Month: June 2011

Panduan Mendapat Hidayah

Sumber: Ustaz Dr Abdullah Yasin

الَّذِيْنَ يَسْتَمِعُوْنَ القَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ، أُولَئِكَ الَّذِيْنَ هَدَىهُمُ اللهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُوا الأَلْبَابِ

Sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hamba-Ku, yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka Itulah orang-orang yang mempunyai akal.( Al-Zumar : 17 – 18)

Pengajaran Ayat :

1. Topik ini saya rasa sangat perlu didedahkan, khasnya pada hari ini terdapat dalam masyarakat Asia Tenggara yang keliru dalam usaha mereka mencari Hidayah Allah, padahal Allah SWT telah memberi bimbingan dan panduan bagaimana cara yang paling tepat untuk mendapat Hidayah-Nya. Dalam ayat diatas Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW agar menyampaikan busyra (berita gembira) kepada umatnya yang mempunyai dua sifat utama, iaitu : 1. Suka mendengar perkataan, 2. Mengikuti apa yang paling baik diantaranya. Jika dua sifat tersebut dimiliki nescaya orang tersebut bukan saja layak mendapat busyra (berita gembira), malahan lebih dari itu Allah SWT akan memberi mereka hidayah-Nya (petunjuk) dan menggolongkannya sebagai ulul albab (orang yang berfikiran waras).

2. Sifat Pertama : Suka mendengar perkataan. Allah SWT menggambarkan bahawa sikap orang-orang yang beriman sentiasa berkata : ( سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ) : Kami mendengar dan kami mentaati. Perkataan ( سَمِعْنَا ) : Kami mendengar ; sentiasa disebut dalam Al-Quran lebih dahulu dari perkataan ( أَطَعْنَا ) : Kami mentaati ; ini seolah-olah memberi isyarat bahawa ketaatan seseorang kepada Allah tidak akan sempurna jika dia tidak suka mendengar. Adapun yang dimaksudkan dengan perkataan di sini sungguh luas, termasuk semua perkataan yang baik-baik, terutama sekali penjelasan-penjelasan ayat-ayat Al-Quran, Sunnah Nabi SAW dan nasihat-nasihat yang baik, seperti mendengar ceramah agama, pandangan atau pendapat para ulamak dan lain-lain.

3. Sifat Kedua : Mengikuti apa yang paling baik. Ayat ini memberi isyarat bahawa bukan semua yang didengar itu wajib diamalkan atau diikuti. Kita wajib menyaring atau memilih terlebih dahulu sebelum diikuti dan diamalkan, manakah daripada beberapa pandangan atau pendapat itu yang paling baik. Ukuran pandangan yang paling baik itu bukanlah berdasarkan siapa yang mengatakannya, tetapi hendaklah berdasakan kekuatan hujah atau dalilnya. Ini sebagaiamana ucapan Saidina Ali Bin Abu Talib ( اُنْظُرْ إِلَى مَا قَالَ وَلَا تَنْظُرْ إِلَى مَنْ قَالَ ) : Lihatlah pada apa yang diperkatakan, dan jangan kamu melihat pada siapa yang memperkatakannya. Secara tersirat ayat ini memberi isyarat bahwa Allah SWT sangat  melarang sikap fanatik atau ta’assub mazhab atau tuan guru, tetapi ta’assublah dan fanatiklah kepada hujah atau dalil yang kokoh dari Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

4. Setiap orang yang beriman wajib yakin bahawa perkataan yang paling baik adalah Kalam Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah Petunjuk Rasulullah SAW. Ini bersesuaian dengan sangat banyak Hadis Nabi SAW yang sahih, antaranya : Baginda bersabda  ( إِنَّ خَيْرَ الحَدِيْثِ كَلَامُ اللهِ وَخَيْرَ الهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ صَلَّى للهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ) : Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah ucapan Allah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad SAW. Dalam hadis lain baginda bersabda : Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, selama kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, maka kamu tidak mungkin sesat buat selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan Sunnahku. Allah berfirman : Katakan (wahai Muhammad) ! Sekiranya kamu benar-benar kasih kepada Allah, maka ikutilah aku, nescaya pasti Allah kasih kepadamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. (Ali Imran : 31).

5. Berdasarkan keterangan ayat-ayat dan hadis-hadis di atas, nyatalah bahawa seseorang akan mendapat Hidayah Allah jika dia gemar mendengar pandangan dan panduan tanpa mengira ulamak manapun yang menyampaikannya, apakah ulama itu berasal dari negeri Arab atau India atau Malaysia atau Indonesia atau Habsyi Afrika sekalipun. Adapun tentang pandangan yang manakah yang wajib diikuti ? Bukan semua pandanagn itu wajib diikuti atau diamalkan. Kita wajib menyaringnya dan memilih manakah pandangan yang paling kokoh dan kuat dalilnya daripada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Pandangan inilah yang mesti diikuti. Ingat ucapan Saidina Ali Karramallu Wajhah di atas ! Ukuran kebenaran bukan berdasarkan siapa yang mengatakannya atau jubahnya atau serbannya, tetapi hendaklah berdasarkan kekuatan hujahnya. Malahan kebenaran juga tidak semestinya berada pada pandangan mejoriti atau kerana banyak pengikutnya. Hakikat ini dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya : Sekiranya kamu mematuhi kebanyakan manusia di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu daripada Jalan Allah. (Al-An’am : 116)

6. Renung baik-baik ungkapan ini : Biasanya pandangan orang ramai adalah betul, tetapi jika anda berkesimpulan bahawa setiap pandangan orang ramai pasti betul, itu adalah kesimpulan yang tidak betul !!!!!. Berapa banyak kepercayaan dan amalan yang dulunya kita yakini dan amalkan kerana taqlid (ikut-ikutan) apa yang orang ramai yakini dan amalkan, tetapi hari ini setelah banyak mendengar dan mengkaji, lalu kita bertaubat dan meninggalkan keyakinan dan amalan tersebut kerana tiada hujah dan bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW ? Jika disiplin ini dijaga dan dihormati – insya Allah – anda akan mendapat Hidayah Allah, malahan bukan hanya Hidayah, anda juga tergolong ke dalam kelompok Ulul-Albab yakni orang-orang berfikiran waras dan bijaksana. Ayat di atas secara tersirat ingin memaklumkan bahawa mereka yang berpikiran tertutup dan enggan mendengar pandangan orang lain atau kalaupun mendengar terbatas hanya mendengar pandangan tuan gurunya saja dan fanatik pula, walaupun mengetahui ada pandangan lain yang lebih kuat hujahnya, maka manusia jenis ini akan sukar mendapat Hidayah Allah dan secara tidak langsung dia bukan jenis orang yang cerdik atau bijak, Na’uudzu Billah Min Dzaalik.

7. Saya menyadari, bahawa setiap kali saya menulis makalah nasihat seperti ini, pasti akan muncul makalah sesudahnya yang konter dan malahan menyesatkan serta memperlekeh pandangan yang saya dedahkan. Mengapa bersikap demikian ? Saya tidak pernah dan tidak gemarpun menghina pandangan orang lain. Kita sesama Ahlus Sunnah Wal Jamaah seharusnya saling hormat menghormati pandangan antara sesama kita. Kita masing-masing mempunyai kewajipan memberi kefahaman kepada masyarakat, terutama orang awam yang kurang berpeluang memahami agama pada masa mudanya. Marilah kita sama-sama menjual product masing-masing dengan hujah dan dalil yang kita miliki. Marilah kita amalkan perintah Allah ( فَاسْتَبِقُوا الخَيْرَاتِ ) : Berlomba-lombalah kamu dalam kebaikan (Al-Baqarah : 148) ; ( وَتَعَاوَنُوا عَلَى البِرِّ وَالتَّقْوَى ) : Bertolong-tolonglah di atas kebaikan dan ketaqwaan (Al-Maidah : 2) ; Jika product saudara sesama Islam ternyata lebih laku dan laris, jangan pula sampai hasad dan dengki. Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya hasad memakan amal kebaikan seperti api makan kayu api (HR Abu Daud dan Ibnu Majah).