Doa Ketika Ditimpa Musibah

doa_ditimpa_musibah

Rakaman khutbah Jumaat oleh Ustaz Johari Abdul Wahab mengenai doa menghadapi musibah, klik untuk dengar atau download (10MB)

Dalam Shahih Muslim, disebut Bab Doa Ketika Ditimpa Musibah, salah satu hadithnya ialah:

Dari Ummu Salamah, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah seorang muslim ditimpa musibah, lalu dia mengucapkan doa yang diperintahkan oleh Allah,

إِنَّا لِلَّهِ وَ إِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. الَّهُمَّ أَجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا.

Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un. Allahumma ajurni fi mushibati wa akhlif li khairan minha
(Sungguh kami hanya milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Ya Allah, berilah aku pahala kerana musibah yang menimpaku ini dan gantikanlah untukku dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.)

melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dari yang hilang.”

Ummu Salamah melanjutkan, “Saat Abu Salamah meninggal, aku berkata, ‘Siapa di antara kaum muslimin yang lebih baik dari Abu Salamah? Iaitu keluarga yang pertama kali hijrah menuju Rasulullah s.a.w. Aku tetap mengucapkan doa itu hingga Allah mengganti Abu Salamah dengan Rasulullah s.a.w.”

Ummu Salamah melanjutkan, “Rasulullah s.a.w mengutus Hatib bin Abu Balta’ah untuk meminangku. Aku menjawab, ‘Aku sudah punya puteri dan aku adalah wanita pencemburu.’ Rasulullah s.a.w lalu bersabda, ‘Semoga Allah mencukupkan Ummu Salamah dengan puterinya dan semoga kecemburuan Ummu Salamah hilang.”

Jemput baca artikel berkaitan: Bila ditimpa musibah, termasuk golongan manakah kita?

Gambaran Taqwa

Dalam Tafsir Ibn Kathir, disebut bahawa Umar Al-khattab r.a bertanya kepada Ubay bin Ka’ab r.a mengenai taqwa, lalu Ubay bertanya kepadanya: “Apakah engkau pernah melalui jalan berduri?” Umar menjawab: “Ya.” Ubay bertanya lagi: “Lalu apa yang engkau lakukan?” Umar menjawab: “Aku akan berusaha keras dan bersungguh-sungguh untuk menghindarinya.” Lalu Ubay mengatakan: “Itulah taqwa.” [Tafsir al-Baghawi (I/59) dan Jaami’ul ‘Uluum wal Hikam (I/260)]

Ini sedikit gambaran duri-duri yang patut kita elak untuk capai taqwa. mencapai_taqwa Untuk menempuh pelbagai duri, mesti dengan adanya ilmu. Kenali apa itu syirik, apa itu perintah Allah, apa itu larangan Allah, apa itu bid’ah, apa itu ahklak mazmumah, apa itu cerita dusta dalam agama dan apa itu dosa-dosa kecil. Tanpa mengenalnya, mana mungkin kita terlepas daripada tertusuk duri-duri itu?

Puasa: Pengajaran Kisat Tholut Dalam Surah Al-Baqarah

Dikongsikan semula daripada tulisanku dalam forum maya bincang.net pada tahun 2006 moga masih dapat dimanfaatkan:

Dibawakan kepada anda kupasan beberapa potong ayat dalam surah Al-Baqarah yang diharapkan dengannya, dapat menambahkan lagi keimanan kita.

[246] Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. 

[247] Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. 

[248] Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”. 

[249] Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”. 

[250] Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir” 

[251] Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam. 

[252] Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah. 

[253] Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. 

[254] Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

 Kita diseru melihat kisah ini kerana terdapat suatu pengajaran yang perlu kita ketahui. 

Pada masa itu, Bani Israel meminta Nabi Samuel untuk dilantik seorang ketua (raja), untuk memerangi Jalut dan pengikutnya yang telah menghalau mereka dari perkampungan mereka. Ditanya jika difardukan perang, adakah mereka akan pergi berperang, mereka katakan sanggup. Tetapi bila difardukan ramai pula yang berpaling melainkan sedikit yang tinggal.

Kemudian Nabi Samuel memaklumkan Allah SWT telah melantik Tholut, seorang rakyat biasa yang tiada darah raja ataupun nabi, serta tiada kekayaan. Maka Bani Israel ini pula persoalkan mengapa Tholut dilantik, dan merasakan beliau tidak layak sedangkan Allah telah kurniakan kebijaksanaan dan kekuatan. Mereka meminta bukti bahawa Tholut lebih layak menjadi ketua.

Lalu didatangkan kepada mereka bukti iaitu turunnya Tabut iaitu peti kayu bersalut emas dengan dibawa Malaikat. Dalam riwayat (ada yang daif), di dalam peti itu terdapat gambar nabi-nabi dari Nabi Adam hingga yang terakhir selain adanya cebisan-cebisan Kitab Taurat peninggalan Nabi Musa dan Nabi Harun, kasut dan tongkat Nabi Musa, Serban Nabi Harun serta sumpit.

Akhirnya mereka bersetuju Tholut menjadi pemimpin mereka. Maka Tholut membawa tenteranya seramai 70,000 / 80,000 / 120,000 (berbeza mengikut riwayat), termasuk Nabi Daud. Pada waktu itu ialah musim panas. Tentera-tenteranya kehausan dan meminta Tholut memohon didatangkan air. Maka Tholut memaklumkan akan mereka temui sebatang sungai dihadapan, nanti.

Tetapi Tholut berpesan, sungai itu adalah ujian Allah SWT, bahawa sesiapa yang meminumnya dengan banyak maka dia bukanlah tergolong dalam golongannya melainkan yang hanya meminumnya sekadar secebuk ditangan. Lalu mereka temui sungai di antara Urdus (Jordan) dan Palestin. Tanpa mengingati pesanan Tholut, mereka meminum air sungai itu sepuas-puasnya melainkan sedikit sahaja yang mengikut pesanan Tholut. Diriwayatkan hanya 313 orang sahaja yang mengikut pesanan Tholut.

Setelah berehat, mereka meneruskan perjalanan dengan menyeberangi sungai itu. Tetapi hanya yang mengikut pesanan itu sahaja yang melepasi, sedangkan yang lain tak dapat menyeberangi sungai itu. Sedangkan yang lain takut dan keberatan untuk teruskan perjalanan untuk berperang. 

Mereka yang tinggal itu tetap yakin walaupun hanya sedikit sedangkan lawan mereka sangatlah ramai berpuluh-puluh ribu. Akhirnya, dengan izin Allah SWT, mereka menang dan Nabi Daud telah berjaya membunuh Jalut.

Banyak pengajaran yang terdapat di dalam kisah ini, antara yang boleh saya senaraikan ialah:

  • Tetap dan yakinlah dengan perintah dan ketentuan Allah SWT. Seperti dalam kisah ini, Allah SWT telah menetapkan Tholut sebagai pemimpin mereka. Sebagai orang yang beriman, seharusnya ketetapan itu diterima tanpa bantahan. Kisah ini juga jangalah tidak diyakini kebenarannya. Ambillah pengajaran daripadanya. Suatu perintah itu tentu ada hikmah yang tersembunyi.
  • Berbuka puasalah sekadar mengurangkan rasa lapar, bukannya makan dan minum sepuasnya setelah masuknya waktu berbuka. Ia boleh menyebabkan kita berasa malas untuk menunaikan solat Maghrib selepas itu, serta Isya’ dan solat sunat Taraweh. Begitu juga diwaktu tidak berpuasa. Apabila makan, janganlah terlalu kenyang, sebaliknya kosongkan sedikit ruang di dalam perut kita untuk pengudaraan yang baik kepada perut.
  • Puasa orang yang beriman sebenarnya dapat membina kekuatan, bukannya menyebabkan badan menjadi lemah. Muhasabahlah diri kita, bagaimana puasa kita. Adakah dengan berpuasa, badan kita menjadi lemah? Lihat sahaja tentera Tholut yang lemah imannya tidak terdaya meneruskan perjuangan, sedangkan mereka yang minum sekadar seceduk air itu mempunyai kekuatan untuk menghadapi musuh yang ramai.
  • Doa orang berpuasa adalah mudah dimakbulkan Allah SWT. Maka banyakkan lah berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat apabila kita berpuasa.


Setakat itu sahaja daripada hamba yang daif ini. Semoga ia memberi pengajaran kepada kita semua. Sebarkanlah kupasan kisah ini, seperti yang telah disebutkan di dalam terjemahan ayat terakhir yang saya petik di atas:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Cara Islam Mengatasi Sifat Keluh Kesah

( سورة المعارج )
إِنَّ الاِْنسَانَ خُلِقَ هَلُوعًا (١٩) إِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًا (٢٠) وَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًا (٢١) إِلَّا الْمُصَلِّينَ (٢٢) الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ (٢٣) وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ (٢٤) لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (٢٥) وَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ(٢٦) وَالَّذِينَ هُم مِّنْ عَذَابِ رَبِّهِم مُّشْفِقُونَ (٢٧) إِنَّ عَذَابَ رَبِّهِمْ غَيْرُ مَأْمُونٍ (٢٨) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (٢٩)إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (٣٠) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (٣١) وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (٣٢) وَالَّذِينَ هُم بِشَهَادَاتِهِمْ قَائِمُونَ (٣٣) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (٣٤)أُوْلَئِكَ فِي جَنَّاتٍ مُّكْرَمُونَ (٣٥)
(Al-Ma’aarij 70:19-35)
Terjemahan:
(19) Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir (lokek).
(20) Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah.
(21) Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir.
(22) Kecuali orang yang mengerjakan salat.1
(23) Yang mereka itu tetap mengerjakan salatnya.
(24) Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu.2
(25) Bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta).
(26) Dan orang-orang yang mempercayai Hari Pembalasan.3
(27) Dan orang-orang yang takut terhadap azab Tuhannya.4
(28) Karena sesungguhnya azab Tuhan mereka tidak dapat orang merasa aman (dari kedatangannya).
(29) Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya.5
(30) Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak-budak yang mereka miliki, sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela.
(31) Barangsiapa mencari yang dibalik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
(32) Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat6 (yang dipikulnya) dan janjinya.
(33) Dan orang-orang yang memberikan kesaksiannya.7
(34) Dan orang-orang yang memelihara salatnya.8
(35) Mereka itu (kekal) di syurga lagi dimuliakan.
Tafsirannya:
(19)Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan bahwa fitrah semulajadi setiap manusia adalah dijadikanNya dalam keadaan Halu’ (هَلوْع) iaitu keluh kesah atau serba salah. Syekh Muhammad Bin Thahir ketika ditanya tentang makna Halu’, beliau menjawab: Allah telah menafsirkan makna Halu’ pada ayat sesudahnya, Dan tidak ada tafsir yang paling jelas daripada tafsiran Allah sendiri.
(20)Halu’ ialah seperti sifat seseorang yang apabila ia ditimpa kesusahan seperti kemiskinan, sakit, luput daripadanya seseorang yang dia sayangi samada harta, anak, kekasih, keluarga dan lain-lain maka ia tidak redha dan tidak sabar menghadapinya.
(21)Dan sebaliknya, apabila dia mendapat kesenangan, kemewahan hidup, maka dia tidak bersyukur kepada Allah di atas nikmat-nikmat itu. Dia bakhil, kikir dan enggan mengeluarkan zakat, bersadakah dan menolong orang-orang yang berhajat.
Jadi (هَلُوْعٌ) maknanya: Cepat berduka ketika ditimpa musibah dan cepat enggan ketika mendapat kesenangan. Itu sebabnya orang Arab jika mengatakan (نَاقَة هَلوُعٌ ) artinya onta yang cepat jalannya.
Sifat manusia seperti ini dinyatakan juga olih Allah dalam surah Al-‘Aadiyat:
(إِنَّ الْإِنسَانَ لِرَبِّهِ لَكَنُودٌ) artinya: Sesungguhya manusia itu sangat ingkar terhadap Tuhannya. Ulama Tafsir mengartikan: (كَنُودٌ) dengan makna suka menghitung-hitung musibah yang menimpanya dan melupakan nikmat yang diterimanya daripada Allah. Jadi Halu’ pada ayat di atas hampir sama dengan makna Kanuud dalam Al-‘Aadiyat.
Tabiat semulajadi manusia adalah bersifat jelek kecuali orang-orang yang mendapat taufiq dan perlindungan Allah. Allah berikan dia bimbingan kepada kebaikan dan Allah permudahkan baginya untuk melakukan sebab-sebabnya. Dan di antara sebab-sebab yang bolih menghindarkan manusia daripada sifatHalu’ (kelus kesah dan kikir) di atasi sebagaimana berikut:
(22)Orang-orang yang mengerjakan salat.
Ini tidak berarti asalkan salat tetapi mestilah salat yang mempunyai ciri-ciri sebagaimana dalam ayat berikutnya.
(23)Iaitu orang yang tetap (دَائِمٌ) mengerjakan salatnya.
Ulama tafsir menafsirkannya dengan makna: Salat yang sempurna rukunnya, syaratnya, adab-adabnya. Tetap melakukan pada waktunya, menjaga thuma’ninah dan khusyu’. Jadi tidak termasuk ke dalam jenis ini salat itu orang-orang yang terkadang tidak ataupun melakukannya dengan cara yang tidak sempurna.
(24)Orang-orang yang tahu bahwa di dalam harta miliknya terdapat hak-hak orang lain yang berhak menerimanya iaitu orang miskin, apakah dalam bentuk zakat atau sadakah. Dan Allah menjelaskan pada ayat berikutnya bahwa orang miskin itu ada dua jenis, iaitu:
(25)Orang-orang miskin yang meminta dan orang-orang miskin yang tidak meminta.
Ini seolah-olah memberi isyarat bahwa orang yang wajib mengeluarkan zakat tidak semestinya hanya menunggu fakir miskin datang ke rumahnya untuk meminta zakatnya, tetapi dialah yang mesti mencari orang miskin untuk menyampaikan zakat dan sadakahnya. Dan ini pulalah rahsianya mengapa perintah zakat digunakan dengan istilah
(وَآتُواْ الزَّكَاةَ) artinya: Datangilah zakat.
(26)Orang-orang yang mempercayai Hari Pembalasan.
Mereka meyakini apa yang diberitakan olih Allah dan RasulNya tentang pembalasan, kebangkitan sehingga mendorong mereka membuat persiapan untuk bekal akhirat. Menurut Said Qhutb dalam tafsirnya ‘fii Zilaal Al-Quran’: Sifat inilah yang paling menonjol dan berperanan dibandingkan dengan sifat daripada sifat Halu’, sebab dengan keyakinan yang mantap akan adanya hari pembalasan membuat seseorang akan dapat tabah jika ditimpa musibah dan segera bersyukur jika mendapat nikmat.
(27)Orang-orang yang takut terhadap azab Tuhannya.
Mereka adalah orang yang merasa gerun meninggalkan kewajiban dan gerun melakukan larangan Allah. Jadi orang yang sentiasa takut terhadap taklif (bebanan) dari Allah mereka akan waspada dan berhati-hati selalu dari mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Allah SWT. Mengapa orang beriman sentiasa takut akan azab Allah? Allah menjelaskan sebab utamanya pada ayat berikut:
(28)Karena sesungguhnya azab Tuhan mereka tidak dapat orang merasa aman (dari kedatangannya).
Setiap mukmin tidak bolih merasa aman dari azab Allah. Apakah mereka mengira bahwa amalan mereka bolih menjamin mereka terhindar dari azab Allah? Bagaimana kita bolih merasa aman dengan amalan yang kita buat, sedangkan amalan kita belum tentu diterima olih Allah? Nabi (sallallahu alayhi wasalam) pernah bersabda:
Tidaklah sekali-kali amalan seseorang yang memasukkannya ke dalam syorga. Sahabat bertanya: Apakah tuan juga demikian? Jawab Nabi: Saya juga demikian, dan yang memasukkan saya ke dalam syorga adalah berkat rahmat Allah kepadaku.
Itulah sebabnya salafussalih (orang-orang salih masa silam) sangat taat terhadap perintah Allah dan memperbanyakkan ibadah karena mereka sangat takut kepada azab Allah.Keadaan ini tergambar jelas di dalam ungkapan mereka, antara lain:
(ليْتَ اُمِى لَمْ تَلِدْنِى) artinya: Alangkah baiknya kalau ibu tidak melahirkan daku. (لَيْتَنِى شَجَرَةٌ تُعْضَدُ) artinya: Alangkah baiknya kalau aku ini menjadi pohon kayu yang dipotong.
(29)Orang-orang yang menjaga kemaluannya.
Orang-orang yang menjaga kehormatan dirinya iaitu dengan menjauhkan dirinya daripada perzinaan, homoseks, lesbianisme, onani dan lain-lain cara yang tidak diredhai. Dan Allah membolihkan pemuasan nafsu seks sebagaimana tertera dalam ayat berikut:
(30)Kecuali terhadap-isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela.
(31)Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
Secara tersirat ayat ini mengharamkan nikah mut’ah karena wanita yang dikahwini secara mut’ah bukan isteri yang sah dan bukan pula budak yang dimiliki.
(32)Dan orang-orang yang memelihara amanah dan menepati janji.
Amanah dan janji yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah mencakupi semua janji dan amanah, apakah antara hamba dengan Allah seperti semua bentuk taklif (bebanan agama) ataupun dengan sesama manusia seperti harta, rahsia dan lain-lain.
(33)Orang-orang yang memberikan kesaksiannya.
Maksudnya mereka memberi penyaksian yang sebenarnya tanpa menambah atau menguranginya apalagi memalsukannya walaupun terhadap kaum kerabat sendiri.
Ada pula yang mengartikan penyaksian di sini dengan mereka yang melaksanakan tuntutan dikandung dua kalimah syahadat.
(34)Orang-orang yang memelihara salat mereka.
Sifat pertama orang yang akan terhindar dari sifat Halu’ dalam ayat–ayat ini diawali dengan salat dan diakhiri dengan salat, ini menunjukkan bahwa salat sangat penting untuk tujuan tersebut.
Dan Allah berjanji selain menghindarkan orang yang memiliki sifat-sifat di atas daripada sifat Halu’ juga akan memasukkan mereka ke dalam syorga dan meeka dimuliakan di dalamnya.
(35)Mereka itu (kekal) di syorga lagi dimuliakan.

3S: Seronok + Selesa + Senang = Kos Hidup Diada-adakan Sendiri

Maksud ayat 27 Surah-Assyu’ara:

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.”

Masyarakat sudah terlalu biasa dengan kelazatan dunia (3S: seronok, selesa, senang) dan ramai yang enggan kurangkan 3S ini. Cuba lihat keadaan ini:

– keperluan kalori orang biasa (tak kerja berat) sekadar 2,000 kcal. Tapi berapa ramai yang makannya menyebabkan kebuncitan bahkan obesiti? Boleh tak makan tengahari dan malam dengan nasi hanya sekadar sesenduk-dua?

– aircond dengan tetapan suhu 28 darjah celcius sudah nyaman, tapi berapa ramai yang set hingga 16 – 20 darjah celcius hingga terpaksa pakai baju sejuk atau selimut tebal?

– memandu kereta di awal pagi yang masih sejuk, berapa ramai yang tetap gunakan aircond berbanding hirup udara segar sedia ada? ION negatif yang baik untuk kesihatan banyak dapat dinikmati dalam suasana sejuk selepas hujan, ribut petir dan berada di kawasan sejuk dengan tumbuhan hijau.

– berbuka bulan Ramadhan dengan membeli pelbagai juadah di bazaar, sedangkan ia tidak mampu dihabiskan.

– Eidul Fitri disyariatkan sehari, tapi berapa ramai yang berseronok dengan jamuan raya sana-sini hingga sebulan hingga berat badan naik, hingga puasa enam hari Syawal pun tak mampu buat?

– inflasi sentiasa naik, tapi tak mahu kalah untuk tampil mewah, pakaian mahu sentiasa berjenama hebat, fesyen mesti terkini, gadget tukar selalu saban masa.

– tabung simpanan untuk masa depan tak sebanyak mana, tapi tetap tak lepas berlibur, filem baru saja mesti nak kena ke panggung wayang.

Kalau semua ini ada pada kita, tak perlulah merungut dengan kenaikan harga petrol. Tanpa kenaikan pun, kita sudah banyak membebankan diri kita dengan kos hidup yang kita ada-adakan sendiri.

Sindir-menyindir Bukan Budaya Islam

“Marah anak, sindir menantu”, adakah kalian suka dengan budaya ini jika kalian yang sentiasa disindir? Ketahuilah, sindir-menyindir / sarkastik / as-suhriyah adalah budaya yang dilarang oleh Allah dalam Al-Quran. Bahasa sindiran adalah bahasa Allah menyindir ahli neraka. Ia juga bahasa yang diguna oleh orang yang dalam dirinya ada sifat nifaq dan kufur. Kita sebagai muslim mukmin jom azam hentikan budaya ini daripada diri kita, ahli keluarga kita seterusnya masyarakat kita.

Allah menegur orang beriman mengenai budaya kata-kata yang menyakitkan hati orang lain melalui ayat 11, Surah Al-Hujurat:49:11

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

 Manakala dalam ayat 79 Surah At-Taubah menunjukkan budaya mencela dengan menyindir dan mengejek adalah sifat orang munafik:

9:79

Maksudnya: “Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, – Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Contoh ayat sindiran yang biasa kita dengar yang patut diubah:

“Otak letak lutut ke, benda macam tu pun tak boleh nak fikir?”

“Masa mak cakap tadi, tidur ke? Cawan letak atas meja, bukan di lantai. Yang letak di lantai, namanya bola. Kan dah tersepak cawan tu.”

“Kamu ni nak merawat pesakit ni atau nak bunuh pesakit ni? Masukkan endoscopy macam bomba nak padam api.”

Sakit hati tak? Sila fikirkan ayat pengganti yang lebih baik, jika kita sering menggunakan ayat sindiran begini.

Bahaya ibubapa dan guru kerap menyindir anak kecil untuk memarahi, menegur dan menasihat: ia bukan hanya menimbulkan rasa kesal, bahkan sakit hati, rasa tidak dihargai, tidak disayangi dan sebagainya. Apa akan jadi pada anak yang sentiasa disakitkan hatinya? Mereka yang sering rasa sakit hati, tidak dihargai dan tidak disayangi berbeza tingkahlaku dan sikapnya berbanding dengan anak-anak yang tidak selalu disindir. Cuba ubah kata-kata kita tanpa memasukkan sindiran, perhatikan perubahan positif pada anak tersebut.

Dengar lebih lanjut dalam rakaman kuliah di bawah ini yang menyebut mengenai budaya sindir-menyindir yang perlu dibuang daripada masyarakat kita:

Kuliah Maghrib 7.10.2012
Penceramah : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Tempat : Surau an-Nur Bandar Baru Bangi
Link : http://www.mediafire.com/?xbbvi72g8h5zm23