Monthly Archives: September 2013

3S: Seronok + Selesa + Senang = Kos Hidup Diada-adakan Sendiri

Maksud ayat 27 Surah-Assyu’ara:

“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.”

Masyarakat sudah terlalu biasa dengan kelazatan dunia (3S: seronok, selesa, senang) dan ramai yang enggan kurangkan 3S ini. Cuba lihat keadaan ini:

– keperluan kalori orang biasa (tak kerja berat) sekadar 2,000 kcal. Tapi berapa ramai yang makannya menyebabkan kebuncitan bahkan obesiti? Boleh tak makan tengahari dan malam dengan nasi hanya sekadar sesenduk-dua?

– aircond dengan tetapan suhu 28 darjah celcius sudah nyaman, tapi berapa ramai yang set hingga 16 – 20 darjah celcius hingga terpaksa pakai baju sejuk atau selimut tebal?

– memandu kereta di awal pagi yang masih sejuk, berapa ramai yang tetap gunakan aircond berbanding hirup udara segar sedia ada? ION negatif yang baik untuk kesihatan banyak dapat dinikmati dalam suasana sejuk selepas hujan, ribut petir dan berada di kawasan sejuk dengan tumbuhan hijau.

– berbuka bulan Ramadhan dengan membeli pelbagai juadah di bazaar, sedangkan ia tidak mampu dihabiskan.

– Eidul Fitri disyariatkan sehari, tapi berapa ramai yang berseronok dengan jamuan raya sana-sini hingga sebulan hingga berat badan naik, hingga puasa enam hari Syawal pun tak mampu buat?

– inflasi sentiasa naik, tapi tak mahu kalah untuk tampil mewah, pakaian mahu sentiasa berjenama hebat, fesyen mesti terkini, gadget tukar selalu saban masa.

– tabung simpanan untuk masa depan tak sebanyak mana, tapi tetap tak lepas berlibur, filem baru saja mesti nak kena ke panggung wayang.

Kalau semua ini ada pada kita, tak perlulah merungut dengan kenaikan harga petrol. Tanpa kenaikan pun, kita sudah banyak membebankan diri kita dengan kos hidup yang kita ada-adakan sendiri.