Month: April 2015

Cara Tenangkan Orang Yang Marah

Dalam video viral beberapa wanita mengamuk marah kepada seorang pemandu teksi kerana sedikit pelanggaran itu, orang yang melihat mereka yang sedang marah bermaki-makian cuba meredakan dengan menyuruh mengucap dan ada pula yang beristighfar. Sebenarnya yang lebih tepat ialah dengan menyuruh bertaawuz. Perhatikan ajaran yang mulia Nabi Muhammad S.A.W:

Daripada Sulaiman bin Sard R.A katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi S.A.W sedang dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda”, “Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia kata (baca), “Auzubillahi minas syaitanir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya.” Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawasanya Nabi SAW bersabda : Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam. [Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Syarah hadithnya secara ringkas dalam laman web JAKIM:http://www.islam.gov.my/en/node/37839 :

Huraian Hadith:
  1. Perasaan marah yang disemarakkan oleh syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia, kerana itu untuk menghapuskan sebabnya (was-was syaitan) ialah dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud : “Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-A`raf: 200)

  2. Meleraikan persengketaan yang berlaku antara dua pihak adalah dituntut oleh Islam.

  3. Seseorang yang dalam keadaan marah hendaklah membaca taawuz (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) untuk mendapatkan kesabaran.

  4. Orang yang alim(berilmu) hendaklah sentiasa menyampaikan (menyebarkan) ilmunya tidak kira masa dan tempat asalkan ilmu itu dapat dimanfaatkan (dinikmati).

Jemput sebarkan, moga ramai yang mengamalkannya.