10 hari awal Muharram, masa untuk dedahkan kesesatan Syiah

Bila 1 Muharram tiba, biasanya sana-sini akan diceritakan semula kisah hijrah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat.

Apa kata selain memperingatinya semula, kita ulang memperingati juga bahayanya agama Syiah yang mana setiap bermula dari 1 Muharram mereka mempunyai amalan sesat mencederakan tubuh badannya sendiri hingga kemuncaknya pada 10 Muharram ia dilakukan dalam upacara besar-besaran kononnya memperingati peristiwa pembunuhan cucu Nabi s.a.w iaitu Hussain bin Ali di Karbala.

Hari Assyura (10 Muharram) hari kita sunat berpuasa bersekali dengan 9 Muharram, tapi bagi penganut agama Syiah ialah hari untuk membantai tubuh badan sendiri.

Jom ambil tahu mengenai Syiah dari e-book ini: http://www.muftiwp.gov.my/doc/penerbitan/Mengenal%20Hakikat%20Syiah.pdf

Matahari Istiwa’ Di Atas Kaabah

istiwa_adzam

Sumber maklumat Istiwa’ adzam: http://www.muftiselangor.gov.my/ms/artikel-terbitan/324-fenomena-istiwa-matahari-atas-kaabah

Matahari tepat berada di atas kaabah disebut sebagai fenomena istiwa’ adzam. Daripada penerangan Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor ini, kita faham apa maksud istiwa’. Istiwa’ dapat kita fahami begitu tanpa perlu beri maksud lain kepadanya seperti bersemayam atau duduk. Tidak tepatlah jika dikatakan matahari bersemayam di atas kaabah atau matahari duduk di atas kaabah.
Bila Allah sebut dalam Al-Quran bahawa Allah Ar-Rahman istiwa’ atas arasy, tak perlu jugalah beri maksud lain kepada istiwa’ itu. Tak perlu juga nafikan istiwa’ itu hingga mentakwil kepada maksud yang lebih jauh tidak tepat kononnya agar tidak terbayang Allah seperti makhluk yang perlukan sesuatu untuk bergantung, kononnya bila mengatakan Allah istiwa’ atas arasy, maka Allah perlukan arasy untuk istiwa’.
Lihatlah fenomena istiwa’ matahari atas kaabah, adakah matahari perlukan kaabah? Tidak. Allah apatah lagi, yang maha agong, tiada sesuatu menyerupainya.
Bahkan peristiwa Israk Mikraj yang diingati ramai setiap Rejab mengukuhkan lagi bahawa Allah istiwa’ atas arasy di mana Nabi Muhammad s.a.w dibawa naik ke langit untuk menemui Allah.
Yang mengatakan dengan yakin bahawa Allah tidak berjisim dan ada di mana-mana kononnya jika mensifatkan Allah seperti yang Allah sifatkan, maka itu akan menjadikan Allah menyerupai mahkluk iaitu berjisim. Niat mereka murni, tetapi tidakkah mereka berfikir, makluk ada juga yang tidak berjisim. Tunjukkan di mana jisimnya makhluk yang bernama masa, bunyi, pagi, malam dan banyak lagi?
Berhentilah mengubah maksud Al-Quran dan mengatakan yang bukan-bukan mengenai Allah.

Ringkasnya, Siapa itu Syiah?

Ringkasnya penganut Syiah yang melampau kata Al-Quran yang kita baca sekarang ini tidak lengkap, yang lengkap akan dapat dilihat bila turunnya 12 imam mereka nanti. Lagi, dikatakan Jibrail silap turunkan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w, sepatutnya kepada Saidina Ali. Jadi, mereka ini Islamkah bila menolak syahadah pertama dan kedua?


Mereka juga kata Saidina Abu Bakar, Aisyah, Umar, Uthman dan lain-lain sahabat adalah kafir.

Syiah yang kita boleh toleransi hanyalah Syiah Zaidiyah yang terdapat di Yaman. Mereka tidak mengkafirkan para sahabat, tetapi mereka membenci para sahabat.

Itulah serba ringkas berkenaan Syiah.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Syiah, sila rujuk ke laman-laman ini, mereka banyak membongkar berkenaan Syiah kepada masyarakat awam:

  1. http://www.darulkautsar.net/article_cat.php?CategoryID=93
  2. http://tenteradajjal.blogspot.com/

Rahsia Personaliti Dari Tarikh Lahir – Ilmu Primitif Perosak Akidah!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Sekarang ini satu fenomena baru sedang melanda umat Islam di Malaysia iaitu pendedahan rahsia personaliti serta potensi diri melalui formula matematik terhadap tarikh lahir. Dari hari ke hari ia semakin mendapat sambutan. Selain itu, laman komuniti facebook.com juga semakin rancak menyediakan kuiz-kuiz tenung nasib dan rahsia personaliti.  Sebelum itu, telah banyak disebarluaskan rahsia-rahsia personaliti berdasarkan zodiak, hari kelahiran, kedudukan dalam adik-beradik, warna kegemaran, cara berjalan, bentuk wajah, bentuk jari, kedudukan tahi lalat dan pelbagai lagi yang digemari oleh masyarakat kita.

Saya katakan,  tidak lain tidak bukan itu semua hanyalah PERBUATAN SIA-SIA LAGI HARAM MALAH BOLEH MENGUNDANG KEROSAKAN IMAN bila ia dipercayai. Perkara-perkara yang disebut itu adalah termasuk meramal yang mana ia telah diharamkan. Sumber yang mengharamkannya banyak sekali.

Dalam Al-Quran, Surah Al-Maaidah, ayat 90, Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Imam Muslim dalam kitab Shahih Muslim, meriwayatkan bahwasanya Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda : “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf’ (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima shalatnya selama empat puluh hari.

Abu Dawud pula meriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dari Nabi  صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: “Barangsiapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ’alaihi wa sallam.

Dari Imran bin Hushain radhiallahu anhu, beliau berkata, bahawa Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda: “Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barangsiapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang ia katakan, maka sesungguhnya ia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad صلى الله عليه وسلم .” (Hadith Riwayat Al-Bazzaar, dengan sanad jayyid).

Ia Benar, Ada Persamaan Dengan Diri Saya

Larangan-larangan yang disebut di atas telah banyak kali diabaikan oleh mereka yang mempercayai pendedahan rahsia-rahsia personaliti itu. Ini kerana bila mereka mencuba-cuba sekadar suka-suka, rupanya pendedahan rahsia-rahsia itu banyak benar dan sama dengan dirinya. Maka itulah mereka terus meminati perkara begini.

Kebenarannya kadang-kadang sukar dinafikan, namun sedarlah bahawa diri kita boleh mengetahui sendiri bagaimana adanya diri kita tanpa melihat kesemua faktor ramalan itu. Sentiasalah bermuhasabah diri serta bertanya pendapat rakan-rakan terhadap personaliti dan potensi diri kita untuk meningkatkan dan memperbaiki diri.

Dakwaan Bahawa Ia Adalah Hasil Kajian Sains

Sunnatullah untuk kenal peribadi, boleh tanya melalui soalselidik kecenderungan, contoh soalan: Suka bersosial / suka dengan barang-barang – dapat tahu kita lebih sesuai kerja dengan manusia atau kerja dengan mesin.

Maka, saya tolak kaedah kenal diri melalui tarikh lahir. Serupa juga ditolak keperibadian melalui bentuk muka, bentuk mata, bentuk kuku, kedudukan adik-beradik dan macam-macam lagi.

Pengamal Rahsia Tarikh Lahir berkata:

Kajian tarikh lahir saya adalah purely based on research of human science behaviour. Saya kumpulkan maklumat ini for the past 10 years melalui test and measure, interviewing process ke atas lebih 5,000 individu.

Kalaulah zaman Nabi Luth dulu ada seorang tukang tilik tangan tua berusia lebih 500 tahun, kata “Sepanjang hayat saya, saya dah temubual 500,000 orang pelbagai latarbelakang dan saya dapati ada pola persamaan corak tapak tangannya dengan nasib kehidupannya, jadi ramalan saya adalah 98% tepat. Saya boleh cerita potensi masa depannya, apa yang patut dia lakukan untuk berjaya, apa yang patut dia elakkan untuk berjaya.”

Tidakkah kaedahnya sama seperti kaedah pengamal yang memperkenal rahsia tarikh lahir ni? Cuma alatnya saja beza, tapak tangan dengan tarikh lahir. Fikir-fikirkanlah. Tentu ada hikmahnya Allah melarang bertilik-tilik bukan melalui sunnatullah yang nyata.

Syaitan Mencuri Dengar Berita-berita Langit

Di dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menceritakan bahawa suatu ketika dahulu, syaitan dapat mencuri dengar berita-berita langit termasuklah rahsia masa depan yang disembunyikan daripada pengetahuan jin dan manusia. Boleh jadi, rahsia-rahsia yang dibuka kepada manusia daripada faktor-faktor ramalan itu adalah ilmu kuno / primitif yang diperkenal oleh para Syaitan yang pernah mendengarnya sebelum ini dengan ditokok-tambah bagi meyakinkan manusia kepada kebenarannya sedangkan tujuan asal mereka adalah untuk menyesatkan manusia.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya. [16]  Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam. [17]  Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan. [18] (Maksud ayat 16 hingga 18 Surah Al-Hijr)

Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang. [6] Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka; [7](Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru, [8]  Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus. [9]  Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi. [10] (Maksud ayat 6 hingga 10, Surah As-Soffat)

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radiallohu’anhuma, beliau berkata “Dahulu syaitan-syaitan itu memiliki tempat-tempat berdiam di langit. Mereka mendengarkan wahyu. Dan ketika itu bintang-bintang tidak mengejar mereka dan syaitan-syaitan itu tidak dilempari. Ketika mereka mendengarkan wahyu, mereka turun ke bumi dan menambahkan kalimat yang mampu mereka dengar itu dengan sembilan (kalimat yang lain dari diri mereka). Adapun setelah Rasulullah  صلى الله عليه وسلم diutus, maka ketika syaitan-syaitan ini mencapai tempat berdiamnya, suluh api pun mendatanginya dan tidak meleset darinya sehingga membakarnya. Syaitan-syaitan itu lalu mengadu kepada Iblis – semoga Allah melaknatnya.

Iblis berkata, ‘Ini disebabkan adanya perkara yang baru.’ Lalu ia mengutus tenteranya, dan mereka mendapati Rasulullah  صلى الله عليه وسلم berdiri sedang solat di antara dua gunung pohon kurma. (Dua batang pohon kurma). Lantas mereka kembali kepada iblis untuk mengabarkan hal tersebut. Iblis berkata, ‘Inilah dia perkara yang baru itu.’ ” (Dari Ath-Thabari)

Ketahuilah bahawa rahsia-rahsia hidup kita telah tertutup rapi, hanya diketahui oleh Allah S.WT. Kalau pun ada syaitan-syaitan yang dapat mendengarnya, ianya hanyalah pengetahuan primitif kerana selepas baginda Nabi Muhammad  صلى الله عليه وسلم diutus, mereka tidak dapat lagi mendengarnya. Dan kalaupun ada di antara mereka yang dapat mendengarnya, mereka tidak akan mengkhabarkan kepada manusia dengan betul kerana mereka bertujuan hidup untuk menyesatkan kita.

Maka, saya nasihatkan agar para pembaca yang bijak membaca tulisan saya ini agar berfikir semula terhadap pegangan kepercayaannya. Bertaubatlah serta kembalilah kepada pegangan yang benar di sisi Islam. Semoga hidup kita diredhai Allah dunia dan akhirat.

Beza Penilaian Kecenderungan Watak oleh Kaunselor dengan Rahsia Tarikh Lahir

Penilaian Kecenderungan Watak oleh Kaunselor:

  • Meminta client menjawab soalan-soalan berkenaan kecenderungan watak.
  • Soalan adalah berkenaan perwatakan melalui kecenderungan diri dan keselesaan diri terhadap suatu situasi.
  • Keputusan analisa adalah daripada pengumpulan jawapan terhadap koleksi soalan kepada kumpulan-kumpulan watak.
  • Skema analisa dapat diketahui dengan meneliti pola soalan dan jawapan.
  • Pembongkaran kesimpulan bahawa seseorang itu termasuk dalam kategori watak itu bukan sekadar andaian tanpa hubungkait, tetapi watak memang berhubungkait dengan koleksi soalan.

Rahsia Tarikh Lahir:

  • Hanya perlukan tarikh lahir daripada client.
  • Tarikh lahir dimanipulasi dengan operasi matematik untuk hasilkan suatu nombor lain yang mempunyai pola tertentu.
  • Terdapat skema analisa kumpulan watak berdasarkan nombor-nombor yang terhasil.
  • Skema analisa dihasilkan berdasarkan pemerhatian terhadap kesamaan nombor antara lebih 5,000 orang.
  • Kesimpulan watak lebih kepada andaian, tiada hubungkait secara langsung dengan tarikh lahir, tapi cuba dihubungkaitkan berdasarkan kesamaan tarikh lahir seorang dengan seorang yang lain.

Soalan yang boleh mempertikai Rahsia Tarikh Lahir:

  • cara kajian dengan kaedah terhadap tarikh lahir itu, adakah boleh dikira sebagai Sains? Apa disiplin kajian sains yang diguna?
  • Siapakah kira-kira 5,000 orang yang ditemubual, adakah ditemubual juga pelbagai latarbelakang seperti pasangan kembar tidak seiras, orang kurang upaya, orang asli, warga Malaysia, Asia, Eropah, US, orang beragama Islam (Amal Islam dengan betul/ sekadar ikut-ikut), Hindu, Budha, Kristian? Bagaimana pula latarbelakang zaman, manusia zaman sebelum kalendar masihi, manusia zaman kegemilangan Islam, manusia zaman perang dunia pertama dan kedua, manusia zaman melinium dan seterusnya?
  • Pernahkah pula cuba dihubungkaitkan dengan tarikh lahir mengikut kalendar Hijrah, Cina, Hindu dan sebagainya?

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Awak Setuju Tak Dengan 15 Soalan Ini?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Mari kita bermuhasabah diri..

  1. Awak setuju tak? Bahawa awak tak boleh lari daripada bertujuan hidup di dunia sementara ni adalah untuk mendapat redha Tuhan yang menjadikan awak, iaitu Alloh SWT. Dengan redhaNya, Dia akan mengasihi awak, bila Dia mengasihi awak, insyaAlloh di hayat kekal abadi nanti, Dia akan limpahkan kasih sayangNya kepada awak di syurga.
  2. Awak setuju tak? Bahawa untuk mendapat redha Alloh SWT, awak mestilah redha bahawa Alloh adalah Tuhan seluruh alam ini, awak mestilah redha bahawa Islam adalah cara hidup terbaik untuk awak dan awak mestilah redha bahawa Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم adalah utusan Alloh untuk memperkenalkan Alloh dan Islam kepada awak dan lainnya. Redha, bukanlah semata-mata mengakui, tetapi juga adalah yakin tanpa sangsi dan was-was akan ketiga-tiga perkara ini.
  3. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Alloh adalah Tuhan awak, awak mestilah mentaatiNya, patuh kepada suruhanNya, tunduk kepada laranganNya, memupuk perasaan cinta kepadaNya serta berkeinginan untuk mendapat kasih sayangNya.
  4. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Islam adalah cara hidup terbaik untuk awak, awak mestilah mengamalkan cara hidup yang ditunjukkan dalam Islam bukan hanya mengikut orang, bukan hanya mengamalkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, tetapi berusaha mengamalkan seluruhnya dengan perasaan penuh rela dan ikhlas mengamalkannya.
  5. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم adalah utusan Alloh bagi memperkenalkan Alloh dan Islam kepada awak dan lainnya, awak mestilah menjadikan Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم sebagai ikutan untuk awak dalam setiap amalan seharian kehidupan awak.
  6. Awak setuju tak? Bahawa untuk menuju kepada tujuan meredhai ketiga-tiga keredhaan ini, awak mestilah mempunyai ilmu, yang sebenarnya awak tak dapat kesemuanya dalam waktu awak belajar di sekolah sahaja, tetapi mestilah diteruskan usaha mendapatkan ilmunya sepanjang hayat awak. Dan ilmu itu tidaklah boleh lari daripada panduan utama, iaitu Al-Quran dan hadith yang shohih datangnya daripada Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم serta panduan daripada para ulama yang berpegang kepada dua panduan utama ini.

  7. Awak setuju tak? Bahawa awak sekarang ini masih belum berada dalam tujuan utama hidup di dunia, iaitu untuk mendapat redha Alloh SWT. Banyak perkara yang melekakan daripada tujuan itu tetapi awak terus melakukannya.
  8. Awak setuju tak? Bahawa awak perlu berubah, kembali kepada tujuan utama itu, meninggalkan banyak perkara yang melekakan daripada tujuan itu.
  9. Awak setuju tak? Bahawa awak perlu berubah cepat, bukan menunggu nanti bila dah tua, kerana awak tak dapat kepastian bahawa hidup awak akan berpanjangan hingga tua, sedangkan banyak sebab yang membolehkan nikmat usia awak ditarik balik pada usia awak sekarang ini.
  10. Awak setuju tak? Bahawa untuk berubah itu, bukanlah perkara mudah tanpa bimbingan yang kuat kepada diri awak yang lemah yang mudah saja melayani banyak perkara yang melekakan awak daripada tujuan hidup awak.
  11. Awak setuju tak? Bahawa untuk mendirikan rumahtangga, amat penting untuk awak mempunyai pasangan yang cenderung untuk memberikan bimbingan yang kuat kepada diri awak, dan awak juga perlu cenderung bekerjasama dengannya saling sokong-menyokong, ingat-mengingati agar sentiasa membawa keluarga kepada tujuan hidup di dunia ini.
  12. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak banyak menjawab “setuju” dengan soalan-soalan ini, kaki awak sebenarnya telah berada satu tapak di atas landasan tujuan sebenar hidup awak di dunia ini.
  13. Awak setuju tak? Bahawa apabila kaki awak telah berada satu tapak di atas landasan tujuan sebenar hidup awak ini, sepatutnya awak tidak mengangkatnya kembali meninggalkan landasan ini, tetapi sebaliknya mengangkat sebelah lagi kaki awak, untuk terus melangkah menyelusuri landasan ini.
  14. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak telah melangkah menyelusuri landasan ini, awak perlu terus berada di atas landasan ini, jangan berundur meninggalkan landasan ini.
  15. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak telah tetap berada di atas landasan ini, awak tak sepatutnya berseorangan menyelusurinya, tetapi awak perlu membawa semua ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan seluruh masyarakat turut menyertai awak menyelusuri landasan ini.

Maka, sebar-sebarkanlah 15 pertanyaan penting ini kepada semua yang anda sayangi. Saya persilakan untuk awak translate 15 pertanyaan ini kepada bahasa-bahasa lain yang awak tahu dan sebarkannya ke seluruh pelusuk alam. Semoga kita mendapat redha Alloh SWT.