Allah Sebijak-bijak Membalas Tipu Daya

Awas kepada mereka yang sering menipu dan memperdaya. Rancanglah dengan rapi, berpakatlah dengan ramai orang. Jangan lupa siapa yang lebih hebat perancangannya.

Surah Ali-Imran ayat 54:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

“Dan orang-orang itupun merancang tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.”

Ayat 108 Surah An-Nisa’:

يَسْتَخْفُونَ مِنَ النَّاسِ وَلَا يَسْتَخْفُونَ مِنَ اللَّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ إِذْ يُبَيِّتُونَ مَا لَا يَرْضَىٰ مِنَ الْقَوْلِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطًا

“Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.”

Ayat 48 Surah At-Taubah:

لَقَدِ ابْتَغَوُا الْفِتْنَةَ مِنْ قَبْلُ وَقَلَّبُوا لَكَ الْأُمُورَ حَتَّىٰ جَاءَ الْحَقُّ وَظَهَرَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَارِهُونَ

“Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) ugama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka kepadanya.”

Surah An-Nahl ayat 45 – 46:

أَفَأَمِنَ الَّذِينَ مَكَرُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ يَخْسِفَ اللَّهُ بِهِمُ الْأَرْضَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ الْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu merasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya?”

أَوْ يَأْخُذَهُمْ فِي تَقَلُّبِهِمْ فَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ

“Atau Ia membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja masing-masing? Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah.”

Surah An-Naml ayat 50:

وَمَكَرُوا مَكْرًا وَمَكَرْنَا مَكْرًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

“Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya.”

Surah Fatir ayat 10:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْعِزَّةَ فَلِلَّهِ الْعِزَّةُ جَمِيعًا ۚ إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ ۚ وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۖ وَمَكْرُ أُولَٰئِكَ هُوَ يَبُورُ

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.”

Surah Al-Anfal ayat 30:

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

“Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”

Selamatkah orang dengan lisan kita?

وعن أَبي موسى  رضي الله عنه  قَالَ: قُلْتُ: يَا رسولَ اللهِ أَيُّ المُسْلمِينَ أفْضَلُ؟ قَالَ: مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa Radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Aku katakan, ‘Wahai Rasulullah, muslim yang bagaimanakah yang paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.’” (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Mari kita ambil hadith ini untuk sama-sama kita menjaga diri kita daripada mudah menyakiti orang lain. Menyebabkan orang tidak selamat dengan tangan (atau perbuatan fizikal), ia jelas dilihat dengan mata, maka ramai yang tidak melakukannya seperti memukul, mencuri dan membunuh. Namun bagaimana pula dengan menyebabkan orang tidak selamat dengan lisannya? Sama ada lisannya disebut dengan lidah, atau ditulis / ditaip, perhatikanlah kata-kata masing-masing, adalah ia menyakiti orang lain?

Adakah kata-kata kita mudah menuduh orang itu-ini fasik, syirik atau kufur?

Adakah kata-kata kita biasa mengejek, mencela, mencaci, memaki atau mencarut?

Adakah kata-kata umpatan sering kita ucapkan?

Adakah kita mudah sebarkan maklumat yang diterima tanpa disiasat keshahihannya?

Hati-hatilah. Semua itu bukan setakat menyebabkan orang lain tidak selamat daripada lisan kita, bahkan diri kita sendiri berisiko tidak selamat oleh kerananya.

Orang yang bercita-cita ke Syurga, mesti jaga lisannya (juga kemaluannya daripada zina), seperti dalam hadith:

Daripada Sahl bin Sa’ad dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa yang memberi jaminan kepadaku apa yang ada di antara kedua rahangnya dan apa yang ada di antara kedua kakinya maka aku menjamin untuknya Syurga.”  (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Orang yang selamat daripada Neraka, mesti berfikir sebelum berkata-kata, adakah ia disukai Allah atau tidak, perhatikan hadith ini:

Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda. “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu kata-kata yang diredhai Allah tanpa dia fikirkan padanya, maka Allah mengangkatnya beberapa darjat. Dan sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa memikirkan sebelumnya, maka ia menjerumuskannya ke dalam Neraka Jahannam.” (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Rasa diri kurang bijak untuk memikir baik-buruk sesuatu kata-kata? Maka, diam itu lebih baik, seperti saranan hadith:

Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Zaman media sosial dan viral sekarang ini, peganglah hadith-hadith ini sentiasa. Sebelum share, sebelum like, sebelum comment, fikirkan dahulu adakah ia membuatkan orang lain tidak selamat dengannya?