nujum yang bersandarkan kepada kejadian alam yang berlaku sedangkan hal tersebut termasuk dalam perkara ghaib.
  •  Rasulullah SAW membatalkan taqlid jahiliyyah ini dengan menyandarkan kepada ayat tanda kekuasaan Allah untuk memberi peringatan kepada hamba-Nya supaya jangan derhaka dengan meninggalkan kewajipan dan menceroboh apa yang diharamkan.
  • Rasulullah SAW menasihatkan ummahnya hatta dalam hal menta’zimkan manusia dalam perkara kematian anaknya (puteranya bernama Ibrahim) di mana Baginda tidak mengiyakan saki-baki amalan jahiliyyah dan sangkaan bahkan dengan tegas Nabi menolak dengan menyatakan gerhana berlaku bukan dengan sebab kematian atau kehidupan seseorang. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram 3/60-62)

Keenam: Adab Pujian Kepada Si Mati

Maksudnya, hendaklah berkata baik kepada si mati dan bukan mengungkitkan perkara yang tidak baik. Ini berdasarkan kepada hadith Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ»، فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ، فَقَالَ: «لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ»، ثُمَّ قَالَ: «اللهُمَّ اغْفِرْ لِأَبِي سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّينَ…

Maksudnya: “Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahlinya riuh rendah lantas sabda Baginda SAW: ‘Jangan kamu doa atas diri kamu kecuali yang baik. Ini kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu kata. Kemudian Baginda berdoa : ‘Ya Allah, ampunkan bagi Abi Salamah, angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk…’

Riwayat Muslim (920)

Begitu juga menyebut kebaikan si mati dengan perkara yang kita ketahui sahaja seperti ramainya jemaah yang mengiringi si mati. Tidak sewajarnya kita menyebut berkenaan perkara ghaib seperti ramai para malaikat mengiringi si mati kerana tidak diketahui kecuali Allah SWT dan apa yang diwahyukan kepada Rasul-Nya SAW semata-mata.

Ketujuh: Cara Islam Menyanjung Orang Yang Mulia

Mungkin akan ada orang bertanya: “Apakah tidak memenuhi suatu maksud umat untuk mengembalikan sebagian keindahan yang pernah dicapai oleh orang-orang besar kita yang telah berhasil mengisi lembaran sejarah yang berharga itu, lantas para pembesar itu diabadikan dalam bentuk patung agar menjadi peringatan generasi berikutnya terhadap jasa-jasa dan keunggulan yang pernah mereka capai? Kerana ingatan manusia pada sesuatu perkara itu sering dilupakan sebagaimana mereka lupa pada peralihan malam dan siang itu?

Untuk menjawab persoalan ini, perlu dijelaskan, bahwa Islam sama sekali tidak suka berlebih-lebihan dalam menghargai seseorang, betapapun tingginya kedudukan orang tersebut, baik mereka yang masih hidup ataupun yang sudah mati.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Jangan kamu melampau dalam menghormatiku seperti orang Nasrani menghormati Isa bin Maryam, tetapi sesungguhnya aku adalah hamba-Nya dan katakanlah hamba Allah dan Rasul-Nya.”

Riwayat Bukhari (3445)

Mereka bermaksud akan berdiri apabila melihat Nabi, sebagai suatu penghormatan kepadanya dan untuk mengagungkan kedudukannya. Cara seperti itu dilarang oleh Nabi dengan sabdanya:

لَا تَقُومُوا كَمَا تَقُومُ الْأَعَاجِمُ، يُعَظِّمُ بَعْضُهَا بَعْضًا

 

Maksudnya: “Jangan kamu berdiri seperti orang-orang ajam (selain Arab) yang berdiri untuk menghormat satu sama lain.”

Riwayat Abu Daud (5230)

Beliau pun memberikan suatu peringatan kepada umatnya, sikap yang berlebih-lebihan terhadap kedudukan Nabi sesudah beliau mati. Dan dalam doanya kepada Tuhannya beliau mengatakan:

اللَّهُمَّ لَا تَجْعَلْ قَبْرِي وَثَنًا يُعْبَدُ

Maksudnya: “Ya Allah! Jangan engkau jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah.”

Riwayat Malik (85)

Ada beberapa orang datang kepada Nabi s.a.w., mereka itu memanggil Nabi dengan kata-katanya: “Hai orang baik kami dan anak orang baik kami, hai tuan kami dan anak tuan kami.” Mendengar panggilan seperti itu, Nabi kemudian menegurnya dengan sabdanya sebagai berikut :

يا أيها الناس، قولوا بقولكم، أو بعض قولكم، ولا يستهوينكم الشيطان، أنا محمد، عبد الله ورسوله، ما أحب أن ترفعوني فوق منزلتي التي أنزلني الله عز وجل

Maksudnya: “Hai manusia! Ucapkanlah seperti ucapanmu biasa atau hampir seperti ucapanmu yang biasa itu, jangan kamu dapat diperdayakan oleh syaitan. Aku adalah Muhammad, hamba Allah dan pesuruhNya. Aku tidak suka kamu mengangkat aku lebih dari kedudukanku yang telah Allah tempatkan aku.”

(Riwayat Nasa’i dengan sanad yang baik)

Agama ini pendiriannya dalam masalah menghormati orang, tidak suka seseorang itu diangkat-angkat seperti berhala yang didirikan dengan biaya beribu-ribu supaya orang-orang memberikan penghormatan kepadanya.

Alangkah besar dosa para pembesar palsu dan ahli sejarah yang memalsukan sejarah serta pengikut-pengikut mereka yang menggunakan ruang yang terbuka ini untuk mendirikan patung-patung berhala bagi mereka sebagai lambang orang besar yang palsu supaya mereka dapat menyesatkan pemikiran rakyat daripada mengenal pembesar yang sebenar.

Keabadian hakiki yang dikenal di kalangan umat Islam hanyalah Allah yang Mengetahui segala yang rahsia dan tersembunyi, yang tidak sesat dan tidak lupa. Sedangkan kebanyakan para pembesar yang namanya diabadikan di sisi Allah adalah orang-orang yang tidak begitu dikenal oleh manusia. Hal ini kerana Allah suka kepada orang-orang yang baik, taqwa dan tidak perlu menampak-nampakkan kepada orang lain. Mereka ini apabila datang tidak dikenal, dan apabila pergi tidak dicari. Sekalipun keabadian itu sangat perlu bagi manusia, tetapi tidak mesti dengan didirikannya patung untuk orang-orang besar yang perlu diabadikan itu.

Cara untuk mengabadikan yang dibenarkan oleh Islam ialah mengabadikan mereka itu ke dalam hati dan lisan, yaitu dengan menyebut kejayaan perjuangan mereka dan peninggalan-peninggalan yang baik-baik yang ditinggalkan untuk generasi sesudah mereka. Dengan demikian mereka itu akan selalu menjadi sebutan orang-orang terkemudian. Rasulullah SAW sendiri dan begitu juga para khalifah dan pemuka-pemuka Islam lainnya, tidak ada yang diabadikan dalam bentuk fizikal dan patung-patung yang terbuat dari batu yang dipahat.

Keabadian mereka itu semata-mata adalah kerana sifat-sifat baiknya yang dikisahkan oleh orang-orang terdahulu kepada orang-orang kemudiannya dan yang disampaikan oleh orang-orang tua kepada anak-anaknya. Sifat beliau itu tertanam dalam hati, selalu disebut dalam lisan, selalu berkumandang di majlis serta memenuhi hati, walaupun tanpa diwujudkan dengan patung dan gambar.

Kelapan: Amalan Yang Boleh Dilakukan Sebagai Sumbangan Orang Yang Masih Hidup Kepada Si Mati

Antaranya adalah

  • Doa dan istighfar. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

  • Sedekah. Ini berdasarkan banyak riwayat dan hadith antaranya riwayat Bukhari (1388) dan Muslim (1004) daripada Aisyah bahawa Sa’d bin Ubadah pernah bertanya: Hai Rasulullah. Sesungguhnya ibuku telah mati mengejut dan tidak sempat wasiat. Apakah baginya pahala jika aku sedekah untuknya? Jawab Baginda SAW, “Ya.”
  • Haji dan umrah. Berdasarkan hadith yang sahih riwayat Bukhari (1852). Antara lain kata Baginda SAW, “Ya. Hajilah untuk ibumu.”
  • Puasa. Daripada Aishah RA bahawa Nabi SAW bersabda

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Siapa yang mati sedangkan ada baginya puasa qadha’ maka hendaklah walinya berpuasa bagi pihaknya.”

Riwayat Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

Mengikut pendapat mazhab Hanafi, Hanbali dan ulama muta’akhirin di kalangan Syafie dan Malik bahawa sampai pahala daripada orang yang hidup kepada si mati.

Kesembilan: Ziarah Kubur

Dibahagikan kepada dua bahagian.

Pertama: Antara amalan-amalan sunat

  • Disunatkan memberi salam kepada ahli kubur, mendoakan mereka agar mendapatkan rahmat, ampunan dan afiyah (kekuatan). Di antara doa yang dianjurkan untuk dibaca adalah:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَاللهُ بِكُمْ لاَحِقُوْنَ وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِيْنَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِيْنَ أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.

Maksudnya: “Semoga kesejahteraan untukmu, wahai penghuni kubur dari kaum mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusul, ( semoga Allah Ta’ala memberikan rahmat kepada orang-orang yang (telah meninggal) terlebih dahulu diantara kami dan orang-orang yang akan datang.”

Riwayat Muslim (975)

  • Membaca al-Qur’an kepada si mati. Walaupun masalah ini khilaf di kalangan ulama tetapi kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulama’. Antara yang menyokong pendapat ini seperti Ibn Qudamah al-Maqdisi dan juga ulama-ulama yang lain.

Kedua: Amalan Bid’ah dan Khurafat

Antaranya adalah:

  • Mengambil tanah kubur dengan sangkaan berkat atau ada kelebihan.
  • Meminta berkat, pertolongan dan istighathah daripada kubur. Syirik yang tidak nyata, iaitu yang tersembunyi adalah meminta doa dan pertolongan dari kubur atau orang mati seperti minta tolong melepaskan dari bala kesusahan dan lain-lain. Ini kerana, orang yang telah mati yang berada dalam kubur tidak boleh memberi sesuatu pertolongan kepada orang yang hidup, bahkan orang yang hidup dituntut supaya berdoa untuk orang telah mati.
  • Meletakkan sesuatu makanan atau melakukan korban untuk kubur.
  • Beribadat, solat, dan lain-lain di atas kubur kecuali solat jenazah.
  • Beri’tiqad bahawa si mati boleh menunaikan hajatnya. Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّن يَدْعُو مِن دُونِ اللَّـهِ مَن لَّا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَن دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ

Maksudnya: “Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang berdoa selain dari Allah yang tidak mengkabulkan baginya sehingga Hari Kiamat, sedangkan makhluk-makhluk yang mereka berdoa kepadanya itu lalai terhadap doa mereka.”

(Surah al-Ahqaf: 5)

Marilah sama-sama kita renung sebuah firman Allah SWT:

وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُسْمِعُ مَن يَشَاءُ ۖ وَمَا أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ

Maksudnya: Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).

(Surah Faatir: 22)

Al-Maraghi antara lain berkata: “Orang yang berada di dalam kubur (orang kafir) tidak berupaya mendapat hidayah dan seruan. Begitu juga orang musyrik tidak boleh menerima hidayah.”

Muzakarah Fatwa Kebangsaan Berhubung Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar, Melaka

Walaupun fatwa ini khusus untuk isu amalan khurafat di Pulau Besar, tetapi sekurang-kurangnya umat Islam memahami betapa isu khurafat perlu dipandang serius.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014 telah membincangkan mengenai Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar Melaka. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:

  • Perbuatan memohon hajat, berdoa dan bermeditasi serta bertawassul di sisi kubur-kubur yang ada di sekitar Pulau Besar merupakan amalan ghuluw yang boleh membawa kepada syirik.
  • Perbuatan memuja dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan daripada sesuatu objek seperti di kubur Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail, kubur Tujuh Beradik, kubur Syarifah Rodziah, kubur Syeikh Yusuf, kubur Tok Janggut, kubur Nenek Kebayan, Tempayan Pecah, Batu Belah, Gua Yunus, perigi Nenek Kebayan, tasik bunian, tasik biawak dan pokok disula adalah syirik.
  • Perbuatan membaca Surah Yasin, membuat tahlil seterusnya mendoakan hajat bagi pihak orang bukan Islam dengan tujuan supaya permintaan mereka tercapai adalah dilarang oleh Islam.
  • Perbuatan mandi di Perigi Nenek Kebayan dan Tempayan Pecah, menjadikan batu-batu atau objek yang diambil daripada perigi sebagai azimat, membakar colok di sekitar kawasan kubur dan pokok-pokok dengan mempercayai ia boleh memberi manfaat atau mudharat adalah perbuatan khurafat yang jelas dilarang oleh Islam.
  • Perbuatan menjamu orang ramai dengan daging yang dinazar oleh orang Islam dan bukan Islam dan menjual poster yang dipercayai sebagai gambar para sahabat nabi adalah meragukan dari aspek hukum syarak dan perlu dihentikan.
  • Amalan membaca tahlil ketika upacara menaik dan menurunkan bendera serta berjalan kaki tanpa kasut atau selipar menuju ke gua atau perigi serta perbuatan menyapu dan menjirus cairan cendanan berwarna kuning pada batu nisan dan kubur Sheikh Ismail adalah khurafat yang perlu ditegah.

Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan dan perbuatan yang dilakukan di Pulau Besar Melaka adalah merupakan perkara bida’ah dhalalah dan khurafat yang amat ditegah oleh syarak dan perlu dihentikan segera kerana ianya boleh membawa kepada syirik.

 

Sehubungan itu juga, Muzakarah menggesa supaya tindakan penguatkuasaan bagi membanteras amalan khurafat di Pulau Besar dilaksanakan segera oleh Kerajaan Negeri Melaka. Penjelasan dan kesedaran kepada masyarakat awam hendaklah dilaksanakan supaya amalan khurafat yang berleluasa di Pulau Besar tersebut dapat dihentikan.

Penutup

Sesungguhnya mengikut apa yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya kemudian apa yang difahami oleh para ulama’ lantas mereka menyebarkan kepada ummah dengan sebaik mungkin. Mereka seupaya mungkin mewasiatkan kepada keluarga dan murid-muridnya agar benar-benar perjalanan kehidupan dan kematian disusun atur mengikut syariat dan tidak bercanggah dengan apa-apa yang dilarang samada daripada al-Qur’an dan juga al-Sunnah.

Dengan sebab itulah sewajar kita umat Islam untuk menginsafi apa yang berlaku dengan qadha’ dan qadar Ilahi yang wajib kita terima dengan perasaan sabar dan redha disamping tidak terlatah samada ungkapan, perbuatan dan juga i’tiqad yang pelik yang membawa kepada tidak tepatnya mengikut ajaran dan syariat Islam.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang yang dikasihi yang berlaku di kalangan kita. Saya berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh.

Semoga Bayan Linnas ini dapat memberi pencerahan kepada kita semua. Amin.

Akhukum Fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Rahsia Personaliti Dari Tarikh Lahir – Ilmu Primitif Perosak Akidah!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Sekarang ini satu fenomena baru sedang melanda umat Islam di Malaysia iaitu pendedahan rahsia personaliti serta potensi diri melalui formula matematik terhadap tarikh lahir. Dari hari ke hari ia semakin mendapat sambutan. Selain itu, laman komuniti facebook.com juga semakin rancak menyediakan kuiz-kuiz tenung nasib dan rahsia personaliti.  Sebelum itu, telah banyak disebarluaskan rahsia-rahsia personaliti berdasarkan zodiak, hari kelahiran, kedudukan dalam adik-beradik, warna kegemaran, cara berjalan, bentuk wajah, bentuk jari, kedudukan tahi lalat dan pelbagai lagi yang digemari oleh masyarakat kita.

Saya katakan,  tidak lain tidak bukan itu semua hanyalah PERBUATAN SIA-SIA LAGI HARAM MALAH BOLEH MENGUNDANG KEROSAKAN IMAN bila ia dipercayai. Perkara-perkara yang disebut itu adalah termasuk meramal yang mana ia telah diharamkan. Sumber yang mengharamkannya banyak sekali.

Dalam Al-Quran, Surah Al-Maaidah, ayat 90, Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Imam Muslim dalam kitab Shahih Muslim, meriwayatkan bahwasanya Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda : “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf’ (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima shalatnya selama empat puluh hari.

Abu Dawud pula meriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dari Nabi  صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: “Barangsiapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ’alaihi wa sallam.

Dari Imran bin Hushain radhiallahu anhu, beliau berkata, bahawa Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda: “Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barangsiapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang ia katakan, maka sesungguhnya ia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad صلى الله عليه وسلم .” (Hadith Riwayat Al-Bazzaar, dengan sanad jayyid).

Ia Benar, Ada Persamaan Dengan Diri Saya

Larangan-larangan yang disebut di atas telah banyak kali diabaikan oleh mereka yang mempercayai pendedahan rahsia-rahsia personaliti itu. Ini kerana bila mereka mencuba-cuba sekadar suka-suka, rupanya pendedahan rahsia-rahsia itu banyak benar dan sama dengan dirinya. Maka itulah mereka terus meminati perkara begini.

Kebenarannya kadang-kadang sukar dinafikan, namun sedarlah bahawa diri kita boleh mengetahui sendiri bagaimana adanya diri kita tanpa melihat kesemua faktor ramalan itu. Sentiasalah bermuhasabah diri serta bertanya pendapat rakan-rakan terhadap personaliti dan potensi diri kita untuk meningkatkan dan memperbaiki diri.

Dakwaan Bahawa Ia Adalah Hasil Kajian Sains

Sunnatullah untuk kenal peribadi, boleh tanya melalui soalselidik kecenderungan, contoh soalan: Suka bersosial / suka dengan barang-barang – dapat tahu kita lebih sesuai kerja dengan manusia atau kerja dengan mesin.

Maka, saya tolak kaedah kenal diri melalui tarikh lahir. Serupa juga ditolak keperibadian melalui bentuk muka, bentuk mata, bentuk kuku, kedudukan adik-beradik dan macam-macam lagi.

Pengamal Rahsia Tarikh Lahir berkata:

Kajian tarikh lahir saya adalah purely based on research of human science behaviour. Saya kumpulkan maklumat ini for the past 10 years melalui test and measure, interviewing process ke atas lebih 5,000 individu.

Kalaulah zaman Nabi Luth dulu ada seorang tukang tilik tangan tua berusia lebih 500 tahun, kata “Sepanjang hayat saya, saya dah temubual 500,000 orang pelbagai latarbelakang dan saya dapati ada pola persamaan corak tapak tangannya dengan nasib kehidupannya, jadi ramalan saya adalah 98% tepat. Saya boleh cerita potensi masa depannya, apa yang patut dia lakukan untuk berjaya, apa yang patut dia elakkan untuk berjaya.”

Tidakkah kaedahnya sama seperti kaedah pengamal yang memperkenal rahsia tarikh lahir ni? Cuma alatnya saja beza, tapak tangan dengan tarikh lahir. Fikir-fikirkanlah. Tentu ada hikmahnya Allah melarang bertilik-tilik bukan melalui sunnatullah yang nyata.

Syaitan Mencuri Dengar Berita-berita Langit

Di dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menceritakan bahawa suatu ketika dahulu, syaitan dapat mencuri dengar berita-berita langit termasuklah rahsia masa depan yang disembunyikan daripada pengetahuan jin dan manusia. Boleh jadi, rahsia-rahsia yang dibuka kepada manusia daripada faktor-faktor ramalan itu adalah ilmu kuno / primitif yang diperkenal oleh para Syaitan yang pernah mendengarnya sebelum ini dengan ditokok-tambah bagi meyakinkan manusia kepada kebenarannya sedangkan tujuan asal mereka adalah untuk menyesatkan manusia.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya. [16]  Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam. [17]  Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan. [18] (Maksud ayat 16 hingga 18 Surah Al-Hijr)

Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang. [6] Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka; [7](Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru, [8]  Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus. [9]  Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi. [10] (Maksud ayat 6 hingga 10, Surah As-Soffat)

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radiallohu’anhuma, beliau berkata “Dahulu syaitan-syaitan itu memiliki tempat-tempat berdiam di langit. Mereka mendengarkan wahyu. Dan ketika itu bintang-bintang tidak mengejar mereka dan syaitan-syaitan itu tidak dilempari. Ketika mereka mendengarkan wahyu, mereka turun ke bumi dan menambahkan kalimat yang mampu mereka dengar itu dengan sembilan (kalimat yang lain dari diri mereka). Adapun setelah Rasulullah  صلى الله عليه وسلم diutus, maka ketika syaitan-syaitan ini mencapai tempat berdiamnya, suluh api pun mendatanginya dan tidak meleset darinya sehingga membakarnya. Syaitan-syaitan itu lalu mengadu kepada Iblis – semoga Allah melaknatnya.

Iblis berkata, ‘Ini disebabkan adanya perkara yang baru.’ Lalu ia mengutus tenteranya, dan mereka mendapati Rasulullah  صلى الله عليه وسلم berdiri sedang solat di antara dua gunung pohon kurma. (Dua batang pohon kurma). Lantas mereka kembali kepada iblis untuk mengabarkan hal tersebut. Iblis berkata, ‘Inilah dia perkara yang baru itu.’ ” (Dari Ath-Thabari)

Ketahuilah bahawa rahsia-rahsia hidup kita telah tertutup rapi, hanya diketahui oleh Allah S.WT. Kalau pun ada syaitan-syaitan yang dapat mendengarnya, ianya hanyalah pengetahuan primitif kerana selepas baginda Nabi Muhammad  صلى الله عليه وسلم diutus, mereka tidak dapat lagi mendengarnya. Dan kalaupun ada di antara mereka yang dapat mendengarnya, mereka tidak akan mengkhabarkan kepada manusia dengan betul kerana mereka bertujuan hidup untuk menyesatkan kita.

Maka, saya nasihatkan agar para pembaca yang bijak membaca tulisan saya ini agar berfikir semula terhadap pegangan kepercayaannya. Bertaubatlah serta kembalilah kepada pegangan yang benar di sisi Islam. Semoga hidup kita diredhai Allah dunia dan akhirat.

Beza Penilaian Kecenderungan Watak oleh Kaunselor dengan Rahsia Tarikh Lahir

Penilaian Kecenderungan Watak oleh Kaunselor:

  • Meminta client menjawab soalan-soalan berkenaan kecenderungan watak.
  • Soalan adalah berkenaan perwatakan melalui kecenderungan diri dan keselesaan diri terhadap suatu situasi.
  • Keputusan analisa adalah daripada pengumpulan jawapan terhadap koleksi soalan kepada kumpulan-kumpulan watak.
  • Skema analisa dapat diketahui dengan meneliti pola soalan dan jawapan.
  • Pembongkaran kesimpulan bahawa seseorang itu termasuk dalam kategori watak itu bukan sekadar andaian tanpa hubungkait, tetapi watak memang berhubungkait dengan koleksi soalan.

Rahsia Tarikh Lahir:

  • Hanya perlukan tarikh lahir daripada client.
  • Tarikh lahir dimanipulasi dengan operasi matematik untuk hasilkan suatu nombor lain yang mempunyai pola tertentu.
  • Terdapat skema analisa kumpulan watak berdasarkan nombor-nombor yang terhasil.
  • Skema analisa dihasilkan berdasarkan pemerhatian terhadap kesamaan nombor antara lebih 5,000 orang.
  • Kesimpulan watak lebih kepada andaian, tiada hubungkait secara langsung dengan tarikh lahir, tapi cuba dihubungkaitkan berdasarkan kesamaan tarikh lahir seorang dengan seorang yang lain.

Soalan yang boleh mempertikai Rahsia Tarikh Lahir:

  • cara kajian dengan kaedah terhadap tarikh lahir itu, adakah boleh dikira sebagai Sains? Apa disiplin kajian sains yang diguna?
  • Siapakah kira-kira 5,000 orang yang ditemubual, adakah ditemubual juga pelbagai latarbelakang seperti pasangan kembar tidak seiras, orang kurang upaya, orang asli, warga Malaysia, Asia, Eropah, US, orang beragama Islam (Amal Islam dengan betul/ sekadar ikut-ikut), Hindu, Budha, Kristian? Bagaimana pula latarbelakang zaman, manusia zaman sebelum kalendar masihi, manusia zaman kegemilangan Islam, manusia zaman perang dunia pertama dan kedua, manusia zaman melinium dan seterusnya?
  • Pernahkah pula cuba dihubungkaitkan dengan tarikh lahir mengikut kalendar Hijrah, Cina, Hindu dan sebagainya?

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.