Category: Dakwah

Hijrah Yang Dituntut

Sumber: Notes Facebook Ustaz Dr Abdullah Yasin

عَنِ ابْنِ عَمْرُو عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَفْضَلُ المُهَاجِرِيْنَ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَىاللهُ تَعَالَى عَنْهُ – رَوَاهُ الطّبَرَانِي – حَدِيْثٌ صَحِيْحٌ – الأحَادِيْثُ الصَّحِيْحَة / 1491 – انظر : صَحِيْحُالجَامِع الصَّغِيْر – للألباني

Daripada Ibnu Amru daripada Nabi SAW sabdanya : Sebaik-baik orang yang berhijrah, ialah orang yang berhijrah (meninggalkan) apa-apa yang dilarang oleh Allah SWT. (HR al-Tabaraniy – Hadis Sahih – Himpunan Hadis-Hadis Sahih No. 1491 – Lihat Sahih al-Jami’ al-Saghir – Oleh Al-Albaniy.

Penjelasan hadis :

1. Hijrah menurut bahasa maknanya berpindah atau meninggalkan yang pertama menuju kepada yang kedua. Hijrah dalam Islam terbagi dua, iaitu : 1. ( هِجْرَة حِسِّيَّة ) : Hijrah Fisikal ; 2. ( هِجْرَة مَعْنَوِيَّة ) : Hijrah Sikap.Hijrah Fisikal ialah berpindah dari satu negeri ke negeri lain. Hijrah jenis ini tidak dituntut kecuali jika darurat. Umpamanya jika kita tinggal disuatu negeri yang tidak membenarkan kita melaksanakan syareat Allah seperti tidak boleh solat, tidak boleh menutup aurat dan lain-lain, maka ketika itu kita wajib berhijrah jika memungkinkan.Adapun Hijrah Sikap adalah wajib dan Fardhu ‘Ain ke atas setiap muslim dan muslimat. Hijrah jenis inilah yang diisyaratkan oleh Hadis Sahih di atas.

2. Berhijrah daripada apa yang dilarang oleh Allah adalah jenis hijrah yang paling afdhal dan paling utama. Inilah yang dimaksudkan dengtan Hijrah Sikap. Umpamanya : Berhijrah daripada sikap atau sifat pemalas kepada sifat rajin ; daripada pengotor kepada pembersih ; daripada pemarah dan panas baran kepada penyabar ; daripada pendendam kepada pemaaf ; daripada bodoh kepada berilmu pengetahuan. Dan yang paling utama dari semua itu ialah berpindah daripada Syirik kepada Tauhid ; daripada Bid’ah kepada Sunnah ; daripada beragama secara Taqlid kepada Ittiba’.

3. Umat Islam jika ditinjau dari sudut “mengikut” terbagi kepada dua, iaitu : 1. Taqlid : Mengikut secara membuta tuli dan tidak tahu sama ada yang diikutinya itu ada dalil atau tiada dalil. 2. Ittiba’ : Mengikut juga tetapi mengetahui ada dalilnya. Menurut istilah agama, orang tang bertaqlid dipanggil Muqallid, sedangkan orang yang ittiba’ dipanggil Muttabi’. Dan sudah pasti dalam hal ini kedudukan Muttabi’ adalah lebih tinggi dan lebih mulia di sisi Allah berbanding dengan Muqallid. Ini kerana Islam adalah agama ilmu, bukan agama ikut-ikutan atau ikut secara membuta tuli. Malah Islam sangat melarang umatnya bertaqlid secara tetus menerus. Oleh itu, setiap muslim wajib terus berusaha mencari dan menambah ilmu agama agar segala keyakinan dan amalannya selama ini mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah. Bukan hanya bertaqlid sampai mati, padahal peluang mencari ilmu zaman ini sangat mudah.

4. Kembali kepada topik pembahasan. Hijrah paling afdhal ialah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Menurut Kaedah Ilmu Ushul : Larangan Allah juga tersirat di dalam semua suruhan-Nya. Maksudnya : Larangan Allah bukan datangnya hanya dalam bentuk larangan, seperti : Jangan membunuh, jangan mendekati zina, jangan mengumpat, jangan mencela, jangan mencuri, jangan berburuk sangka dan lain-lain. Tetapi larangan juga tersirat di dalam semua suruhan Allah. Contoh : Dalam suruhan mendirikan solat tersirat larangan jangan abaikan solat, dalam suruhan mentauhidkan Allah tersirat larang syirik, dalam suruhan mengikuti ibadat cara Rasulullah SAW tersirat larangan berbuat bid’ah, dalam suruhan berbuat ihsan kepada ibu bapa tersirat larangan durhaka kepada mereka berdua dan lain-lain.

5. Menurut para ilmuan Islam : Dosa kerana tidak melakukan suruhan Allah SWT adalah lebih besar dan lebih dahsyat berbanding terlanggar larangan Allah. Walaupun kedua-duanya adalah dosa. Kesimpulan ini berdasarkan sikap Iblis dan Adam ketika dalam syurga. Iblis berdosa kerana tidak melakukan suruhan agar sujud kepada Adam. Adam juga berdosa kerana beliau melanggar larangan Allah agar jangan mendekati pokok larangan. Walaupun kedua mereka berdosa, tetapi dosa Iblis lebih besar jika dibandingkan dosa Adam sebab motif keengganan Iblis sujud adalah sombong (takabbur), tetapi motif Adam melanggar larangan Allah adalah kerana terlupa dan tertipu oleh rayuan Iblis.

6. Ibu Bapak dinasehatkan agar memperbetul persepsi yang salah ini. Terdapat dalam masyarakat kita sesetengah orang tua yang beranggapan bahawa anaknya sudah baik, jika mereka tidak terlibat dadah, pergaulan bebas, mencuri, berzina tetapi pada masa yang sama anak-anaknya tidak solat, tidak menutup aurat, tidak berbuat ihsan kepada orang tuanya. Kita tidak menafikan bahawa semuanya dosa dan wajib dijauhi semuanya. Namun dosan tidak membuat suruhan Allah adalah lebih besar berbanding terlanggar larangan Allah. Diharap para pembaca tidak salah faham dengan penjelasan ini. Perkara ini didedahkan hanya bertujuan untuk memperbetul persepsi atau anggapan yang salah dikalangan sesetengah masyarakat kita.

7. Kewajipan utama umat manusia dimuka bumi adalah mentaati atau mematuhi Allah. Taat dalam Islam terbagi dua, iaitu : 1. Buat apa yang Allah suruh, 2. Tinggalkan apa yang Allah larang. Oleh itu, tidak sempurna ketaatan seseorang jika hanya setakat membuat apa yang Allah suruh tetapi pada masa yang sama dia melanggar larangan Allah, ataupun sebaliknya, meninggalkan larangan Allah tetapi pada masa yang sama tidak membuat suruhan Allah. Marilah kita sama sama berusaha untuk menjadi hamaba-Nya yang sentiasa berkata : ( سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ المَصِيْرُ ) : Kami dengar dan kami patuhi, (mereka berdoa) : Ampunilah kami ya Tuhan kami, dan kepada Engkau lah kami kembali. (Al-Baqarah : 285)

Topik ini ustaz rasa sangat perlu direnung kerana kita masih dalam suasana memasuki ” Tahun Hijrah Baru 1432H “. Semoga keimanan dan ke-Islam-an kita lebih baik pada tahun-tahun yang akan datang. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Bulan Ramadhan boleh, kenapa bulan lain tak?

Mari kita soal diri masing-masing.

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba tak tinggal berjemaah Isya’ dan taraweh. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba bangun sebelum Subuh untuk bersahur, masa tu jugak dapat aku bertahajjud dan membaca Al-Quran seperti selalu nabi buat. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba datang berjemaah subuh di Surau/Masjid terdekat. Solat sunat sebelum Subuh pun tak tinggal. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba membaca kitab Al-Quran sebanyaknya, ada je waktu lapang, aku akan buka kitab suci ni. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba peruntukkan sejumlah pendapatan aku untuk sedekah. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba kawal kata-kataku, penglihatanku, pendengaranku, perbuatanku agar tidak melakukan perkara lagho@sia-sia. Aku tak lagi mengumpat, aku tak lagi berbual kosong, gelak ketawa, aku tak lagi mendengar lagu-lagu yang melekakan, aku tak pergi tengok wayang, melepak, ronda-ronda shopping complex tanpa tujuan. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Bila tiba bulan Ramadhan, aku akan cuba banyakkan zikir kepada Allah, pagi petang malam, tak henti-henti aku berzikir. Tapi kenapa aku tak cuba macam tu jugak di bulan lain?

Kenapa? Oh..betapa sebelas bulan yang lain, aku jauh terleka. Ini semua salah kamu syaitan. Kau yang menyebabkan aku leka. Bulan Ramadhan, kau terikat. Mudah untuk aku kembali mengingat Alloh.

Eh..kenapa aku salahkan syaitan? Bukan ke aku sendiri bersalah? Mengikut saja kata teman aku tu tanpa menolak. Huhuu..lemahnya diri aku ini.

Sekarang aku sedar, aku insaf. Tapi kuatkah aku untuk kekal beramal sepanjang tahun..bukan pada bulan Ramadhan saja? Kawan-kawan aku semua macam ni, kalau aku berubah..aku jadi macam kera sumbang. Aku akan kehilangan kawan-kawan aku.

Tapi itu bukan alasan untuk aku berkawan rapat dengan syaitan durjana yang melekakan aku dan kawan-kawan aku. Oh..aku tahu jalannya. Kenapa tidak, aku ajak sekali kawan-kawan aku yang lain juga berubah seperti keinginan aku ini.

Lalu soalan-soalan pada diri sendiri ini aku fowardkan untuk tatapan kawan-kawan semua. Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi titik tolak untuk kita berubah. Kalau berubah sendiri, aku tak kuat..aku perlukan juga kawan-kawan semua.

Sebelum aku berhenti, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada kawan-kawan semua kerana sudi membaca dan sudi turut serta bersama-sama aku untuk berubah. Kita tetap kawan kan? Tapi hubungan kita kali ini lebih bersih..kita sama-sama halau syaitan durjana!

p/s – bicara hati ini dikongsikan di sini untuk anda kongsikan dengan rakan-rakan lain. Terima kasih.

Doa yang disunatkan buat pengantin

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد

Musim cuti sekolah kembali menemui kita lagi. Seperti kebiasaan cuti sekolah, banyaklah jemputan kenduri kahwin di sana-sini yang diterima. Jika tiada keuzuran, cubalah penuhi jemputan yang ada kerana telah menjadi hak orang yang mengundang agar kita memenuhi undangannya, lebih-lebih lagi undangan ke kenduri perkahwinan.

Pasangan Cinta

Namun jika diperhatikan dalam amalan masyarakat kita, jarang sekali kedengaran ucapan selamat yang pernah baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم ucapkan kepada pengantin. Yang biasa kita dengar ialah “Selamat pengantin baru.”, “Selamat berbahagia hingga ke anak cucu”, “Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat” dan sebagainya.

Justeru saya dengan ini menyeru diri saya dan para pembaca sekalian agar melazimi amalan sunat yang satu ini iaitu doa yang disunatkan buat pengantin.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad  صلى الله عليه وسلم apabila mendoakan seseorang yang berkahwin, baginda menyatakan:



(Allah memberkati untukmu dan berkat ke atasmu serta mengumpulkan kamu berdua dalam kebajikan.)

(Hadith Riwayat Ashabus Sunan kecuali An Nasai dan lihat Shahih Tirmidzi 1/317)

Sama-samalah kita menyemarakkan amalan sunat dalam kehidupan seharian kita. Semoga pengantin mendapat berkat yang selayaknya dan kita juga mendapat ganjaran kerana mengamalkan amalan sunnah yang ditunjukkan baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم .

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Sumber Ilmu Pengajian Islam: Penerimaan dan tapisan

Sumber: zaharuddin.net

Assalamualaikum,

Saya ada mengikuti beberapa siri ceramah ustaz di youtube dan juga web ini. Saya berminat untuk mendengar seberapa banyak ceramah ustaz, jadi bolehkah ustaz berikan info dimana saya boleh dapatkan ceramah penuh ustaz dan  apa jua medium untuk saya menuntut ilmu dengan cara tidak rasmi ini dari ustaz.

Saya amat berminat mendengar ceramah ustaz. Saya juga minta ustaz dapat jelaskan beberapa displin menerima ilmu melalui ceramah. Terima kasih

-Pemuda Islam-

Jawapan


Wa’alaikumussalam,

Terima kasih atas minat sdr dan niat sdr yang sebegitu baik. Saya ingin menasihati  saudara agar  mengambil ilmu dari pelbagai sumber dan penceramah. Namun sdr perlu melihat latarbelakang penceramah tersebut dan jangan hanya terikut-ikut dengan populariti seseorang.

Terdapat ramai penceramah dan ilmuan yang tidak popular di sisi masyarakat namun mampu memberikan ilmu yang amat mantap dan baik kepada pendengarnya.

Terdapat juga penceramah yang tidak begitu mahir dalam menyusun ayat-ayat atau menyelitkan lawak-lawak jenaka, namun isi kuliahnya adalah amat cemerlang.

Justeru, pelbagaikanlah dan janganlah terhenti hanya kepada penceramah satu aliran. Nilailah setiap ceramah dari mereka yang pakar dengan adil. Buangkan isi-isi hodoh yang diungkapkannya, campakkan sikap memaki dan merendah jika ada tersilt dalam ceramah mereka. Cukuplah manfaatkan yang baik darinya. Lihatlah kepada positifnya berbanding yang negatifnya. Janganlah merasa pelik dengan sikap sebahagian penceramah yang kelihatan bukan dari akhlak Islam, ini adalah kerana mereka juga manusia biasa yang punyai kelemahan dan dosa. Manfaatkan yang positif, buangkan yang buruk.

Firman Allah SWT :-

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

Ertinya : yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal ( Az-Zumar : 18)

Adapun soalan sdr berkaitan beberapa displin menerima kandungan ceramah :-

1)      Semak latar belakang penceramah dan kenali bidang apakah kepakaran beliau. Imam Malik Bin Anas berkata :

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون

Ertinya : ” Sesungguhnya pengambilan ilmu ini adalah agama, maka telitilah dari mana kamu ambilinya (ilmu) agamamu ”  ( Siyar A’lam An-Nubala, 5/343)

2) Dapatkan komen dari ilmuan lain yang tidak ‘memusuhi’ penceramah yang anda ingin dengarinya. Ia penting untuk mendapatkan gambaran akan siapakah ia dan sejauh manakah info yang disampaikannya boleh diterima pakai.

3) Mendengar dengan faham penerangan sehingga habis dan tidak memotong separuh-separuh kerana ia mungkin sahaja akan menyebabkan perkataan penceramah difahami di luar konteksnya. Petikan-petikan di youtube biasanya kurang dari 10 minit, justeru kemungkinan ia di luar konteks adalah wujud dan pelru berhati-hati mengambilnya.

4) Jangan ambil serius sebarang cercaan yang dilontarkan oleh penceramah kepada mana-mana tokoh dan individu lain. Kebanyakkannya dilontarkan secara tidak adil dan salah faham semata-mata.

5)  Mendengar satu ceramah dari mula sehingga habis dalam satu masa. Jika anda mendengar sekerat dan sekerat, ia menjauhkan anda dari mendapat kefahaman bermanfaat dari ceramah tersebut.

6) Sebaiknya, dapatkan penceramah yang mampu mengutarakan isi yang disertai dengan ayat dan hadis secara nasnya.  Ia adalah sebaik-baiknya kerana ia akan mendekatkan anda dengan sumber asas. Namun, mempunyai nas tidak semestinya intrepertasinya dan penggunaannya adalah betul dan tepat. Tidak dinafikan terdapat penceramah yang tidak membaca sebarang nas, tetapi semua kandungannya bertepatan dengan al-quran dan hadis. Kesimpulannya, kebijaksanaan anda dalam memilih adalah amat perlu dalam hal ini.

7) Setelah mendapat seusatu ilmu atau kesimpulan dari sesuatu ceramah, janganlah terlalu taksub atau ikut sehingga mengunci fikiran dan minda dari sebarang pandangan ilmuan lain yang berbeza.

8 ) Sampaikan ilmu yang diperolehi dengan amanah dan tidak mengubah suainya sesuka hati serta menisbahkannya kepada penceramah asal. Ia dengan mudah boleh mengakibatkan salah faham dan kesan buruk kepada penceramah asal. Banyak terjadi, sesuatu dakwaan dinisbahkan kepadanya sedangkan ia adalah hasil ubahsuai pendengar atau anak muridnya.

Saya merasakan itulah sahaja yang sempat untuk saya kongsikan bagi menjawab soalan ini. Semoga ada manfaatnya.

_______________________________________________________________________________

Dari el-ilmy pula:

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Berbicara mengenai perkembangan cara mendapatkan ilmu khasnya dalam pengajian Islam, tentu masing-masing mempunyai cara tersendiri bagaimana mendapatkannya, bagaimana menerimanya dan bagaimana membuat tapisan terhadap ilmu yang diperolehi. Di sampaikan ialah persoalan dan jawapan daripada saya:

  1. Apakah cara saudara-saudari mendapatkan ilmu pengajian Islam?
    Ikut kuliah dan ceramah di kawasan sekitar, download audio video, tonton dan dengar kuliah di internet, download & baca e-book, artikel, blog, beli dan baca buku-buku dan kitab-kitab saranan guru kuliah.
  2. Bagaimana penerimaan saudara-saudari terhadap ilmu yang diperolehi?
    Menerima dan menolak selepas dibuat suatu penilaian, tak menerima semuanya, tak menolak semuanya, sebab ada yang nampak macam betul, tapi bila dikaji dan dinilai semula, rupanya ia tertolak daripada Islam.
  3. Adakah terdapat suatu cara penapisan terhadap ilmu yang diperolehi? Jika ada, bagaimana saudara-saudari membuat penapisan itu?
    Masih belum cukup ilmu untuk buat tapisan, jadi biasanya akan compare dengan beberapa sumber-sumber lain. Kalau disebut hadith, kena rujuk kitab-kitab hadith dan guru-guru yang mengajar pasal hadith. Kalau disebut tafsir Al-Quran, kena rujuk semula beberapa kitab tafsir lain. Kalau disebut fatwa, kena rujuk pula hujjah yang menyokong fatwa itu. Kalau wujudnya khilaf, perlu rujuk semula hujjah dua khilaf itu dan pendapat guru-guru kuliah.

Rasanya masih banyak lagi saya kena belajar, macam mana nak menapis ilmu yang kita perolehi. Bimbingan dan dorongan rakan-rakan dan para guru adalah sangat saya hargai.

Bagaimana pula mengenal guru kuliah / ustaz / ustazah yang bagus untuk dapatkan pendapat tapisan? Ada guru yang mengajar dan menjawab kemusykilan atas kemampuan khalayaknya. Ada yang mengelak bercakap tentang khilaf, ada yang tak sebut yang ini hadith shahih, hadith doif, hadith palsu (maudu), yang ini ayat Al-Quran, yang ini pendapat pengasas imam mazhab, yang ini pendapat ulama dalam mazhab dll.

Ada yang ditanya tentang khilaf, dia akan membawa khalayak agar mengelak daripada berfikir mengenainya, atau terus menyatakan perlu berpegang kepada satu pendapat dan menyatakan pendapat lain itu di luar mazhab kita, jangan buat. Akhirnya, orang yang bertanya menjadi semakin keliru.

Menjawab soalan “Bagaimana pula mengenal guru kuliah / ustaz / ustazah yang bagus untuk dapatkan pendapat tapisan?“, saya akan lebih selesa mendapatkan tapisan daripada mereka yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Sentiasa merujuk sumber daripada Al-Quran dengan tafsiran yang disepakati ramai, hadith-hadith daripada kitab-kitab hadith yang disepakati ramai serta dinyatakan status hadithnya, petunjuk empat khalifah awal Islam serta para sahabat, qias perbandingan dengan apa yang disebut dalam Al-Quran dan hadith, para ulama terawal yang disebut sebagai generasi salaf, serta kesepakatan para ulama terkemudian.
  2. Sentiasa meneladani rujukan di atas dalam amalan ibadat dan ahklaknya.
  3. Menjaga adab dalam perbezaan pendapat dan perdebatan.

Cara penyampaian sang guru adalah pelbagai, tahap ilmu mereka juga adalah pelbagai. Oleh sebab itu, kita digalakkan belajar dengan ramai guru. Makin kita belajar, makin banyak rasanya kita tak tahu dan nak tahu serta perlu tahu. Proses pembelajaran tidak sepatutnya terhenti selagi mana hayat masih ada.  Sama-sama kita berdoa agar dipermudahkan untuk mendapat ilmu yang benar serta diredhai Allah SWT seterusnya dapat kita beramal dengannya demi mendapat keredhaan Allah SWT.