Ada yang ketakutan dengan ribut petir yang melanda Ibu Pejabat kita selama tiga petang berturut-turut. Normal untuk rasa takut akan kekuatan kuasa Allah S.W.T. Angin ribut, halilintar, itu semua patut kita ambil sebagai peringatan, betapa kerdilnya kita untuk mendabik dada membesarkan diri tidak tunduk patuh dengan suruhan dan larangan Allah, tuhan yang menjadikan segala sesuatu, yang mentadbir urus apa yang dijadikan-Nya, yang kuasa-Nya meliputi segala-gala sesuatu.
Ambillah attachment di bawah untuk diamal bila berlakunya angin ribut, petir sabung-menyabung dan mengharapkan agar hujan berhenti atau dialihkan ke tempat lain. Ianya adalah shahih daripada baginda Nabi Muhammad Salallahu’alaihi wasallam.
Dapatkanlah kitab yang baik yang memuatkan pelbagai doa yang shahih daripad baginda Salallahu’alaihi wasallam iaitu kitab Hisnul Muslim oleh Sheikh Dr. Said bin Ali Wahf Al-Qahtani. Telah diterjemah ke Bahasa Malaysia oleh Ustaz Dr Abdul Basit bin Abdul Rahman, dengan tajuk Perisai Muslim, Himpunan Doa dan Zikir daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Telah banyak kali rasanya disebutkan oleh ribuan malah jutaan ilmuan Islam di seluruh dunia, bahawa menderma dan bersedeqah itu menambahkan rezeki dan bukan mengurangkannya.
Namun sudah tentu akan tetap wujud individu yang masih belum mampu memperolehi keyakinan bahawa rezekinya akan bertambah apabila menghulurkan sejumlah wang yang diusahakan dengan penat lelah itu.
Ini berlaku biasanya, disebabkan oleh minda individu terbabit yang mengecilkan skop rezeki hanya kepada penilaian naik turun harta dan wang di hadapan mata. Akibat dari itu, apa yang berkurang akan dirasa sentiasa menurun. Perasaan itu terus menerus mengunci dirinya untuk bersedeqah dan menyumbang, malah lebih serius apabila ada sebahagiannya menahan diri dari berbelanja untuk diri dan keluarganya.
MAKSUD REZEKI DALAM ISLAM
Bagaimana sebenarnya maksud rezeki di dalam Islam?
Rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta’ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam.Hakikatnya orang yang ‘memberi’ dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.
Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian’ dan ‘sumbangan’ yang juga tidak terhad kepada wang dan harta. Ia sangat nyata sebagaimana yang pernah saya tuliskan petikan hadis Nabi Muhammad dalam artikelsaya sebelum ini . Bahawa mengajak orang kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga, membantu merekayang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah pemberian amat bermakna.
Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian’ dan ‘sumbangan’ itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :-
1)Ikhlas kerana Allah
2)Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.
Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat’ di dalam kehidupan dan harta.
APA ITU BERKAT ?
Setinggi-tinggi darjat insan soleh, dia mampu mengekang dirinya di ketika menyumbang dari terpengaruh oleh fikiran atau bisikan seperti, “apa balasannya didunia”?.
Apa yang akan menjadi dorongan dan motivasi utama hanyalah apa yang bakal diperolehi di akhirat. Bukan ganjaran di dunia yag difikirkan. Apa yang diinginkan untuk dunianya hanyalah memperolehi rezeki yang BARAKAH atau berkat.
Menurut para ulama ‘barakah’ atau berkat itu adalah :-
هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.
Ertinya : iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan menambah banyakkan ia, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah azza wa jalla.
Walaupun begitu, tidak ramai manusia yang mampu mencapai darjat tersebut, dan masih ramai individu soleh yang melakukan kebaikan, namun masih sering terfikir-fikir tentang ganjaran buatnya untuk dinikmati di dunia ini lagi.
WHAT YOU GET BACK?
Hasilnya, ramai yang bertanya berkenaan ‘what will you get back?’
Bagi membuka minda kita semua akan bentuk-bentuk balasan yang mampu diperoleh hasil dari segala sumbangan kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Secara ringkas, saya bahagikan ganjaran yang boleh diperolehi sejak dari alam dunia ini lagi, semua ganjaran-ganjaran ini mempunyai dalil dan athar yang tersendiri, namun bagi mengelakkan terlalu panjang, saya tidak menyertakan semua dalilnya. Balasan tersebut adalah seperti berikut :-
a.Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga
·Rumahtangga kita didamaikan oleh Allah dari sebarang pergaduhan besar yang meruntuh kepercayaan dan kebahagian si suami, isteri dan anak.
·Hati dan fikiran dikurniakan ketenangan yang akhirnya memberikan kesan positif kepada produktiviti kita di tempat kerja dan tugas, lalu mendapat kenaikan gaji dan pangkat.
b.Kesihatan
·Allah selamatkan kita dan keluarga dari penyakit.
Nabi bersabda :
صنائع المعروف تقي مصارع السوء والآفات والهلكات
Ertinya : Perlakuan perkara kebaikan mampu menghalang dari terjerumus dalam keburukan, kecatatan dan kebinasaan. (At-Tabrani, Al-Haitahami : sanadnya Hasan)
·Kita diselamatkan dari kemalangan dan bencana seperti di jalanraya, di dalam rumah, luar rumah, di tempat kerja dan sebagainya. Namun perlu diingat, ADA JUGA TERDAPAT HARTA YANG BERKAT TETAPI DITIMPA MUSIBAH DAN BENCANA, namun tanda berkatnya ia adalah bencana dan musibah itu membawanya lebih hampir kepada Allah dan bukan semakin jauh. Itulah fungsi keberkatan harta itu, ia hilang dan ditimpa musibah sebagai asbab untuk kebaikan tuan miliknya.JUSTERU, bukan tugas kita untuk menuduh harat si polan itu berkat atau tidak berkat setiap kali ditimpa musibah kerana kita TIDAK TAHU HAKIKAT SEBENARNYA.
·Dikurniakan zuriat yang sihat dan jika sakit sekalipun, ia tidak seteruk mereka yang lebih parah sakitnya.
c.Harta
·Dihindar dari mendapat kerjaya yang haram dan terselamat dari sebarang jawatan atau kenaikan pangkat yang memudaratkan masa hadapan. Perlu diingat bukan semua kenaikan pangkat itu baik untuk hati dan jiwa manusia, ada sebahagian besar jawatan yang menghancur dan mengubah habis jiwa kebaikan dalam diri seseorang kepada jiwa penerima rasuah, tamak, rakus kuasa dan sebagainya.
·Direndahkan minat dan nafsu kepada harta dan pendapatan haram serta diberi kekuatan untuk istiqamah dalam yang halal. Inilah yang boleh digelar sebagai salah satu dari cabang ‘zuhud’, iaitu kebebasan jiwa dan hati dari keterikatan dengan harta dunia. Jika diperolehi, syukur dipanjatkan, jika ia hilang dan pergi tidaklah terlalu ditangisi.
·Diberikan rasa cukup dan selesa dengan pendapatan yang diperolehi kini walau zahirnya kelihatan kurang mencukupi. Inilah dinamakan oleh ulama tasauf sebagai Qana’ah iaitu berasa cukup dengan apa yang telah ada, tetapi tidak henti untuk terus menerus memperbaiki diri dan kerja.
·Kenderaan yang digunakannya jauh lebih baik dari kenderaan yang jauh lebih mahal darinya. Begitu juga harta-hartanya yang lain seperti rumah dan lokasinya, diberi rezeki oleh Allah untuk berada di persekitaran yang baik, berjiran dengan mereka yang tidak menimbulkan banyak masalah.
·Sumber pendapatan tambahan boleh datang secara tanpa disangka-sangka. Ia tidak semestinya dalam masa terdekat, ia mungkin berlaku 10 atau 20 tahun akan datang. Ini termasuklah di dalam tawaran Allah yang disebut di dalam durah at-Talaq, yang dinamakan oleh ramai sebagai ayat seribu dinar :
Ertinya : Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. ( At-Talaq : 2-3)
Namun perlu diperhati sejelas-jelasnya, ayat di atas mensyaratkan seseorang untuk menjadi ‘BERTAQWA’ sebagai jalan dibuka jalan kemudahan dan kebaikan dari pelbagai sumber tidak dijangka. Tidaklah sama sekali tepat pandangan ramai yang mengaitkan ‘gantung’ ayat tersebut di rumah dan kedai sebagai cara meningkatkan rezeki dan pendapatan, tanpa bersifat taqwa di dalam kerjaya, perniagaan dan tugasan. Sedangkan hakikatnya, taqwa itulah kuncinya, bukan dengan menggantung ayat tersebut dan sebagainya.
Ibn Abbasmenegaskan maksud jalan keluar di atas sebagai jalan keluar dari perkara syubhat di dunia, jalan keluar untuk menghadapi kematian, dan kesukaran di hari kiamat. (Tafsir Al-Qurtubi)
d.Sekeliling yang baik
·Dipermudah oleh Allah untuk berada di tempat dan persekitaran yang baik dan tidak merbahaya untuk diri dan keluarga.
·Kewujudannya menjadi pelopor kepada kebaikan mereka yang disekitarnya, penyekat kepada kemaksiatan. Ia bertepatan dengan sebuah sabdaan Nabi:
إن من الناس مفاتيح للخير مغاليق للشر وإن من الناس مفاتيح للشر مغاليق للخير فطوبى لمن جعل الله مفاتيح الخير على يديه وويل لمن جعل الله مفاتيح الشر على يديه
Ertinya : Dari kalangan manusia ada yang menjadi kunci kebaikan dan penutup serta penghalang kepada kejahatan. Dan ada pula yang menjadi kunci kejahatan dan penutup kebaikan, bergembiralah bagi sesiapa yang dijadikan oleh Allah sebagai kunci kebaikan di tangannya, dan celakalah mereka yang kunci kejahatan di tangannya ( Riwayat Ibn Majah : Sohih )
KESIMPULAN
MashaAllah, terlalu banyak cara dan kaedah untuk Allah membalas baik sangka hambaNya dan amalan kebaikan hambaNya. Sama ada di dunia atau akhirat.
Lalu apa yang menjadi penghalang kini hanyalah ‘hati’ masing-masing.
Jika hati itu masih belum mampu menyakini maha Pemurahnya Allahta’ala.
Masih belum boleh menyakini Allah akan membalasnya.
Masih belum yakin wujudnya Allah dan ganjaran kebaikan-Nya.
Selagi itu, seseorang itu akan sentiasa dihambat pelbagai perasaan tamak, kedekut dan malas ketika ingin memberi.
Jalan awal penyakit tersebut adalah ‘malas’ dan dikuti berterusan melakukan dosa dan berasa jalan ‘dosa’ itu adalah cara pendapatan yang terbaik baginya.
Saya teringat, tatkala saya mengingatkan orang ramai perihal pelaburan haram, skim haram, skim cepat kaya, money game, skim piramid wang, MLM yang haram dan sebagainya, lalu berteriaklah beberapa orang yang tidak berpuas hati seraya berkata :
“Kami orang susah, ustaz bolehlah kata itu dan ini…cuba ustaz duduk di tempat kami selaku individu yang kurang berpendidikan, kerja berat tapi gaji sedikit. Itulah sahaja cara yang mudah untuk kami menambah pendapatan”
Individu seperti ini tidak sama sekali sedar, keterlibatannya dalam perkara haram HANYA AKAN LEBIH MENAMBAH JAUHNYA DIA DARI SEBARANG REZEKI HARTA DAN KETENANGAN. Nabi pernah bersabda :
لا يزيد في العمر إلا البرولا يرد القدر إلا بالدعاء وإن الرجل ليحرم الرزق للخطيئة يعملها
Ertinya : Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan[1], dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya” ( Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)
Justeru, jangan jadikan posisi kesukaran diri di waktu ini sebagai excuse untuk melibatkan diri dalam perkara yang haram, kerana ia sama sekali bukan jalan keluar tetapi ia jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri dan keluarga.
Imam Ibn Kathir pernah mengulas bahawa apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka maka
Ertinya : Tetapi mereka telah mendustakan ( tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas dari mereka apa-apa yang telah mereka usahakan(Al-A’raf : 96 )
PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ‘EXCUSE’
Apa yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan duit simpanannya untuk mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim-skim haram itu. Dan kemudian mengemukan alas an serta excuses yang pelbagai. Lihat ulama tabi’en berkata :
من طلب العلم تكفل الله برزقه
Ertinya : Barangsiapa yang menuntut ilmu Allah seolah telah menjamin rezekinya ( Kanzul Ummal, 10/139)
Ilmu itulah yang akan menerangkan kita jalan untuk bekerja dengan sebaik mungkin, dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Nabi mengingatkan :-
لو أنكم توكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصاً وتروح بطاناً
Ertinya : Kalau kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya akan diberikan rezeki kepadamu sebagaimana diberikan rezeki kepada burung-burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.
Para ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakkal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu dan bersungguh dan sesudah itu bersangka baikkepada Allah.
Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah, Allah akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.
Sebahagian isi di atas dan yang lainnya telah saya sebutkan dalam huraian di rancangan secara langsung Al-Kuliyyah terbitan TV3. Bagi mereka yang mempunyai masa, dan lebih suka mendengar daripada membaca atau ingin memahami dengan lebih lagi. Bolehlah menontonnya di bawah.
.
ULASAN SAYA BERKENAAN REZEKI DAN TAWAKAL DI RANCANGAN AL-KULLIYYAH TV3
Akhir sekali, Nabi menasihatkan seorang sahabat yang agak kerap memohon bantuan harta dari Nabi s.a.w:-
يا حكيم إنّ هذا المال خضرة حلوة فمن أخذه بسخاوة نفس بورك له فيه، ومن أخذه بإشراف نفس لم يبارك له فيه، كالذي يأكل ولا يشبع
Ertinya : Wahai Hakim, sesungguhnya harta merupakan seperti buahan yang subur, manis lagi disukai, barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu, barangsiapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya, sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda :
لا ضرر ولا ضرار
“Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” – hadis hasan riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi.
Ramai orang hari ini terlupa untuk merujuk kepada Islam di dalam kehidupan mereka sehingga tanpa disedari setiap langkah dan saat yang mereka lalui dipenuhi dengan pelbagai kesalahan dan kemudharatan yang berpanjangan baik kepada diri mereka sendiri juga kepada orang yang disekeliling.
Hadis di atas telah diterima oleh para fuqaha dan dijadikan sebagai salah satu usul kaedah di dalam syariah Islamiyah bagi menetapkan pelbagai hukum dan fatwa penting.
Tidak boleh melakukan kemudharatan kepada orang lain
Islam menolak sebarang bentuk kemudharatan baik kepada diri sendiri atau pun dilakukan kepada orang lain.Kemudharatan itu di definisikan sebagai melakukan sesuatu yang “mengurangi, merugi, menyakiti, menyusahkan, menyulitkan, menghilangkan, menyedihkan, meninggalkan”
Kamus Inggeris pula menyatakan mudharat itu bermaksud “Disadvantage, harm, injury, to fail, to miscarry.”
Apa-apa bahasa pun, maka setiap apa yang menjadi sebab dan punca kepada wujudnya kemudharatan kepada agama Islam dan manusia lainnya dan diri sendiri ialah terlarang.
Hal ini perlu dilihat di dalam kaedah syarak yang menetapkan bahawa hendaklah tiada kemudharatan berlaku kepada Agama, nyawa, akal , maruah dan harta seseorang maka melakukan kemudharatan yang maksudnya seperti disebutkan di atas adalah dilarang di dalam Islam serta perlu dicegah.
Hukum melakukan kemudharatan kepada diri sendiri dan orang lain adalah haram dan termasuk perbuatan zalim.
Allah SWT befirman : “Kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang zalim dengan siksaan hari yang pedih (kiamat).” (Az-zukhruf : 65)
“Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih.” (As-syura : 42)
Banyak lagi ayat dan dalil yang menyatakan keharaman berlaku zalim dan larangan memudharatkan orang lain tanpa hak.
Contoh perbuatan yang zalim dan memudharatkan diri dan orang lain :
Maslahat Agama – Syirik, khurafat, dosa, maksiat, fitnah, hasad, dll
Maslahat Nyawa – Mendera diri dan orang lain (termasuk MENDERA ANAK dan ISTERI), memandu laju, melakukan aktiviti yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.
Maslahat Akal – Minum arak, menghisap dadah, melakukan aktiviti yang merosakkan akal
Maslahat Maruah – Pergaulan bebas, dayus, zina, dll
Maslahat Harta – Mencuri, merosakkan harta, vandalisme, dll
Tidak boleh pula mengundang kemudharatan
Kemudharatan juga tidak boleh dilakukan dengan alasan hendak menolak bahaya yang sedia ada kecuali bahaya tersebut terlalu besar dan sudah tiada cara lain untuk menolaknya namun hendaklah dipastikan bahawa kemudharatan yang hendak dilakukan itu tidak akan melebihi bahaya dan kemudharatan yang sedang menimpa.
Teladan dalam hal ini dipertunjukkan oleh Al-Quran melalui kisah Balqis, apabila beliau membuat keputusan untuk mendatangi menghadap Nabi Sulaiman bagi mengelakkan berlakunya kemudharatan dan bahaya kepada negaranya.
Firman Allah SWT : “Dia (Balqis) berkata: “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, niscaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat. Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.”(An-Naml : 34-35)
Tindakan bijak Balqis disebut di dalam Al-Quran sehingga akhirnya membawa kepada keIslaman Balqis dan penyerahan kerajaannya kepada Nabi Sulaiman as.Banyak lagi ayat di dalam Al-Quran yang menyebut perihal-perihal yang seumpama itu dalam bab mencegah kemudharatan dan usaha bagi mengelakkan diri daripada kebahayaan.
Al-Quran juga menyebut :“Jangan kamu mencampakkan diri kamuke dalam kebinasaan.”(Al-Baqarah : 195)
Juga termasuk mengundang kemudharatan apabila seseorang itu mendedahkan dirinya kepada bahaya tanpa alasan syarak dan hal tersebut ialah berdosa sekalipun dia tidak melakukan kemudharatan itu tetapi mendedahkan dirinya kepada perbuatan mudharat itu sendiri ialah haram.
Firman Allah SWT : “ Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah bahaya disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri.” (Ar-Rum : 36)
Kaedah syarak ini menjadi asas penting di dalam keputusan dan tindakan seorang Muslim bagi memastikan mereka semuanya dapat memelihara kewajipan syarak dan melaksanakan tugas sebagai hamba Allah SWT dan dalam masa yang sama juga kebajikan mereka sebagai manusia tetap terpelihara.
Antara contoh Aplikasi Kaedah ini di dalam kehidupan
Mengutamakan maslahat ramai melebihi maslahat individu dan tidak mengorbankan kepentingan ramai demi kepentingan pihak yang sedikit
Tidak mengundang bahaya dengan berkahwin dengan lelaki yang tidak beragama dengan alasan mahu mengubahnya atau mahu membentuknya sedangkan peratusan kegagalan adalah sangat tinggi
Tidak bertegang leher dan bergaduh dalam masalah furu’ dengan menjaga ukhuwah dan perpaduan yang lebih penting dan besar
Tidak boleh merawat sakit yang sedikit dengan rawatan yang mengakibatkan risiko dan memberikan mudharat yang lebih besar kepada pesakit
Tidak mencari pasal dan mencari musuh
Menggelakkan sebarang bentuk bahaya dan mudharat serta tidak mendedahkan diri mencari bahaya
Merahsiakan perkara-perkara yang sulit dan tidak bermanfaat untuk disebarkan agar mengelakkan berlakunya mudharat
بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد
Kemelesetan ekonomi sering melanda dunia. Begitu juga pada waktu ini, kita diberitakan banyak syarikat-syarikat gergasi di negara kuasa besar ekonomi dunia, US telah banyak yang mengalami kerugian hinggakan presidennya terpaksa mengeluarkan sejumlah peruntukan besar bagi membantu syarikat-syarikat besar. Tempiasnya tidak dinafikan telah dirasai di Malaysia.
Acapkali kita dilanda krisis ekonomi, namun adakah ia telah mengajar kita agar tidak membazir? Adakah kita telah berjaya mendidik diri agar sentiasa berjimat-cermat dan membuat tabungan untuk kegunaan pada masa diperlukan?
Allah s.w.t memberi ancaman dalam Al-Quran, ayat 27 Surah Al-Isyra’ iaitu:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Bagaimana hanya dengan membazir, kita boleh menjadi saudara-saudara Syaitan? Sedarilah bahawa dalam diri Syaitan adanya sifat takabbur, meninggi diri. Manakala perbuatan membazir itu biasanya didasari oleh perasaan merasa mempunyai kelebihan, jika membazir pun tiada apa-apa yang terkurang padanya. Perasaan itu jika dibiarkan boleh menghampiri kepada sifat meninggi diri yang sangat dilarang.
Sama-samalah kita memperbaiki diri, periksa diri kita, adakah kita sering membazir?
Di bawah ini dikongsikan beberapa tips berjimat-cermat ketika di pejabat.
Matikan PC ketika keluar bermesyuarat dan waktu keluar makan tengahari. Gunakan fungsi hibernate jika ingin mudah menyambung kerja selepas PC dimatikan.
Matikan PC selepas waktu pejabat, bila pulang ke rumah. Ramai ingin mudah terus sambung kerja esok paginya, tetapi sebenarnya pembaziran telah berlaku lebih 12 jam tanpa PC digunakan.
Kurangkan tahap kesejukan penghawa dingin. Tidak perlu set terlalu sejuk, tetapi penggunanya sendiri memakai jeket tebal kerana kesejukan.
Kurangkan penggunaan lampu. Ada pejabat terang-benderang hinggakan untuk satu meja pegawai memerlukan tiga lampu pendaflour panjang yang sebenarnya cukup sekiranya hanya satu saja dihidupkan.
Tidak mencetak e-mail yang tidak perlu.
Mencetak menggunakan recycle paper sekiranya cetakan bukan untuk tujuan rasmi.
Tambahan tips, sama-samalah kita fikirkan sendiri.
بسم الله، والحدالله، والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه، أما بعد
Sekadar ingin mengingatkan, Malaysia kita sememangnya aman daripada gempa bumi skala besar. Yang ada hanya gegaran kecil yang tak menyebabkan lagi runtuhnya bangunan, bukit, retaknya tanah dan sebagainya.
Namun, gempa bumi yang melanda Haiti 12 Januari 2010, Selasa lepas boleh kita ambil sebagai peringatan, bahawa sangkaan Malaysia aman daripada gempa besar adalah tidak tepat. Haiti yang tak pernah gempa besar, sehingga dikatakan sejak 200 tahun, kini berkemungkinan mencatat lebih 200,000 kematian.
Sama-samalah kita mengambilnya sebagai peringatan. Janganlah sentiasa berasa aman daripada datangnya ajal yang Allah telah tetapkan akan tiba kepada setiap kita. Datangnya boleh tiba tanpa kita bersedia, tanpa disedari dan secara tiba-tiba.
Bersediakah kita ditamatkan riwayat hidup pada ketika ini? Marilah persiapkan diri melengkapkan bekal menuju alam pasti yang tiada peluang berpatah-balik, alam akhirat kelak.