Awan Gelap, Guruh Berdentum, Angin Menghempas

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Bumi bertuah ini sudah lama berminggu-minggu tidak disirami hujan. Bahang matahari terasa panasnya hingga ke subuh hari. Sedangkan biasanya, di tengah malam sudah mula terasa dingin si embun jantan. Banyaklah didengari keluhan ramai insan kerdil yang tidak dapat menahan ujian ‘panas dunia’ ini.

Akhirnya apa yang dinanti-nanti mula bertandang. Petang itu, awan tebal yang gelap menyelimuti langit dalam masa yang singkat. Guruh berdentum di sana sini. Angin kencang menghempas apa saja yang berada pada laluannya. Maka bergembiralah kita si insan kerdil. Seronoknya bukan kepalang! Ingin saja berkejaran ke luar premis bangunan merasakan titik-titik hujan yang mampu mendinginkan semula bumi yang hangat membahang ini.

langit_gelap

Lalu titik-titik hujan pun bertaburan. Awalnya ia sekadar titik-titik gerimis yang mampu menenggelamkan harapan semua, namun akhirnya hujan lebat membasahi bumi semahu-mahunya. Dan selepas hampir satu jam. Langit kembali cerah dengan beberapa tompok awan gelap yang semakin menghilang. Terik mentari kembali menyinar, namun dirasakan tidak sepanas sebelum ini. Inilah satu nikmat yang sangat disenangi oleh ramai antara kita. Maha pemurahnya Allah! Dialah yang mendamaikan ketika kita berkeluh-kesah. Dialah yang mendinginkan ketika kita berpeluh keringat. Namun berapa ramai yang menyedari akan nikmat ini?

Maka sama-samalah kita tinjau seketika kitab hadith, bagaimana baginda Muhammad صلى الله عليه وسلم berinteraksi dengan keadaan sebegini. Diriwayatkan dalam Kitab Shahih Bukhari yang maksudnya;

Dari ‘Aisyah R.A katanya: Nabi صلى الله عليه وسلم kalau melihat awan gelap di langit, baginda menghadap, membelakang, masuk dan keluar, dan berubah wajah baginda. Dan kalau hujan turun dari langit, baginda gembira (tenang kembali). Aisyah berkata: Lalu saya tanyakan yang demikian itu kepada baginda. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:

“Setelah mereka melihat awan terbentang di langit, datang menuju ke lembah, mereka itu berkata: Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami! Bukan! Itulah (bahaya) yang kamu minta supaya datang dengan segera! Angin yang mengandung siksaan yang pedih! (Ayat 24, Surah Al-Ahqof)”

Subhanallah! Di saat gembira begitu, rupanya baginda صلى الله عليه وسلم resah gelisah kuwatir andai tanda-tanda hari akan hujan itu sebenarnya bukan membawa hujan, tetapi membawa bala Allah. Baginda صلى الله عليه وسلم mengingati peristiwa kehancuran Kaum ‘Aad yang mana telah berkali-kali diberi peringatan agar tidak menyembah selain Allah sejak sebelum Nabi Hud A.S lagi. Dan di lembah Al-Ahqof itu kaum ‘Aad telah meminta daripada Nabi Hud A.S, “Datangkanlah kepada kami azab yang telah kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar.”

Maka, kaum ‘Aad yang ternanti-nanti turunnya hujan itu ketika bergembira kerana awan gelap menyelubungi langit, akhirnya bukan menurunkan titik-titik hujan, tetapi menurunkan azab yang menghancurkan mereka sehingga tiada berbekas melainkan bekas-bekas tempat tinggal mereka sahaja.

Marilah sama-sama kita menginsafi dan mengingati peristiwa ini tatkala awan gelap berarak menyelimuti langit, ketika angin kian bertiup kencang, sewaktu guruh berdentum memancar kilat. Semoga kita terselamat daripada azab yang pedih di dunia mahupun di akhirat.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Tinggalkan Balasan