Boikot Hiburan Diperkenal Barat! Ada Cara Lain untuk Berseronok


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Umat Islam seluruh dunia menunjukkan kebangkitan hasil kekejaman Regim Zionis ke atas bumi Gaza dengan berpakat untuk memboikot produk-produk yang dikenalpasti menyumbang kepada Regim Zionis. Memboikot produk kegunaan harian dilihat mudah untuk dilakukan. Tetapi bagaimana pula jika diseru untuk memboikot hiburan yang diperkenal oleh dunia barat?

Hedonisme: Hidup Ingin Sentiasa Terhibur

Hedonisme menurut Kamus Dewan Edisi Tiga, ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Atau mudahnya, kehidupan yang ingin sentiasa terhibur. Jika kita perhatikan kehidupan seharian masyarakat dunia, atau lebih mudah lagi masyarakat kita..rakyat Malaysia, tidak dapat kita nafikan bahawa hedonisme telah meresap di dalam jiwa kebanyakan daripada kita.

Naluri semula jadi manusia, ialah inginkan suatu kesenangan, kemudahan, keselesaan, kecantikan dan pelbagai lagi perkara yang baik-baik sahaja. Namun sebenarnya, segala yang baik ini tidak semestinya memberi kebaikan kepada kita. Hidup yang sentiasa senang dan baik boleh menyebabkan seseorang itu lemah apabila tiba-tiba ada sesuatu kesukaran menimpanya. Sebaliknya, seorang yang selalu menghadapi kesukaran dalam kehidupan serta tidak selalu mengharapkan kesenangan, kebiasaannya akan kuat menghadapi pelbagai kesukaran. Ini merupakan satu alasan untuk kita menjadikan hidup kita tidak sentiasa ingin dihiburkan.

Namun, dunia barat sama ada dengan sengaja atau tidak, telah berjaya menjadikan hidup kebanyakan masyarakat dunia untuk hidup dalam keadaan sentiasa terhibur.

Tanda-tanda Hedonisme Meresap Dalam Masyarakat

Jika kita perhatikan kehidupan seharian kita, sebenarnya banyak tanda-tanda hedonisme telah meresap ke dalam masyarakat. Untuk bangun tidur sahaja, ramai yang jadikan macam-macam lagu dalam handset sebagai alarm yang membangunkan mereka daripada tidur. Kemudian, ketika dalam bilik air, ramai yang menyanyi-nyanyi sumbang ketika mandi. Masuk saja dalam kereta untuk pergi ke tempat kerja, radio akan dihidupkan, atau CD lagu kegemaran akan dipasang. Sampai saja di pejabat, komputer dihidupkan dan perisian winamp dimainkan untuk mendengar lagu-lagu yang banyak tersimpan. Pulang ke rumah setelah penat berkerja, remote control TV akan dicapai dahulu, malah ada yang hanya akan offkan TV apabila ingin melelapkan mata pada malamnya.

Itu di dalam kehidupan seharian. Bagaimana pula dalam dunia penyiaran? Berapa banyak program hiburan berbanding program ilmu? Cuba pula kira saja, berapa banyak malam anugerah yang berkaitan dengan hiburan di dalam negara kita sepanjang setahun? ASTRO, pihak pemonopoli TV langganan berbayar negara pula berapa kali mereka ulang tayang program konsert-konsert Akademi Fantasia, Raja Lawak dan Sehati Berdansa? Berapa banyak pula filem-filem baru disajikan dipanggung-panggung wayang setiap bulan?

Semua ini menunjukkan betapa budaya hedonisme telah meresap ke dalam masyarakat kita.

Hedonisme Melemahkan Umat

Umat Islam yang hatinya sentiasa terpaut kepada keseronokan, sebenarnya telah menjauh daripada seruan agar sentiasa mengingat Tuhannya (Zikrulloh) setiap masa. Apabila umat ini jauh daripada Tuhannya, maka jauhlah ingatan Tuhannya kepada mereka. Natijahnya, umat ini akan menjadi umat yang lemah, sedangkan musuh yang nyata iaitu Syaiton tidak pernah jauh untuk melekakan mereka. Maksud ayat 36 dan 37, Suroh Az-Zukhruf;

[36] Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

[37] Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Masyarakat yang sentiasa hidup dengan berhibur sebenarnya telah banyak mensia-siakan nikmat masa lapang yang dianugerahkan kepadanya. Peruntukan masa untuk mendalami ilmu sama ada ilmu Islam mahupun ilmu dalam bidang pekerjaan mereka hampir tiada. Mendalami ilmu hanyalah ketika zaman study, dari peringkat sekolah rendah, hinggalah universiti. Apabila masuk ke zaman kerjaya, tiada lagi perkembangan ilmu yang mereka lakukan. Kebanyakan masa kosong akan mereka isi dengan berhibur. Hal ini telah mencampakkan umat Islam kepada kemunduran berbanding umat Islam awal dahulu yang mana perkembangan ilmunya sangat pesat berlaku.

Hiburan yang diperkenal barat telah sedikit-sebanyak mengubah pandangan masyarakat terhadap perkara-perkara keseronokan yang dituntut di dalam Islam seperti keseronokan berziarah antara sahabat, bergurau-senda antara suami isteri dan keseronokan berlumba-lumba meningkatkan amal ibadah. Masyarakat lebih seronok menonton wayang pada hujung minggu, berbanding menziarah jiran tetangga, sanak-saudara dan rakan-taulan. Bila di rumah, mereka lebih suka menonton TV hingga lewat malam, berbanding bergurau-senda antara suami isteri.

Ada Cara Lain untuk Berseronok

Berseronok bukanlah satu larangan di dalam Islam. Ia merupakan keinginan semulajadi manusia. Untuk itu, penting untuk kita mengubah semula hidup kita, mengubah cara kita berseronok agar ia melazimi tuntutan syarak dan jauh daripada hiburan-hiburan yang melekakan serta tiada nilai ibadah di dalamnya. Berikut disenaraikan cara berseronok yang kita boleh didikkan di dalam jiwa kita, bahawa cara-cara sebegini sudah cukup menghiburkan.

  1. Bergurau-senda antara suami isteri: Kreatiflah, pelbagaikan cara bergurau-senda. Cuba sesekali melakukan kejutan dengan mendeklamasikan puisi puji-pujian dan luahan cinta kepada pasangan.
  2. Melayan kerenah anak kecil: Anak yang dianugerahkan dilahirkan comel, cukup menggembirakan. Layanlah kerenahnya dengan perasaan seronok, bukannya merungut tertekan. Wujudkan suasana ilmu bersama anak-anak yang sedang berkembang mindanya yang sentiasa saja banyak soalan ingin ditanyakan.
  3. Melagukan bacaan Al-Quran: pelbagai tarranum yang ada, cubalah dalami dan praktikkan. Wujudkan keseronokan membaca Al-Quran dengan berlagu, namun pastikan ia tidak menyalahi tajwidnya.
  4. Wujudkan rasa cinta kepada ilmu: Dengan rasa cinta kepada ilmu, masa terluang akan sentiasa cuba kita isi dengan menelaah ilmu. Kita akan rasa seronok dengan ilmu yang kita perolehi dan rasa kurangnya ilmu yang semakin kita rasa apabila makin mendalaminya.
  5. Wujudkan suasana ilmu di rumah: Pada waktu kebisaannya menonton TV, cuba ubah dengan melakukan diskusi ilmu. Adakan perbincangan, penyampaian kepada khalayak, kuiz, berlumba-lumba mendapatkan penyelesaian suatu kemusykilan, menghafaz bersama dan sebagainya.
  6. Ikuti kuliah pengajian Islam secara berterusan.
  7. Amal aktiviti riadah, sukan dan rekreasi seperti berkelah, mendaki gunung dan melancong.
  8. Memenuhi undangan kenduri-kendara.
  9. Menziarahi jiran-tetangga, sanak-saudara dan rakan-taulan.
  10. Melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan NGO.
  11. Sila tambah sendiri…….. (^_^)

Banyak lagi perkara boleh saudara-saudari tambah dalam senarai ini.

Sebagai penutupnya, sama-sama kita renungkan maksud ayat 6 dan 7 Suroh Luqman;

[6] Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

[7] Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.

Itu adalah peringatan oleh Allah agar kita tidak membazirkan harta kita kepada perkara-perkara hiburan. Berhentilah mengikut cara hidup yang diperkenalkan barat yang sebenarnya ialah orang-orang yang memusuhi orang Islam, iaitu Yahudi dan Nasrani.

Sabda Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم bermaksud:

“Kamu telah mengikuti sunnah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu ialah orang Yahudi dan orang Nasrani?” Baginda bersabda: “Kalau bukan mereka, siapa lagi?”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika benar saudara-saudari kasihankan Palestin dan bencikan kekejaman Yahudi di bumi Gaza. Tidakkah tindakan boikot hiburan yang diperkenal barat ialah satu kewajipan? Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada kita semua. Salam maaf dan terima kasih.