Month: March 2014

Kemarau Datang Untuk Diinsafi

Cuaca kering dan panas berpanjangan yang dialami di Malaysia sekarang ini jika dilihat dari kacamata Sains, sememangnya ia sekadar fenomena alam yang biasa berlaku, seperti menurut dakwaan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam laporan akbar 18 Februari 2014, “Keadaan cuaca panas dan kering pada setiap Januari dan Februari adalah situasi normal di negara ini… Apa yang kita alami sekarang belum lagi tahap kemarau.”

Namun sebagai orang yang beriman, sebab-sebab kemarau dan tertahannya hujan perlu dilihat juga daripada nash agama. Ada beberapa ayat Al-Quran dan hadith yang perlu umat Islam perhatikan. Lihat ayat 52 surah Hud:

11:52

Maksudnya: Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!

Begitu juga ayat 10 hingga 12 surah Nuh:

71:1071:1171:12

Maksudnya: Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

Daripada ayat-ayat Al-Quran ini, difahami bahawa dosa-dosa yang berterusan dilakukan tanpa taubat, tanpa dimohon keampunan atas dosa-dosa itu boleh menyebabkan tertahannya hujan yang apabila taubat dan keampunan dimohon, hujan akan diturunkan oleh Allah.

Dalam sebuah hadith pula, daripada Abdullah bin ‘Amr rodiallahu’anhuma berkata bahawa Rasulullah s.a.w menghadap ke arah kami lalu bersabda; “Wahai kaum muhajirin! Ada lima hal yang mudah-mudahan kalian tidak diuji dengannya. Aku pun berlindung kepada Allah semoga kalian tidak mengalaminya iaitu: 

[1] Tidaklah kemaksiatan (zina) bermaharajalela pada satu kaum hingga mereka melakukannya secara terang-terangan, melainkan akan merebak di tengah mereka penyakit ta’un dan penyakit-penyakit yang belum pernah dialami orang-orang sebelum mereka.

[2] Tidaklah mereka mengurangi sukatan dan timbangan, melainkan mereka akan diazhab dengan kemarau, kesusahan mendapat makanan, dan kezaliman penguasa terhadap mereka.

[3] Tidaklah mereka enggan mengeluarakan zakat dari harta mereka, melainkan mereka tidak akan mendapatkan titisan air hujan dari langit dan nescaya mereka tidak akan mendapat hujan seandainya bukan kerana haiwan-haiwan.

[4] Tidaklah mereka melanggar perjanjian dengan Allah dan rasul-Nya, melainkan Allah akan menguasakan atas mereka musuh dari selain golongan mereka, lalu musuh tersebut akan mengambil sebahagian yang ada di tangan mereka.

[5] Dan tidaklah para pemimpin mereka berhukum dengan selain Kitabullah dan memilih apa yang telah Allah turunkan melainkan Allah akan menimpakan permusuhan antara sesama mereka.

Hadith riwayat Ibnu Majah dalam kitab Al-Fitan. Al-Hakim menshahihkannya, Adz-Dzahabi menyetujuinya, juga dishahihkan Al-Albani.

Daripada hadith ini, kemarau dan tidak turunnya hujan adalah kerana berleluasanya perbuatan mengurangi sukatan dan timbangan serta berleluasanya ramai yang enggan mengeluarkan zakat. Jika pun hujan turun pada masa itu, semata-mata kerana sifat kasih-sayang Allah kepada haiwan-haiwan.

Disebut dari Mujahid rahimahullah, bahawa haiwan-haiwan melaknati manusia yang bermaksiat ketika bumi mengalami kemarau dengan berkata “Ini semua kerana perbuatan manusia-manusa derhaka. Semoga Allah melaknati manusia-manusia derhaka”. Ia disebut oleh Ibnu Katsir ketika menafsir ayat 159 surah Al-Baqarah: 2:159

(Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.)

 Kemarau adalah satu bala (ujian berupa musibah) yang sangat patut diinsafi. Secara ringkas, berikut adalah saranan bagaimana menginsafi bala yang menimpa:

  1. Segenap lapisan masyarakat diingatkan agar memohon ampun kepada Allah, kemudian bertaubat tidak mengulangi dosa-dosa silam dan terus tetap bertaqwa kepada Allah.
  2. Para penguasa negara / negeri disarankan agar mengorak langkah “membetulkan yang biasa, dan membiasakan yang betul”, iaitu mencuba sehabis daya memasukkan perundangan Islam dalam perundangan negara / negeri menggantikan perundangan yang berasal dari barat yang diamal sekarang.
  3. Para penguasa negara / negeri disarankan menggiatkan program kempen pungutan zakat.
  4. Para penguasa negara / negeri disarankan menguatkuasa larangan dan memantau perbuatan para peniaga yang mengurangi sukatan dan timbangan.

Tidak dilupa juga agar doa memohon hujan diturunkan terus dipanjatkan. Bahkan, solat sunat Istisqa’ (solat minta hujan) turut boleh diamal pada waktu ini. Para guru agama dan pendakwah patut mengajar masyarat mengenai tatacara solat ini dan kemudian diikuti seruan melaksanakannya oleh pemimpin negara / negeri. Semoga dengan langkah-langkah itu, Allah kembali memberkati bumi Malaysia ini dengan melimpahkan hujan yang bermanfaat.