Monthly Archives: February 2016

Cermin Diri: Aku orang yang suka sakiti orang lain ke?

Nak tanya orang lain, adakah aku ni seorang yang suka sakiti orang lain, rasanya masing-masing ada ego diri, bertuah nak tanya orang pasal negetif diri kita, kan?

Jadi, jomlah tengok cermin dan semak senarai contoh perbuatan dan percakapan (termasuk teks taip di media sosial) yang menyakiti orang lain:

PERBUATAN

  1. Langgar lampu isyarat merah, sedangkan orang lain berhenti. Ya, dari arah yang lampu hijau tiada kenderaan, tapi mana hilangnya sifat hormat kepada yang lain yang berhenti tu? Sekurang-kurangnya berhenti untuk ajar diri sendiri dengan disiplin. Kalau tak ajar, ia jadi tabiat kebiasaan, asalkan lampu merah saja, nak cuba jalan bila tiada kenderaan, makin ramai jadikannya tabiat, tak pasal-pasal ada yang berlanggar.
  2. Potong barisan, yang selalu nampak ialah di jalanraya. Orang yang berbaris lama kalau sakit hati, mulalah keluar kata-kata maki walaupun orang yang potong barisan tu tak dengar. Kalau hari-hari potong barisan, hari-hari kena maki, entah-entah kata-kata makian itu jadi satu doa yang makbul sebab salah satu sebab doa makbul ialah doa orang teraniaya. Sudah kena potong dengan tidak adil, orang itu boleh jadi teraniaya. Hati-hati!
  3. Tidak flush tandas hingga dipastikan bersih, lepas gunakan. Ini pun mengundang doa makbul orang yang teraniaya. Masa mula-mula kita masuk, nak pilih yang bersih saja, jadi bila keluar pun patut buatkan ia bersih juga.

PERCAKAPAN

  1. Gelar orang yang tak sehaluan sebagai sesat, kafir, anjing dan sabagainya. Adalah lebih baik, tidak sebutkan secara langsung diri orang itu sebegitu, sebaliknya sebutkan ciri-ciri perbuatan atau pemikiran yang tidak betul itu. Contohnya menyebut “Engkau kafir!” ditukar kepada “Tinggalkan solat dengan menganggap ia tidak wajib boleh menjatuhkan engkau kepada kekafiran.”
  2. Beri gelaran hebat dan merendah diri untuk menyindir: contohnya, “Bila otai besar sudah bersuara, kita yang tak sampai setahun jagung ni angguk sajalah.”
  3. Perli dengan sesuatu yang mustahil berlaku atau orang tak terfikir lakukan, contohnya, “Otak letak lutut ke, benda macam tu pun tak boleh nak fikir?” dan “Kamu ni nak merawat pesakit ni atau nak bunuh pesakit ni? Masukkan endoscopy macam bomba nak padam api.”

Kalau nampak perbuatan dan percakapan begini semakin menjadi-jadi sekarang ini, eloklah, panjangkan / forward / viralkan posting ini, sama-sama ingat-mengingati dan baiki diri. Akhir kalam, disertakan hadith ini untuk kita renungkan, adakah kita orang Islam yang afdhal (utama)?

Daripada Abu Musa Radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Aku katakan, ‘Wahai Rasulullah, muslim yang bagaimanakah yang paling afdhal (utama)?’ Baginda menjawab, ‘Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.’” (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)