Month: November 2014

Pahala Sedekah Hasil Bertani

Hadith-hadith di bawah akan menceritakan manfaat yang diperolehi oleh seorang muslim yang menanam tumbuhan apabila hasil tanamannya dimakan oleh manusia mahupun haiwan.

Dari Anas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika seseorang muslim menanam tanaman atau menabur benih tanaman, kemudian tanaman itu dimakan oleh burung, manusia atau haiwan ternak, hal itu menjadi sedekah baginya.” [Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Dari Jabir bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Jika seorang muslim bercucuk tanam, setiap tanaman yang dimakan akan menjadi sedekah baginya. Apa yang dicuri orang lain dari tanaman itu juga menjadi sedekah baginya. Apa yang dimakan binatang buas dari tanaman itu juga menjadi sedekah baginya. Apa yang dimakan burung dari tanaman itu juga menjadi sedekah baginya. Dan jika ada seseorang yang mengurangi dan mengambil sesuatu dari hasil tanamannya, hal itu pun menjadi sedekah baginya.” [Hadith Riwayat Muslim]

Dari Jabir bahawa Nabi s.a.w menemui Ummu Mubasyir al-Anshariyah di kebun kurma miliknya. Kemudian Nabi s.a.w bertanya kepadanya, “Siapakah yang menanam pohon kurma ini? Seorang muslim atau kafir?” Ummu Mubasyir menjawab, “Seorang Muslim.” Baginda bersabda, “Jika seorang muslim menanam sesuatu pohon atau suatu tanaman, kemudian hasil tanaman itu dimakan oleh manusia, binatang atau yang lain, maka itu menjadi sedekah baginya.” [Hadith Riwayat Muslim]

Jabir berkata, “Nabi s.a.w menemui Ummu Ma’bad di dalam sebuah kebun lalu Nabi s.a.w bertanya, ‘Wahai Ummu Ma’bad, siapakah yang menanam pohon kurma ini? Seorang muslim atau kafir?’ Ummu Ma’bad menjawab, ‘Seorang muslim.’ Lantas baginda bersabda, ‘Jika seorang muslim menanam sesuatu tanaman, lalu tanaman itu dimakan oleh manusia, binatang atau burung, hal itu menjadi sedekah baginya hingga hari kiamat.’ ” [Hadith Riwayat Muslim]

Umum memandang hadith ini berkenaan tanaman jenis makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijiran. Bagaimana pula mereka yang suka kepada bunga-bungaan untuk menghias laman rumah? Adakah mereka lebih patut menanam tumbuhan jenis makanan berbanding bunga-bungaan?

Jika diperhati perkataan dalam hadith kedua di atas iaitu “binatang atau yang lain”, mereka juga boleh mendapat manfaat pahala sedekah seperti mereka yang menanam tumbuhan jenis makanan. Caranya ialah tanam pokok bunga yang menjadi sumber makanan serangga kecil si lebah, kelulut, kumbang, rama-rama, kupu-kupu, lalat dan sebagainya. Perhatikan perkataan “binatang atau yang lain”, ia merangkumi juga serangga-serangga seperti disebutkan ini.

Kenali bunga-bunga yang menjadi sumber makanan mereka dan tanamlah bunga-bunga ini. Selain menghias laman, pahala sedekah juga dapat diperolehi. Bahkan ia membantu kelangsungan hidup serangga-serangga kecil ini yang diancam kepupusan terutamanya lebah kerana berleluasanya racun serangga yang turut membunuh lebah selain kekurangan sumber makanan akibat pembangunan pesat dan pencemaran hasil tangan manusia. Minimakan penggunaan racun serangga dalam bertani, gantikan dengan pembasmi perosak yang mesra alam iaitu pelbagai produk bioherbicide dan kawalan perosak secara biologi yang semakin baik keberkesanannya dari masa ke semasa.

Di bawah ini adalah beberapa contoh bunga-bungaan yang menjadi sumber makanan kelulut, sejenis lebah kecil yang tidak mempunyai sengat. Untuk maklumat lanjut, klik ke sumber gambar di sini: https://www.facebook.com/media/set/?set=oa.239425569600670&type=1

Screenshot 2014-11-30 22.35.36 Screenshot 2014-11-30 22.36.02 Screenshot 2014-11-30 22.36.16