Monthly Archives: February 2013

Memahami Al-Quran Jangan Hanya Merujuk Terjemahan

annasr

Maksudnya: Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); (1)

Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2)

Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Memahami Ayat-ayat Al-Quran

Al-Quran sebenarnya tidak boleh sekadar difahami pada ayat-ayat itu sahaja tanpa tafsiran dengan ayat-ayat Al-Quran yang lain, hadith-hadith shahih dan tafsiran yang difahami oleh para sahabat. Surah An-Nashr ini  bila dibaca (atau dibaca terjemahannya) begitu sahaja, kita akan sangka maksud yang ingin disampaikan oleh Allah melalui surah ini ialah makluman bahawa Islam akan berjaya lalu dierintahkan kita bertasbih, beristighfar dan bertaubat selepas kejayaan itu. Namun bukan itu tafsiran sebenar yang difahami oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a dan Ibnu Abbas r.a.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa dia berkata, “Umar memasukkanku bersama para pahlawan perang Badar yang telah berumur. Sebahagian daripada mereka ada yang merasa tidak setuju lalu berkata, “Mengapa dia (Umar) memasukkan anak ini bersama kita?” Maka Umar berkata, “Sungguh dia termasuk orang yang telah kalian ketahui.”

Maka pada suatu hari, Umar memanggil mereka dan memasukkanku bersama mereka. Aku tidak melihatnya memanggilku bersama mereka waktu itu, kecuali kerana beliau ingin memperlihatkan (kelebihanku) kepada mereka. Lalu Umar berkata, “Bagaimana pendapat kalian tentang firman Allah s.w.t,  إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ   (Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan)?” Lalu di antara mereka  ada yang berkata, “Kita diperintahkan untuk memuji Allah dan memohon ampunan kepada-Nya, apabila kita diberi pertolongan dan kemenangan.” Sedangkan yang lain terdiam, tidak mengatakan apa-apa. Lalu beliau bertanya kepadaku, “Apakah kamu juga berpendapat demikian wahai Ibnu Abbas?” Aku berkata, “Tidak begitu.” Lalu beliau bertanya, “Lantas bagaimana pendapatmu?” Aku menjawab, “Ayat tersebut adalah ajal Rasulullah s.a.w. Allah memberitahu kepada baginda. Allah berfirman, ‘ إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ  (Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan)’, maka itulah tanda ajalmu. فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا (Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.). Lalu Umar Al-Khattab berkata, “Aku tidak mengetahui tafsiran ayat ini kecuali seperti apa yang kamu katakan.”

Hadith ini disebut oleh Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya ketika menafsir surah ini. Tanpa merujuk tafsir, tentu kita tidak ketahui maksud sebenar surah ini. Maka salahlah golongan yang ingin memahami ayat-ayat Al-Quran tanpa mahu melihat tafsirnya seperti mana yang difahami oleh Nabi s.a.w, para sahabatnya dan generasi awal selepas generasi sahabat.

Mengamal Ayat-ayat Al-Quran

Bahkan untuk mengamal surah ini, ada satu sunnah yang tidak pernah kita pelajari di zaman persekolahan tanpa merujuk kitab-kitab tafsir. Imam Ibnu Katsir membawa satu lagi hadith mengenai surah ini iaitu hadith riwayat Imam Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasaie dan Ibnu Majah. Daripada ‘Aisyah, beliau berkata, “Rasulullah s.a.w dalam rukuk dan sujudnya memperbanyak membaca:

tasbih_rukuksujud

Maksudnya: “Maha suci Engkau Ya Allah, Rabb kami. Dan dengan memuji-Mu Ya Allah, ampunilah aku.”

Baginda (memperbanyak bacaan tersebut) kerana mengamalkan Al-Quran (surah An-Nashr ini).

Lihatlah betapa kerdilnya kita untuk mendabik dada kononnya dapat memahami dan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran hanya melalui ayat itu dan terjemahannya sahaja. Bacaan tasbih ini adalah salah satu antara tasbih yang sunnah dibaca ketika rukuk dan sujud di samping beberapa lagi tasbih lain, bukan hanya satu yang kita pelajari di zaman persekolahan. Janganlah rasa cukup dengan ilmu yang kita ada, sebaliknya perbanyakkanlah mempelajari ilmu terutamanya ilmu berkaitan agama Islam yang kita anuti.

Beberapa Pengajaran Daripada Tafsir Surah An-Nashr

Antara pengajaran yang patut kita ambil daripada tafsir surah ini ialah:

  • Jangan mendabik dada memahami Al-Quran tanpa mempelajari tafsirnya.
  • Jangan sewenang-wenangnya menafsir Al-Quran tanpa ilmu, kuatir tersalah tafsir.
  • Kisah-kisah yang disebut dalam Al-Quran dengan pendek dan tidak terperinci, jangan dipanjang-panjangkan dikarang untuk mencantikkan cerita tanpa merujuk hadith-hadith shahih yang menafsirkan kisah-kisah itu.
  • Jangan memandang remeh orang yang kelihatan lebih rendah tarafnya daripada kita, mungkin orang itu mempunyai kelebihan tertentu yang tiada pada kita.
  • Anak-anak muda belia sepatutnya memanfaatkan masa mudanya untuk mengasah potensi diri menjadi orang yang berguna, bukannya asyik leka dengan keseronokan sahaja. Selain Ibnu Abbas, ada beberapa orang lagi sahabat Nabi s.a.w di kalangan remaja yang berperanan besar dalam Islam seperti memimpin sebuah kota, memimpin pasukan musafir dan mengetuai proses pembukuan Al-Quran.