Category: Sunnah Nabi

Puasa Hari Arafah, hapus dosa dua tahun


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ayat 21, Suroh Al-Ahzaab,

Maksudnya:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasululloh itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Sebagai seorang muslim yang sentiasa ingin memperbaiki diri, penting bagi kita agar sentiasa tercari-cari pedoman yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم  dalam kehidupan seharian. Jadi, insyaAlloh  saya akan kongsikan serba sedikit amalan-amalan Sunnah Nabi pada masa-masa akan datang, terutamanya yang sering ditinggalkan oleh masyarakat kita.

Dalam ayat di atas juga, disebutkan bahawa terdapat beberapa ciri bagi mereka yang mahu menjadikan Rosululloh صلى الله عليه وسلم  sebagai ikutannya. Mereka ialah:

  1. Orang yang sentiasa mengharapkan redha Alloh. Termasuk di dalam kalangan orang yang mengharapkan redha Alloh ialah mereka yang sentiasa mengikhlaskan diri terhadap Alloh dalam setiap amalannya serta sentiasa redha dengan setiap ujian kesusahan atau musibah yang dialaminya.
  2. Orang yang sentiasa mengharapkan balasan baik pada hari akhirat. Balasan baik pada hari akhirat tidak lain tidak bukan ialah menerima buku catatannya dengan tangan kanan, tidak dimasukkan ke dalam neraka, dimasukkan ke dalam syurga dan balasan terbaik ialah dapat melihat wajah Alloh.
  3. Orang yang sentiasa berzikir kepada Alloh tidak kira ketika senang mahupun susah. Berzikir kepada Alloh bukanlah sekadar diertikan sebagai ucapan-ucapan pujian kepada Alloh seperti tasbih, tahlil, tahmid dan takbir. Bahkan, bila melihat keindahan alam, hati memuji Alloh, bila terdorong maksiat, hati meminta perlindungan daripada Alloh agar tidak melakukannya, maka ia juga termasuk sebagai zikir kepada Alloh.

Tanpa ketiga-tiga ciri ini, mungkin akan lemahlah perasaan ingin menjadikan baginda sebagai ikutan, di mana apabila lemahnya keinginan itu, seseorang itu boleh jadi hanya mengikut perkara apa yang mudah baginya, hanya mengamalkan sunnah yang disebutkan mempunyai ganjaran-ganjaran tertentu, hanya mengikut apa yang diketahui tanpa mahu mencari lagi amalan yang tidak diketahuinya, tidak merasa kerugian apabila meninggalkan sunnahnya atau pun pelbagai lagi.

Jadi, sama-samalah kita perhatikan ciri-ciri yang disebutkan, adakah kita mempunyai ciri-ciri itu? Jika kita masih jauh daripada ciri-ciri itu, paggillah semula hati kita, kemudian ajarkanlah ia akan ciri-ciri itu.

Untuk permulaannya, disebutkan satu amalan sunnah yang besar ganjarannya yang tidak terdapat pada waktu lain, tetapi hanya pada tanggal 9 Zulhijjah, iaitu berpuasa pada hari di mana mereka yang menunaikan ibadah Haji sedang berwuquf di Padang Arafah.

Terdapat beberapa hadith sahih yang menggalakkan orang Islam yang tidak ke Tanah Suci Mekah supaya berpuasa pada hari Arafah.

Dari Abi Qatadah R.A, dia berkata, ditanya kepada Rosululloh صلى الله عليه وسلم  berhubung puasa pada hari Arafah, maka Baginda bersabda (maksudnya): “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosanya pada tahun lalu dan tahun berikutnya.”
(Hadith Riwayat Muslim).

Daripada Abi Qatadah daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Berpuasa pada hari Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan daripada Allah agar dihapuskan dosa selama satu tahun sebelumnya dan satu tahun selepasnya.
(Hadith Riwayat Abu Daud, an-Nasaie dan at-Tirmidzi)

Yang dimaksudkan setahun sebelum ialah setahun sebelum 9 Zulhijjah dan setahun selepasnya ialah setahun selepas 9 Zulhijjah, ini bermakna amalan puasa itu akan menghapuskan dosa bagi dua tahun berturut-turut. Kita sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan dosa sama ada yang kita sedar ataupun tidak, kecil mahupun besar, sebaiknya kita tidak melepaskan peluang yang disediakan untuk kita menghapuskan dosa-dosa kita yang telah kita lakukan selama setahun dan juga dosa-dosa yang kita mungkin akan lakukan setahun lagi.

Namun, bukanlah maksudnya kerana telah dijanjikan dosa-dosa diampunkan pada setahun yang akan datang, maka kita bebas untuk melakukan dosa selepas ini. Berterusan melakukan dosa boleh menyebabkan kita selesa dengan dosa. Sebagai orang yang beriman, tidak sepatutnya kita berasa selesa apabila melakukan dosa. Sentiasalah perbanyakkan memohon ampun (istighfar) kepada Alloh setiap hari. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  beristighfar 100 kali sehari dengan lafaz:

Maksudnya: Saya memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya.

Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat kepada kita semua. Mohon maaf dan sekian, terima kasih.

Bulan Ramadhan boleh buat, kenapa tidak di bulan lain?

Assalamu`alaikum..harap dapat baca, panjang..tapi berbaloi, tak rugi membacanya.

Mari kita soal diri masing-masing.

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba tak tinggal berjemaah Isya’ dan taraweh. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba bangun sebelum Subuh untuk bersahur, masa tu jugak dapat aku bertahajjud dan membaca Al-Quran seperti selalu nabi buat. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba datang berjemaah subuh di Surau/Masjid terdekat. Solat sunat sebelum Subuh pun tak tinggal. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba membaca kitab Al-Quran sebanyaknya, ada je waktu lapang, aku akan buka kitab suci ni. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba peruntukkan sejumlah pendapatan aku untuk sedekah. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba kawal kata-kataku, penglihatanku, pendengaranku, perbuatanku agar tidak melakukan perkara lagho@sia-sia. Aku tak lagi mengumpat, aku tak lagi berbual kosong, gelak ketawa, aku tak lagi mendengar lagu-lagu yang melekakan, aku tak pergi tengok wayang, melepak, ronda-ronda shopping complex tanpa tujuan. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba banyakkan zikir kepada Allah, pagi petang malam, tak henti-henti aku berzikir. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Kenapa? Oh..betapa sebelas bulan yang lain, aku jauh terleka. Ini semua salah kau syaitan. Kau yang menyebabkan aku leka. Bulan Ramadhan, kau terikat. Mudah untuk aku kembali mengingat Alloh.

Eh..kenapa aku salahkan syaitan? Bukan ke aku sendiri bersalah? Mengikut saja kata teman aku tu tanpa menolak. Huhuu..lemahnya diri aku ini.

Sekarang aku sedar, aku insaf. Tapi kuatkah aku untuk kekal beramal sepanjang tahun..bukan pada bulan Ramadhan saja? Kawan-kawan aku semua macam ni, kalau aku berubah..aku jadi macam kera sumbang. Aku akan kehilangan kawan-kawan aku.

Tapi itu bukan alasan untuk aku berkawan rapat dengan syaitan durjana yang melekakan aku dan kawan-kawan aku. Oh..aku tahu jalannya. Kenapa tidak, aku ajak sekali kawan-kawan aku yang lain juga berubah seperti keinginan aku ini.

Lalu soalan-soalan pada diri sendiri ini aku fowardkan untuk tatapan kawan-kawan semua. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi titik tolak untuk kita berubah. Kalau berubah sendiri, aku tak kuat..aku perlukan juga kawan-kawan semua.

Sebelum aku berhenti, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kawan-kawan semua kerana sudi membaca dan sudi turut serta bersama-sama aku untuk berubah. Kita tetap kawan kan? Tapi hubungan kita kali ini lebih bersih..kita sama-sama halau syaitan durjana!