Monthly Archives: October 2012

Sindir-menyindir Bukan Budaya Islam

“Marah anak, sindir menantu”, adakah kalian suka dengan budaya ini jika kalian yang sentiasa disindir? Ketahuilah, sindir-menyindir / sarkastik / as-suhriyah adalah budaya yang dilarang oleh Allah dalam Al-Quran. Bahasa sindiran adalah bahasa Allah menyindir ahli neraka. Ia juga bahasa yang diguna oleh orang yang dalam dirinya ada sifat nifaq dan kufur. Kita sebagai muslim mukmin jom azam hentikan budaya ini daripada diri kita, ahli keluarga kita seterusnya masyarakat kita.

Allah menegur orang beriman mengenai budaya kata-kata yang menyakitkan hati orang lain melalui ayat 11, Surah Al-Hujurat:49:11

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

 Manakala dalam ayat 79 Surah At-Taubah menunjukkan budaya mencela dengan menyindir dan mengejek adalah sifat orang munafik:

9:79

Maksudnya: “Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, – Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Contoh ayat sindiran yang biasa kita dengar yang patut diubah:

“Otak letak lutut ke, benda macam tu pun tak boleh nak fikir?”

“Masa mak cakap tadi, tidur ke? Cawan letak atas meja, bukan di lantai. Yang letak di lantai, namanya bola. Kan dah tersepak cawan tu.”

“Kamu ni nak merawat pesakit ni atau nak bunuh pesakit ni? Masukkan endoscopy macam bomba nak padam api.”

Sakit hati tak? Sila fikirkan ayat pengganti yang lebih baik, jika kita sering menggunakan ayat sindiran begini.

Bahaya ibubapa dan guru kerap menyindir anak kecil untuk memarahi, menegur dan menasihat: ia bukan hanya menimbulkan rasa kesal, bahkan sakit hati, rasa tidak dihargai, tidak disayangi dan sebagainya. Apa akan jadi pada anak yang sentiasa disakitkan hatinya? Mereka yang sering rasa sakit hati, tidak dihargai dan tidak disayangi berbeza tingkahlaku dan sikapnya berbanding dengan anak-anak yang tidak selalu disindir. Cuba ubah kata-kata kita tanpa memasukkan sindiran, perhatikan perubahan positif pada anak tersebut.

Dengar lebih lanjut dalam rakaman kuliah di bawah ini yang menyebut mengenai budaya sindir-menyindir yang perlu dibuang daripada masyarakat kita:

Kuliah Maghrib 7.10.2012
Penceramah : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Tempat : Surau an-Nur Bandar Baru Bangi
Link : http://www.mediafire.com/?xbbvi72g8h5zm23