السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
Mari kita bermuhasabah diri..
- Awak setuju tak? Bahawa awak tak boleh lari daripada bertujuan hidup di dunia sementara ni adalah untuk mendapat redha Tuhan yang menjadikan awak, iaitu Alloh SWT. Dengan redhaNya, Dia akan mengasihi awak, bila Dia mengasihi awak, insyaAlloh di hayat kekal abadi nanti, Dia akan limpahkan kasih sayangNya kepada awak di syurga.
- Awak setuju tak? Bahawa untuk mendapat redha Alloh SWT, awak mestilah redha bahawa Alloh adalah Tuhan seluruh alam ini, awak mestilah redha bahawa Islam adalah cara hidup terbaik untuk awak dan awak mestilah redha bahawa Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم adalah utusan Alloh untuk memperkenalkan Alloh dan Islam kepada awak dan lainnya. Redha, bukanlah semata-mata mengakui, tetapi juga adalah yakin tanpa sangsi dan was-was akan ketiga-tiga perkara ini.
- Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Alloh adalah Tuhan awak, awak mestilah mentaatiNya, patuh kepada suruhanNya, tunduk kepada laranganNya, memupuk perasaan cinta kepadaNya serta berkeinginan untuk mendapat kasih sayangNya.
- Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Islam adalah cara hidup terbaik untuk awak, awak mestilah mengamalkan cara hidup yang ditunjukkan dalam Islam bukan hanya mengikut orang, bukan hanya mengamalkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, tetapi berusaha mengamalkan seluruhnya dengan perasaan penuh rela dan ikhlas mengamalkannya.
- Awak setuju tak? Bahawa untuk awak redha yang Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم adalah utusan Alloh bagi memperkenalkan Alloh dan Islam kepada awak dan lainnya, awak mestilah menjadikan Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم sebagai ikutan untuk awak dalam setiap amalan seharian kehidupan awak.
- Awak setuju tak? Bahawa untuk menuju kepada tujuan meredhai ketiga-tiga keredhaan ini, awak mestilah mempunyai ilmu, yang sebenarnya awak tak dapat kesemuanya dalam waktu awak belajar di sekolah sahaja, tetapi mestilah diteruskan usaha mendapatkan ilmunya sepanjang hayat awak. Dan ilmu itu tidaklah boleh lari daripada panduan utama, iaitu Al-Quran dan hadith yang shohih datangnya daripada Nabi Muhammad صلى الله عله وسلم serta panduan daripada para ulama yang berpegang kepada dua panduan utama ini.
- Awak setuju tak? Bahawa awak sekarang ini masih belum berada dalam tujuan utama hidup di dunia, iaitu untuk mendapat redha Alloh SWT. Banyak perkara yang melekakan daripada tujuan itu tetapi awak terus melakukannya.
- Awak setuju tak? Bahawa awak perlu berubah, kembali kepada tujuan utama itu, meninggalkan banyak perkara yang melekakan daripada tujuan itu.
- Awak setuju tak? Bahawa awak perlu berubah cepat, bukan menunggu nanti bila dah tua, kerana awak tak dapat kepastian bahawa hidup awak akan berpanjangan hingga tua, sedangkan banyak sebab yang membolehkan nikmat usia awak ditarik balik pada usia awak sekarang ini.
- Awak setuju tak? Bahawa untuk berubah itu, bukanlah perkara mudah tanpa bimbingan yang kuat kepada diri awak yang lemah yang mudah saja melayani banyak perkara yang melekakan awak daripada tujuan hidup awak.
- Awak setuju tak? Bahawa untuk mendirikan rumahtangga, amat penting untuk awak mempunyai pasangan yang cenderung untuk memberikan bimbingan yang kuat kepada diri awak, dan awak juga perlu cenderung bekerjasama dengannya saling sokong-menyokong, ingat-mengingati agar sentiasa membawa keluarga kepada tujuan hidup di dunia ini.
- Awak setuju tak? Bahawa apabila awak banyak menjawab “setuju” dengan soalan-soalan ini, kaki awak sebenarnya telah berada satu tapak di atas landasan tujuan sebenar hidup awak di dunia ini.
- Awak setuju tak? Bahawa apabila kaki awak telah berada satu tapak di atas landasan tujuan sebenar hidup awak ini, sepatutnya awak tidak mengangkatnya kembali meninggalkan landasan ini, tetapi sebaliknya mengangkat sebelah lagi kaki awak, untuk terus melangkah menyelusuri landasan ini.
- Awak setuju tak? Bahawa apabila awak telah melangkah menyelusuri landasan ini, awak perlu terus berada di atas landasan ini, jangan berundur meninggalkan landasan ini.
- Awak setuju tak? Bahawa apabila awak telah tetap berada di atas landasan ini, awak tak sepatutnya berseorangan menyelusurinya, tetapi awak perlu membawa semua ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan seluruh masyarakat turut menyertai awak menyelusuri landasan ini.
Maka, sebar-sebarkanlah 15 pertanyaan penting ini kepada semua yang anda sayangi. Saya persilakan untuk awak translate 15 pertanyaan ini kepada bahasa-bahasa lain yang awak tahu dan sebarkannya ke seluruh pelusuk alam. Semoga kita mendapat redha Alloh SWT.
|
Ditulis oleh
el-ilmy |
Kategori:
Aqidah,
Islam,
Tazkirah | Tag:
Aqidah,
ibadah,
iman,
Islam |
Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: http://akob73.blogspot.com
Mencintai Rasulullah s.a.w. merupakan satu perkara yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya. Firman Allah S.W.T: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” – Surah al-Taubah (9) : 24.
Firman-Nya lagi: “Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi orang-orang yang beriman berbanding diri mereka sendiri.” – Surah al-Ahzab (33) : 6.
Oleh itu saban tahun menjelangnya 12 Rabiulawal umat Islam diseluruh dunia menyambut hari yang dianggap sebagai ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai upacara seperti perarakan, ceramah-ceramah khas, majlis marhaban dan lain-lain lagi dianjurkan demi untuk menunjukkan kecintaan kepada Nabi s.a.w.. Namun begitu secara realitinya program-program tersebut kurang membangkitkan kecintaan yang hakiki kepada baginda s.a.w.. Umat Islam diseluruh dunia masih mengabaikan sunnah-sunnah baginda dan lebih memilih untuk melakukan amalan-amalan bidaah yang dianggap baik oleh mereka. Ini tidak lain tidak bukan kerana kurang penekanan konsep ittiba’ di dalam majlis-majlis sempena Mawlidurasul tersebut walaupun perbelanjaan yang dikeluarkan mencecah puluhan ribu ringgit. Ittiba’ merupakan cara yang paling efektif untuk menterjemahkan hakikat sebenar mencintai Rasulullah s.a.w.
Apakah itu ittiba’? Ittiba’ dari segi bahasa bermaksud mengikuti atau mencontohi. Bila dikatakan Ittiba’ al-Rasul ianya bermakna mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t..
Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:
a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.
b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah:
“Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, hadis no: 2697
“Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 1718.
c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain di atas perintah baginda tersebut.
d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:
Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.
e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:
“Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89
f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:
1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlidurasul. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa adalah bidaah.
2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan kehendak syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam atau itik sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih untuk ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.
3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.
4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam sesuatu ibadah maka ibadah tersebut terbatal.
5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.
6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.
g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana tedapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.
Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:
a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31
b) Ittiba’ merupakan suatu amalan yang dapat menghapuskan dosa sebagaimana firman Allah di atas.
c) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32
d) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65
e) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih dari Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63
f) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21
g) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36
h) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 7280.
i) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w
Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadah tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” - Surah al-Mulk: 2.
Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h: “Maksud ‘amalan yang lebih baik’ ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” - Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.
Menerusi penjelasan yang serba ringkas ini maka tidak hairanlah sekiranya kita simpulkan bahawa cara yang paling utama untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan memahami, mengamalkan serta menyebarkan konsep ittiba’. Untuk kita menerapkan konsep ittiba’ ini ternyata ianya bukan satu proses yang datang hanya sekali dalam setahun iaitu ketika sambutan Mawlidurasul. Ianya perlu disemaikan ke dalam minda setiap umat Islam sepanjang masa. Oleh itu sempena sambutan Mawlidurasul tahun ini marilah kita berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan ittiba’ dan membanteras sehingga ke akar umbi segala perkara maksiat yang dilarang oleh syarak.
|
Ditulis oleh
el-ilmy |
Kategori:
Aqidah,
Sunnah Nabi,
Tazkirah | Tag:
bidaah,
maulid,
maulidurrasul,
mawlid,
mawlidurrasul,
muhammad,
nabi,
rasulullah,
sunnah |


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ketahuilah, bahawa apabila kita ditimpa musibah, kita akan termasuk ke dalam salah satu daripada empat golongan iaitu:
- Orang yang berkeluh-kesah
- Orang yang sabar
- Orang yang bersikap redha
- Orang yang bersyukur
Orang yang berkeluh-kesah
Golongan yang berkeluh-kesah adalah golongan yang paling buruk, paling dibenci Allah serta paling besar kerugiannya di dunia dan akhirat. Mereka adalah orang yang tidak rela dan kecewa terhadap takdir (ketentuan) dan qadha’ (ketetapan) Allah. Mereka akan sentiasa mengeluh dan mengesali musibah yang berlaku. Lebih teruk lagi, ada yang memukul-mukul dirinya tanda tidak rela.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):
“Bukan termasuk (golongan) kami orang yang memukul-mukul pipi, menyobek-nyobek baju dan berdoa dengan doa (kaum) jahiliyah.”
(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi)
Mereka juga akan meratap (nihayah) dan berteriak secara melampau yang mana ia boleh mendatangkan laknat. Satu riwayat yang baik dalam Shahihut Targhib wat Tarhib, disebutkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):
“Ada dua suara yang dilaknat: suara seruling ketika mendapat kenikmatan dan suara teriakan ketika mendapat musibah.”
Orang yang sabar
Mereka yang sabar dengan musibah yang berlaku akan meraih darjah mulia dan dicukupkan pahalanya tanpa batas. Allah berfirman dalam suroh Az-Zumar ayat 10, maksudnya:
“Sesungguhnya, hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”
Orang yang sabar akan menjaga beberapa bentuk kesabaran iaitu kesabaran dengan berani terhadap pelbagai kesukaran dalam jihad, kesabaran dengan menjaga kesucian diri daripada nafsu, kesabaran dengan berlemah-lembut atas pembangkit amarah dan kesabaran dengan menjaga rahsia daripada menyebarkannya. Mereka yang sabar akan bertindak atas keyakinan bahawa apa yang berlaku adalah telah ditetapkan pasti terjadi dan tidak dapat dielak.
Orang yang bersikap redha
Mereka yang redha pula merupakan pemilik darjat yang lebih tinggi daripada mereka yang sabar. Di samping bersabar, mereka akan rela dan redha dengan ketentuan Allah. Mereka akan merasa senang dengannya dan tidak menunjukkan reaksi marah yang menunjukkan dirinya tidak redha.
Perasaan senangnya terhadap musibah adalah sama saja seperti mendapat nikmat kerana baginya, kedua-duanya adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah terhadapnya.
Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka, siapa yang redha (terhadap ujian tersebut), baginya redha (Allah), namun siapa yang marah (terhadap ujian tersebut), baginya murka (Allah).”
(Hadith Riwayat Abu Daud)
Orang yang bersyukur
Terakhir, mereka yang bersyukur adalah orang yang paling agung di antara golongan sebelumnya kerana mereka menghimpun sabar, redha dan bersyukur dengan turunnya ujian kepada dirinya. Mereka yang bersyukur kerana diuji akan mampu tersenyum.
Mereka akan menginsafi apa yang berlaku adalah tanda cinta Allah kepadanya. Mereka akan menyambut cinta daripada Tuhannya dengan tenang dan gembira. Mereka akan memperkemaskan kembali rasa cinta mereka kepada Allah dengan memperbaiki amalannya, berpegang teguh pada sunnah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم serta bersedia berkorban demi Tuhannya yang tercinta.
Namun sangat sedikit sekali mereka yang bersyukur sebagaimana diberitahu Allah dalam surah Saba’, ayat 13 yang maksudnya:
“Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.”
Kerana itu, pupuklah rasa syukur kepada Allah bukan sahaja apabila menerima nikmat, bahkan apabila menerima musibah. Buahkan rasa syukur dengan mengingat Allah (zikrulloh). Sesungguhnya Allah akan mengingat kita apabila kita mengingati-Nya. Allah berfirman dalam ayat 152, surah Al-Baqarah maksudnya:
“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Firman Allah maksudnya;
[38] Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
[39] Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
[40] (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
(Ayat 38 hingga 40, Suroh Yasiin)
Disebutkan juga dalam ayat lain yang maksudnya;
[12] Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.
(Ayat 12, Suroh Al-Nahl)
Sama-samalah kita berfikir dan cuba fahami ilmu Allah yang sangat luas itu.
|
Ditulis oleh
el-ilmy |
Kategori:
Tazkirah |


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Umat Islam seluruh dunia menunjukkan kebangkitan hasil kekejaman Regim Zionis ke atas bumi Gaza dengan berpakat untuk memboikot produk-produk yang dikenalpasti menyumbang kepada Regim Zionis. Memboikot produk kegunaan harian dilihat mudah untuk dilakukan. Tetapi bagaimana pula jika diseru untuk memboikot hiburan yang diperkenal oleh dunia barat?
Hedonisme: Hidup Ingin Sentiasa Terhibur
Hedonisme menurut Kamus Dewan Edisi Tiga, ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Atau mudahnya, kehidupan yang ingin sentiasa terhibur. Jika kita perhatikan kehidupan seharian masyarakat dunia, atau lebih mudah lagi masyarakat kita..rakyat Malaysia, tidak dapat kita nafikan bahawa hedonisme telah meresap di dalam jiwa kebanyakan daripada kita.
Naluri semula jadi manusia, ialah inginkan suatu kesenangan, kemudahan, keselesaan, kecantikan dan pelbagai lagi perkara yang baik-baik sahaja. Namun sebenarnya, segala yang baik ini tidak semestinya memberi kebaikan kepada kita. Hidup yang sentiasa senang dan baik boleh menyebabkan seseorang itu lemah apabila tiba-tiba ada sesuatu kesukaran menimpanya. Sebaliknya, seorang yang selalu menghadapi kesukaran dalam kehidupan serta tidak selalu mengharapkan kesenangan, kebiasaannya akan kuat menghadapi pelbagai kesukaran. Ini merupakan satu alasan untuk kita menjadikan hidup kita tidak sentiasa ingin dihiburkan.
Namun, dunia barat sama ada dengan sengaja atau tidak, telah berjaya menjadikan hidup kebanyakan masyarakat dunia untuk hidup dalam keadaan sentiasa terhibur.
Tanda-tanda Hedonisme Meresap Dalam Masyarakat
Jika kita perhatikan kehidupan seharian kita, sebenarnya banyak tanda-tanda hedonisme telah meresap ke dalam masyarakat. Untuk bangun tidur sahaja, ramai yang jadikan macam-macam lagu dalam handset sebagai alarm yang membangunkan mereka daripada tidur. Kemudian, ketika dalam bilik air, ramai yang menyanyi-nyanyi sumbang ketika mandi. Masuk saja dalam kereta untuk pergi ke tempat kerja, radio akan dihidupkan, atau CD lagu kegemaran akan dipasang. Sampai saja di pejabat, komputer dihidupkan dan perisian winamp dimainkan untuk mendengar lagu-lagu yang banyak tersimpan. Pulang ke rumah setelah penat berkerja, remote control TV akan dicapai dahulu, malah ada yang hanya akan offkan TV apabila ingin melelapkan mata pada malamnya.
Itu di dalam kehidupan seharian. Bagaimana pula dalam dunia penyiaran? Berapa banyak program hiburan berbanding program ilmu? Cuba pula kira saja, berapa banyak malam anugerah yang berkaitan dengan hiburan di dalam negara kita sepanjang setahun? ASTRO, pihak pemonopoli TV langganan berbayar negara pula berapa kali mereka ulang tayang program konsert-konsert Akademi Fantasia, Raja Lawak dan Sehati Berdansa? Berapa banyak pula filem-filem baru disajikan dipanggung-panggung wayang setiap bulan?
Semua ini menunjukkan betapa budaya hedonisme telah meresap ke dalam masyarakat kita.
Hedonisme Melemahkan Umat
Umat Islam yang hatinya sentiasa terpaut kepada keseronokan, sebenarnya telah menjauh daripada seruan agar sentiasa mengingat Tuhannya (Zikrulloh) setiap masa. Apabila umat ini jauh daripada Tuhannya, maka jauhlah ingatan Tuhannya kepada mereka. Natijahnya, umat ini akan menjadi umat yang lemah, sedangkan musuh yang nyata iaitu Syaiton tidak pernah jauh untuk melekakan mereka. Maksud ayat 36 dan 37, Suroh Az-Zukhruf;
[36] Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.
[37] Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Masyarakat yang sentiasa hidup dengan berhibur sebenarnya telah banyak mensia-siakan nikmat masa lapang yang dianugerahkan kepadanya. Peruntukan masa untuk mendalami ilmu sama ada ilmu Islam mahupun ilmu dalam bidang pekerjaan mereka hampir tiada. Mendalami ilmu hanyalah ketika zaman study, dari peringkat sekolah rendah, hinggalah universiti. Apabila masuk ke zaman kerjaya, tiada lagi perkembangan ilmu yang mereka lakukan. Kebanyakan masa kosong akan mereka isi dengan berhibur. Hal ini telah mencampakkan umat Islam kepada kemunduran berbanding umat Islam awal dahulu yang mana perkembangan ilmunya sangat pesat berlaku.
Hiburan yang diperkenal barat telah sedikit-sebanyak mengubah pandangan masyarakat terhadap perkara-perkara keseronokan yang dituntut di dalam Islam seperti keseronokan berziarah antara sahabat, bergurau-senda antara suami isteri dan keseronokan berlumba-lumba meningkatkan amal ibadah. Masyarakat lebih seronok menonton wayang pada hujung minggu, berbanding menziarah jiran tetangga, sanak-saudara dan rakan-taulan. Bila di rumah, mereka lebih suka menonton TV hingga lewat malam, berbanding bergurau-senda antara suami isteri.
Ada Cara Lain untuk Berseronok
Berseronok bukanlah satu larangan di dalam Islam. Ia merupakan keinginan semulajadi manusia. Untuk itu, penting untuk kita mengubah semula hidup kita, mengubah cara kita berseronok agar ia melazimi tuntutan syarak dan jauh daripada hiburan-hiburan yang melekakan serta tiada nilai ibadah di dalamnya. Berikut disenaraikan cara berseronok yang kita boleh didikkan di dalam jiwa kita, bahawa cara-cara sebegini sudah cukup menghiburkan.
- Bergurau-senda antara suami isteri: Kreatiflah, pelbagaikan cara bergurau-senda. Cuba sesekali melakukan kejutan dengan mendeklamasikan puisi puji-pujian dan luahan cinta kepada pasangan.
- Melayan kerenah anak kecil: Anak yang dianugerahkan dilahirkan comel, cukup menggembirakan. Layanlah kerenahnya dengan perasaan seronok, bukannya merungut tertekan. Wujudkan suasana ilmu bersama anak-anak yang sedang berkembang mindanya yang sentiasa saja banyak soalan ingin ditanyakan.
- Melagukan bacaan Al-Quran: pelbagai tarranum yang ada, cubalah dalami dan praktikkan. Wujudkan keseronokan membaca Al-Quran dengan berlagu, namun pastikan ia tidak menyalahi tajwidnya.
- Wujudkan rasa cinta kepada ilmu: Dengan rasa cinta kepada ilmu, masa terluang akan sentiasa cuba kita isi dengan menelaah ilmu. Kita akan rasa seronok dengan ilmu yang kita perolehi dan rasa kurangnya ilmu yang semakin kita rasa apabila makin mendalaminya.
- Wujudkan suasana ilmu di rumah: Pada waktu kebisaannya menonton TV, cuba ubah dengan melakukan diskusi ilmu. Adakan perbincangan, penyampaian kepada khalayak, kuiz, berlumba-lumba mendapatkan penyelesaian suatu kemusykilan, menghafaz bersama dan sebagainya.
- Ikuti kuliah pengajian Islam secara berterusan.
- Amal aktiviti riadah, sukan dan rekreasi seperti berkelah, mendaki gunung dan melancong.
- Memenuhi undangan kenduri-kendara.
- Menziarahi jiran-tetangga, sanak-saudara dan rakan-taulan.
- Melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan NGO.
- Sila tambah sendiri…….. (^_^)
Banyak lagi perkara boleh saudara-saudari tambah dalam senarai ini.
Sebagai penutupnya, sama-sama kita renungkan maksud ayat 6 dan 7 Suroh Luqman;
[6] Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.
[7] Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.
Itu adalah peringatan oleh Allah agar kita tidak membazirkan harta kita kepada perkara-perkara hiburan. Berhentilah mengikut cara hidup yang diperkenalkan barat yang sebenarnya ialah orang-orang yang memusuhi orang Islam, iaitu Yahudi dan Nasrani.
Sabda Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم bermaksud:
“Kamu telah mengikuti sunnah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka.” Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu ialah orang Yahudi dan orang Nasrani?” Baginda bersabda: “Kalau bukan mereka, siapa lagi?”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika benar saudara-saudari kasihankan Palestin dan bencikan kekejaman Yahudi di bumi Gaza. Tidakkah tindakan boikot hiburan yang diperkenal barat ialah satu kewajipan? Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada kita semua. Salam maaf dan terima kasih.
