Monthly Archives: November 2012

Fadhilat Doa Awal dan Akhir Tahun Bukan Daripada Nabi S.A.W?

Menjelang 1 Muharram setiap tahun, akan tersebarlah doa yang dikatakan doa awal tahun dan doa akhir tahun. Banyak juga masjid-masjid dan surau-surau yang akan mengadakan satu majlis khusus untuk membaca doa tersebut beberapa minit sebelum masuknya waktu Maghrib yang menandakan masuknnya tarikh 1 Muharram. Kebiasaan ini sudah menjadi amalan turun-temurun mungkin kerana ia diajarkan sejak dahulu menerusi buku kecil “Manzil” yang memuatkan panduan doanya berserta fadhilat apabila seseorang itu berdoa dengan doa tersebut. Namun menjadi satu tanda tanya adakah fadhilat yang disebut itu datangnya daripada Nabi Muhammad s.a.w?

Sejarah menunjukkan bahawa tahun Islam telah diperkenalkan dalam zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a yang mengambil alih pemerintahan Islam selepas terbunuhnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a yang mengambil alih pemerintahan Islam selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w . Sebelum itu, umat Islam tidak mempunyai kiraan tahun, hanya ada kiraan bulan dan hari dalam kalendarnya. Ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w wafat sebelum tahun hijrah diperkenalkan. Jadi fadhilat doa dan panduan doa awal dan akhir tahun itu memang wajar dipersoal kerana ia hanya muncul selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Doa adalah Ibadah

Amalan doa, umumnya ialah satu ibadah yang dituntut untuk dilakukan oleh semua Umat Islam. Banyak doa boleh didapati dalam Al-Quran dan hadith-hadith shahih. Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w juga pernah menggalakkan doa mengikut kehendak masing-masing, contohnya selepas bertasyahhud dan sebelum memberi salam di dalam solat. ‘Abdullah bin Mas’ud r.a berkata (maksudnya);

“Nabi SAW telah mengajarkan kepada beliau al-Tasyahhud kemudian baginda bersabda: “Setelah itu hendaklah dia memilih mana-mana doa yang dikehendakinya, dan berdoa.”” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Jadi, doa awal tahun dan akhir tahun itu tiada masalah untuk diamal. Namun, fadhilat yang dikatakan diperoleh daripada membaca doa itu tidak wajar untuk dijadikan satu perkara yang diyakini kerana perkara ghaib perlu dihujjahkan daripada kalam Allah menerusi Al-Quran ataupun daripada Nabi Muhammad s.a.w dalam hadith-hadith yang shahih. Fadhilat yang disebutkan ternyata menyentuh perkara ghaib, disebutkan:

“Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu.”

“Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.”

“Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:”Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.”

Menyentuh mengenai malaikat dan syaitan, ianya merupakan perkara ghaib yang boleh diterima jika datangnya daripada sumber yang disebutkan sebelum ini. Oleh kerana itu, perkara ini telah dibawa kepada kajian di Fatawa Islamiyah namun hasil kajian mendapati fadhilat dan doa-doa ini tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadith shahih mahupun dhoif. Justeru mereka menyimpulkan ianya adalah fadhilat yang bathil. Tatacara bacaan doa seperti penetapan waktu dan bilangan juga tiada asalnya. Jika ingin berdoa dengan doa tersebut, ia sepatutnya terbuka boleh dibaca bila-bila masa dan tidak salah sekiranya sekadar dibaca sekali tanpa diulang-ulang.

Perlindungan daripada Syaitan

Jika ramai berkejar ke masjid dan surau untuk mendapatkan fadhilat-fadhilat yang disebutkan, ada pilihan lain yang boleh diamal bahkan ianya shahih daripada Al-Quran dan juga hadith (Hadirlah ke masjid dan surau selalu, ayat ini bukan menghalang para pembaca pergi ke masjid dan surau). Antara yang terpenting ialah sentiasa mengingat Allah (zikrullah). Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya;

“Dan aku memerintahkan kalian untuk mengingat Allah kerana perumpamaan mengenai hal itu seperti seorang lelaki yang dikejar oleh musuh-musuhnya hingga ia sampai di sebuah benteng kukuh yang melindungi dirinya dari mereka. Sama halnya dengan seorang hamba tidak akan dapat menjaga dirinya dari syaitan kecuali dengan mengingat Allah (berzikir kepada Allah).” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Ada satu zikir yang sangat baik untuk melemahkan gangguan syaitan. Ia biasa diajarkan untuk mangsa gangguan jin syaitan dan juga sihir. Disebut dalam Sahih Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):

Sesiapa yang membaca:

(“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan segala pujian. Dia-lah yang berkuasa atas segala sesuatu.”)

dalam sehari sebanyak seratus kali, nescaya dia mendapat pahala sebagaimana memerdekakan sepuluh orang hamba. Dia juga diampunkan seratus kejahatan, dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang. Tidak diganjarkan kepada orang lain lebih baik daripadanya kecuali orang tersebut melakukan amalan lebih banyak daripadanya. Manakala mereka yang berkata: (“Maha Suci Allah, aku memujiNya”) dalam sehari sebanyak seratus kali nescaya terhapuslah segala dosanya sekalipun dosanya itu banyak seperti buih di lautan.

Zikirullah

Zikir juga sebenarnya adalah satu latihan untuk memupuk diri sentiasa mengingati Allah s.wt dalam setiap ketika. Apabila mulut sentiasa mengucapkan zikir, hati lebih mudah mengingati Allah s.w.t di saat seseorang itu sendang marah, kecewa, sedih dan ketakutan. Cubalah menjadikan zikir sebagai ‘makanan’ kepada rohani kita setiap ketika. Contohnya, ketika memandu ke tempat kerja, ketika makan, berjalan, menggosok baju, memasak dan sebagainya. Jika ketika itu ada sesuatu perkara yang boleh menyebabkan hati kita mempunyai perasaan negatif, insyaAllah zikir itu dapat menundukkannya. Contohnya dalam keadaan kesesakan jalanraya..hiburkanlah hati kita dengan melagukan zikir di bibir. Sama-samalah kita membudayakan zikrullah di dalam kehidupan seharian kita.

Panduan Pelindung Keselamatan

Banyak lagi doa-doa dan juga amalan-amalan sunat serta pantang-larang dalam Islam yang shahih dan disebutkan fadhilatnya untuk menjaga keselamatan secara umum ataupun keselamatan daripada kejahatan syaitan. Sebagai panduan, dapatkan aplikasi MyPerisai untuk telefon pintar iPhone dan Android,  satu kumpulan doa-doa dan amalan-amalan sunat untuk keselamatan diri, keluarga dan harta yang mana dibangunkan oleh saya dan beberapa rakan dengan kerjasama Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Mudir Pondok Sungai Durian, Kelantan, Panel Tanyalah Ustaz TV9, Panel Pondok Warisan IKIM.FM, Penulis buku Zikir Pagi Petang dan Selepas Solat dan lain-lain).

Sekian, terima kasih.