Berkorban Demi Ilmu


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sebut saja Imam Nawawi, tentu ramai yang biasa mendengarnya. Namun, tidak ramai yang mengetahui biografinya. Di dalam mana-mana catatan biografinya, ramai para ulama menceritakan bagaimana tingginya pengorbanan beliau demi ilmu agama Islam. Kemasyhurannya merentasi pelbagai disiplin ilmu seperti Fiqh, Hadith, Ulum Al-Hadith, Nasab, Tarikh, Bahasa Arab dan sebagainya.

Nama sebenar Imam Nawawi ialah Yahya bin Syaraf. Nama-nama timangannya yang lain ialah Abu Zakaria, Muhyiddin (Penghidup agama), An-Nawawi, Al-Dimasyqi, Al-Faqih Asy-Syafi’e.

Panggilan Abu Zakaria sekadar panggilan beradab sahaja sebagai kebiasaan masyarakat Arab. Gelaran ‘Abu’ dan diikuti suatu nama ialah gelaran biasa masyarat Arab iaitu dengan memanggil bapa kepada nama anak khasnya anak sulung atau anak lelaki. Contohnya Abu Al-Hasan ialah untuk Saidina Ali R.A iaitu bapa kepada Hasan.

Gelaran Muhyiddin diberikan kepadanya atas dasar sifatnya yang tawadhu’ dan merendah diri serta sumbangannya yang besar dalam menghidupkan sunnah Rosululloh صلى الله عله وسلام dan menghapuskan bid’ah.

Gelaran An-Nawawi pula adalah sempena nama kampung kelahiran dan kewafatannya iaitu Nawa yang terletak di Hauran, Syria. Gelaran Al-Dimasyqi pula adalah kerana beliau tinggal lama di kota Damsyiq. Al-Faqih Asy-Syafi’e pula dinisbahkan kepadanya keran beliau bermazhab Syafi’e malahan beliau telah memberi nafas baru dalam penulisan mazhab Syafi’e di mana beliau menjelaskan martabat hadith yang dijadikan hujah oleh Fuqaha’ mazhab.

Beliau dilahirkan pada bulan Muharram tahun 631 Hijrah di Nawa. Beliau mula menghafaz Al-Quran dan mempelajari ilmu Fiqh semasa berusia 10 tahun. Pada tahun 649 Hijrah, beliau mengikutibapanya ke kota Damsyiq untuk belajar di Dar Al-Hadith yang terletak di timur Masjid Umawiy. Beliau menginggal dunia di kampung halamannya di Nawa selepas menziarahi Al-Quds dan Al-Khalil pada bulan Rejab tahun 677 Hijrah dan beliau dikebumikan di sana.

Imam An-Nawawi adalah seorang yang sagat tekun dalam ilmu. Sejak dari kecilnya, beliau dipelihara dan diberi penekanan terhadap ilmu oeh bapanya kerana beliau sememangnya cenderung terhadap ilmu. Kanak-kanak sebayanya tidak menykai beliau bermain dengan mereka kerana beliau sentiasa menghabiskan masa membaca Al-Quran.

Ibn Al-‘Attar, salah seorang anak muridnya menyatakan bahawa gurunya itu tidak penah menghabiskan waktu siang dan malamnya melainkan untuk ilmu. Beliau tidak putus-putus menelaah kitab sekalipun di dalam perjalanan. Beliau tidak tidur malam melainkan sebentar sahaja, dengan bersandarkan kepada buku-bukunya, bila beliau tidur lalu bangun, terus saja mengulangi pelajarannya. Beliau wafat dalam usia sekitar 45 tahun dengan tidak sempat berkahwin kerana kesibukannya terhadap ilmu.

Hasilnya beliau terkenal sebagai seorang yang tekun menuntut ilmu, luas ilmunya dan mempunyai karya tulisan yang masyhur seperti kitab Riyadussolihin, Al-Azkar dan Al-Arba’in An-Nawawi. Beliau menjadi ulama rujukan pada zamannya hinggalah hari ini.

Beliau adalah satu contoh ulama yang boleh kita lihat bagaimana sikapnya terhadap ilmu. Lalu, mari kita lihat pula di dalam diri kita. Bagaimana sikap kita terhadap ilmu? Hidup pada zaman dunia penuh dengan kesibukan pembangunan dan pemajuan kebendaan, dengan kemasyhuran pelbagai hiburan bagi mengisi masa lapang, maka bidang keilmuan telah jauh terpinggir di kalangan ramai masyarakat, khasnya ilmu Islam di kalangan penganutnya.

Bukanlah tulisan kali ini ingin menyeru para pembaca agar mengikut jejak langkah Imam Nawawi sehingga meninggalkan kerjaya, tetapi sekadar ingin membawa semua agar menilai semula pengorbanan kita terhadap ilmu, khasnya ilmu berkaitan Islam.

Ruang masa selepas kerja, cuti hujung minggu dan cuti umum tersedia untuk kita korbankan sedikit untuk ilmu Islam. Andai contoh Imam Nawawi itu terlalu jauh untuk kita gambarkan, pergi saja ke mana-mana kuliah mingguan di surau-surau dan masjid-masjid sekitar tempat tinggal kita, terutamanya kuliah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang masyhur. Bila ditanya kepada sebilangan hadirin, ada yang datang dari jauh, bukan ahli kariah di situ, bagi mereka apa sangatlah nilai harga minyak kereta yang perlu diisi dan dibayar berbanding ilmu yang diperolehi. Apatah lagi nilai waktu yang dihabiskan mengadap sang guru berbanding menghabiskan waktu yang ada menonton rancangan realiti, drama mahupun filem.

Selain berkorban masa, berkorban dengan harta juga boleh kita buat demi ilmu. Mungkin kita boleh menyediakan sedikit peruntukan untuk membeli buku-buku dan kitab-kitab yang boleh dijadikan rujukan bacaan di samping mendengar kuliah daripada para guru. Andai masih terasa berat untuk berkorban wang untuk membelinya, kita boleh memotivasikan diri dengan mengingati bahawa beliannya boleh digunakan untuk mengurangkan cukai pendapatan yang perlu kita bayar kepada LHDN. Simpan bukti belian untuk digunakan bagi pelepasan cukai yang dibenarkan ini.

Sebenarnya, banyak lagi contoh cara bagaimana kita boleh berkorban demi ilmu. Cukup sekadar apa yang saya telah sebutkan untuk kita sama-sama cuba laksanakan. Tiada gunanya andai disebut banyak contoh, tetapi satu pun terasa sukar untuk kita laksanakan. Sebagai permulaan, saya kongsikan sedikit contoh kuliah dan buku/kitab yang saya sarankan saudara-saudari sekalian mula mengikutinya. Semoga terbuka hati kita untuk mencintai ilmu Islam dan kita sentiasa istiqomah atau berterusan mencintai ilmu, sekian terima kasih.

Kuliah Dhuha Darul Fuqaha: TAFAQQUH DARUL FUQAHA

Penyampai: al-Fadhil al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Masa: 9.00 – 10.30 pagi

Hari: Setiap hari Sabtu

Tempat: Balai Islam Darul Fuqaha, Lot 3083 Jln Institut Perguruan Islam, Sg. Merab, Bangi Selangor. Klik peta online di sini: wikimapia.org/9837990/Darul-Fuqaha

Penerangan Pengajian:

  1. Pengajian Tafsir: Kitab Tafsir IBN KATHIR (Sekitar 9.00 – 9.30pagi)
  2. Pengajian Hadis: – Kitab Riyad al-Solohin IMAM NAWAWI (Sekitar 9.30 – 10.00pagi)
  3. Pengajian Fiqh: Kitab Bulugh Al-Maram IBN HAJAR AL-`ASQALANI (Sekitar 10.00-10.30 pagi)

* Pengajian adalah bersambung-sambung dari satu pengajian ke pengajian seterusnya tanpa henti. Sekiranya Ustaz Mohd Khairuddin tiada, adiknya, Ustaz Harme akan menggantikannya dengan mengajarkan salah satu sahaja pengajian, tetapi dipanjangkan sehingga 10.30 pagi. Tiada bayaran yuran dikenakan, tetapi sama-samalah kita memberi sumbangan pada tabung yang disediakan.

Nota: Rujukan biorgrafi Imam An-Nawawi

  • Tarjamah Riyadhus Shalihin Imam Nawawi, Takhrij Syaikh M. Nashiruddin Al-Albani, Surabaya: Duta Ilmu, 2006.
  • Syarah Hadith Arba’in Ibnu Daqiiqil ‘Ied, Solo: Pustaka At-Tibyan.
  • Kertas Kerja “Biografi Imam Nawawi”, Ust Rasyid Idris, Seminar Tokoh Fiqh & Hadis, Imam Nawawi & Ibn Hajar Al-Asqalani, 9 Ogos 2008, Balai Islam Darul Fuqaha, Bangi.

Puasa Hari Arafah, hapus dosa dua tahun


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ayat 21, Suroh Al-Ahzaab,

Maksudnya:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasululloh itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Sebagai seorang muslim yang sentiasa ingin memperbaiki diri, penting bagi kita agar sentiasa tercari-cari pedoman yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم  dalam kehidupan seharian. Jadi, insyaAlloh  saya akan kongsikan serba sedikit amalan-amalan Sunnah Nabi pada masa-masa akan datang, terutamanya yang sering ditinggalkan oleh masyarakat kita.

Dalam ayat di atas juga, disebutkan bahawa terdapat beberapa ciri bagi mereka yang mahu menjadikan Rosululloh صلى الله عليه وسلم  sebagai ikutannya. Mereka ialah:

  1. Orang yang sentiasa mengharapkan redha Alloh. Termasuk di dalam kalangan orang yang mengharapkan redha Alloh ialah mereka yang sentiasa mengikhlaskan diri terhadap Alloh dalam setiap amalannya serta sentiasa redha dengan setiap ujian kesusahan atau musibah yang dialaminya.
  2. Orang yang sentiasa mengharapkan balasan baik pada hari akhirat. Balasan baik pada hari akhirat tidak lain tidak bukan ialah menerima buku catatannya dengan tangan kanan, tidak dimasukkan ke dalam neraka, dimasukkan ke dalam syurga dan balasan terbaik ialah dapat melihat wajah Alloh.
  3. Orang yang sentiasa berzikir kepada Alloh tidak kira ketika senang mahupun susah. Berzikir kepada Alloh bukanlah sekadar diertikan sebagai ucapan-ucapan pujian kepada Alloh seperti tasbih, tahlil, tahmid dan takbir. Bahkan, bila melihat keindahan alam, hati memuji Alloh, bila terdorong maksiat, hati meminta perlindungan daripada Alloh agar tidak melakukannya, maka ia juga termasuk sebagai zikir kepada Alloh.

Tanpa ketiga-tiga ciri ini, mungkin akan lemahlah perasaan ingin menjadikan baginda sebagai ikutan, di mana apabila lemahnya keinginan itu, seseorang itu boleh jadi hanya mengikut perkara apa yang mudah baginya, hanya mengamalkan sunnah yang disebutkan mempunyai ganjaran-ganjaran tertentu, hanya mengikut apa yang diketahui tanpa mahu mencari lagi amalan yang tidak diketahuinya, tidak merasa kerugian apabila meninggalkan sunnahnya atau pun pelbagai lagi.

Jadi, sama-samalah kita perhatikan ciri-ciri yang disebutkan, adakah kita mempunyai ciri-ciri itu? Jika kita masih jauh daripada ciri-ciri itu, paggillah semula hati kita, kemudian ajarkanlah ia akan ciri-ciri itu.

Untuk permulaannya, disebutkan satu amalan sunnah yang besar ganjarannya yang tidak terdapat pada waktu lain, tetapi hanya pada tanggal 9 Zulhijjah, iaitu berpuasa pada hari di mana mereka yang menunaikan ibadah Haji sedang berwuquf di Padang Arafah.

Terdapat beberapa hadith sahih yang menggalakkan orang Islam yang tidak ke Tanah Suci Mekah supaya berpuasa pada hari Arafah.

Dari Abi Qatadah R.A, dia berkata, ditanya kepada Rosululloh صلى الله عليه وسلم  berhubung puasa pada hari Arafah, maka Baginda bersabda (maksudnya): “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya pada tahun lalu dan tahun berikutnya.”
(Hadith Riwayat Muslim).

Daripada Abi Qatadah daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Berpuasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan daripada Allah agar dihapuskan dosa selama satu tahun sebelumnya dan satu tahun selepasnya.
(Hadith Riwayat Abu Daud, an-Nasaie dan at-Tirmidzi)

Yang dimaksudkan setahun sebelum ialah setahun sebelum 9 Zulhijjah dan setahun selepasnya ialah setahun selepas 9 Zulhijjah, ini bermakna amalan puasa itu akan menghapuskan dosa bagi dua tahun berturut-turut. Kita sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan dosa sama ada yang kita sedar ataupun tidak, kecil mahupun besar, sebaiknya kita tidak melepaskan peluang yang disediakan untuk kita menghapuskan dosa-dosa kita yang telah kita lakukan selama setahun dan juga dosa-dosa yang kita mungkin akan lakukan setahun lagi.

Namun, bukanlah maksudnya kerana telah dijanjikan dosa-dosa diampunkan pada setahun yang akan datang, maka kita bebas untuk melakukan dosa selepas ini. Berterusan melakukan dosa boleh menyebabkan kita selesa dengan dosa. Sebagai orang yang beriman, tidak sepatutnya kita berasa selesa apabila melakukan dosa. Sentiasalah perbanyakkan memohon ampun (istighfar) kepada Alloh setiap hari. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  beristighfar 100 kali sehari dengan lafaz:

Maksudnya: Saya memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya.

Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat kepada kita semua. Mohon maaf dan sekian, terima kasih.

Islam yang kita kenali


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kita imbas semula ingatan kita…sejak kita dilahirkan hinggalah hari ini, apakah Islam yang kita kenali? Adakah kita benar-benar kenal Islam yang kita anuti? Sama-sama kita bongkar buah fikiran kita berkenaan Islam yang kita kenali.

Cuba saudara-saudari renungkan semula..ketika usia kita kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa, kita diceritakan berkenaan Islam, Allah, Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم , kita diajarkan Solat, diajarkan puasa, diajarkan membaca Al-Quran, diajarkan menutup aurat, diceritakan perihal Tuhan, Malaikat, Nabi-nabi, Syurga-Neraka, kiamat dan macam-macam lagi berkaitan Islam dan Iman.

Dan masa pun berlalu, daripada usia kanak-kanak, kita telah meningkat remaja..kemudian menjadi seorang dewasa seperti sekarang ini. Sepanjang kita mula belajar berkenaan Islam, sehinggalah hari ini, bagaimana sebenarnya kita mengenali Islam? Adakah tahap mengenali Islam pada usia kita hari ini masih sama dengan tahapnya pada usia kita 12 tahun?

Jika datang seorang Ustaz membawa ajaran ganjil yang diceritakan itulah Islam yang sebenar, adakah pengetahuan kita mampu menilainya sama ada ia adalah sesat atau benar? Andai ada anak kecil bertanya kepada kita perihal Tuhan, mampukah kita memberi jawapannya? Sekiranya ada non-muslim yang ingin tahu tentang Islam, mampukah kita bercerita hingga beliau tertarik untuk menyertai Islam? Kalau ada kemusykilan dalam sesuatu amalan, mampukah kita mendapatkan jawapan bagi kemusykilan itu?

Saya bukan berniat untuk mengajarkan Islam satu persatu sedari awal itu, tetapi sebenarnya adalah sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan saudara saudari yang membaca agar menilai semula tahap kita mengenali Islam yang kita dukung setiap hari ini.

Maka sama-samalah kita pupuk rasa bahawa Islam yang kita kenali sebenarnya masih belum cukup dan mestilah diusahakan untuk mengenalinya dengan lebih lanjut serta mengingati semula apa yang telah kita pelajari sebelum ini.

Mempelajari ilmu berkenaan Islam sepatutnya tidak terhenti di zaman persekolahan sahaja. Ia sepatutnya menjadi rutin kita sehingga akhir hayat, kerana mengenali Islam adalah penting di mana tanpa mengenali Islam yang kita pegang dan amalkan, amalan itu boleh menjadi sia-sia. Sia-sia andai pada waktu itu, hati sedang mensyirikkan Alloh tanpa disedari. Sia-sia juga andai pada masa yang sama, amalan tidak menepati apa yang sebenarnya diajarkan di dalam Islam.

Cubalah saudara-saudari peruntukkan sebahagian masa yang dianugerahkan kepada kita untuk kita mendalami Islam. Sibuk berkerja sepatutnya bukan menjadi alasan kita untuk tidak memberikan sebahagian masa lapang kita untuk mendalami Islam. Waktu yang kita gunakan untuk berhibur dan berlibur selepas waktu berkerja serta pada cuti umum, saya kira cukup banyak.

Cuba saudara-saudari kira, berapa lama masa telah dihabiskan untuk berbual-bual isu semasa serta bergosip bersama rakan dan ahli keluarga, menonton rancangan realiti, drama dan wayang serta masa yang telah dihabiskan untuk mendengar muzik dan membaca suratkhabar serta majalah kegemaran.

Kemudian cuba saudara-saudari kira pula berapa lama masa telah dihabiskan untuk mendengar siri kuliah agama di masjid-masjid dan surau-surau berdekatan, membaca buku-buku untuk mengenali dan mendalami Islam, mengikuti perbincangan mengenai isu-isu semasa Islam, berbincang berkenaan kemusykilan agama dan bermuhasabah diri mengingat semula dosa-dosa lama serta kekurangan-kekurangan amalan mendekatkan diri kepada Alloh.

Jadi adakah benar kita tidak punyai masa? Sama-samalah kita nilaikan semula. Maksud ayat 69, Suroh Al-‘Ankabuut:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Sekian, jumpa lagi di lain waktu.

Pantun Malam

Rembang cahaya di tabir senja
Beburung berkicau hinggap di dahan
Sudah penat seharian bekerja
Mari ke masjid menyembah Tuhan

Indah malam berteman rembulan
bintang beribu menambah seri
teguhkan Iman tingkatkan amalan
suburkan taqwa di dalam diri

Dinginnya malam selepas hujan
Hujan turun di petang hari
Bukannya bulan jadi pujaan
Pujaan hanya untuk Ilahi

Gelap gelita suasana malam
Balik awan bulan berselindung
Allah menyeru memerhati alam
Kerna banyak hikmah terkandung

Tibalah malam ikut edarannya
Berundur siang beri laluan
Perhati alam itu perintah-Nya
Tapi elakkan kaji zat Tuhan

Petang hari kita beriadah
Bermain takraw setiap Selasa
Bangun malam tunaikan ibadah
Syukuri nikmat tangisi dosa

Dini hari sunyi sekali
Hanya unggas memecah sepi
Mari tahajjud pada Ilahi
Tangisan taubat basahi pipi

Jual mempelam sambil menyanyi
Pelanggan melihat berkerut dahi
Jika malam terasa sunyi
Hingarilah dengan memuji Ilahi

Pohon mempelam pohon beringin,
Makin tinggi usia melanjut,
Jika malam terasa dingin,
Hangatkan ia dengan tahajjud.

Terang rembulan temani malam
Bintang beribu indah sekali
Maha Agongnya Pencipta alam
Tinggi ilmu-Nya tidak terperi

Gelap gelita pandangan malam
Terasa gentar ternampak bayang
Ingatlah pada Empunya alam
Sentiasa terlimpah kasih dan sayang

Tingkatkan ibadah setiap hari
Tundukkan jiwa ikhlaskan hati
Di malam sunyi menyuci diri
Semoga amalan diterima Ilahi

Berjalan malam saling berpimpinan
Takut terpisah di jalan mati
Aqidah itu satu keyakinan
Membuah iman di dalam hati

Rembulan indah terangi pekan
Pekannya sunyi siangnya bingit
Berkali sudah hamba kejutkan
Ayuh tahajjud cepatlah bangkit

Berniaga kuih si tepung talam
Sambil duduk buaian anak dihenjut
Terjaga pula di tengah malam
Ambillah wuduk tunaikan tahajjud

p/s – maaf agak tak tersusun, sekadar kumpulkan pantun yang pernah saya cipta mengenai Malam.