Boikot Hiburan Diperkenal Barat! Ada Cara Lain untuk Berseronok


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Umat Islam seluruh dunia menunjukkan kebangkitan hasil kekejaman Regim Zionis ke atas bumi Gaza dengan berpakat untuk memboikot produk-produk yang dikenalpasti menyumbang kepada Regim Zionis. Memboikot produk kegunaan harian dilihat mudah untuk dilakukan. Tetapi bagaimana pula jika diseru untuk memboikot hiburan yang diperkenal oleh dunia barat?

Hedonisme: Hidup Ingin Sentiasa Terhibur

Hedonisme menurut Kamus Dewan Edisi Tiga, ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Atau mudahnya, kehidupan yang ingin sentiasa terhibur. Jika kita perhatikan kehidupan seharian masyarakat dunia, atau lebih mudah lagi masyarakat kita..rakyat Malaysia, tidak dapat kita nafikan bahawa hedonisme telah meresap di dalam jiwa kebanyakan daripada kita.

Naluri semula jadi manusia, ialah inginkan suatu kesenangan, kemudahan, keselesaan, kecantikan dan pelbagai lagi perkara yang baik-baik sahaja. Namun sebenarnya, segala yang baik ini tidak semestinya memberi kebaikan kepada kita. Hidup yang sentiasa senang dan baik boleh menyebabkan seseorang itu lemah apabila tiba-tiba ada sesuatu kesukaran menimpanya. Sebaliknya, seorang yang selalu menghadapi kesukaran dalam kehidupan serta tidak selalu mengharapkan kesenangan, kebiasaannya akan kuat menghadapi pelbagai kesukaran. Ini merupakan satu alasan untuk kita menjadikan hidup kita tidak sentiasa ingin dihiburkan.

Namun, dunia barat sama ada dengan sengaja atau tidak, telah berjaya menjadikan hidup kebanyakan masyarakat dunia untuk hidup dalam keadaan sentiasa terhibur.

Tanda-tanda Hedonisme Meresap Dalam Masyarakat

Jika kita perhatikan kehidupan seharian kita, sebenarnya banyak tanda-tanda hedonisme telah meresap ke dalam masyarakat. Untuk bangun tidur sahaja, ramai yang jadikan macam-macam lagu dalam handset sebagai alarm yang membangunkan mereka daripada tidur. Kemudian, ketika dalam bilik air, ramai yang menyanyi-nyanyi sumbang ketika mandi. Masuk saja dalam kereta untuk pergi ke tempat kerja, radio akan dihidupkan, atau CD lagu kegemaran akan dipasang. Sampai saja di pejabat, komputer dihidupkan dan perisian winamp dimainkan untuk mendengar lagu-lagu yang banyak tersimpan. Pulang ke rumah setelah penat berkerja, remote control TV akan dicapai dahulu, malah ada yang hanya akan offkan TV apabila ingin melelapkan mata pada malamnya.

Itu di dalam kehidupan seharian. Bagaimana pula dalam dunia penyiaran? Berapa banyak program hiburan berbanding program ilmu? Cuba pula kira saja, berapa banyak malam anugerah yang berkaitan dengan hiburan di dalam negara kita sepanjang setahun? ASTRO, pihak pemonopoli TV langganan berbayar negara pula berapa kali mereka ulang tayang program konsert-konsert Akademi Fantasia, Raja Lawak dan Sehati Berdansa? Berapa banyak pula filem-filem baru disajikan dipanggung-panggung wayang setiap bulan?

Semua ini menunjukkan betapa budaya hedonisme telah meresap ke dalam masyarakat kita.

Hedonisme Melemahkan Umat

Umat Islam yang hatinya sentiasa terpaut kepada keseronokan, sebenarnya telah menjauh daripada seruan agar sentiasa mengingat Tuhannya (Zikrulloh) setiap masa. Apabila umat ini jauh daripada Tuhannya, maka jauhlah ingatan Tuhannya kepada mereka. Natijahnya, umat ini akan menjadi umat yang lemah, sedangkan musuh yang nyata iaitu Syaiton tidak pernah jauh untuk melekakan mereka. Maksud ayat 36 dan 37, Suroh Az-Zukhruf;

[36] Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

[37] Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Masyarakat yang sentiasa hidup dengan berhibur sebenarnya telah banyak mensia-siakan nikmat masa lapang yang dianugerahkan kepadanya. Peruntukan masa untuk mendalami ilmu sama ada ilmu Islam mahupun ilmu dalam bidang pekerjaan mereka hampir tiada. Mendalami ilmu hanyalah ketika zaman study, dari peringkat sekolah rendah, hinggalah universiti. Apabila masuk ke zaman kerjaya, tiada lagi perkembangan ilmu yang mereka lakukan. Kebanyakan masa kosong akan mereka isi dengan berhibur. Hal ini telah mencampakkan umat Islam kepada kemunduran berbanding umat Islam awal dahulu yang mana perkembangan ilmunya sangat pesat berlaku.

Hiburan yang diperkenal barat telah sedikit-sebanyak mengubah pandangan masyarakat terhadap perkara-perkara keseronokan yang dituntut di dalam Islam seperti keseronokan berziarah antara sahabat, bergurau-senda antara suami isteri dan keseronokan berlumba-lumba meningkatkan amal ibadah. Masyarakat lebih seronok menonton wayang pada hujung minggu, berbanding menziarah jiran tetangga, sanak-saudara dan rakan-taulan. Bila di rumah, mereka lebih suka menonton TV hingga lewat malam, berbanding bergurau-senda antara suami isteri.

Ada Cara Lain untuk Berseronok

Berseronok bukanlah satu larangan di dalam Islam. Ia merupakan keinginan semulajadi manusia. Untuk itu, penting untuk kita mengubah semula hidup kita, mengubah cara kita berseronok agar ia melazimi tuntutan syarak dan jauh daripada hiburan-hiburan yang melekakan serta tiada nilai ibadah di dalamnya. Berikut disenaraikan cara berseronok yang kita boleh didikkan di dalam jiwa kita, bahawa cara-cara sebegini sudah cukup menghiburkan.

  1. Bergurau-senda antara suami isteri: Kreatiflah, pelbagaikan cara bergurau-senda. Cuba sesekali melakukan kejutan dengan mendeklamasikan puisi puji-pujian dan luahan cinta kepada pasangan.
  2. Melayan kerenah anak kecil: Anak yang dianugerahkan dilahirkan comel, cukup menggembirakan. Layanlah kerenahnya dengan perasaan seronok, bukannya merungut tertekan. Wujudkan suasana ilmu bersama anak-anak yang sedang berkembang mindanya yang sentiasa saja banyak soalan ingin ditanyakan.
  3. Melagukan bacaan Al-Quran: pelbagai tarranum yang ada, cubalah dalami dan praktikkan. Wujudkan keseronokan membaca Al-Quran dengan berlagu, namun pastikan ia tidak menyalahi tajwidnya.
  4. Wujudkan rasa cinta kepada ilmu: Dengan rasa cinta kepada ilmu, masa terluang akan sentiasa cuba kita isi dengan menelaah ilmu. Kita akan rasa seronok dengan ilmu yang kita perolehi dan rasa kurangnya ilmu yang semakin kita rasa apabila makin mendalaminya.
  5. Wujudkan suasana ilmu di rumah: Pada waktu kebisaannya menonton TV, cuba ubah dengan melakukan diskusi ilmu. Adakan perbincangan, penyampaian kepada khalayak, kuiz, berlumba-lumba mendapatkan penyelesaian suatu kemusykilan, menghafaz bersama dan sebagainya.
  6. Ikuti kuliah pengajian Islam secara berterusan.
  7. Amal aktiviti riadah, sukan dan rekreasi seperti berkelah, mendaki gunung dan melancong.
  8. Memenuhi undangan kenduri-kendara.
  9. Menziarahi jiran-tetangga, sanak-saudara dan rakan-taulan.
  10. Melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan NGO.
  11. Sila tambah sendiri…….. (^_^)

Banyak lagi perkara boleh saudara-saudari tambah dalam senarai ini.

Sebagai penutupnya, sama-sama kita renungkan maksud ayat 6 dan 7 Suroh Luqman;

[6] Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

[7] Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.

Itu adalah peringatan oleh Allah agar kita tidak membazirkan harta kita kepada perkara-perkara hiburan. Berhentilah mengikut cara hidup yang diperkenalkan barat yang sebenarnya ialah orang-orang yang memusuhi orang Islam, iaitu Yahudi dan Nasrani.

Sabda Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم bermaksud:

“Kamu telah mengikuti sunnah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu ialah orang Yahudi dan orang Nasrani?” Baginda bersabda: “Kalau bukan mereka, siapa lagi?”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika benar saudara-saudari kasihankan Palestin dan bencikan kekejaman Yahudi di bumi Gaza. Tidakkah tindakan boikot hiburan yang diperkenal barat ialah satu kewajipan? Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada kita semua. Salam maaf dan terima kasih.

Pencabulan Gaza, apa respon terbaik kita?


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Hati kecil umat Islam seluruh dunia direntap sekali lagi apabila Regim Zionis melakukan pencabulan secara terang-terangan terhadap bumi Palestin sejak 26 Disember 2008. Maka pelbagai respon kita dapat lihat di serata dunia
yang kebanyakannya mengecam pencabulan ini. Namun, adakah kecaman, demontrasi, boikot dan sebagainya itu mempunyai kesan yang sangat diharapkan oleh kita? Justeru mari kita menilai semula apakah respon yang sepatutnya kita lakukan.

Bentuk-bentuk Reaksi

Dalam apa jua permasalahan, sama ada kecil atau besar, biasanya manusia akan bertindak dalam empat bentuk iaitu:

  1. Meluahkan perasaan terhadap masalah.
  2. Mengelak masalah.
  3. Memperbetulkan masalah.
  4. Memperbetulkan punca masalah.

Dan dalam isu pencabulan Regim Zionis terhadap Gaza, apa yang kita lihat ialah bentuk reaksi yang pertama merupakan bentuk reaksi yang banyak dilakukan. Mari kita lihat satu persatu bentuk reaksi ini dan bagaimana kita boleh kaitkan dengan isu ini.

Meluahkan Perasaan Terhadap Masalah

Ini adalah bentuk respon yang biasa akan dilakukan oleh sesiapa sahaja. Perasaan kita mudah terluah dan terzahir untuk dilihat apabila menghadapi apa-apa situasi. Dalam isu pencabulan ini, reaksi seperti kenyataan kecaman oleh pemimpin-pemimpin serta pelapor-pelapor berita, boikot dan demontrasi besar-besaran oleh segenap lapisan masyarakat merupakan reaksi yang paling mudah untuk dilakukan. Daripadanya kita boleh menilai bahawa perasaan cintakan Islam itu ada di dalam diri kita. Teruskanlah bentuk reaksi ini dan perkuatkanlah cinta kita kepada Islam dengannya.

Mengelak Masalah

Biasa juga manusia akan mengelak daripada masalah yang berlaku. Lari daripada masalah boleh dilihat dalam dua bentuk iaitu menghalang diri daripada terlibat dalam masalah dan menghalang diri daripada menyumbang kepada berlakunya masalah. Contohnya, masalah kesesakan jalanraya..ada yang tidak mahu terlibat dalam masalah lalu mengelak menggunakan jalanraya seperti menggunakan pengangkutan awam, tidak menggunakan jalanraya pada waktu puncak dan sebagainya.

Dalam isu yang kita bincangkan pula, mengelak daripada terlibat ialah keluar daripada bumi Palestin bagi rakyatnya. Namun, kebanyakan mereka tidak berbuat demikian, malah mempertahankan tanahairnya daripada dicabuli. Bagi mereka yang sememangnya tidak terlibat, iaitu negara-negara lain termasuk negara kita Malaysia, tindakan mengelak ialah dengan tidak datang ke sana menghantar pasukan tentera pembantu dan pasukan perubatan serta bertindak meminta rakyat pulang ke negara masing-masing. Manakala boikot pula merupakan tindakan menghalang diri daripada menyumbang berlakunya masalah.

Memperbetulkan Masalah

Memperbetulkan masalah ialah satu tindakan yang ramai melihatnya sebagai tindakan yang sepatutnya. Contohnya masalah bumbung bocor. Tindakan pembetulan ialah dengan menampal tempat yang bocor. Namun, biasa terjadi yang mana masalah ini akan berulang-ulang lagi kerana tampalan telah bocor semula atau ada tempat lain yang bocor.

Bagi isu yang kita bincangkan pula, tindakan memperbetulkan yang kita dapat bayangkan sepatutnya dibuat ialah menguatkuasakan gencatan senjata, menyediakan pelan damai, menyediakan sempadan negara dan sebagainya. Tindakan ini boleh dilakukan, namun kita sedia maklum, isu keganasan Regim Zionis sentiasa terus berlaku selepas ia reda buat beberapa ketika.

Memperbetulkan punca masalah

Memperbetulkan punca masalah memerlukan daya pemikiran yang tinggi. Seperti contoh kebocoran bumbung yang disebutkan sebelum ini, apakah yang kita terfikir berkenaan memperbetulkan punca masalah? Mungkin bumbung yang dipasang telah lama dan perlu diganti, atau mungkin kualiti bumbung yang dipasang itu tidak baik dan perlu diganti dengan yang lebih berkualiti atau mungkin cara pemasangannya menyebabkan kebocoran mudah berlaku.

Bagi isu pencabulan dunia Palestin pula, ramai yang tak dapat melihat punca masalahnya termasuk para pemimpin negara. Diringkaskan di sini, punca sebenar masalah ini ialah kekuatan Yahudi dan Nasrani berbanding umat Islam. Jika kita lihat di dalam Al-Quran, bagaimana sifat-sifatnya kaum Yahudi, Nasrani dan umat Islam itu.

Yahudi dan Nasrani sekarang ialah Yahudi dan Nasrani Realiti

Dalam Al-Quran disebutkan yang maksudnya;

“Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. ”

(Maksud ayat 73, Surah Al-Anfaal)

Umum mengetahui bahawa Israel dan Amerika adalah sekutu yang kuat. Mengikut sejarahnya, sokongan Amerika terhadap pencerobohan Israel terhadap Palestin telah bermula secara rasmi sejak tahun 1917 yang dinyatakan sendiri oleh Presiden Amerika pada ketika itu iaitu Presiden Kennedy. Sejak itu, segala aktiviti pencerobohan Israel telah mendapat pembiayaan, sokongan dan keizinan oleh Amerika.

Ini adalah salah satu sifat kaum Yahudi dan Nasrani yang terus ada di dalam kehidupan mereka. Apa yang diceritakan di dalam A-Quran berkenaan mereka, adalah sama sejak zaman keingkaran mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  sehinggalah kini. Mereka terus saling tolong-menolong sesama mereka di dalam memusuhi Umat Islam.

Umat Islam sekarang ialah Umat Islam Ilusi

Berlainan pula dengan umat Islam, umat Islam sekarang ini ialah umat Islam yang dinilaikan sebagai ilusi sahaja jika ingin dibandingkan dengan umat Islam pada zaman awal kemunculannya. Di sebutkan di dalam Al-Quran yang maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

(Maksud ayat 104, Surah Al-Imran)

Itu adalah salah satu sifat umat Islam yang disebutkan di dalam Al-Quran selain banyak lagi sifat yang lain. Satu sifat ini sahaja pun, kita telah nampak betapa umat Islam hari ini hanyalah khayalan kepada sifat umat Islam yang sepatutnya ada.

Realiti vs Ilusi

Maka, andai kita bandingkan yang realiti dan ilusi, siapakah yang menang? Contohnya ada satu tokoh pejuang yang gagah yang sangat dingati telah meninggal dunia, lalu dibinakan satu patung peringatan yang besar ditempatkan di pusat bandar. Pada satu hari, hinggap seekor burung pipit dihidungnya. Sebelum terbang ke tempat lain, si kecil ini telah melepaskan najisnya di hidung si pejuang gagah ini. Maka, siapa yang menang? Si kecil ini atau si pejuang gagah? Jawabnya ialah si burung pipit yang kecil itu kerana wujudnya ialah secara realiti, manakala si tokoh pejuang gagah itu pula hanyalah khayalan atau ilusi. Dia tak mampu berbuat apa-apa walaupun terhadap si burung pipit yang kecil itu.

Begitu jugalah kita, umat Islam yang sekarang ini hanyalah umat khayalan kepada umat Islam terdahulu, sedangkan musuh Islam terutamanya Yahudi adalah umat yang sifatnya adalah realiti. Jadi, mampukah kita mengalahkan mereka dengan keadaan kita sekarang ini?

Kesimpulan respon terbaik terhadap pencabulan Gaza

Setelah membaca artikel panjang ini, dapatlah kita lihat bahawa respon yang terbaik terhadap isu pencabulan bumi Palestin ini adalah kita memperbetulkan puncanya, iaitu dengan menjadikan umat Islam kini sebagai umat Islam yang realiti, di samping kita boleh cuba mengubah kaum Yahudi dan Nasrani kepada kaum yang ilusi.

Usaha ini diakui tidak dapat dilaksanakan secepat dan sepantas bentuk respon meluahkan perasaan dan memperbetulkan masalah, seperti pantasnya boikot dan kecaman dapat dibuat. Ia memerlukan jangka waktu yang panjang dan berterusan.

Jadi, sama-samalah kita fikirkan, apakah peranan kita untuk memperbetulkan punca masalah ini? Sebagai panduan, disenaraikan sedikit apakah yang sepatutnya kita buat pada waktu ini dan perlu diteruskan dari generasi ke generasi seterusnya.

Contoh cara memperbetulkan Umat Islam yang hanya ‘ilusi’

  1. Mendidik anak-anak kecil dan masyarakat agar kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar.
  2. Mendidik anak-anak kecil mengenali siapa itu Yahudi dan Nasrani.
  3. Mendedahkan kepada semua umat Islam berkenaan perangkap-perangkap tersembunyi Yahudi dan Nasrani di dalam kehidupan seharian kita.
  4. Berhati-hati terhadap perangkap-perangkap Yahudi dan Nasrani dan cuba mengelakkannya.

Hiburan: Perangkap yang Sangat Bahaya

Sebagai penutupnya, saya ingin membawa para pembaca untuk menilai hiburan yang sangat berleluasa sekarang ini, adakah ia merupakan satu perangkap yang sangat bahaya yang diperkenalkan oleh musuh Islam.

Umat Islam yang sebenar, hatinya sentiasa zikrulloh, iaitu mengingat Alloh setiap masa setiap ketika. Jadi, patutlah kiranya saya nilaikan bahawa hiburan-hiburan yang banyak di bawa dari barat ialah satu bentuk perangkap yang cuba membawa Umat Islam agar tidak mengingat Alloh sentiasa. Apabila kita lalai daripada mengingat Alloh, maka mudahlah mereka dan para syaiton daripada golongan jin dan manusia untuk terus melalaikan kita dan menjadikan kita sebagai umat yang lemah.

Hiburan sudah menjadi sebagai dadah kepada dunia. Di mana sahaja, manusia akan asyik dengan hiburan. Dan andai ianya cuba dipisahkan daripa manusia, ia merupakan suatu yang sangat berat bagi mereka. Jadi, usaha untuk mengikis perasaan cinta kepada hiburan-hiburan yang mengasyikkan sekarang ini memerlukan suatu usaha yang sangat gigih dan kuat, seperti bagaimana kuatnya usaha perlu dilakukan untuk memisahkan penagih dadah dengan najis dadah itu.

Sama-samalah kita berubah, kembali kepada Islam yang tulen. Semoga Yahudi tidak mampu lagi mencabuli Palestin, semoga bantuan Alloh kembali kepada kita apabila kita kembali kepada Islam, semoga kita mendapat redha Alloh di dunia, dan di akhirat.

Sekian, semoga perkongsian kali ini memberi manfaat kepada kita semua. Salam maaf dan terima kasih.

p/s – artikel ini adalah dikembangkan daripada perkongsian oleh Ustaz Hasrizal Jamil yang boleh diikuti di sini: http://saifulislam.com/?p=470