Seruan Hijrah Melalui Blog


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Alhamdulillah, sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Alloh atas nikmat-nikmatNya yang tak ternilai. Yang dengan kasih sayangNya, kita diberikan nikmat hidup, nikmat Iman dan Islam, akal, hati, pancaindera..oh terlalu banyak untuk disebut. Cukuplah kita sedar, bahawa diri kita ini sangat fakir tanpa nikmat-nikmat kurniaan Alloh yang banyak itu.

Hari ini, kemudahan dalam hidup adalah salah satu nikmat yang kita kecapi yang patut kita sedari dan syukuri. Pelbagai kemudahan kita nikmati, daripada mudahnya bergerak dengan teknologi pengangkutan, kemudian mudahnya berhubung dengan teknologi komunikasi, hinggalah mudahnya menyampai dan mendapatkan maklumat dengan teknologi maklumat.

Sebagai salah satu cara menzahirkan rasa syukur atas nikmat kemudahan dalam hidup ini, maka ramai yang menggunakan teknologi maklumat untuk menyampai ilmu agama Islam dengan mencipta blog masing-masing. Jadi, saya juga tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan rasa syukur ini dengan mencipta blog juga yang diharapkan dengannya, saya dapat meningkatkan lagi syukur kepada Alloh, dapat menyampaikan seruan dakwah walaupun dengan limitasi ruang masa dan keadaan, serta bagi para pengunjung pula diharapkan dapat suatu faedah berguna untuk kita meraih redha Alloh bagi kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat.