Esok Bonus Bagi Mereka Yang Berpuasa
Assalamu’alaikum wbt.. dan salam hormat..
Jangan lupa puasa pada 9 Zulhijjah (esok) iaitu Hari Arafah, kerana fadhilatnya adalah bonus untuk 2 tahun iaitu diampun dosa setahun yang lalu dan dosa setahun akan datang.
Hal ini berdasarkan hadits Abu Qatadah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِى بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ
“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.” [HR. Muslim no. 1162, dari Abu Qotadah]
Hadits ini menunjukkan bahawa puasa Arafah lebih utama daripada puasa ‘Asyura. Di antara alasannya, Puasa Asyura berasal daripada Nabi Musa, sedangkan puasa Arafah berasal daripada Nabi kita Muhammad shallallahu ’alaihi wa sallam.[Lihat Fathul Bari, 6/286 ]
Keutamaan puasa Arafah adalah ia akan menghapuskan dosa selama dua tahun dan dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa-dosa kecil. Atau boleh pula yang dimaksudkan di sini adalah diringankannya dosa besar atau ditinggikannya darjat.[Lihat Syarh Muslim, An Nawawi, 4/179, Mawqi’ Al Islam]
Akan tetapi untuk orang yang berhaji tidak dianjurkan melaksanakan puasa Arafah.
Dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata,
أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- أَفْطَرَ بِعَرَفَةَ وَأَرْسَلَتْ إِلَيْهِ أُمُّ الْفَضْلِ بِلَبَنٍ فَشَرِبَ
“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak berpuasa ketika di Arafah. Ketika itu baginda saw diberikan minuman susu, baginda pun meminumnya.”[HR. Tirmidzi no. 750. At Tirmidzi menyatakan bahawa hadits tersebut hasan sahih. Syaikh Al Albani menyatakan bahawa hadits ini sahih ]
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar bahawa beliau ditanya mengenai puasa hari Arafah di Arafah. Beliau menyatakan,
حَجَجْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ أَبِى بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ. وَأَنَا لاَ أَصُومُهُ وَلاَ آمُرُ بِهِ وَلاَ أَنْهَى عَنْهُ
“Aku pernah berhaji bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan baginda tidak menunaikan puasa pada hari Arafah. Aku pun pernah berhaji bersama Abu Bakr, beliau pun tidak berpuasa ketika itu, begitu juga dengan Umar , beliau pun tidak berpuasa ketika itu, begitu pula dengan ‘Utsman, beliau tidak berpuasa ketika itu. Aku pun tidak mengerjakan puasa Arafah ketika itu. Aku pun tidak memerintahkan orang lain untuk melakukannya. Aku pun tidak melarang jika ada yang melakukannya.”[HR. Tirmidzi no. 751. Syaikh Al Albani menyatakan bahawa sanad hadits ini sahih ]
Dari sini, yang lebih utama bagi orang yang sedang berhaji adalah tidak berpuasa ketika hari Arafah di Arafah dalam rangka meneladani Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para Khulafa’ur Rosyidin (Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Utsman),ia juga bertujuan agar lebih menguatkan diri di dalam berdo’a dan berdzikir ketika wukuf di Arafah. Inilah pendapat majoriti ulama.[Lihat Sahih Fiqih Sunnah, Abu Malik, 2/137, Al Maktabah At Taufiqiyah ]
Selamat mengambil bonus hari esok. Jangan lepaskan peluang ini.
Sekian, terima kasih.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد
Saudara/saudari yang dikasihahi sekalian.
Saban tahun menjelangnya Ramadhan, akan berlegar emel-emel memohon maaf dengan bersandarkan pernyataan yang dikatakan doa daripada Jibril A.S iaitu:
Do’a malaikat Jibril menjelang Ramadhan ” “Ya Allah tolong abaikan puasa umat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
* Tidak berma’afan terlebih dahulu antara suami isteri
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo’a adalah Malaikat dan yang meng-aminkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.
Namun, ketahuilah bahawa ianya tidak diketahui asal-usulnya. Bila para pengkaji hadith mengkajinya, ia didapati palsu, suatu cubaan untuk berdusta atas nama baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم . Para pengkaji hadith menemui hadith lain yang mirip kepada kata-kata di atas iaitu:
Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya:
Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.
Lalu baginda menjawab:
“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.
Hadits Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)
Maka, nasihat saya… Berhati-hatilah bila disampaikan sesuatu kepada kita yang dikaitkan dengan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم . Cuba teladani kisah bagaimana para sahabat bersikap terhadap sesuatu yang dikaitkan dengan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم seperti yang diriwayatkan dalam Shahih Bukhari (no: 5891) di bawah:
Daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa’id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata: Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: “Mengapa engkau pulang?” Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
“Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang”
Abu Sa’id berkata: Demi Allah engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم ? Lalu Ubay bin Ka’ab berkata: Demi Allah tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar bahawa bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda sedemikian.
Namun, saya akui tidak ramai yang mampu untuk menilai setiap apa yang disampaikan kepadanya. Jadi, saya sarankan agar kita memilih antara dua pilihan di bawah:
- Berdiam diri daripada menyebarkannya sehinggalah jelas diketahui bahawa ianya benar shahih daripada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم , atau;
- Menyampaikannya kepada mereka yang dipercayai sebagai ahli dalam bidang hadith untuk memintanya agar membuat semakan terhadap hadith itu.
Apabila telah dijelaskan kepalsuan sesuatu hadith, sebaiknya kita berhenti menyebarkannya dan seboleh-bolehnya maklumkan semula kepada mereka yang pernah mendengarnya daripada kita bahawa ianya adalah palsu. Ini kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah memberi ancaman kepada pendusta atas namanya:
Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta ke atas aku, maka tersedialah baginya tempat duduk dari api neraka. (Hadith Shahih Mutawattir, Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Majah, ad-Darimi dan lain-lain)
Akhir kata, sama-samalah kita sambut Ramadhan ini dengan penuh kegembiraan, seperti mana gembiranya kita dapat bonus gaji, sepatutnya begitulah (atau lebih daripada itu) kita gembira dengan bonus pahala berlipat ganda dalam bulan Ramadhan ini.
Dalam hadith Rasulullah mengaminkan doa Jibril A.S itu, disebut salah satu yang diaminkan ialah “Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni.” Cubalah kita muhasabah diri, bagaimana agaknya dosa tidak diampun itu? Yang utama ialah jauhilah mensyirikkan Allah dan jagalah iman kita. Berpuasalah atas sebab iman, bukannya berpuasa kerana ianya budaya sebelum berhari raya. Disebut dalam hadith shahih yang maksudnya:
“Barang siapa yang berpuasa ramadhan kerana didorong oleh iman dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu” (Hadith Riwayat Bukhari : 38 dan Muslim : 175)
Teruskan mempelajari ilmu Islam untuk memperkuatkan lagi iman kita dan perbanyakkan doa memohon keredhaan Allah SWT ke atas kita. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua yang membaca. Salam maaf dan sekian, wassalam. Ramadhan karim!
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد
Saudara/saudari yang dikasihahi sekalian.
Pertama sekali, saya memohon maaf kerana saya menyambung lagi rantaian emel ini kerana ada sesuatu perlu dijelaskan atas kekeliruan yang terjadi. Saya harap, sambungan emel ini berhenti setakat ini.
Saya anjurkan agar saudara/saudari tinggalkan doa yang dikongsikan sebelum ini dan ambillah doa-doa yang tsabit kepada baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم yang boleh dirujuk dalam hadith-hadith berkenaan zikir, ada banyak yang dinyatakan kelebihan zikir itu contohnya, terselamat daripada bahaya, dicukupkan sebagai pelindung dan lain-lain lagi. Amalkanlah dengan yakin bahawa Allah akan melindungi kita.
Zikir-zikir/doa-doa ini boleh dirujuk dalam rujukan masyhur iaitu Kitab Al-Azkar karangan Imam Nawawi atau Kitab Hisnul-Muslim oleh Said bin Ali Al Qathani (Terjemahan Bahasa Malaysia bertajuk Perisai Muslim. Zikir & Doa dari Al-Quran dan Hadis oleh Dr Abdul Basit bin Haji Abdul Rahman )
Antara doa yang saya galakkan untuk diamal setiap pagi dan petang ialah:
بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
Maksud: “Dengan nama Allah yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan berbahaya, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Barangsiapa membacanya sebanyak tiga kali ketika pagi dan petang hari, maka tidak ada sesuatu pun yang membahayakan dirinya. (Hadith Riwayat Abu Daud, At- Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad.)
Berkenaan doa yang tersebar dalam emel sebelum ini memang diakui ianya telah wujud sekian lama dalam umat Islam di Malaysia. Ulama-ulama Malaysia yang lama-lama dahulu memang ada terpengaruh dengan ajaran Syiah. Jika tunjukkan doa ini kepada orang-orang tua, mungkin mereka biasa dengar bahkan mereka juga pernah amal. Namun, tempoh lamanya ia diamal oleh masyarakat bukanlah tiket untuk kita meneruskan amalan itu.
Sebaiknya, bila kita diajarkan suatu amalan, nilaikan semula sama ada ianya mempunyai unsur-unsur berikut atau tidak:
- Tidak mensyirikkan Allah (memuja, menyeru selain Allah, menafikan sifat tersendiri bagi Allah, mengangkat sifat mahkluk lebih tinggi daripada sifat tersendiri bagi Allah, menurunkan sifat Allah hingga menyamai sifat mahkluk, dan lain-lain)
- Ada petunjuk bahawa ia ada dalam Al-Quran, dianjurkan Nabi صلى الله عليه وسلم , dianjurkan khalifah yang empat (Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali), diamal para sahabat serta generasi selepas-selepas sahabat.
Dalam doa yang dikongsikan itu, ia mempunyai unsur kesyirikan kerana menyeru lima nama itu bahkan meninggalkan menyeru nama Allah. Ia juga tiada petunjuk daripada Al-Quran, Nabi صلى الله عليه وسلم , Khalifah Arryasidin, mahupun amalan para sahabat serta generasi selepas-selepasnya. Jika ditinjau pula amalan-amalan golongan Syiah, sememangnya mereka banyak mengagung-agungkan lima nama itu. Ustaz yang menganjurkan doa itu hanyalah manusia biasa yang tidak lari daripada kesilapan.
Moga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. Mohon maaf dan sekian, terima kasih.
Doa Yang Dikongsikan Sebelum Ini:

Isu Masuk Surat Khabar - Utusan Malaysia 14/8/2009
JAIS nafi edardoa pelindung H1N1
SHAH ALAM 13 Ogos – Umat Islam di negeri ini dinasihat supaya tidak terpedaya dan terkeliru dengan risalah doa pelindung diri daripada dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) yang kini tersebar luas.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, risalah yang didakwa disediakan oleh Bahagian Pendakwah Bebas JAIS itu sebenarnya tiada kaitan dengan jabatan itu dan dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam.
Menurutnya, setelah merujuk kepada Jabatan Mufti Selangor, doa tersebut bukanlah doa khusus bagi melindungi H1N1 yang dimaksudkan tetapi merupakan doa yang diamalkan oleh ahli kumpulan Al-Arqam yang sudah diharamkan.
‘‘JAIS tidak bertanggungjawab dan tidak pernah mengarahkan doa ini disebarkan kepada umum dan nama yang tertera dalam edaran itu juga bukan kakitangan pihak berkuasa agama negeri ini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan ekoran penyebaran risalah doa pelindung H1N1 yang diedarkan kepada orang ramai di tempat-tempat awam dan risalah tersebut kononnya disediakan oleh seorang ustaz daripada Bahagian Dakwah Bebas JAIS.
Antara isi kandungan risalah berkenaan ialah menyeru orang ramai membaca satu doa yang sangat masyhur pada zaman dahulu.
Doa tersebut dikatakan ditulis oleh Asy-Shekh Ibnu Ahmad Al-Tamimi Al-Malizi yang merupakan seorang murshid.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد
Musim cuti sekolah kembali menemui kita lagi. Seperti kebiasaan cuti sekolah, banyaklah jemputan kenduri kahwin di sana-sini yang diterima. Jika tiada keuzuran, cubalah penuhi jemputan yang ada kerana telah menjadi hak orang yang mengundang agar kita memenuhi undangannya, lebih-lebih lagi undangan ke kenduri perkahwinan.

Namun jika diperhatikan dalam amalan masyarakat kita, jarang sekali kedengaran ucapan selamat yang pernah baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم ucapkan kepada pengantin. Yang biasa kita dengar ialah “Selamat pengantin baru.”, “Selamat berbahagia hingga ke anak cucu”, “Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat” dan sebagainya.
Justeru saya dengan ini menyeru diri saya dan para pembaca sekalian agar melazimi amalan sunat yang satu ini iaitu doa yang disunatkan buat pengantin.
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم apabila mendoakan seseorang yang berkahwin, baginda menyatakan:

(Allah memberkati untukmu dan berkat ke atasmu serta mengumpulkan kamu berdua dalam kebajikan.)
(Hadith Riwayat Ashabus Sunan kecuali An Nasai dan lihat Shahih Tirmidzi 1/317)
Sama-samalah kita menyemarakkan amalan sunat dalam kehidupan seharian kita. Semoga pengantin mendapat berkat yang selayaknya dan kita juga mendapat ganjaran kerana mengamalkan amalan sunnah yang ditunjukkan baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم .
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد
Bumi bertuah ini sudah lama berminggu-minggu tidak disirami hujan. Bahang matahari terasa panasnya hingga ke subuh hari. Sedangkan biasanya, di tengah malam sudah mula terasa dingin si embun jantan. Banyaklah didengari keluhan ramai insan kerdil yang tidak dapat menahan ujian ‘panas dunia’ ini.
Akhirnya apa yang dinanti-nanti mula bertandang. Petang itu, awan tebal yang gelap menyelimuti langit dalam masa yang singkat. Guruh berdentum di sana sini. Angin kencang menghempas apa saja yang berada pada laluannya. Maka bergembiralah kita si insan kerdil. Seronoknya bukan kepalang! Ingin saja berkejaran ke luar premis bangunan merasakan titik-titik hujan yang mampu mendinginkan semula bumi yang hangat membahang ini.

Lalu titik-titik hujan pun bertaburan. Awalnya ia sekadar titik-titik gerimis yang mampu menenggelamkan harapan semua, namun akhirnya hujan lebat membasahi bumi semahu-mahunya. Dan selepas hampir satu jam. Langit kembali cerah dengan beberapa tompok awan gelap yang semakin menghilang. Terik mentari kembali menyinar, namun dirasakan tidak sepanas sebelum ini. Inilah satu nikmat yang sangat disenangi oleh ramai antara kita. Maha pemurahnya Allah! Dialah yang mendamaikan ketika kita berkeluh-kesah. Dialah yang mendinginkan ketika kita berpeluh keringat. Namun berapa ramai yang menyedari akan nikmat ini?
Maka sama-samalah kita tinjau seketika kitab hadith, bagaimana baginda Muhammad صلى الله عليه وسلم berinteraksi dengan keadaan sebegini. Diriwayatkan dalam Kitab Shahih Bukhari yang maksudnya;
Dari ‘Aisyah R.A katanya: Nabi صلى الله عليه وسلم kalau melihat awan gelap di langit, baginda menghadap, membelakang, masuk dan keluar, dan berubah wajah baginda. Dan kalau hujan turun dari langit, baginda gembira (tenang kembali). Aisyah berkata: Lalu saya tanyakan yang demikian itu kepada baginda. Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Setelah mereka melihat awan terbentang di langit, datang menuju ke lembah, mereka itu berkata: Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami! Bukan! Itulah (bahaya) yang kamu minta supaya datang dengan segera! Angin yang mengandung siksaan yang pedih! (Ayat 24, Surah Al-Ahqof)”
Subhanallah! Di saat gembira begitu, rupanya baginda صلى الله عليه وسلم resah gelisah kuwatir andai tanda-tanda hari akan hujan itu sebenarnya bukan membawa hujan, tetapi membawa bala Allah. Baginda صلى الله عليه وسلم mengingati peristiwa kehancuran Kaum ‘Aad yang mana telah berkali-kali diberi peringatan agar tidak menyembah selain Allah sejak sebelum Nabi Hud A.S lagi. Dan di lembah Al-Ahqof itu kaum ‘Aad telah meminta daripada Nabi Hud A.S, “Datangkanlah kepada kami azab yang telah kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar.”
Maka, kaum ‘Aad yang ternanti-nanti turunnya hujan itu ketika bergembira kerana awan gelap menyelubungi langit, akhirnya bukan menurunkan titik-titik hujan, tetapi menurunkan azab yang menghancurkan mereka sehingga tiada berbekas melainkan bekas-bekas tempat tinggal mereka sahaja.
Marilah sama-sama kita menginsafi dan mengingati peristiwa ini tatkala awan gelap berarak menyelimuti langit, ketika angin kian bertiup kencang, sewaktu guruh berdentum memancar kilat. Semoga kita terselamat daripada azab yang pedih di dunia mahupun di akhirat.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.
|
Ditulis oleh
el-ilmy |
Kategori:
Sunnah Nabi,
Tazkirah | Tag:
nikmat,
ujian |