Monthly Archives: November 2015

Selamatkah orang dengan lisan kita?

وعن أَبي موسى  رضي الله عنه  قَالَ: قُلْتُ: يَا رسولَ اللهِ أَيُّ المُسْلمِينَ أفْضَلُ؟ قَالَ: مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa Radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Aku katakan, ‘Wahai Rasulullah, muslim yang bagaimanakah yang paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.’” (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Mari kita ambil hadith ini untuk sama-sama kita menjaga diri kita daripada mudah menyakiti orang lain. Menyebabkan orang tidak selamat dengan tangan (atau perbuatan fizikal), ia jelas dilihat dengan mata, maka ramai yang tidak melakukannya seperti memukul, mencuri dan membunuh. Namun bagaimana pula dengan menyebabkan orang tidak selamat dengan lisannya? Sama ada lisannya disebut dengan lidah, atau ditulis / ditaip, perhatikanlah kata-kata masing-masing, adalah ia menyakiti orang lain?

Adakah kata-kata kita mudah menuduh orang itu-ini fasik, syirik atau kufur?

Adakah kata-kata kita biasa mengejek, mencela, mencaci, memaki atau mencarut?

Adakah kata-kata umpatan sering kita ucapkan?

Adakah kita mudah sebarkan maklumat yang diterima tanpa disiasat keshahihannya?

Hati-hatilah. Semua itu bukan setakat menyebabkan orang lain tidak selamat daripada lisan kita, bahkan diri kita sendiri berisiko tidak selamat oleh kerananya.

Orang yang bercita-cita ke Syurga, mesti jaga lisannya (juga kemaluannya daripada zina), seperti dalam hadith:

Daripada Sahl bin Sa’ad dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa yang memberi jaminan kepadaku apa yang ada di antara kedua rahangnya dan apa yang ada di antara kedua kakinya maka aku menjamin untuknya Syurga.”  (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Orang yang selamat daripada Neraka, mesti berfikir sebelum berkata-kata, adakah ia disukai Allah atau tidak, perhatikan hadith ini:

Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda. “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu kata-kata yang diredhai Allah tanpa dia fikirkan padanya, maka Allah mengangkatnya beberapa darjat. Dan sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa memikirkan sebelumnya, maka ia menjerumuskannya ke dalam Neraka Jahannam.” (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Rasa diri kurang bijak untuk memikir baik-buruk sesuatu kata-kata? Maka, diam itu lebih baik, seperti saranan hadith:

Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Zaman media sosial dan viral sekarang ini, peganglah hadith-hadith ini sentiasa. Sebelum share, sebelum like, sebelum comment, fikirkan dahulu adakah ia membuatkan orang lain tidak selamat dengannya?