Membazir = Saudara Syaitan

19 February 2010

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Kemelesetan ekonomi sering melanda dunia. Begitu juga pada waktu ini, kita diberitakan banyak syarikat-syarikat gergasi di negara kuasa besar ekonomi dunia, US telah banyak yang mengalami kerugian hinggakan presidennya terpaksa mengeluarkan sejumlah peruntukan besar bagi membantu syarikat-syarikat besar. Tempiasnya tidak dinafikan telah dirasai di Malaysia.

Acapkali kita dilanda krisis ekonomi, namun adakah ia telah mengajar kita agar tidak membazir? Adakah kita telah berjaya mendidik diri agar sentiasa berjimat-cermat dan membuat tabungan untuk kegunaan pada masa diperlukan?

Allah s.w.t memberi ancaman dalam Al-Quran, ayat 27 Surah Al-Isyra’ iaitu:

http://quran.com/images/ayat/17_27.png

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Bagaimana hanya dengan membazir, kita boleh menjadi saudara-saudara Syaitan? Sedarilah bahawa dalam diri Syaitan adanya sifat takabbur, meninggi diri. Manakala perbuatan membazir itu biasanya didasari oleh perasaan merasa mempunyai kelebihan, jika membazir pun tiada apa-apa yang terkurang padanya. Perasaan itu jika dibiarkan boleh menghampiri kepada sifat meninggi diri yang sangat dilarang.

Sama-samalah kita memperbaiki diri, periksa diri kita, adakah kita sering membazir?

Di bawah ini dikongsikan beberapa tips berjimat-cermat ketika di pejabat.

  1. Matikan PC ketika keluar bermesyuarat dan waktu keluar makan tengahari. Gunakan fungsi hibernate jika ingin mudah menyambung kerja selepas PC dimatikan.
  2. Matikan PC selepas waktu pejabat, bila pulang ke rumah. Ramai ingin mudah terus sambung kerja esok paginya, tetapi sebenarnya pembaziran telah berlaku lebih 12 jam tanpa PC digunakan.
  3. Kurangkan tahap kesejukan penghawa dingin. Tidak perlu set terlalu sejuk, tetapi penggunanya sendiri memakai jeket tebal kerana kesejukan.
  4. Kurangkan penggunaan lampu. Ada pejabat terang-benderang  hinggakan untuk satu meja pegawai memerlukan tiga lampu pendaflour panjang yang sebenarnya cukup sekiranya hanya satu saja dihidupkan.
  5. Tidak mencetak e-mail yang tidak perlu.
  6. Mencetak menggunakan recycle paper sekiranya cetakan bukan untuk tujuan rasmi.

Tambahan tips, sama-samalah kita fikirkan sendiri.

Semoga bermanfaat. Sekian, terima kasih.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Sekadar ingin mengingatkan, Malaysia kita sememangnya aman daripada gempa bumi skala besar. Yang ada hanya gegaran kecil yang tak menyebabkan lagi runtuhnya bangunan, bukit, retaknya tanah dan sebagainya.

Namun, gempa bumi yang melanda Haiti 12 Januari 2010, Selasa lepas boleh kita ambil sebagai peringatan, bahawa sangkaan Malaysia aman daripada gempa besar adalah tidak tepat. Haiti yang tak pernah gempa besar, sehingga dikatakan sejak 200 tahun, kini berkemungkinan mencatat lebih 200,000 kematian.

Sama-samalah kita mengambilnya sebagai peringatan. Janganlah sentiasa berasa aman daripada datangnya ajal yang Allah telah tetapkan akan tiba kepada setiap kita. Datangnya boleh tiba tanpa kita bersedia, tanpa disedari dan secara tiba-tiba.

Bersediakah kita ditamatkan riwayat hidup pada ketika ini? Marilah persiapkan diri melengkapkan bekal menuju alam pasti yang tiada peluang berpatah-balik, alam akhirat kelak.

Sekian, terima kasih.

Instrumental Intensity Image

Sumber: http://earthquake.usgs.gov/earthquakes/eqinthenews/2010/us2010rja6/

 | Ditulis oleh el-ilmy | Kategori: Tazkirah | Tag: , , |

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Sejak kebelakangan ini media kita sering memaparkan berita yang dikira sebagai ajaib iaitu fenomena sejadah berdiri seakan-akan sedang menunaikan solat. Berita begini sebenarnya telah bermula di timur tengah, saya dapat melalui emel videonya dalam bulan April 2007. Kemudian kejadian sama diberitakan berlaku di tanahair sendiri bermula pada tahun 2008 dan seterusnya pada tahun ini diberitakan berturut-turut di sana-sini, hinggalah ada yang ‘berdiri secara berjamaah’ (tetapi tidak rapat-rapat dalam saf solat dan tiada imamnya).

praying_met

Gambar daripada screen shot video sejadah berdiri sekitar 2007 di timur tengah

Gambar sejadah berdiri berjemaah di surau SK Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas Oktober 2009 (Sumber: Berita Kosmo)

Namun di sebalik berita-berita yang dipaparkan, tiada pengakuan yang diyakini bahawa saksi nampak sejadah itu bangun sendiri lalu berdiri begitu. Jadi, ramai yang sangsi bahawa berita hanya digembar-gemburkan oleh media bagi menarik audient untuk membaca akhbarnya atau menonton siaran berita tvnya.

Kalau pun ada saksi sebenar yang nampak sejadah itu bangun sendiri lalu berdiri, adakah ianya perkara ajaib yang boleh dianggap sebagai suatu yang benar-benar ajaib? Jika kita meneliti semula sirah Nabi Sulaiman A.S, telah disebut di dalam Al-Quran bahawa ada jin yang mampu menggerakkan sesuatu objek, iaitu ada yang berkerja menyelam mendapatkan mutiara serta membina bangunan. Sila rujuk maksud ayat-ayat di bawah:

“Dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan, semuanya ahli bangunan dan penyelam, dan (syaitan) yang lain yang terikat dalam belenggu.” (Maksud ayat 37-38, Surah Shaad)

Berkata Sulaiman, “Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?” Berkata Ifrit (yang cerdik) dari golongan jin, “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu, sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya.” (Maksud ayat 38-39, Surah An-Naml)

Jadi, perkara yang boleh disimpulkan daripada fenomena ini adalah ianya hanyalah perbuatan jin yang mempunyai ilmu menggerakkan sesuatu objek atau pun sekadar perbuatan manusia yang ingin mencari populariti. Oleh itu, dinasihatkan agar berita begini didiamkan sahaja.

Kain Pelekat Berdiri Di Rumah Saya!

Bukan susah sebenarnya nak tegakkan sejadah yang keras itu, kain pelekat yang jenis tebal/keras pun boleh kita tegakkan! Di bawah adalah gambar dan video kain pelekat / kain sarung berdiri yang saya buat.

Gambar kain pelekat berdiri pula di rumah saya =)

Gambar kain pelekat berdiri pula di rumah saya (sisi lain)

Video cara membuatkan kain pelekat ini berdiri

Kategori Perkara Ajaib

Bersama-sama ini, disertakan juga sedikit perincian berkenaan perkara-perkara ajaib, luar biasa dan tak masuk akal. Ianya boleh dikategorikan kepada beberapa kategori iaitu:

  1. Mu’jizat: keajaiban hanya pada rasul-rasul, contohnya tongkat Nabi Musa A.S jadi ular besar.
  2. Irhas: keajaiban pada mereka yang akan jadi rasul ~ contoh: Nabi Isa A.S berkata-kata ketika dalam buaian pada usia bayi.
  3. Keramat: pada yang alim, wali, zuhud, wara` soleh, bertakwa, berlaku secara kebetulan (atas kehendak Allah) bukan belajar, contohnya kisah pemuda-pemuda tidur berzaman-zaman dalam gua (rujuk Surah Al-Kahfi).
  4. Maunah: pertolongan Allah S.W.T yang berlaku pada orang biasa baik muslim atau kafir.
  5. Ihadah: penghinaan sewaktu-waktu atau tiba-tiba terhadap orang yang sombong ~ contoh Firaun kononnya kekal hidup akhirnya mati ditelan laut, Raja Namrud membakar Nabi Ibrahim tak lut.
  6. Istidraj: berlaku pada orang fasik@kafir pada waktu kehancurannya, dengan izin Allah: contoh Firaun dan tenteranya dapat jalan dalam laut kejar Nabi Musa.
  7. Sihir: melibatkan bantuan jin/syaitan dengan disedari atau tidak disedari penglibatannya, biasanya disyaratkan melanggar syariat Islam.
  8. Ain: kerosakan/kesakitan luar biasa berlaku tiba-tiba akibat pandangan mata manusia/jin yang mempunyai hasad dalam hatinya, boleh berlaku daripada mata orang alim, orang biasa, orang kafir, tidak berlaku dengan cara dipelajari, tiada langkah-langkah tertentu untuk dilakukan.

Ambil Manfaat Daripada Fenomena Sejadah Berdiri

Manfaat yang boleh dikongsikan dengan orang ramai berkenaan fenomena sejadah berdiri mungkin perkara-perkara ini:

  1. Karomah/maunah adalah perkara luar biasa yang boleh terjadi, tapi perkara luar biasa itu kebiasaannya adalah perkara yang bermanfaat, contohnya keluar air dari celah batu yang dipukul, ada manfaatnya, tapi kalau sejadah berdiri, apa manfaatnya?
  2. Satu lagi perkara luar biasa yang boleh terjadi adalah sihir, dan perkara sihir itu banyak yang tidak bermanfaat, malah mengundang kesusahan atau hanya perkara sia-sia.
  3. Terdapat golongan jin yang mampu menggerakkan/mengalih/mengangkat barang-barang yang bukan di alamnya, dalilnya ada dalam sirah Nabi Sulaiman A.S.
  4. Jika tidak kerana rekaan/penipuan manusia, mungkin fenomena sejadah berdiri adalah sekadar perbuatan jin sama ada mereka ada tujuan buruk atau baik melakukannya.
  5. Umat Islam sepatutnya tidak tertunggu-tunggu perkara-perkara ajaib sepertinya untuk mengagungkan Allah sedangkan keagungannya sangat banyak bertebaran di seluruh alam, hanya yang perlu ialah mendorong akal untuk berfikir berkenaannya.

Sama-samalah kita kongsikan dengan rakan-rakan lain yang tak membaca di sini.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Saudara/saudari yang dikasihahi sekalian.

Saban tahun menjelangnya Ramadhan, akan berlegar emel-emel memohon maaf dengan bersandarkan pernyataan yang dikatakan doa daripada Jibril A.S iaitu:

Do’a malaikat Jibril menjelang Ramadhan ” “Ya Allah tolong abaikan puasa   umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan   hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
* Tidak berma’afan terlebih dahulu antara suami isteri
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo’a adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

Namun, ketahuilah bahawa ianya tidak diketahui asal-usulnya. Bila para pengkaji hadith mengkajinya, ia didapati palsu, suatu cubaan untuk berdusta atas nama baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم . Para pengkaji hadith menemui hadith lain yang mirip kepada kata-kata di atas iaitu:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya:

Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.

Hadits Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)

Maka, nasihat saya… Berhati-hatilah bila disampaikan sesuatu kepada kita yang dikaitkan dengan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم . Cuba teladani kisah bagaimana para sahabat bersikap terhadap sesuatu yang dikaitkan dengan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم seperti yang diriwayatkan dalam Shahih Bukhari (no: 5891) di bawah:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa’id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata: Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: “Mengapa engkau pulang?” Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda Rasulullah  صلى الله عليه وسلم :

“Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang”

Abu Sa’id berkata: Demi Allah engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada Rasulullah  صلى الله عليه وسلم ? Lalu Ubay bin Ka’ab berkata: Demi Allah tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar bahawa bahawa Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda sedemikian.

Namun, saya akui tidak ramai yang mampu untuk menilai setiap apa yang disampaikan kepadanya. Jadi, saya sarankan agar kita memilih antara dua pilihan di bawah:

  1. Berdiam diri daripada menyebarkannya sehinggalah jelas diketahui bahawa ianya benar shahih daripada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم , atau;
  2. Menyampaikannya kepada mereka yang dipercayai sebagai ahli dalam bidang hadith untuk memintanya agar membuat semakan terhadap hadith itu.

Apabila telah dijelaskan kepalsuan sesuatu hadith, sebaiknya kita berhenti menyebarkannya dan seboleh-bolehnya maklumkan semula kepada mereka yang pernah mendengarnya daripada kita bahawa ianya adalah palsu. Ini kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah memberi ancaman kepada pendusta atas namanya:

Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka. (Hadith Shahih Mutawattir, Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain)

Akhir kata, sama-samalah kita sambut Ramadhan ini dengan penuh kegembiraan, seperti mana gembiranya kita dapat bonus gaji, sepatutnya begitulah (atau lebih daripada itu) kita gembira dengan bonus pahala berlipat ganda dalam bulan Ramadhan ini.

Dalam hadith Rasulullah mengaminkan doa Jibril A.S itu, disebut salah satu yang diaminkan ialah “Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni.” Cubalah kita muhasabah diri, bagaimana agaknya dosa tidak diampun itu? Yang utama ialah jauhilah mensyirikkan Allah dan jagalah iman kita.  Berpuasalah atas sebab iman, bukannya berpuasa kerana ianya budaya sebelum berhari raya. Disebut dalam hadith shahih yang maksudnya:

“Barang siapa yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu” (Hadith Riwayat Bukhari : 38 dan Muslim : 175)

Teruskan mempelajari ilmu Islam untuk memperkuatkan lagi iman kita dan perbanyakkan doa memohon keredhaan Allah SWT ke atas kita. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang membaca. Salam maaf dan sekian, wassalam. Ramadhan karim!

 | Ditulis oleh el-ilmy | Kategori: Sunnah Nabi, Tazkirah | Tag: , |

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Sekarang ini satu fenomena baru sedang melanda umat Islam di Malaysia iaitu pendedahan rahsia personaliti serta potensi diri melalui formula matematik terhadap tarikh lahir. Dari hari ke hari ia semakin mendapat sambutan. Selain itu, laman komuniti facebook.com juga semakin rancak menyediakan kuiz-kuiz tenung nasib dan rahsia personaliti.  Sebelum itu, telah banyak disebarluaskan rahsia-rahsia personaliti berdasarkan zodiak, hari kelahiran, kedudukan dalam adik-beradik, warna kegemaran, cara berjalan, bentuk wajah, bentuk jari, kedudukan tahi lalat dan pelbagai lagi yang digemari oleh masyarakat kita.

Saya katakan,  tidak lain tidak bukan itu semua hanyalah PERBUATAN SIA-SIA LAGI HARAM MALAH BOLEH MENGUNDANG KEROSAKAN IMAN bila ia dipercayai. Perkara-perkara yang disebut itu adalah termasuk meramal yang mana ia telah diharamkan. Sumber yang mengharamkannya banyak sekali.

Dalam Al-Quran, Surah Al-Maaidah, ayat 90, Allah berfirman yang maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Imam Muslim dalam kitab Shahih Muslim, meriwayatkan bahwasanya Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda : “Barangsiapa mendatangi ‘arraaf’ (tukang ramal) kepadanya, tidak akan diterima shalatnya selama empat puluh hari.

Abu Dawud pula meriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu anhu dari Nabi  صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: “Barangsiapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ’alaihi wa sallam.

Dari Imran bin Hushain radhiallahu anhu, beliau berkata, bahawa Rasulullah  صلى الله عليه وسلم bersabda: “Bukan termasuk golongan kami yang melakukan atau meminta tathayyur (menentukan nasib sial berdasarkan tanda-tanda benda, burung dan lain-lain), yang meramal atau yang meminta diramalkan, yang menyihir atau meminta disihirkan dan barangsiapa mendatangi peramal dan membenarkan apa yang ia katakan, maka sesungguhnya ia telah kafir terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad صلى الله عليه وسلم .” (Hadith Riwayat Al-Bazzaar, dengan sanad jayyid).

Ia Benar, Ada Persamaan Dengan Diri Saya

Larangan-larangan yang disebut di atas telah banyak kali diabaikan oleh mereka yang mempercayai pendedahan rahsia-rahsia personaliti itu. Ini kerana bila mereka mencuba-cuba sekadar suka-suka, rupanya pendedahan rahsia-rahsia itu banyak benar dan sama dengan dirinya. Maka itulah mereka terus meminati perkara begini.

Kebenarannya kadang-kadang sukar dinafikan, namun sedarlah bahawa diri kita boleh mengetahui sendiri bagaimana adanya diri kita tanpa melihat kesemua faktor ramalan itu. Sentiasalah bermuhasabah diri serta bertanya pendapat rakan-rakan terhadap personaliti dan potensi diri kita untuk meningkatkan dan memperbaiki diri.

Syaitan Mencuri Dengar Berita-berita Langit

Di dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menceritakan bahawa suatu ketika dahulu, syaitan dapat mencuri dengar berita-berita langit termasuklah rahsia masa depan yang disembunyikan daripada pengetahuan jin dan manusia. Boleh jadi, rahsia-rahsia yang dibuka kepada manusia daripada faktor-faktor ramalan itu adalah ilmu kuno / primitif yang diperkenal oleh para Syaitan yang pernah mendengarnya sebelum ini dengan ditokok-tambah bagi meyakinkan manusia kepada kebenarannya sedangkan tujuan asal mereka adalah untuk menyesatkan manusia.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya. [16]  Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam. [17]  Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan. [18] (Maksud ayat 16 hingga 18 Surah Al-Hijr)

Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang. [6] Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka; [7](Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru, [8]  Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus. [9]  Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi. [10] (Maksud ayat 6 hingga 10, Surah As-Soffat)

Ibnu Jarir meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas radiallohu’anhuma, beliau berkata “Dahulu syaitan-syaitan itu memiliki tempat-tempat berdiam di langit. Mereka mendengarkan wahyu. Dan ketika itu bintang-bintang tidak mengejar mereka dan syaitan-syaitan itu tidak dilempari. Ketika mereka mendengarkan wahyu, mereka turun ke bumi dan menambahkan kalimat yang mampu mereka dengar itu dengan sembilan (kalimat yang lain dari diri mereka). Adapun setelah Rasulullah  صلى الله عليه وسلم diutus, maka ketika syaitan-syaitan ini mencapai tempat berdiamnya, suluh api pun mendatanginya dan tidak meleset darinya sehingga membakarnya. Syaitan-syaitan itu lalu mengadu kepada Iblis - semoga Allah melaknatnya.

Iblis berkata, ‘Ini disebabkan adanya perkara yang baru.’ Lalu ia mengutus tenteranya, dan mereka mendapati Rasulullah  صلى الله عليه وسلم berdiri sedang solat di antara dua gunung pohon kurma. (Dua batang pohon kurma). Lantas mereka kembali kepada iblis untuk mengabarkan hal tersebut. Iblis berkata, ‘Inilah dia perkara yang baru itu.’ ” (Dari Ath-Thabari)

Ketahuilah bahawa rahsia-rahsia hidup kita telah tertutup rapi, hanya diketahui oleh Allah S.WT. Kalau pun ada syaitan-syaitan yang dapat mendengarnya, ianya hanyalah pengetahuan primitif kerana selepas baginda Nabi Muhammad  صلى الله عليه وسلم diutus, mereka tidak dapat lagi mendengarnya. Dan kalaupun ada di antara mereka yang dapat mendengarnya, mereka tidak akan mengkhabarkan kepada manusia dengan betul kerana mereka bertujuan hidup untuk menyesatkan kita.

Maka, saya nasihatkan agar para pembaca yang bijak membaca tulisan saya ini agar berfikir semula terhadap pegangan kepercayaannya. Bertaubatlah serta kembalilah kepada pegangan yang benar di sisi Islam. Semoga hidup kita diredhai Allah dunia dan akhirat.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.





FREE PALESTINE
dermapalestin

al-Fikrah.net