Awas! Boleh jadi kufur percaya ramalan sotong tentang keputusan Piala Dunia

Firman Allah S.W.T di dalam ayat 65, Surah An-Naml:http://quran.com/images/ayat/27_65.png

Maksudnya: “Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”

Disebut juga di dalam hadith Riwayat Imam Muslim,

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاةٌ اَرْبَعِيْنَ لَيْلَةً

Ertinya:
“Barangsiapa yang mendatangi tukang tenung, lalu dia menanyakan tentang sesuatu, tidak diterima Allah solatnya selama 40 malam.”

Disebut juga di dalam hadith lain oleh Imam Ahmad;

مَنْ أَتَى عَرَّافًا اَوْ كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِما يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِما اُنْزِلَ عَلى مُحَمَّد

Maksudnya:
Barangsiapa mendatangi tukang ramal atau tukang nujum / bomoh / dukun lalu membenarkan kata-katanya maka sungguh dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad.”

Itu adalah antara dalil-dalil larangan mendatangi, bertanya serta meminta ramalan akan sesuatu perkara. Menerusi media elektronik dan cetak tempatan, masyarakat kita telah dihidangkan ramalan sotong kurita bernama Paul dari Jerman berkenaan pasukan mana yang akan menang jika melibatkan perlawanan dengan pasukan Jerman. Sekiranya pertama kali tertonton ramalan itu, janganlah mempercayainya. Kemudian, janganlah ternanti-nanti ramalan berikutnya oleh sotong kurita itu kerana ia boleh menyebabkan kita jatuh ke lembah kekufuran.

Memang terdapat ramalan-ramalan yang dibenarkan di dalam Islam. Ia terbatas kepada ramalan berdasarkan sunnatullah, hukum alam yang tidak berubah. Hanya saja bagaimana tepatnya kiraan dibuat untuk menjangka apa yang akan berlaku. Firman Allah dalam Surah Fathir ayat 43:

http://quran.com/images/ayat/35_43.png

Maksudnya:

“Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi ‘Sunnatullah’ (undang-undang peraturan Allah) dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan ‘Sunnatullah’ itu.

Oleh kerana hukum alam tidak berubah, kita boleh menjangka apa yang akan berlaku bersebabkan sesuatu perkara. Seperti contoh cuaca akan turunnya hujan, tanda-tandanya kita lihat pada perkara zahir yang menerangkan cuaca, contohnya angin, awan dan suhu. Jangkaan dibuat berdasarkan sebab-sebab atau punca-punca hujan akan berlaku.

octupus_picks_spain Bagaimana pula dengan ramalan yang langsung tiada kaitan sebab-sebab atau punca-punca sesuatu perkara itu berlaku? Contohnya, menang kalahnya pasukan Jerman. Apa kaitan sotong itu dengan perlawanan bola sepak? Maka ramalan begini adalah tertolak. Sotong itu tidak mengetahui perkara ghaib.

Perkara pada masa akan datang hanya Allah saja yang tahu. Jika benar pun ramalan-ramalan yang tidak berdasarkan sebab zahir sesuatu perkara itu terjadi, harus ianya adalah daripada bangsa Jin yang mencuri-curi dengar berita langit.

Di dalam hadith Riwayat Imam Muslim disebutkan;

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ الْكُهَّانَ كَانُوا يُحَدِّثُونَنَا بِالشَّيْءِ فَنَجِدُهُ حَقًّا قَالَ تِلْكَ الْكَلِمَةُ الْحَقُّ يَخْطَفُهَا الْجِنِّيُّ فَيَقْذِفُهَا فِي أُذُنِ وَلِيِّهِ وَيَزِيدُ فِيهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ

Maksudnya:

Dari ‘Aisyah, dia berkata; “Aku pernah bercerita kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bahwa para tukang tenung berkata begini dan begitu dan kadang kami lihat kenyataannya memang benar.” Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: “Kata-kata yang benar itu ditangkap oleh bangsa jin, lalu dibisikkannya ke telinga tukang tenung dan ditambahkan ke dalamnya dengan seratus kedustaan.”

Sama-samalah kita menegur rakan-rakan kita yang telah terpercaya dan jatuh minat dengan ramalan si Paul. Perbanyakkan istighfar dan pelajarilah lagi, apa yang boleh menyebabkan akidah kita rosak dan bagaimana untuk menjauhinya. Selalulah berdoa dengan doa di bawah, yang diriwayatkan hadithnya oleh Imam Ahmad:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu, agar tidak menyekutukan kepadaMu, sedang aku mengetahuinya dan minta ampun terhadap apa yang tidak aku ketahui.”

Tersebar Doa Elak Wabak H1N1 – Ada Unsur Syiahkah?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Saudara/saudari yang dikasihahi sekalian.

Pertama sekali, saya memohon maaf kerana saya menyambung lagi rantaian emel ini kerana ada sesuatu perlu dijelaskan atas kekeliruan yang terjadi. Saya harap, sambungan emel ini berhenti setakat ini.

Saya anjurkan agar saudara/saudari tinggalkan doa yang dikongsikan sebelum ini dan ambillah doa-doa yang tsabit kepada baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم yang boleh dirujuk dalam hadith-hadith berkenaan zikir, ada banyak yang dinyatakan kelebihan zikir itu contohnya, terselamat daripada bahaya, dicukupkan sebagai pelindung dan lain-lain lagi. Amalkanlah dengan yakin bahawa Allah akan melindungi kita.

Zikir-zikir/doa-doa ini boleh dirujuk dalam rujukan masyhur iaitu Kitab Al-Azkar karangan Imam Nawawi atau Kitab Hisnul-Muslim oleh Said bin Ali Al Qathani (Terjemahan Bahasa Malaysia bertajuk Perisai Muslim. Zikir & Doa dari Al-Quran dan Hadis oleh Dr Abdul Basit bin Haji Abdul Rahman )

Antara doa yang saya galakkan untuk diamal setiap pagi dan petang ialah:


بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Maksud: “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Barangsiapa membacanya sebanyak tiga kali ketika pagi dan petang hari, maka tidak ada sesuatu pun yang membahayakan dirinya. (Hadith Riwayat Abu Daud, At- Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad.)

Berkenaan doa yang tersebar dalam emel sebelum ini memang diakui ianya telah wujud sekian lama dalam umat Islam di Malaysia. Ulama-ulama Malaysia yang lama-lama dahulu memang ada terpengaruh dengan ajaran Syiah. Jika tunjukkan doa ini kepada orang-orang tua, mungkin mereka biasa dengar bahkan mereka juga pernah amal. Namun, tempoh lamanya ia diamal oleh masyarakat bukanlah tiket untuk kita meneruskan amalan itu.

Sebaiknya, bila kita diajarkan suatu amalan, nilaikan semula sama ada ianya mempunyai unsur-unsur berikut atau tidak:

  1. Tidak mensyirikkan Allah (memuja, menyeru selain Allah, menafikan sifat tersendiri bagi Allah, mengangkat sifat mahkluk lebih tinggi daripada sifat tersendiri bagi Allah, menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk, dan lain-lain)
  2. Ada petunjuk bahawa ia ada dalam Al-Quran, dianjurkan Nabi صلى الله عليه وسلم , dianjurkan khalifah yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali), diamal para sahabat serta generasi selepas-selepas sahabat.

Dalam doa yang dikongsikan itu, ia mempunyai unsur kesyirikan kerana menyeru lima nama itu bahkan meninggalkan menyeru nama Allah. Ia juga tiada petunjuk daripada Al-Quran, Nabi  صلى الله عليه وسلم , Khalifah Arryasidin, mahupun amalan para sahabat serta generasi selepas-selepasnya. Jika ditinjau pula amalan-amalan golongan Syiah, sememangnya mereka banyak mengagung-agungkan lima nama itu. Ustaz yang menganjurkan doa itu hanyalah manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan.

Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. Mohon maaf dan sekian, terima kasih.

Doa Yang Dikongsikan Sebelum Ini:


Isu Masuk Surat Khabar – Utusan Malaysia 14/8/2009

JAIS nafi edardoa pelindung H1N1

SHAH ALAM 13 Ogos – Umat Islam di negeri ini dinasihat supaya tidak terpedaya dan terkeliru dengan risalah doa pelindung diri daripada dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) yang kini tersebar luas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, risalah yang didakwa disediakan oleh Bahagian Pendakwah Bebas JAIS itu sebenarnya tiada kaitan dengan jabatan itu dan dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam.

Menurutnya, setelah merujuk kepada Jabatan Mufti Selangor, doa tersebut bukanlah doa khusus bagi melindungi H1N1 yang dimaksudkan tetapi merupakan doa yang diamalkan oleh ahli kumpulan Al-Arqam yang sudah diharamkan.

‘‘JAIS tidak bertanggungjawab dan tidak pernah mengarahkan doa ini disebarkan kepada umum dan nama yang tertera dalam edaran itu juga bukan kakitangan pihak berkuasa agama negeri ini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran penyebaran risalah doa pelindung H1N1 yang diedarkan kepada orang ramai di tempat-tempat awam dan risalah tersebut kononnya disediakan oleh seorang ustaz daripada Bahagian Dakwah Bebas JAIS.

Antara isi kandungan risalah berkenaan ialah menyeru orang ramai membaca satu doa yang sangat masyhur pada zaman dahulu.

Doa tersebut dikatakan ditulis oleh Asy-Shekh Ibnu Ahmad Al-Tamimi Al-Malizi yang merupakan seorang murshid.

Rahsia Personaliti Dari Tarikh Lahir – Ilmu Primitif Perosak Akidah!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Sekarang ini satu fenomena baru sedang melanda umat Islam di Malaysia iaitu pendedahan rahsia personaliti serta potensi diri melalui formula matematik terhadap tarikh lahir. Dari hari ke hari ia semakin mendapat sambutan. Selain itu, laman komuniti facebook.com juga semakin rancak menyediakan kuiz-kuiz tenung nasib dan rahsia personaliti.  Sebelum itu, telah banyak disebarluaskan rahsia-rahsia personaliti berdasarkan zodiak, hari kelahiran, kedudukan dalam adik-beradik, warna kegemaran, cara berjalan, bentuk wajah, bentuk jari, kedudukan tahi lalat dan pelbagai lagi yang digemari oleh masyarakat kita.

Saya katakan,  tidak lain tidak bukan itu semua hanyalah PERBUATAN SIA-SIA LAGI HARAM MALAH BOLEH MENGUNDANG KEROSAKAN IMAN bila ia dipercayai. Perkara-perkara yang disebut itu adalah termasuk meramal yang mana ia telah diharamkan. Sumber yang mengharamkannya banyak sekali.

Dalam Al-Quran, Surah Al-Maaidah, ayat 90, Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Imam Muslim dalam kitab Shahih Muslim, meriwayatkan bahwasanya Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda : “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf’ (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima shalatnya selama empat puluh hari.

Abu Dawud pula meriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dari Nabi  صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: “Barangsiapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ’alaihi wa sallam.

Dari Imran bin Hushain radhiallahu anhu, beliau berkata, bahawa Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda: “Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barangsiapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang ia katakan, maka sesungguhnya ia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad صلى الله عليه وسلم .” (Hadith Riwayat Al-Bazzaar, dengan sanad jayyid).

Ia Benar, Ada Persamaan Dengan Diri Saya

Larangan-larangan yang disebut di atas telah banyak kali diabaikan oleh mereka yang mempercayai pendedahan rahsia-rahsia personaliti itu. Ini kerana bila mereka mencuba-cuba sekadar suka-suka, rupanya pendedahan rahsia-rahsia itu banyak benar dan sama dengan dirinya. Maka itulah mereka terus meminati perkara begini.

Kebenarannya kadang-kadang sukar dinafikan, namun sedarlah bahawa diri kita boleh mengetahui sendiri bagaimana adanya diri kita tanpa melihat kesemua faktor ramalan itu. Sentiasalah bermuhasabah diri serta bertanya pendapat rakan-rakan terhadap personaliti dan potensi diri kita untuk meningkatkan dan memperbaiki diri.

Dakwaan Bahawa Ia Adalah Hasil Kajian Sains

Sunnatullah untuk kenal peribadi, boleh tanya melalui soalselidik kecenderungan, contoh soalan: Suka bersosial / suka dengan barang-barang – dapat tahu kita lebih sesuai kerja dengan manusia atau kerja dengan mesin.

Maka, saya tolak kaedah kenal diri melalui tarikh lahir. Serupa juga ditolak keperibadian melalui bentuk muka, bentuk mata, bentuk kuku, kedudukan adik-beradik dan macam-macam lagi.

Pengamal Rahsia Tarikh Lahir berkata:

Kajian tarikh lahir saya adalah purely based on research of human science behaviour. Saya kumpulkan maklumat ini for the past 10 years melalui test and measure, interviewing process ke atas lebih 5,000 individu.

Kalaulah zaman Nabi Luth dulu ada seorang tukang tilik tangan tua berusia lebih 500 tahun, kata “Sepanjang hayat saya, saya dah temubual 500,000 orang pelbagai latarbelakang dan saya dapati ada pola persamaan corak tapak tangannya dengan nasib kehidupannya, jadi ramalan saya adalah 98% tepat. Saya boleh cerita potensi masa depannya, apa yang patut dia lakukan untuk berjaya, apa yang patut dia elakkan untuk berjaya.”

Tidakkah kaedahnya sama seperti kaedah pengamal yang memperkenal rahsia tarikh lahir ni? Cuma alatnya saja beza, tapak tangan dengan tarikh lahir. Fikir-fikirkanlah. Tentu ada hikmahnya Allah melarang bertilik-tilik bukan melalui sunnatullah yang nyata.

Syaitan Mencuri Dengar Berita-berita Langit

Di dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menceritakan bahawa suatu ketika dahulu, syaitan dapat mencuri dengar berita-berita langit termasuklah rahsia masa depan yang disembunyikan daripada pengetahuan jin dan manusia. Boleh jadi, rahsia-rahsia yang dibuka kepada manusia daripada faktor-faktor ramalan itu adalah ilmu kuno / primitif yang diperkenal oleh para Syaitan yang pernah mendengarnya sebelum ini dengan ditokok-tambah bagi meyakinkan manusia kepada kebenarannya sedangkan tujuan asal mereka adalah untuk menyesatkan manusia.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya. [16]  Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam. [17]  Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan. [18] (Maksud ayat 16 hingga 18 Surah Al-Hijr)

Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang. [6] Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka; [7](Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru, [8]  Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus. [9]  Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi. [10] (Maksud ayat 6 hingga 10, Surah As-Soffat)

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radiallohu’anhuma, beliau berkata “Dahulu syaitan-syaitan itu memiliki tempat-tempat berdiam di langit. Mereka mendengarkan wahyu. Dan ketika itu bintang-bintang tidak mengejar mereka dan syaitan-syaitan itu tidak dilempari. Ketika mereka mendengarkan wahyu, mereka turun ke bumi dan menambahkan kalimat yang mampu mereka dengar itu dengan sembilan (kalimat yang lain dari diri mereka). Adapun setelah Rasulullah  صلى الله عليه وسلم diutus, maka ketika syaitan-syaitan ini mencapai tempat berdiamnya, suluh api pun mendatanginya dan tidak meleset darinya sehingga membakarnya. Syaitan-syaitan itu lalu mengadu kepada Iblis – semoga Allah melaknatnya.

Iblis berkata, ‘Ini disebabkan adanya perkara yang baru.’ Lalu ia mengutus tenteranya, dan mereka mendapati Rasulullah  صلى الله عليه وسلم berdiri sedang solat di antara dua gunung pohon kurma. (Dua batang pohon kurma). Lantas mereka kembali kepada iblis untuk mengabarkan hal tersebut. Iblis berkata, ‘Inilah dia perkara yang baru itu.’ ” (Dari Ath-Thabari)

Ketahuilah bahawa rahsia-rahsia hidup kita telah tertutup rapi, hanya diketahui oleh Allah S.WT. Kalau pun ada syaitan-syaitan yang dapat mendengarnya, ianya hanyalah pengetahuan primitif kerana selepas baginda Nabi Muhammad  صلى الله عليه وسلم diutus, mereka tidak dapat lagi mendengarnya. Dan kalaupun ada di antara mereka yang dapat mendengarnya, mereka tidak akan mengkhabarkan kepada manusia dengan betul kerana mereka bertujuan hidup untuk menyesatkan kita.

Maka, saya nasihatkan agar para pembaca yang bijak membaca tulisan saya ini agar berfikir semula terhadap pegangan kepercayaannya. Bertaubatlah serta kembalilah kepada pegangan yang benar di sisi Islam. Semoga hidup kita diredhai Allah dunia dan akhirat.

Beza Penilaian Kecenderungan Watak oleh Kaunselor dengan Rahsia Tarikh Lahir

Penilaian Kecenderungan Watak oleh Kaunselor:

  • Meminta client menjawab soalan-soalan berkenaan kecenderungan watak.
  • Soalan adalah berkenaan perwatakan melalui kecenderungan diri dan keselesaan diri terhadap suatu situasi.
  • Keputusan analisa adalah daripada pengumpulan jawapan terhadap koleksi soalan kepada kumpulan-kumpulan watak.
  • Skema analisa dapat diketahui dengan meneliti pola soalan dan jawapan.
  • Pembongkaran kesimpulan bahawa seseorang itu termasuk dalam kategori watak itu bukan sekadar andaian tanpa hubungkait, tetapi watak memang berhubungkait dengan koleksi soalan.

Rahsia Tarikh Lahir:

  • Hanya perlukan tarikh lahir daripada client.
  • Tarikh lahir dimanipulasi dengan operasi matematik untuk hasilkan suatu nombor lain yang mempunyai pola tertentu.
  • Terdapat skema analisa kumpulan watak berdasarkan nombor-nombor yang terhasil.
  • Skema analisa dihasilkan berdasarkan pemerhatian terhadap kesamaan nombor antara lebih 5,000 orang.
  • Kesimpulan watak lebih kepada andaian, tiada hubungkait secara langsung dengan tarikh lahir, tapi cuba dihubungkaitkan berdasarkan kesamaan tarikh lahir seorang dengan seorang yang lain.

Soalan yang boleh mempertikai Rahsia Tarikh Lahir:

  • cara kajian dengan kaedah terhadap tarikh lahir itu, adakah boleh dikira sebagai Sains? Apa disiplin kajian sains yang diguna?
  • Siapakah kira-kira 5,000 orang yang ditemubual, adakah ditemubual juga pelbagai latarbelakang seperti pasangan kembar tidak seiras, orang kurang upaya, orang asli, warga Malaysia, Asia, Eropah, US, orang beragama Islam (Amal Islam dengan betul/ sekadar ikut-ikut), Hindu, Budha, Kristian? Bagaimana pula latarbelakang zaman, manusia zaman sebelum kalendar masihi, manusia zaman kegemilangan Islam, manusia zaman perang dunia pertama dan kedua, manusia zaman melinium dan seterusnya?
  • Pernahkah pula cuba dihubungkaitkan dengan tarikh lahir mengikut kalendar Hijrah, Cina, Hindu dan sebagainya?

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Kenali Perkara Merosakkan Akidah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Baru-baru ini dalam laman komuniti al-fikrah.net, satu topik berkenaan akidah telah dibincangkan iaitu topik bertajuk “Kerosakan akidah tak disedari dan terus ada dalam masyarakat”. Daripada perbincangan ini, disenaraikan antara ciri-ciri kerosakan akidah yang biasa wujud dalam masyarakat kita iaitu:

  • Melakukan amalan yang termasuk menyembah/mengabdikan diri/menghambakan diri kepada selain Allah.
  • Menafikan sifat tersendiri bagi Allah.
  • Mengangkat sifat mahkluk menyamai sifat tersendiri bagi Allah.
  • Menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk.

Selain itu, terdapat perkara-perkara lain yang juga merosakkan akidah, namun jarang dilihat wujud dalam masyarakat kita contohnya tidak mentaati syariat Islam dengan berserta memperlekeh hukum-hukumnya atau mempermain-mainkan hukum-hukumnya, menafikan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah pesuruh Allah dan diutus sebagai nabi terakhir serta beberapa ciri lain.

Untuk permulaan ini, adalah lebih baik saya berbicara mengenai apa yang ada dalam masyarakat kita. Di kesempatan lain, insyaAllah kita akan sentuh pula ciri-ciri yang lain itu.

Melakukan amalan yang termasuk menyembah/mengabdikan diri/menghambakan diri kepada selain Allah

Tentu ramai yang faham apa yang dimaksudkan menyembah selain Allah. Tetapi, ramai juga yang tak tahu, sebenarnya ada perbuatan yang menghampiri kepada menyembah iaitu apabila kita menyeru sesuatu mahkluk kerana inginkan sesuatu daripadanya atau takut kepadanya. Contoh yang masih ada dalam masyarakat kita ialah: bila masuk dalam hutan, disebut “Tok, cucu tumpang lalu.”  Selain itu perbuatan memuja pantai apabila ingin menurunkan perahu baru, memuja keris dan sebagainya boleh mengundang perbuatan “menyeru” yang tidak sepatutnya.

Menafikan sifat tersendiri bagi Allah

Perbuatan menafikan sifat tersendiri bagi Allah ialah menidakkan sifat agong bagi Allah yang tiada pada mahkluk. Contohnya: Pelaku maksiat mengatakan “Tak guna aku bertaubat, dosa banyak sangat, biarlah aku terus macam ni.” Orang yang memandang perlakuan pelacur mengatakan “Jangan pedulikan ‘anak-anak ayam’ tu, mereka dah confirm ahli neraka.” Dua contoh ini telah menidakkan sifat maha pengampunnya Allah.

Mengangkat sifat mahkluk menyamai sifat tersendiri bagi Allah

Perbuatan ini adalah antara yang paling banyak terdapat di dalam masyarakat kita. Contohnya ialah:

  • Nak kerja kerajaan kerana pendapatan terjamin. (Jaminan rezki hanya di tangan Allah)
  • Saya sembuh penyakit kerana ubat ini. (Sifat penyembuh adalah sifat Allah, sepatutnya dikatakan “Allah telah sembuhkan penyakit saya melalui ubat ini.”)
  • Nak murah rezki, kena gantung ayat seribu dinar. (Ayat itu tidak memberi sebarang rezki, rezki datang dari Allah jua)
  • Isteri dia lebih tinggi daripada dia, murahlah rezkinya. (Ketinggian isterinya tak mempengaruhi rezki yang telah ditetapkan Allah sejak mereka di dalam rahim lagi.)

Menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk

Perbuatan ini juga ada dilakukan di dalam masyarakat kita. Contoh perbuatan menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk ialah:

  • Membuat maksiat di luar pengetahuan manusia, dan menganggap Allah tidak nampak perbuatannya. (Sedangkan Allah maha melihat dan maha mendengar)

Banyak lagi sebenarnya perkara yang kita perlu perhatikan di dalam diri kita, sama ada kita mensyirikkan Allah ataupun tidak. Jadi, janganlah jemu untuk menuntut ilmu lebih-lebih lagi ilmu untuk mengenali akidah tauhid dan mengenali apa itu syirik.

p/s – Artikel ini masih dalam versi draf awal, namun dipaparkan juga untuk peringatan kerana kepentingan menjaga akidah. Ia akan dikemaskini pada masa akan datang. Moga Allah memberi kelapangan kepada saya untuk mengemaskini. Sila hubungi saya untuk sebarang persoalan. Terima kasih.

Awak Setuju Tak Dengan 15 Soalan Ini?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Mari kita bermuhasabah diri..

  1. Awak setuju tak? Bahawa awak tak boleh lari daripada bertujuan hidup di dunia sementara ni adalah untuk mendapat redha Tuhan yang menjadikan awak, iaitu Alloh SWT. Dengan redhaNya, Dia akan mengasihi awak, bila Dia mengasihi awak, insyaAlloh di hayat kekal abadi nanti, Dia akan limpahkan kasih sayangNya kepada awak di syurga.
  2. Awak setuju tak? Bahawa untuk mendapat redha Alloh SWT, awak mestilah redha bahawa Alloh adalah Tuhan seluruh alam ini, awak mestilah redha bahawa Islam adalah cara hidup terbaik untuk awak dan awak mestilah redha bahawa Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم adalah utusan Alloh untuk memperkenalkan Alloh dan Islam kepada awak dan lainnya. Redha, bukanlah semata-mata mengakui, tetapi juga adalah yakin tanpa sangsi dan was-was akan ketiga-tiga perkara ini.
  3. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Alloh adalah Tuhan awak, awak mestilah mentaatiNya, patuh kepada suruhanNya, tunduk kepada laranganNya, memupuk perasaan cinta kepadaNya serta berkeinginan untuk mendapat kasih sayangNya.
  4. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Islam adalah cara hidup terbaik untuk awak, awak mestilah mengamalkan cara hidup yang ditunjukkan dalam Islam bukan hanya mengikut orang, bukan hanya mengamalkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, tetapi berusaha mengamalkan seluruhnya dengan perasaan penuh rela dan ikhlas mengamalkannya.
  5. Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم adalah utusan Alloh bagi memperkenalkan Alloh dan Islam kepada awak dan lainnya, awak mestilah menjadikan Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم sebagai ikutan untuk awak dalam setiap amalan seharian kehidupan awak.
  6. Awak setuju tak? Bahawa untuk menuju kepada tujuan meredhai ketiga-tiga keredhaan ini, awak mestilah mempunyai ilmu, yang sebenarnya awak tak dapat kesemuanya dalam waktu awak belajar di sekolah sahaja, tetapi mestilah diteruskan usaha mendapatkan ilmunya sepanjang hayat awak. Dan ilmu itu tidaklah boleh lari daripada panduan utama, iaitu Al-Quran dan hadith yang shohih datangnya daripada Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم serta panduan daripada para ulama yang berpegang kepada dua panduan utama ini.

  7. Awak setuju tak? Bahawa awak sekarang ini masih belum berada dalam tujuan utama hidup di dunia, iaitu untuk mendapat redha Alloh SWT. Banyak perkara yang melekakan daripada tujuan itu tetapi awak terus melakukannya.
  8. Awak setuju tak? Bahawa awak perlu berubah, kembali kepada tujuan utama itu, meninggalkan banyak perkara yang melekakan daripada tujuan itu.
  9. Awak setuju tak? Bahawa awak perlu berubah cepat, bukan menunggu nanti bila dah tua, kerana awak tak dapat kepastian bahawa hidup awak akan berpanjangan hingga tua, sedangkan banyak sebab yang membolehkan nikmat usia awak ditarik balik pada usia awak sekarang ini.
  10. Awak setuju tak? Bahawa untuk berubah itu, bukanlah perkara mudah tanpa bimbingan yang kuat kepada diri awak yang lemah yang mudah saja melayani banyak perkara yang melekakan awak daripada tujuan hidup awak.
  11. Awak setuju tak? Bahawa untuk mendirikan rumahtangga, amat penting untuk awak mempunyai pasangan yang cenderung untuk memberikan bimbingan yang kuat kepada diri awak, dan awak juga perlu cenderung bekerjasama dengannya saling sokong-menyokong, ingat-mengingati agar sentiasa membawa keluarga kepada tujuan hidup di dunia ini.
  12. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak banyak menjawab “setuju” dengan soalan-soalan ini, kaki awak sebenarnya telah berada satu tapak di atas landasan tujuan sebenar hidup awak di dunia ini.
  13. Awak setuju tak? Bahawa apabila kaki awak telah berada satu tapak di atas landasan tujuan sebenar hidup awak ini, sepatutnya awak tidak mengangkatnya kembali meninggalkan landasan ini, tetapi sebaliknya mengangkat sebelah lagi kaki awak, untuk terus melangkah menyelusuri landasan ini.
  14. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak telah melangkah menyelusuri landasan ini, awak perlu terus berada di atas landasan ini, jangan berundur meninggalkan landasan ini.
  15. Awak setuju tak? Bahawa apabila awak telah tetap berada di atas landasan ini, awak tak sepatutnya berseorangan menyelusurinya, tetapi awak perlu membawa semua ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan seluruh masyarakat turut menyertai awak menyelusuri landasan ini.

Maka, sebar-sebarkanlah 15 pertanyaan penting ini kepada semua yang anda sayangi. Saya persilakan untuk awak translate 15 pertanyaan ini kepada bahasa-bahasa lain yang awak tahu dan sebarkannya ke seluruh pelusuk alam. Semoga kita mendapat redha Alloh SWT.

Ittiba’ Sebagai Bukti Kecintaan Kepada Nabi

Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: http://akob73.blogspot.com

Mencintai Rasulullah s.a.w. merupakan satu perkara yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya. Firman Allah S.W.T: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” – Surah al-Taubah (9) : 24.

Firman-Nya lagi: “Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi orang-orang yang beriman berbanding diri mereka sendiri.” – Surah al-Ahzab (33) : 6.

Oleh itu saban tahun menjelangnya 12 Rabiulawal umat Islam diseluruh dunia menyambut hari yang dianggap sebagai ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai upacara seperti perarakan, ceramah-ceramah khas, majlis marhaban dan lain-lain lagi dianjurkan demi untuk menunjukkan kecintaan kepada Nabi s.a.w.. Namun begitu secara realitinya program-program tersebut kurang membangkitkan kecintaan yang hakiki kepada baginda s.a.w.. Umat Islam diseluruh dunia masih mengabaikan sunnah-sunnah baginda dan lebih memilih untuk melakukan amalan-amalan bidaah yang dianggap baik oleh mereka. Ini tidak lain tidak bukan kerana kurang penekanan konsep ittiba’ di dalam majlis-majlis sempena Mawlidurasul tersebut walaupun perbelanjaan yang dikeluarkan mencecah puluhan ribu ringgit. Ittiba’ merupakan cara yang paling efektif untuk menterjemahkan hakikat sebenar mencintai Rasulullah s.a.w.

Apakah itu ittiba’? Ittiba’ dari segi bahasa bermaksud mengikuti atau mencontohi. Bila dikatakan Ittiba’ al-Rasul ianya bermakna mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t..

Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah:

“Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, hadis no: 2697

“Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.” – Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 1718.

c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain di atas perintah baginda tersebut.

d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:

Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:

“Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlidurasul. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa adalah bidaah.

2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan kehendak syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam atau itik sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih untuk ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.

4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam sesuatu ibadah maka ibadah tersebut terbatal.

5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana tedapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.

Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:

a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31

b) Ittiba’ merupakan suatu amalan yang dapat menghapuskan dosa sebagaimana firman Allah di atas.

c) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” – Aali Imraan (3) : 32

d) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65

e) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih dari Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63

f) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21

g) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36

h) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 7280.

i) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w

Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadah tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” – Surah al-Mulk: 2.

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h: “Maksud ‘amalan yang lebih baik’ ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” – Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.

Menerusi penjelasan yang serba ringkas ini maka tidak hairanlah sekiranya kita simpulkan bahawa cara yang paling utama untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan memahami, mengamalkan serta menyebarkan konsep ittiba’. Untuk kita menerapkan konsep ittiba’ ini ternyata ianya bukan satu proses yang datang hanya sekali dalam setahun iaitu ketika sambutan Mawlidurasul. Ianya perlu disemaikan ke dalam minda setiap umat Islam sepanjang masa. Oleh itu sempena sambutan Mawlidurasul tahun ini marilah kita berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan ittiba’ dan membanteras sehingga ke akar umbi segala perkara maksiat yang dilarang oleh syarak.

Bila Ditimpa Musibah, Termasuk Golongan Manakah Kita?


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ketahuilah, bahawa apabila kita ditimpa musibah, kita akan termasuk ke dalam salah satu daripada empat golongan iaitu:

  1. Orang yang berkeluh-kesah
  2. Orang yang sabar
  3. Orang yang bersikap redha
  4. Orang yang bersyukur

Orang yang berkeluh-kesah

Golongan yang berkeluh-kesah adalah golongan yang paling buruk, paling dibenci Allah serta paling besar kerugiannya di dunia dan akhirat. Mereka adalah orang yang tidak rela dan kecewa terhadap takdir (ketentuan) dan qadha’ (ketetapan) Allah. Mereka akan sentiasa mengeluh dan mengesali musibah yang berlaku. Lebih teruk lagi, ada yang memukul-mukul dirinya tanda tidak rela.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):

“Bukan termasuk (golongan) kami orang yang memukul-mukul pipi, menyobek-nyobek baju dan berdoa dengan doa (kaum) jahiliyah.”

(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi)

Mereka juga akan meratap (nihayah) dan berteriak secara melampau yang mana ia boleh mendatangkan laknat. Satu riwayat yang baik dalam Shahihut Targhib wat Tarhib, disebutkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):

“Ada dua suara yang dilaknat: suara seruling ketika mendapat kenikmatan dan suara teriakan ketika mendapat musibah.”

Orang yang sabar

Mereka yang sabar dengan musibah yang berlaku akan meraih darjah mulia dan dicukupkan pahalanya tanpa batas. Allah berfirman dalam suroh Az-Zumar ayat 10, maksudnya:

“Sesungguhnya, hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

Orang yang sabar akan menjaga beberapa bentuk kesabaran iaitu kesabaran dengan berani terhadap pelbagai kesukaran dalam jihad, kesabaran dengan menjaga kesucian diri daripada nafsu, kesabaran dengan berlemah-lembut atas pembangkit amarah dan kesabaran dengan menjaga rahsia daripada menyebarkannya. Mereka yang sabar akan bertindak atas keyakinan bahawa apa yang berlaku adalah telah ditetapkan pasti terjadi dan tidak dapat dielak.

Orang yang bersikap redha

Mereka yang redha pula merupakan pemilik darjat yang lebih tinggi daripada mereka yang sabar. Di samping bersabar, mereka akan rela dan redha dengan ketentuan Allah. Mereka akan merasa senang dengannya dan tidak menunjukkan reaksi marah yang menunjukkan dirinya tidak redha.

Perasaan senangnya terhadap musibah adalah sama saja seperti mendapat nikmat kerana baginya, kedua-duanya adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah terhadapnya.

Nabi صلى الله عليه وسلم  bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka, siapa yang redha (terhadap ujian tersebut), baginya redha (Allah), namun siapa yang marah (terhadap ujian tersebut), baginya murka (Allah).”

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Orang yang bersyukur

Terakhir, mereka yang bersyukur adalah orang yang paling agung di antara golongan sebelumnya kerana mereka menghimpun sabar, redha dan bersyukur dengan turunnya ujian kepada dirinya. Mereka yang bersyukur kerana diuji akan mampu tersenyum.

Mereka akan menginsafi apa yang berlaku adalah tanda cinta Allah kepadanya. Mereka akan menyambut cinta daripada Tuhannya dengan tenang dan gembira. Mereka akan memperkemaskan kembali rasa cinta mereka kepada Allah dengan memperbaiki amalannya, berpegang teguh pada sunnah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  serta bersedia berkorban demi Tuhannya yang tercinta.

Namun sangat sedikit sekali mereka yang bersyukur sebagaimana diberitahu Allah dalam surah Saba’, ayat 13 yang maksudnya:

“Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.”

Kerana itu, pupuklah rasa syukur kepada Allah bukan sahaja apabila menerima nikmat, bahkan apabila menerima musibah. Buahkan rasa syukur dengan mengingat Allah (zikrulloh). Sesungguhnya Allah akan mengingat kita apabila kita mengingati-Nya. Allah berfirman dalam ayat 152, surah Al-Baqarah maksudnya:

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Kenali Surat Berantai Gaya Baru Yang Syirik Itu


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

لااله الاالله محمدرسول الله Send this kalimat to 12 nice persons and your financial position improves within 12 hrs. 100% gerenti. Memang aneh tapi NYATA.

Harap rakan-rakan yang dikasihi sekalian berhati-hati terhadap Surat Berantai gaya baru seperti di atas. Ia adalah termasuk dalam kategori surat berantai yang telah difatwakan syirik mempercayai dan menyebarkannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak tahun 1978 lagi.

Apa Itu Surat Berantai?

Bersama kemajuan teknologi, surat berantai juga mengalami kemajuan. Kalau zaman awal kemunculannya, ia ditulis di atas kertas dan dibuat salinan secara fotostat. Namun sekarang ia juga terdapat dalam bentuk emel dan SMS. Ia lebih mudah untuk disebarkan, tak perlu fotostat dan kos lebih murah..malah kalau dengan emel, tiada kos untuk menyebarkannya..lebih mudahlah ia dilakukan. Maka berhati-hatilah.
Kenali bagaimana sesuatu itu boleh termasuk dalam kategori surat berantai. Apa-apa pesanan yang disebarkan sama ada melalui kata-kata, surat, emel, sms dan sebagainya dengan memberi jaminan ganjaran apabila disebarkan berserta atau tanpa ancaman malapetaka apabila tidak menyebarkan, maka ia termasuk dalam kategori surat berantai.
Amaran Mempercayai Rasa Sial

Mempercayai akan jaminan ganjaran serta ancaman bahayanya boleh menyebabkan seseorang itu melakukan syirik kepada Alloh. Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda (maksudnya):
“Ada tiga perkara yang sukar untuk dielakkan, iaitu: bersangka buruk, tathayyur (sial-menyial) dan hasad. Oleh karena itu kalau kamu bersangka buruk jangan kamu percayainya dan laksanakan, dan kalau merasa sial jangan berhenti (dari buat kerja yang dilakukan kerana terpengaruh), dan kalau kamu hasad, jangan lanjutkan.” (Hadith Riwayat Thabarani)
Dan diriwayatkan pula dari Ibnu Mas’ud, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Tathayyur (merasa sial) adalah syirik.” 3 kali.
Dan Ibnu Mas’ud sendiri berkata: “Setaip orang akan ada perasaan-perasaan ‘sial’, dan lain-lain tetapi Allah akan menghilangkannya jika anda bertawakkal.” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Sikap Terhadap Surat Berantai

Sebaiknya apabila menerima perkara seperti surat berantai ini, ambillah isi pesanannya sebagai peringatan, tetapi jangan ambil dan percaya kepada ganjaran serta ancaman yang disertakan. Beri penjelasan kepada rakan yang menyebarkannya bahawa ia termasuk syirik dan wajib dihentikan. Sentiasalah percaya bahawa segala baik-buruk hidup kita tidak dipengaruhi oleh tindakan terhadap surat berantai itu, sebaliknya adalah terserah kepada ketetapan Alloh S.W.T.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Hukum Menyambut Hari Valentine


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sumber: http://akob73.blogspot.com

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.

  • Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.
  • Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

  • Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
  • Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum Menyambut Hari Valentine

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)”. –Al-Baqarah (2) : 120

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”. – al-Hijr (15) : 39-40

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

Tiada Kesialan Pada Bulan Safar

Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: http://akob73.blogspot.com

Masyarakat Arab pada zaman jahiliyah iaitu sebelum kedatangan agama Islam sememangnya terkenal dengan amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan seharian mereka sentiasa dibayangi oleh amalan-amalan syirik, tahyul dan khurafat. Sebagai contoh sekiranya mereka ingin memulakan perjalanan mereka akan melihat gerakan-gerakan sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan sama ada ke kiri atau ke kanan. Mereka beranggapan arah gerakan tersebut boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin akan dihadapi dalam perjalanan tersebut. Sekiranya pada tanggapan mereka gerakan tersebut menunjukkan alamat yang tidak baik maka mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan tersebut. Perkara sebegini disebutkan tathayyur atau meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara. Sebagai contohnya Imam al-Syafi’i r.h pernah berkata:

Dahulu golongan jahiliyah apabila ingin bermusafir akan mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Sekiranya ia terbang ke kanan maka mereka pun keluar atas tanggapan tuah tersebut. Jika ia terbang ke kiri atau ke belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila Nabi s.a.w. diutuskan, baginda menyeru orang ramai: “Kekalkan burung pada sarangnya.” – Riwayat Abu Nu’aim al-Asfahani di dalam Hilyah al-Auliya’

Islam menyelar budaya tathayyur ini dan menganggap ianya merupakan satu perbuatan yang mencemar kemurniaan tauhid kerana ketergantungan hati seseorang kepada sesuatu perkara selain daripada Allah S.W.T. dengan menyakini perkara tersebut boleh membawa mudharat atau manfaat kepada kita. Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah S.W.T semata-mata. Firman-Nya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. – al-Taubah (9) : 51

Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa terhadap kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah S.W.T. tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya. Firman Allah S.W.T.:

Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. – al-A’raaf (7) : 131

Oleh itu bagi sesiapa yang membuat sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur maka dia telah terjebak dalam lembah kesyirikkan.

Daripada ‘Abdullah ibnu ‘Umar r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ
Barangsiapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik. – Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 6748

Daripada ‘Abdullah Ibnu Mas’ud bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

الطِّيَرَةُ شِرْكٌ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلاَثًا وَمَا مِنَّا إِلاَّ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ.
Al-Thiyarah (menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu syirik, al-Thiyarah itu syirik tiga kali. Dan tidak ada seoarang pun dari kita, kecuali (telah terjadi dalam dirinya pengaruh al-Thiyarah tersebut) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, no: 3411.

Melalui hadis di atas kita dapati sedikit sebanyak setiap manusia akan berhadapan dengan perasaan tathayyur ini akan tetapi jika kita bertawakal kepada Allah dalam segala perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi musibah, maka Allah akan menghilangkan perasaan tersebut dari jiwa kita. Sekiranya kita telah terjebak dalam perlakuan tathayyur ini, untuk menebusnya Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita untuk mengucapkan:

اللَّهُمَّ لاَ خَيْرَ إِلاَّ خَيْرُكَ وَلاَ طَيْرَ إِلاَّ طَيْرُكَ وَلاَ إِلَهَ غَيْرُكَ.
Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan-Mu dan tidak ada kesialan kecuali kesialan daripada-Mu dan tidak ada Tuhan selain-Mu. – Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 6748.

Namun apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar, budaya jahiliyah yang diperangi oleh Islam ini seakan-akan muncul semula. Safar adalah bulan kedua dalam kalendar hijrah dan Safar bermaksud kosong atau meninggalkan sesuatu tempat. Penamaan bulan yang kedua ini sebagai Safar adalah kerana kebiasaan orang Arab meninggalkan rumah mereka pada bulan ini bertujuan memerangi musuh-musuh dan mereka juga suka mengembara pada bulan ini. Kebanyakan orang Arab pada zaman jahiliyah beranggapan terdapat kesialan pada bulan Safar ini. Ternyata pemikiran jahiliyah ini masih diwarisi oleh segelintir kecil umat Islam pada zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid. Mereka beranggapan bulan Safar merupakan bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Sesetengah umat Islam menghindarkan diri dari melakukan perjalanan pada bulan safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak. Sebagai contohnya dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitab tersebut memilih untuk menahan diri dari keluar berjalan pada bulan ini dan menasihati agar semua pengikut tarekat tersebut untuk tidak meninggalkan rumah melainkan sekiranya benar-benar perlu. Dalam kitab tersebut dikhabarkan bahawa Syaikh tarekat tersebut ‘Abdullah Faiz Daghestani berkata: “Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penedritaan (bala) akan menimpa dunia. Barangsiapa yang mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa.” Bagi orang Melayu pula mereka menghindari dari melakukan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana dipercayai jodoh pasangan pengantin tersebut akan tidak berkekalan dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat. Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Firman-Nya:

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. – al-Taghaabun (64) : 11

Lantaran itu beberapa amalan bidaah telah dicipta sempanan bulan Safar ini untuk menghindari sebarang bentuk malapetaka yang berkaitan dengan kedatangan bulan tersebut.

MANDI SAFAR
Orang Melayu satu ketika dahulu mengamalkan Mandi Safar atau mandi beramai-ramai ditepi sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu ritual untuk menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa. Orang Melayu berarak menuju ke destinasi terpilih diiringi dengan alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Setelah itu mereka mambaca jampi tertentu atau menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya. Sebenarnya amalan mandi Safar ini diwarisi dari budaya Hindu. Walaupun Pesta Mandi Safar ini semakin terhakis dalam umat Melayu terdapat sesetengah pihak yang melakukan pembaharuan dalam upacara ini. Maka diarahnya penulisan ayat-ayat tertentu di atas kertas atau papan dan direndam di dalam kolah ataupun tangki berisi air untuk seluruh ahli keluarga bermandi dengannya. Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry berkata:

Orang-orang awam biasa menulis ayat-ayat tertentu tentang keselamatan di atas kertas, misalnya ayat:

“Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam! ” (al-Saaffaat (37) : 79) pada hari Rabu terakhir bulan Safar, kemudian meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya dan untuk mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan bahawa hal ini akan menghilangkan nasib buruk. Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang. – Rujuk al-Sunnan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqahbi al-Adzkaar wa al-Shalawaat karya Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah-Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 149

Upacara yang disebut oleh Syaikh Muhammad ‘Abdussalam ini biasanya dikerjakan di Masjid di antara solat Maghrib dan Isyak pada hari Rabu terakhir bulan Safar.

SOLAT SUNAT
Pada hari Rabu terakhir bulan Safar kononnya disunatkan untuk mengerjakan solat sunat empat rakaat. Waktu mengerjakannya adalah setelah terbit matahari dan sebelum masukya waktu Zuhur. Pada setiap rakaat hendaklah dibaca surah al-Fatihah sekali, surah al-Kautsar tujuh belas kali, al-Ikhlas lima kali, Surah al-Falaq dan al-Naas sekali dengan dikerjakan dengan hanya satu tahiyat. Setelah selesai solat ini hendaklah membaca doa seperti berikut:

Ya Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, wahai zat yang kerana kemuliaan-Mu semua makhluk-Mu menjadi hina. Jauhkan aku dari kejahatan makhluk-Mu. Wahai zat yang Maha Baik, Indah dan Mulia, wahai Pemberi Nikmat dan Kemuliaan, wahai Zat yang tiada Tuhan kecuali Engkau, kasihanilah aku dengan rahmat-Mu wahai zat yang Maha Pengasih. Ya Allah dengan rahsia Hassan, saudaranya, ayah, ibu dan keturunnanya, jauhkan aku dari kejahatan hari ini dan apa turun pada hari ini, wahai zat yang memenuhi segala keperluan dan penolak segala bencana. Semoga Allah menjauhkannya kerana Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semoga selawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Muhammad, keluarga dan seluruh sahabatnya. – Doa ini bersumber dari Risalah Rawi al-Dzam’an fi Fadhaail al-Asyhur al-Ayyam, ms. 4. Penulis nukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 139

Ternyata tidak ada dalil yang sah menunjukkan solat suna serta bacaan doa tersebut disunatkan. Apatah dalam doa tersebut terdapat lafaz-lafaz tawassul yang dilarang oleh syarak iaitu menjadikan Hassan (r.a), Hussain (r.a), Ali (r.a), Fathimah (r.a) serta keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa. Allah S.W.T. memerintahkan hamba-Nya untuk berdoa secara terus kepada-Nya tanpa perantaraan sebagaimana firman-Nya:

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. – al-Ghaafir (40) : 60

BACAAN SURAH DAN ZIKIR TERTENTU
Dalam buku al-Futuhat al-Haqqaniy pengikut tarekat tersebut diajar amalan tertentu untuk hari Rabu terakhir bulan Safar bertujuan untuk menolak bala. Di antara amalan-amalannya adalah membaca kalimah syahadah sebanyak tiga kali, beristighfar tiga ratus kali, membaca ayat al-Kursi tujuh kali, suraf al-Fiil tujuh kali dan dihadiahkan kepada diri sendiri dan juga ahli keluarga.

MEMBERI SEDEKAH
Konnonnya dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan Safar bertujuan untuk menjauhkan diri dari penderitaan dan nasib malang.

BERKORBAN
Terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjurkan untuk mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar.

Ternyata kesemua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar di atas tidak pernah diperintah oleh Rasulullah s.a.w. serta tiada seorang sahabat mahupun para al-Salafussoleh yang mengamalkannya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718

Lantaran itu hendaklah seluruh umat Islam menghindarkan diri dari melakukan amalan-amalan bidaah tersebut. Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa segala tanggapan bahawa bulan Safar adalah bulan yang penuh dengan musibah dan bencana buruk adalah tidak benar. Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلاَ هَامَةَ.

Tiada penyakit yang berjangkit (dengan sendiri), tiada (keburukan ataupun kesialan pada bulan) Safar dan tiada (kecelakaan yang bersangkutan dengan) burung hantu. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5717

Dugaan bahawa bulan Safar mahupun hari Rabu terakhir bulan Safar merupakan bulan ataupun hari yang malang merupakan sebahagian dari tathayyur yang dicela oleh syarak sebagaimana yang telah dibahaskan pada bahagian awal risalah ini. Menurut Ibnu Rajab r.h:

Menganggap sial bulan Safar adalah termasuk jenis tathayyur yang dilarang, begitu juga menganggap sial sesuatu hari seperti hari Rabu dan anggapan golongan jahiliyah terhadap bulan Syawal sebegai bulan sial secara khusus untuk dalam nikah. – Dinukil dari kitab Fathul Majid : Syarah Kitab Tauhid karya Syaikh ‘Abdurrahman bin Hassan Alu Syaikh, edisi terjemahan bertajuk Fathul Majid Penjelasan Kitab Tauhid, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), ms. 580

Harus kita fahami bahawa mencela waktu yang tertentu adalah seolah-olah mencela Allah S.W.T kerana semua waktu itu adalah ciptaan Allah S.W.T.. Bagi setiap waktu termasuk bulan Safar ini sekiranya dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat serta amal soleh adalah termasuk dalam waktu yang baik dan penuh keberkatan. Oleh itu hendaklah bulan Safar ini dilihat seperti bulan-bulan yang lain dalam kalendar hijrah dan kita terus mengerjakan amal-amal ibadah yang disunnahkan seperti bulan-bulan lain tanpa mengkhususkan amalan tertentu yang tidak ada nas dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Hendaklah kita menghindarkan diri dari melakukan ramalan bahawa akan datang sesuatu perkara yang buruk disebabkan sesuatu perkara (tathayyur) kerana ianya termasuk dalam kategori amalan syirik. Ternyata syirik merupakan satu perbuatan yang zalim dan Allah S.W.T. tidak akan mengampunkan golongan yang mengsyirikannya melainkan bagi mereka yang bertaubat. Firman-Nya:

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. – Luqman (31) : 13

Firman-Nya lagi:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan (dosa) selain kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” – Surah al-Nisa’ (4) : 116.