See the truth in your life

Dear friends, see the truth in your life that is often questioned by your heart. Get to know your religion through its authentic book, not by its adherents. Know Islam through its book (the Qur’an and authentic hadith), not to see the antics of its adherents. Please feel free to search ant watch his lecture in Youtube. Just search “Zakir Naik” in Youtube or click here.

Sebatan bagi pesalah zina, demo oleh Ustaz Johari Abdul Wahab

Video dirakam dalam satu kuliah Zohor oleh Ustaz Johari Abdul Wahab.

Kuliah membincangkan hadith berkenaan hukum sebatan kepada penzina. Hukum ini tidak sukar dilaksana, ianya bertujuan menakutkan khalayak agar menjauhi zina, menghukum untuk mendidik, bukan bertujuan menyiksa, tidak bertujuan memalukan, serta mempunyai tatacara yang menjaga hak pesalah zina itu. Pelajarilah. Ternyata, Islam itu indah, Islam itu mudah, Islam itu adil, Islam itu aman.

Rakaman penuh kuliah dalam bentuk audio, sila klik untuk download: http://www.mediafire.com/file/114f10uqvz3sszf/ustaz%20johari%20-%20hukum%20sebatan%20bg%20penzina%20-%203.1.2011.mp3

Kenali Perkara Merosakkan Akidah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Baru-baru ini dalam laman komuniti al-fikrah.net, satu topik berkenaan akidah telah dibincangkan iaitu topik bertajuk “Kerosakan akidah tak disedari dan terus ada dalam masyarakat”. Daripada perbincangan ini, disenaraikan antara ciri-ciri kerosakan akidah yang biasa wujud dalam masyarakat kita iaitu:

  • Melakukan amalan yang termasuk menyembah/mengabdikan diri/menghambakan diri kepada selain Allah.
  • Menafikan sifat tersendiri bagi Allah.
  • Mengangkat sifat mahkluk menyamai sifat tersendiri bagi Allah.
  • Menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk.

Selain itu, terdapat perkara-perkara lain yang juga merosakkan akidah, namun jarang dilihat wujud dalam masyarakat kita contohnya tidak mentaati syariat Islam dengan berserta memperlekeh hukum-hukumnya atau mempermain-mainkan hukum-hukumnya, menafikan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah pesuruh Allah dan diutus sebagai nabi terakhir serta beberapa ciri lain.

Untuk permulaan ini, adalah lebih baik saya berbicara mengenai apa yang ada dalam masyarakat kita. Di kesempatan lain, insyaAllah kita akan sentuh pula ciri-ciri yang lain itu.

Melakukan amalan yang termasuk menyembah/mengabdikan diri/menghambakan diri kepada selain Allah

Tentu ramai yang faham apa yang dimaksudkan menyembah selain Allah. Tetapi, ramai juga yang tak tahu, sebenarnya ada perbuatan yang menghampiri kepada menyembah iaitu apabila kita menyeru sesuatu mahkluk kerana inginkan sesuatu daripadanya atau takut kepadanya. Contoh yang masih ada dalam masyarakat kita ialah: bila masuk dalam hutan, disebut “Tok, cucu tumpang lalu.”  Selain itu perbuatan memuja pantai apabila ingin menurunkan perahu baru, memuja keris dan sebagainya boleh mengundang perbuatan “menyeru” yang tidak sepatutnya.

Menafikan sifat tersendiri bagi Allah

Perbuatan menafikan sifat tersendiri bagi Allah ialah menidakkan sifat agong bagi Allah yang tiada pada mahkluk. Contohnya: Pelaku maksiat mengatakan “Tak guna aku bertaubat, dosa banyak sangat, biarlah aku terus macam ni.” Orang yang memandang perlakuan pelacur mengatakan “Jangan pedulikan ‘anak-anak ayam’ tu, mereka dah confirm ahli neraka.” Dua contoh ini telah menidakkan sifat maha pengampunnya Allah.

Mengangkat sifat mahkluk menyamai sifat tersendiri bagi Allah

Perbuatan ini adalah antara yang paling banyak terdapat di dalam masyarakat kita. Contohnya ialah:

  • Nak kerja kerajaan kerana pendapatan terjamin. (Jaminan rezki hanya di tangan Allah)
  • Saya sembuh penyakit kerana ubat ini. (Sifat penyembuh adalah sifat Allah, sepatutnya dikatakan “Allah telah sembuhkan penyakit saya melalui ubat ini.”)
  • Nak murah rezki, kena gantung ayat seribu dinar. (Ayat itu tidak memberi sebarang rezki, rezki datang dari Allah jua)
  • Isteri dia lebih tinggi daripada dia, murahlah rezkinya. (Ketinggian isterinya tak mempengaruhi rezki yang telah ditetapkan Allah sejak mereka di dalam rahim lagi.)

Menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk

Perbuatan ini juga ada dilakukan di dalam masyarakat kita. Contoh perbuatan menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk ialah:

  • Membuat maksiat di luar pengetahuan manusia, dan menganggap Allah tidak nampak perbuatannya. (Sedangkan Allah maha melihat dan maha mendengar)

Banyak lagi sebenarnya perkara yang kita perlu perhatikan di dalam diri kita, sama ada kita mensyirikkan Allah ataupun tidak. Jadi, janganlah jemu untuk menuntut ilmu lebih-lebih lagi ilmu untuk mengenali akidah tauhid dan mengenali apa itu syirik.

p/s – Artikel ini masih dalam versi draf awal, namun dipaparkan juga untuk peringatan kerana kepentingan menjaga akidah. Ia akan dikemaskini pada masa akan datang. Moga Allah memberi kelapangan kepada saya untuk mengemaskini. Sila hubungi saya untuk sebarang persoalan. Terima kasih.

Awak Setuju Tak Dengan 15 Soalan Ini?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Mari kita bermuhasabah diri..

  1. Awak setuju tak? Bahawa awak tak boleh lari daripada bertujuan hidup di dunia sementara ni adalah untuk mendapat redha Tuhan yang menjadikan awak, iaitu Alloh SWT. Dengan redhaNya, Dia akan mengasihi awak, bila Dia mengasihi awak, insyaAlloh di hayat kekal abadi nanti, Dia akan limpahkan kasih sayangNya kepada awak di syurga.
  2. Awak setuju tak? Bahawa untuk mendapat redha Alloh SWT, awak mestilah redha bahawa Alloh adalah Tuhan seluruh alam ini, awak mestilah redha bahawa Islam adalah cara hidup terbaik untuk awak dan awak mestilah redha bahawa Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم adalah utusan Alloh untuk memperkenalkan Alloh dan Islam kepada awak dan lainnya. Redha, bukanlah semata-mata mengakui, tetapi juga adalah yakin tanpa sangsi dan was-was akan ketiga-tiga perkara ini.
  3. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Alloh adalah Tuhan awak, awak mestilah mentaatiNya, patuh kepada suruhanNya, tunduk kepada laranganNya, memupuk perasaan cinta kepadaNya serta berkeinginan untuk mendapat kasih sayangNya.
  4. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Islam adalah cara hidup terbaik untuk awak, awak mestilah mengamalkan cara hidup yang ditunjukkan dalam Islam bukan hanya mengikut orang, bukan hanya mengamalkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, tetapi berusaha mengamalkan seluruhnya dengan perasaan penuh rela dan ikhlas mengamalkannya.
  5. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم adalah utusan Alloh bagi memperkenalkan Alloh dan Islam kepada awak dan lainnya, awak mestilah menjadikan Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم sebagai ikutan untuk awak dalam setiap amalan seharian kehidupan awak.
  6. Awak setuju tak? Bahawa untuk menuju kepada tujuan meredhai ketiga-tiga keredhaan ini, awak mestilah mempunyai ilmu, yang sebenarnya awak tak dapat kesemuanya dalam waktu awak belajar di sekolah sahaja, tetapi mestilah diteruskan usaha mendapatkan ilmunya sepanjang hayat awak. Dan ilmu itu tidaklah boleh lari daripada panduan utama, iaitu Al-Quran dan hadith yang shohih datangnya daripada Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم serta panduan daripada para ulama yang berpegang kepada dua panduan utama ini.

  7. Awak setuju tak? Bahawa awak sekarang ini masih belum berada dalam tujuan utama hidup di dunia, iaitu untuk mendapat redha Alloh SWT. Banyak perkara yang melekakan daripada tujuan itu tetapi awak terus melakukannya.
  8. Awak setuju tak? Bahawa awak perlu berubah, kembali kepada tujuan utama itu, meninggalkan banyak perkara yang melekakan daripada tujuan itu.
  9. Awak setuju tak? Bahawa awak perlu berubah cepat, bukan menunggu nanti bila dah tua, kerana awak tak dapat kepastian bahawa hidup awak akan berpanjangan hingga tua, sedangkan banyak sebab yang membolehkan nikmat usia awak ditarik balik pada usia awak sekarang ini.
  10. Awak setuju tak? Bahawa untuk berubah itu, bukanlah perkara mudah tanpa bimbingan yang kuat kepada diri awak yang lemah yang mudah saja melayani banyak perkara yang melekakan awak daripada tujuan hidup awak.
  11. Awak setuju tak? Bahawa untuk mendirikan rumahtangga, amat penting untuk awak mempunyai pasangan yang cenderung untuk memberikan bimbingan yang kuat kepada diri awak, dan awak juga perlu cenderung bekerjasama dengannya saling sokong-menyokong, ingat-mengingati agar sentiasa membawa keluarga kepada tujuan hidup di dunia ini.
  12. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak banyak menjawab “setuju” dengan soalan-soalan ini, kaki awak sebenarnya telah berada satu tapak di atas landasan tujuan sebenar hidup awak di dunia ini.
  13. Awak setuju tak? Bahawa apabila kaki awak telah berada satu tapak di atas landasan tujuan sebenar hidup awak ini, sepatutnya awak tidak mengangkatnya kembali meninggalkan landasan ini, tetapi sebaliknya mengangkat sebelah lagi kaki awak, untuk terus melangkah menyelusuri landasan ini.
  14. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak telah melangkah menyelusuri landasan ini, awak perlu terus berada di atas landasan ini, jangan berundur meninggalkan landasan ini.
  15. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak telah tetap berada di atas landasan ini, awak tak sepatutnya berseorangan menyelusurinya, tetapi awak perlu membawa semua ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan seluruh masyarakat turut menyertai awak menyelusuri landasan ini.

Maka, sebar-sebarkanlah 15 pertanyaan penting ini kepada semua yang anda sayangi. Saya persilakan untuk awak translate 15 pertanyaan ini kepada bahasa-bahasa lain yang awak tahu dan sebarkannya ke seluruh pelusuk alam. Semoga kita mendapat redha Alloh SWT.

Islam yang kita kenali


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kita imbas semula ingatan kita…sejak kita dilahirkan hinggalah hari ini, apakah Islam yang kita kenali? Adakah kita benar-benar kenal Islam yang kita anuti? Sama-sama kita bongkar buah fikiran kita berkenaan Islam yang kita kenali.

Cuba saudara-saudari renungkan semula..ketika usia kita kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa, kita diceritakan berkenaan Islam, Allah, Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم , kita diajarkan Solat, diajarkan puasa, diajarkan membaca Al-Quran, diajarkan menutup aurat, diceritakan perihal Tuhan, Malaikat, Nabi-nabi, Syurga-Neraka, kiamat dan macam-macam lagi berkaitan Islam dan Iman.

Dan masa pun berlalu, daripada usia kanak-kanak, kita telah meningkat remaja..kemudian menjadi seorang dewasa seperti sekarang ini. Sepanjang kita mula belajar berkenaan Islam, sehinggalah hari ini, bagaimana sebenarnya kita mengenali Islam? Adakah tahap mengenali Islam pada usia kita hari ini masih sama dengan tahapnya pada usia kita 12 tahun?

Jika datang seorang Ustaz membawa ajaran ganjil yang diceritakan itulah Islam yang sebenar, adakah pengetahuan kita mampu menilainya sama ada ia adalah sesat atau benar? Andai ada anak kecil bertanya kepada kita perihal Tuhan, mampukah kita memberi jawapannya? Sekiranya ada non-muslim yang ingin tahu tentang Islam, mampukah kita bercerita hingga beliau tertarik untuk menyertai Islam? Kalau ada kemusykilan dalam sesuatu amalan, mampukah kita mendapatkan jawapan bagi kemusykilan itu?

Saya bukan berniat untuk mengajarkan Islam satu persatu sedari awal itu, tetapi sebenarnya adalah sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan saudara saudari yang membaca agar menilai semula tahap kita mengenali Islam yang kita dukung setiap hari ini.

Maka sama-samalah kita pupuk rasa bahawa Islam yang kita kenali sebenarnya masih belum cukup dan mestilah diusahakan untuk mengenalinya dengan lebih lanjut serta mengingati semula apa yang telah kita pelajari sebelum ini.

Mempelajari ilmu berkenaan Islam sepatutnya tidak terhenti di zaman persekolahan sahaja. Ia sepatutnya menjadi rutin kita sehingga akhir hayat, kerana mengenali Islam adalah penting di mana tanpa mengenali Islam yang kita pegang dan amalkan, amalan itu boleh menjadi sia-sia. Sia-sia andai pada waktu itu, hati sedang mensyirikkan Alloh tanpa disedari. Sia-sia juga andai pada masa yang sama, amalan tidak menepati apa yang sebenarnya diajarkan di dalam Islam.

Cubalah saudara-saudari peruntukkan sebahagian masa yang dianugerahkan kepada kita untuk kita mendalami Islam. Sibuk berkerja sepatutnya bukan menjadi alasan kita untuk tidak memberikan sebahagian masa lapang kita untuk mendalami Islam. Waktu yang kita gunakan untuk berhibur dan berlibur selepas waktu berkerja serta pada cuti umum, saya kira cukup banyak.

Cuba saudara-saudari kira, berapa lama masa telah dihabiskan untuk berbual-bual isu semasa serta bergosip bersama rakan dan ahli keluarga, menonton rancangan realiti, drama dan wayang serta masa yang telah dihabiskan untuk mendengar muzik dan membaca suratkhabar serta majalah kegemaran.

Kemudian cuba saudara-saudari kira pula berapa lama masa telah dihabiskan untuk mendengar siri kuliah agama di masjid-masjid dan surau-surau berdekatan, membaca buku-buku untuk mengenali dan mendalami Islam, mengikuti perbincangan mengenai isu-isu semasa Islam, berbincang berkenaan kemusykilan agama dan bermuhasabah diri mengingat semula dosa-dosa lama serta kekurangan-kekurangan amalan mendekatkan diri kepada Alloh.

Jadi adakah benar kita tidak punyai masa? Sama-samalah kita nilaikan semula. Maksud ayat 69, Suroh Al-‘Ankabuut:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Sekian, jumpa lagi di lain waktu.

Islam itu indah


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

“Islam itu indah? Apa sebenarnya yang kamu hendak ceritakan ni? Dalam Islam, kami terkongkong..tak boleh itu tak boleh ini, kena buat itu, kena buat ini, apa yang indahnya dengan Islam? Sebab itu lah kami langgar saja..bila kami tak buat apa yang Islam suruh buat, bila kami buat apa yang Islam larang, waktu itu barulah kami rasa indahnya hidup kami.” komen sekumpulan umat apabila diminta komen berkenaan indahnya Islam.

Ya Islam itu indah. Dalam Islam, penganutnya ditunjukkan panduan hidup yang paling sesuai berbanding dengan cara hidup yang lain. Dengan mengikut panduan ini, hidup menjadi selamat, mudah, tersusun dan adil. Maka dengan itu, hasilnya kami merasakan hidup kami sentiasa indah. Ditambah lagi dengan tenangnya hidup apabila kami sentiasa mengingat Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Kami tahu, setiap apa yang berlaku, setiap apa yang wujud di dunia ini, semuanya dari Dia. Maka, walaupun ada kesusahan dan musibah berlaku, kami tetap mampu tersenyum, kerana banyak nikmat telah kita dapat daripada Dia, setakat susah sedikit, musibah sedikit, ia tidak terbanding dengan nikmat kesenangan yang terlalu banyak. Sangat indah hidup kami dengan Islam.” komen sekumpulan umat yang lain.

Saudara-saudari sekalian, agaknya kenapa dua pandangan berbeza ini berlaku? Apa yang saya nampak ialah, kerana bezanya cara mereka memandang Islam itu. Kumpulan pertama memandang Islam sebagai suatu kongkongan daripada mendapatkan keindahan hidup, manakala kumpulan kedua memandang Islam sebagai suatu cara mendapatkan keindahan hidup. Dan cara memandang keindahan hidup juga berbeza. Kumpulan pertama memandang kebahagiaan hidup dirinya, itulah indahnya hidup. Manakala kumpulan ke dua memandang kebahagian hidup dirinya, serta orang lain, itulah salah satu keindahan dalam hidup.

Selain itu, pandangan-pandangan kepada Islam itu juga tidak dapat lari daripada keadaan hidup umat Islam itu sendiri. Orang memandang Islam dengan melihat cara hidup umatnya. Sedangkan sepatutnya untuk memandang Islam yang sebenar ialah dengan melihat cara hidup yang sepatutnya diamalkan oleh umatnya. Ini kerana hidup umat Islam sekarang ini tidak lagi seperti hidup umat Islam yang sepatutnya, iaitu seperti pada zaman baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم , para sahabat dan beberapa generasi-generasi selapas sahabat. Hidup umat Islam hari ini telah terpengaruh dengan cara hidup yang lain yang mana mereka selesa dan seronok dengan cara itu.

Maka, untuk kita mengindahkan, mencantikkan hidup kita..maka kita perlulah perbetulkan dahulu cara kita memandang Islam itu. Pandanglah Islam sebagai satu cara hidup yang terbaik, yang paling betul dan yang paling sesuai untuk dijadikan cara hidup seharian kita.

Untuk membersihkan pandangan kita terhadap Islam itu, kita perlulah menggilap semula mata hati kita daripada segala kekaburan dan halangan-halangan yang menghalang mata hati kita daripada memandang Islam itu dengan pandangan yang betul.

Untuk menggilap semula mata hati kita, perlulah kita menyemaikan cinta kepada Islam di dalam hati. Untuk kita menyemai cinta kepada Islam, kita perlulah kenali terlebih dahulu apa itu Islam sebenarnya. Apabila cinta kita kepada Islam telah disemai di dalam hati, tanamkanlah pula benih-benih Iman dengan sentiasa mengamalkan apa yang telah kita kenali itu. Apabila telah tertanam benih-benih Iman, iaitu apabila kita telah mengamalkan Islam itu, bajailah takwa pula kepadanya dengan sentasa mengingati Alloh setiap hari.

Mudah-mudahan dengan semua usaha ini, kita dapat mengecapi keindahan Islam itu, kita dapat buahnya hasil daripada semaian, tanaman dan baja kita itu.

InsyaAlloh, saya akan sambung selepas ini, bagaimana sebenarnya cara mengenali Islam, menanam benih-benih Iman dan menabur baja-baja takwa itu. Semoga Alloh panjangkan umur saya untuk menulisnya nanti. Akhir kata buat masa ini, cubalah kita renungkan semula, bagaimana sebenarnya cara kita memandang Islam itu? Berilah jawapan sejujurnya dan nilaikanlah pula betul salahnya jawapan itu.

Cuba ambil salah satu perkara di dalam Islam, kemudian kita nilaikan..bagaimana kita memandangnya. Sebagai contoh, bagaimana kita memandang ibadah Solat? Adakah kita pandangnya sebagai suatu ibadah yang menjadi tiang yang menegakkan hidup kita, lalu kita zahirkan dengan sentiasa cuba menunaikan Solat Fardhu diawal waktu dan menyertai jemaah di surau-surau dan masjid-masjid berdekatan, selain itu kita tambah dengan Solat sunat. Atau adakah kita pandang ibadah Solat itu sebagai suatu ibadah yang tak penting..ibarat alas kaki menjadi tempat pijak di dalam hidup kita, lalu kita zahirkan dengan selalu meninggalkkannya, mengabaikan dengan Solat pada akhir waktu, Solat seperti ayam mematuk padi dan lain-lain lagi.

Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat. Mohon maaf dan sekian, terima kasih.

Bulan Ramadhan boleh buat, kenapa tidak di bulan lain?

Assalamu`alaikum..harap dapat baca, panjang..tapi berbaloi, tak rugi membacanya.

Mari kita soal diri masing-masing.

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba tak tinggal berjemaah Isya’ dan taraweh. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba bangun sebelum Subuh untuk bersahur, masa tu jugak dapat aku bertahajjud dan membaca Al-Quran seperti selalu nabi buat. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba datang berjemaah subuh di Surau/Masjid terdekat. Solat sunat sebelum Subuh pun tak tinggal. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba membaca kitab Al-Quran sebanyaknya, ada je waktu lapang, aku akan buka kitab suci ni. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba peruntukkan sejumlah pendapatan aku untuk sedekah. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba kawal kata-kataku, penglihatanku, pendengaranku, perbuatanku agar tidak melakukan perkara lagho@sia-sia. Aku tak lagi mengumpat, aku tak lagi berbual kosong, gelak ketawa, aku tak lagi mendengar lagu-lagu yang melekakan, aku tak pergi tengok wayang, melepak, ronda-ronda shopping complex tanpa tujuan. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba banyakkan zikir kepada Allah, pagi petang malam, tak henti-henti aku berzikir. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Kenapa? Oh..betapa sebelas bulan yang lain, aku jauh terleka. Ini semua salah kau syaitan. Kau yang menyebabkan aku leka. Bulan Ramadhan, kau terikat. Mudah untuk aku kembali mengingat Alloh.

Eh..kenapa aku salahkan syaitan? Bukan ke aku sendiri bersalah? Mengikut saja kata teman aku tu tanpa menolak. Huhuu..lemahnya diri aku ini.

Sekarang aku sedar, aku insaf. Tapi kuatkah aku untuk kekal beramal sepanjang tahun..bukan pada bulan Ramadhan saja? Kawan-kawan aku semua macam ni, kalau aku berubah..aku jadi macam kera sumbang. Aku akan kehilangan kawan-kawan aku.

Tapi itu bukan alasan untuk aku berkawan rapat dengan syaitan durjana yang melekakan aku dan kawan-kawan aku. Oh..aku tahu jalannya. Kenapa tidak, aku ajak sekali kawan-kawan aku yang lain juga berubah seperti keinginan aku ini.

Lalu soalan-soalan pada diri sendiri ini aku fowardkan untuk tatapan kawan-kawan semua. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi titik tolak untuk kita berubah. Kalau berubah sendiri, aku tak kuat..aku perlukan juga kawan-kawan semua.

Sebelum aku berhenti, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kawan-kawan semua kerana sudi membaca dan sudi turut serta bersama-sama aku untuk berubah. Kita tetap kawan kan? Tapi hubungan kita kali ini lebih bersih..kita sama-sama halau syaitan durjana!