Category: Puisi Melayu

MELAYU BANGSA BERGUNA

MELAYU BANGSA BERGUNA

Masih kreatif Malayu kita
Walau tiada sasterawan muda
Karya segar bukan yang lama
Tersebar jauh di alam maya
Tanpa nama empunya cipta
Sukar dicari kata-kata siapa
Teknologi ICT pemudah bicara
Sana-sini orang membaca
Lepas baca sebarkan pula
Asalkan seronok kongsi bersama
Namun sebenarnya kita dahaga
Tandus karya penuh makna
Mana isinya teguran berguna
Jarang sekali sampai ke telinga
Yang ada hanya gurau-senda
Ada sindir sakitkan jiwa
Kosong nasihat pengubat duka
Ayuhlah Melayu jangan mudah lupa
Kita ini bangsa bijaksana
Nenek-moyang dah tunjuk lama
Budaya santun budaya siapa
Hilangkah dari setiap kita
Bahasa lunak titipan kata
Elok teguran cantik bicara
Masuk telinga diterima jiwa
Gerakkan hati ubah segala
Amal buruk dilempar saja
Ambil nasihat apa dibaca
Barulah Melayu bangsa berguna.

Karya Izatul Lail Mohd Yasar (I.L.M.Y), 10 Ramadhan 1437 @ 15 Jun 2016 untuk disebarkan.

Apa Hasilnya Buat Dirimu?

15 hari sudah Ramadhan bertamu,
Setengah bulan lagi menunggu,
Apa hasilnya buat dirimu?
Badan makin kurus rasa makin ayu?
Iman makin gemuk atau makin layu?
Kemaskanlah langkah mari bergerak laju,
Bonus berganda janji Tuhanmu,
Kutiplah ia sebanyak mampu,
Ibarat jalanraya berlorong satu,
Dengan Ramadhan kini seperti lorong seribu,
Masing-masing pecut kereta dipacu,
Jangan masih ada yang buat tak tahu,
Bergerak perlahan mahu tak mahu,
Apakan daya mata dah kelabu,
Raya sahaja bermain di kalbu,
Itulah kebiasaan umat Melayu,
Mari berubah jangan membatu,
Perkemas ibadah amal dengan ilmu,
Moga diredhai Allah Yang Satu.