Islam yang kita kenali


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kita imbas semula ingatan kita…sejak kita dilahirkan hinggalah hari ini, apakah Islam yang kita kenali? Adakah kita benar-benar kenal Islam yang kita anuti? Sama-sama kita bongkar buah fikiran kita berkenaan Islam yang kita kenali.

Cuba saudara-saudari renungkan semula..ketika usia kita kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa, kita diceritakan berkenaan Islam, Allah, Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم , kita diajarkan Solat, diajarkan puasa, diajarkan membaca Al-Quran, diajarkan menutup aurat, diceritakan perihal Tuhan, Malaikat, Nabi-nabi, Syurga-Neraka, kiamat dan macam-macam lagi berkaitan Islam dan Iman.

Dan masa pun berlalu, daripada usia kanak-kanak, kita telah meningkat remaja..kemudian menjadi seorang dewasa seperti sekarang ini. Sepanjang kita mula belajar berkenaan Islam, sehinggalah hari ini, bagaimana sebenarnya kita mengenali Islam? Adakah tahap mengenali Islam pada usia kita hari ini masih sama dengan tahapnya pada usia kita 12 tahun?

Jika datang seorang Ustaz membawa ajaran ganjil yang diceritakan itulah Islam yang sebenar, adakah pengetahuan kita mampu menilainya sama ada ia adalah sesat atau benar? Andai ada anak kecil bertanya kepada kita perihal Tuhan, mampukah kita memberi jawapannya? Sekiranya ada non-muslim yang ingin tahu tentang Islam, mampukah kita bercerita hingga beliau tertarik untuk menyertai Islam? Kalau ada kemusykilan dalam sesuatu amalan, mampukah kita mendapatkan jawapan bagi kemusykilan itu?

Saya bukan berniat untuk mengajarkan Islam satu persatu sedari awal itu, tetapi sebenarnya adalah sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan saudara saudari yang membaca agar menilai semula tahap kita mengenali Islam yang kita dukung setiap hari ini.

Maka sama-samalah kita pupuk rasa bahawa Islam yang kita kenali sebenarnya masih belum cukup dan mestilah diusahakan untuk mengenalinya dengan lebih lanjut serta mengingati semula apa yang telah kita pelajari sebelum ini.

Mempelajari ilmu berkenaan Islam sepatutnya tidak terhenti di zaman persekolahan sahaja. Ia sepatutnya menjadi rutin kita sehingga akhir hayat, kerana mengenali Islam adalah penting di mana tanpa mengenali Islam yang kita pegang dan amalkan, amalan itu boleh menjadi sia-sia. Sia-sia andai pada waktu itu, hati sedang mensyirikkan Alloh tanpa disedari. Sia-sia juga andai pada masa yang sama, amalan tidak menepati apa yang sebenarnya diajarkan di dalam Islam.

Cubalah saudara-saudari peruntukkan sebahagian masa yang dianugerahkan kepada kita untuk kita mendalami Islam. Sibuk berkerja sepatutnya bukan menjadi alasan kita untuk tidak memberikan sebahagian masa lapang kita untuk mendalami Islam. Waktu yang kita gunakan untuk berhibur dan berlibur selepas waktu berkerja serta pada cuti umum, saya kira cukup banyak.

Cuba saudara-saudari kira, berapa lama masa telah dihabiskan untuk berbual-bual isu semasa serta bergosip bersama rakan dan ahli keluarga, menonton rancangan realiti, drama dan wayang serta masa yang telah dihabiskan untuk mendengar muzik dan membaca suratkhabar serta majalah kegemaran.

Kemudian cuba saudara-saudari kira pula berapa lama masa telah dihabiskan untuk mendengar siri kuliah agama di masjid-masjid dan surau-surau berdekatan, membaca buku-buku untuk mengenali dan mendalami Islam, mengikuti perbincangan mengenai isu-isu semasa Islam, berbincang berkenaan kemusykilan agama dan bermuhasabah diri mengingat semula dosa-dosa lama serta kekurangan-kekurangan amalan mendekatkan diri kepada Alloh.

Jadi adakah benar kita tidak punyai masa? Sama-samalah kita nilaikan semula. Maksud ayat 69, Suroh Al-‘Ankabuut:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Sekian, jumpa lagi di lain waktu.

Tinggalkan Balasan