Month: June 2015

Harapan-harapan dalam Ayat Perintah Puasa Ramadhan

 

Ayat 183 hingga 187 Surah Al-Baqarah merupakan ayat-ayat perintah berpuasa dalam bulan Ramadhan kepada setiap orang yang beriman. Sering diulang sebut oleh para asatizah mengenai matlamat atau harapan daripada puasa itu iaitu semoga / agar / mudah-mudahan menjadi orang bertaqwa. Bila dipetakan ayat-ayat ini dalam bentuk peta minda begini, kita dapat lihat ada lagi matlamat atau harapan-harapan lain yang disebut dalam ayat-ayat ini. Mari kita lihat harapan-harapan ini dan kita berusaha untuk mencapainya.

  1. Semoga kamu bertaqwa:
    Puasa menjadi medan melatih diri menjadi orang bertaqwa. Taqwa maksud mudahnya ialah menuruti perintah dan larangan Allah dengan cermat bersungguh-sungguh. Dalam puasa peluang makan-minum ada depan mata, tapi kita menahan diri daripada makan-minum dan segala yang dilarang. Maka, dalam keadaan lain pun, untuk capai taqwa, perlu jugalah bersungguh menahan diri daripada melanggar larangan Allah dan menahan diri daripada meninggalkan perintah Allah.
  2. Semoga kamu bersyukur:
    Al-Quran itu nikmat Allah beri kepada kita, petunjuk cara hidup dengan baik di dunia, petunjuk bagaimana cara mendapatkan redha Allah dan pelbagai lagi petunjuk. Ruksah kepada yang tidak mampu berpuasa juga adalah nikmat daripada Allah yang tidak mahu menyusahkan kita. Maka bersyukurlah atas pelbagai nikmat itu. Syukur perlu mengiringi taqwa. Selepas mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah, kita iringi pula dengan pelbagai amalan soleh yang disunatkan sebagai tanda syukur. Nabi Muhammad s.a.w yang maksum telah pasti syurga untuknya tetapi tekun solat malam hingga bengkak kakinya ketika kebiasaan orang lain tidur bila ditanya mengapa, dijawab ketekunannya itu sebagai tanda syukur.
  3. Semoga kamu berada dalam kebenaran:
    Segala perintah dan larangan Allah ada hikmah kebaikan yang mungkin kita tidak tahu dan sedari. Turuti saja tanpa bersoal apakah kebaikannya. Perbanyakkan doa memohon yang baik-baik daripada Allah. Walaupun di mata manusia melihat apa yang ada dalam perintah dan larangan Allah itu tidak sesuai, salah, tidak perlu dan sebagainya, sebenarnya ia adalah dalam kebaikan dan kebenaran, sentiasa rasional cuma mereka tidak melihatnya. Tetaplah mentaati Allah, tentu kita berada dalam kebaikan dan kebenaran.
  4. Semoga mereka bertaqwa:
    Segala perintah dan larangan telah diterangkan oleh Allah, terserah kita mentaati atau mengingkarinya. Manusia lain yang tidak berimanĀ kepada Allah, cubalah lihat ayat-ayat Al-Quran yang datang menerangkan cara sebenar untuk hidup di dunia ini, lihat dan fikir. Umpama anda membeli sebuah kereta, akan ada buku manual penggunaan kereta itu, apa yang boleh, apa yang tidak boleh dilakukan semuanya diterangkan dalam buku manual itu oleh pembuat kereta itu supaya kereta itu berfungsi dengan baik dan sentiasa dalam keadaan baik. BumiĀ ini, diri kita ini, hidup kita ini, semuanya Allah yang cipta, maka Allah datangkan Al-Quran sebagai manual panduan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan supaya bumi ini, diri kita ini, hidup kita ini sentiasa dalam keadaan baik. Lihatlah isi kandungan Al-Quran mengikut bahasa yang anda fahami, kemudian fikirkan kebaikan-kebaikannya. Semoga anda juga menjadi seorang yang bertaqwa iaitu seorang yang bersungguh mengikut panduan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan yang disebut dalam Al-Quran itu.