السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد
Saudara/saudari yang dikasihahi sekalian.
Pertama sekali, saya memohon maaf kerana saya menyambung lagi rantaian emel ini kerana ada sesuatu perlu dijelaskan atas kekeliruan yang terjadi. Saya harap, sambungan emel ini berhenti setakat ini.
Saya anjurkan agar saudara/saudari tinggalkan doa yang dikongsikan sebelum ini dan ambillah doa-doa yang tsabit kepada baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم yang boleh dirujuk dalam hadith-hadith berkenaan zikir, ada banyak yang dinyatakan kelebihan zikir itu contohnya, terselamat daripada bahaya, dicukupkan sebagai pelindung dan lain-lain lagi. Amalkanlah dengan yakin bahawa Allah akan melindungi kita.
Zikir-zikir/doa-doa ini boleh dirujuk dalam rujukan masyhur iaitu Kitab Al-Azkar karangan Imam Nawawi atau Kitab Hisnul-Muslim oleh Said bin Ali Al Qathani (Terjemahan Bahasa Malaysia bertajuk Perisai Muslim. Zikir & Doa dari Al-Quran dan Hadis oleh Dr Abdul Basit bin Haji Abdul Rahman )
Antara doa yang saya galakkan untuk diamal setiap pagi dan petang ialah:
بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
Maksud: “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Barangsiapa membacanya sebanyak tiga kali ketika pagi dan petang hari, maka tidak ada sesuatu pun yang membahayakan dirinya. (Hadith Riwayat Abu Daud, At- Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad.)
Berkenaan doa yang tersebar dalam emel sebelum ini memang diakui ianya telah wujud sekian lama dalam umat Islam di Malaysia. Ulama-ulama Malaysia yang lama-lama dahulu memang ada terpengaruh dengan ajaran Syiah. Jika tunjukkan doa ini kepada orang-orang tua, mungkin mereka biasa dengar bahkan mereka juga pernah amal. Namun, tempoh lamanya ia diamal oleh masyarakat bukanlah tiket untuk kita meneruskan amalan itu.
Sebaiknya, bila kita diajarkan suatu amalan, nilaikan semula sama ada ianya mempunyai unsur-unsur berikut atau tidak:
- Tidak mensyirikkan Allah (memuja, menyeru selain Allah, menafikan sifat tersendiri bagi Allah, mengangkat sifat mahkluk lebih tinggi daripada sifat tersendiri bagi Allah, menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk, dan lain-lain)
- Ada petunjuk bahawa ia ada dalam Al-Quran, dianjurkan Nabi صلى الله عليه وسلم , dianjurkan khalifah yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali), diamal para sahabat serta generasi selepas-selepas sahabat.
Dalam doa yang dikongsikan itu, ia mempunyai unsur kesyirikan kerana menyeru lima nama itu bahkan meninggalkan menyeru nama Allah. Ia juga tiada petunjuk daripada Al-Quran, Nabi صلى الله عليه وسلم , Khalifah Arryasidin, mahupun amalan para sahabat serta generasi selepas-selepasnya. Jika ditinjau pula amalan-amalan golongan Syiah, sememangnya mereka banyak mengagung-agungkan lima nama itu. Ustaz yang menganjurkan doa itu hanyalah manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan.
Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. Mohon maaf dan sekian, terima kasih.
Doa Yang Dikongsikan Sebelum Ini:
Isu Masuk Surat Khabar – Utusan Malaysia 14/8/2009
JAIS nafi edardoa pelindung H1N1
SHAH ALAM 13 Ogos – Umat Islam di negeri ini dinasihat supaya tidak terpedaya dan terkeliru dengan risalah doa pelindung diri daripada dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) yang kini tersebar luas.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, risalah yang didakwa disediakan oleh Bahagian Pendakwah Bebas JAIS itu sebenarnya tiada kaitan dengan jabatan itu dan dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam.
Menurutnya, setelah merujuk kepada Jabatan Mufti Selangor, doa tersebut bukanlah doa khusus bagi melindungi H1N1 yang dimaksudkan tetapi merupakan doa yang diamalkan oleh ahli kumpulan Al-Arqam yang sudah diharamkan.
‘‘JAIS tidak bertanggungjawab dan tidak pernah mengarahkan doa ini disebarkan kepada umum dan nama yang tertera dalam edaran itu juga bukan kakitangan pihak berkuasa agama negeri ini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan ekoran penyebaran risalah doa pelindung H1N1 yang diedarkan kepada orang ramai di tempat-tempat awam dan risalah tersebut kononnya disediakan oleh seorang ustaz daripada Bahagian Dakwah Bebas JAIS.
Antara isi kandungan risalah berkenaan ialah menyeru orang ramai membaca satu doa yang sangat masyhur pada zaman dahulu.
Doa tersebut dikatakan ditulis oleh Asy-Shekh Ibnu Ahmad Al-Tamimi Al-Malizi yang merupakan seorang murshid.