Monthly Archives: January 2012

Nama Sebabkan Sering Diganggu Jin: Satu Penilaian Semula

Telah disebut oleh seorang pengamal perubatan dan rawatan atas gangguan jin dan sihir berkenaan ada lebih 70 nama-nama yang digunakan manusia itu merupakan nama-nama jin yang mengakibatkan mereka sering diganggu jin, lalu dinasihatkan agar nama-nama ini dielakkan. Ikuti ulasan dan analisa saya.

Cuba Fikir Sejenak


Dulu pernah tersebar video wanita bertelekung yang dirasuk sedang dirawat mengeluarkan suara garau, suara tu kata namanya Idrus. Jadi, adakah lepas menonton video tu, kena blacklist manusia bernama Idrus? Cari sendiri di youtube dengan keyword “rasuk hantu brunei”.

Kalau nanti ada video suara jin kata namanya Ibrahim, kena blacklist la nama Ibrahim? Bahkan jika nama jin itu “Muhammad”, bagaimana??

Satu perkara boleh difikirkan, orang Arab suka namakan anak dengan nama ‘Abdullah, boleh jumpa berpuluh-puluh ‘Abdullah dalam satu tempat. Kalau ustaz ini buka klinik di negara Arab, kemudian ramai yang datang itu namanya ‘Abdullah, adakah ustaz akan katakan juga nama ‘Abdullah sering diganggu Jin, jangan beri nama anak ‘Abdullah. Macam tu kah?

Walau pun beliau mendapati nama-nama itu sering menjadi mangsa gangguan/sihir/sakit yang berkunjung ke kliniknya, ia bukan sebab sebenar mereka menjadi mangsa. Tidak termasuk dalam sunnatullah (hukum sebab-akibat), sebab nama sekian, akan jadi sekian.

Dan kepercayaan ini boleh menjatuhkan diri orang yang percaya ke lembah syirik / menyekutukan Allah.

Kepercayaan syirik orang dahulu: Nama anak panjang dan berat ditanggungnya menyebabkannya selalu sakit dan menangis, bila diberi nama timangan seperti Nanang, Ghedok, Kachuk, Atan dan sebagainya baru dia sihat dan tak selalu menangis.

Analisa Kesalahan


Fakta yang benar menurut aqidah/kepercayaan Islam:

  • Mudarat dan manfaat semata-mata daripada Allah
  • Asbab kepada mudarat dan manfaat perlu dilihat kepada sunnatullah / hukum alam / sebab-akibat
  • Jika tiada sebab-akibat, ianya adalah perkara ajaib yang disebut dalam nas seperti mukjizat, maunah, qaromah dan sihir.
  • Sunnatullah tidak boleh berubah, contoh: pukul – akibatnya sakit, lepas – akibatnya jatuh, bakar – akibatnya panas. Dalilnya sila rujuk tafsir ayat 43 surah Fathir yang maksudnya; “Kamu tidak akan menjumpai sunnatullah itu berganti.

Analisa kes:

  • Dakwaan: sebab nama sekian, manusia itu akan jadi sekian
  • Sunnatullah tidak boleh berubah, dakwaan di atas SEPATUTNYA tidak boleh berubah, jadi: jika nama Najwa, Balqis, Qistina, Arisya, Zaquan dan lain-lain itu PASTI akan sering diganggu jin.
  • Adakah SEMUA MANUSIA BERNAMA NAJWA, BALQIS, QISTINA, ARISYA, ZAQUAN dan lain-lain itu PASTI akan sering diganggu jin?
  • kepastian ini dinafikan dengan nas-nas amalan sunnah yang fadhilat jika diamal, syaitan tidak menganggunya. Boleh rujuk semula artikel lama saya berkenaan sunnah-sunnah yang boleh menghindar gangguan syaitan dengan klik pada tajuk artikelnya ini: Benteng Umum Menghadapi Gangguan Syaiton dan Sihir. Kita ambil salah satu nasnya: Dari Abdullah bin Abbas RA, ia mengatakan, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda maksudnya;“Jika salah seorang dari kalian ingin menggauli isterinya, hendaklah ia mengucapkan ‘Allahumma janibnassyaiton wa jannibissyaiton ma rozaqtana’ (Ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang telah Engkau berkan kepada kami). Jika Allah menakdirkan kepada keduanya seorang anak (dari hubungan itu), maka anak tersebut akan terhindar dari syaitan selamanya.” (Hadith Riwayat Bukhari)
    Jika setiap kali sebelum berhubungan jenis, doa ini telah dibaca, kemudian isterinya mengandung dan melahirkan anak, lalu diberi nama Najwa, anak ini dijanjikan akan terhindar dari syaitan selamanya. Ia bertentangan dengan dakwaan bahawa manusia yang bernama Najwa akan sering diganggu jin.

Kesimpulan

  • Penemuan daripada kajian yang didakwa dibuat itu tidak boleh diterima.
  • Kajian perlu dibuat semula sekiranya mahu penemuan itu diterima iaitu membuktikan SETIAP ORANG yang namanya seperti disenaraikan itu PASTI sering diganggu jin.
  • Maksud SETIAP ORANG itu tidak boleh hanya mereka yang sering datang ke kliniknya. Pengkaji perlu mencari sampel mengikut setiap situasi berikut:
    • di setiap negara.
    • di setiap zaman, daripada zaman Nabi Adam, sehinggalah hari ini.

Kepercayaan Mengundang Syirik

Bagaimana menjadi syirik? Iaitu apabila dakwaan ini mengangkat sifat mahkluk menyamai sifat tersendiri bagi Allah:

  • mudarat dan manfaat semata-mata daripada Allah
  • dakwaan ini mengangkat NAMA MANUSIA sebagai pemberi mudarat dan manfaat TANPA pembuktian sunnatullah, tanpa nas daripada hadith shahih mahupun Al-Quran.
  • NAMA MANUSIA ingin disamakan dengan sifat tersendiri bagi Allah: memberi mudarat dan manfaat.

Jadi, kepercayaan ini adalah kepercayaan syirik yang perlu dihindari.