Month: December 2010

Hijrah Yang Dituntut

Sumber: Notes Facebook Ustaz Dr Abdullah Yasin

عَنِ ابْنِ عَمْرُو عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَفْضَلُ المُهَاجِرِيْنَ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَىاللهُ تَعَالَى عَنْهُ – رَوَاهُ الطّبَرَانِي – حَدِيْثٌ صَحِيْحٌ – الأحَادِيْثُ الصَّحِيْحَة / 1491 – انظر : صَحِيْحُالجَامِع الصَّغِيْر – للألباني

Daripada Ibnu Amru daripada Nabi SAW sabdanya : Sebaik-baik orang yang berhijrah, ialah orang yang berhijrah (meninggalkan) apa-apa yang dilarang oleh Allah SWT. (HR al-Tabaraniy – Hadis Sahih – Himpunan Hadis-Hadis Sahih No. 1491 – Lihat Sahih al-Jami’ al-Saghir – Oleh Al-Albaniy.

Penjelasan hadis :

1. Hijrah menurut bahasa maknanya berpindah atau meninggalkan yang pertama menuju kepada yang kedua. Hijrah dalam Islam terbagi dua, iaitu : 1. ( هِجْرَة حِسِّيَّة ) : Hijrah Fisikal ; 2. ( هِجْرَة مَعْنَوِيَّة ) : Hijrah Sikap.Hijrah Fisikal ialah berpindah dari satu negeri ke negeri lain. Hijrah jenis ini tidak dituntut kecuali jika darurat. Umpamanya jika kita tinggal disuatu negeri yang tidak membenarkan kita melaksanakan syareat Allah seperti tidak boleh solat, tidak boleh menutup aurat dan lain-lain, maka ketika itu kita wajib berhijrah jika memungkinkan.Adapun Hijrah Sikap adalah wajib dan Fardhu ‘Ain ke atas setiap muslim dan muslimat. Hijrah jenis inilah yang diisyaratkan oleh Hadis Sahih di atas.

2. Berhijrah daripada apa yang dilarang oleh Allah adalah jenis hijrah yang paling afdhal dan paling utama. Inilah yang dimaksudkan dengtan Hijrah Sikap. Umpamanya : Berhijrah daripada sikap atau sifat pemalas kepada sifat rajin ; daripada pengotor kepada pembersih ; daripada pemarah dan panas baran kepada penyabar ; daripada pendendam kepada pemaaf ; daripada bodoh kepada berilmu pengetahuan. Dan yang paling utama dari semua itu ialah berpindah daripada Syirik kepada Tauhid ; daripada Bid’ah kepada Sunnah ; daripada beragama secara Taqlid kepada Ittiba’.

3. Umat Islam jika ditinjau dari sudut “mengikut” terbagi kepada dua, iaitu : 1. Taqlid : Mengikut secara membuta tuli dan tidak tahu sama ada yang diikutinya itu ada dalil atau tiada dalil. 2. Ittiba’ : Mengikut juga tetapi mengetahui ada dalilnya. Menurut istilah agama, orang tang bertaqlid dipanggil Muqallid, sedangkan orang yang ittiba’ dipanggil Muttabi’. Dan sudah pasti dalam hal ini kedudukan Muttabi’ adalah lebih tinggi dan lebih mulia di sisi Allah berbanding dengan Muqallid. Ini kerana Islam adalah agama ilmu, bukan agama ikut-ikutan atau ikut secara membuta tuli. Malah Islam sangat melarang umatnya bertaqlid secara tetus menerus. Oleh itu, setiap muslim wajib terus berusaha mencari dan menambah ilmu agama agar segala keyakinan dan amalannya selama ini mempunyai nilai yang tinggi di sisi Allah. Bukan hanya bertaqlid sampai mati, padahal peluang mencari ilmu zaman ini sangat mudah.

4. Kembali kepada topik pembahasan. Hijrah paling afdhal ialah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Menurut Kaedah Ilmu Ushul : Larangan Allah juga tersirat di dalam semua suruhan-Nya. Maksudnya : Larangan Allah bukan datangnya hanya dalam bentuk larangan, seperti : Jangan membunuh, jangan mendekati zina, jangan mengumpat, jangan mencela, jangan mencuri, jangan berburuk sangka dan lain-lain. Tetapi larangan juga tersirat di dalam semua suruhan Allah. Contoh : Dalam suruhan mendirikan solat tersirat larangan jangan abaikan solat, dalam suruhan mentauhidkan Allah tersirat larang syirik, dalam suruhan mengikuti ibadat cara Rasulullah SAW tersirat larangan berbuat bid’ah, dalam suruhan berbuat ihsan kepada ibu bapa tersirat larangan durhaka kepada mereka berdua dan lain-lain.

5. Menurut para ilmuan Islam : Dosa kerana tidak melakukan suruhan Allah SWT adalah lebih besar dan lebih dahsyat berbanding terlanggar larangan Allah. Walaupun kedua-duanya adalah dosa. Kesimpulan ini berdasarkan sikap Iblis dan Adam ketika dalam syurga. Iblis berdosa kerana tidak melakukan suruhan agar sujud kepada Adam. Adam juga berdosa kerana beliau melanggar larangan Allah agar jangan mendekati pokok larangan. Walaupun kedua mereka berdosa, tetapi dosa Iblis lebih besar jika dibandingkan dosa Adam sebab motif keengganan Iblis sujud adalah sombong (takabbur), tetapi motif Adam melanggar larangan Allah adalah kerana terlupa dan tertipu oleh rayuan Iblis.

6. Ibu Bapak dinasehatkan agar memperbetul persepsi yang salah ini. Terdapat dalam masyarakat kita sesetengah orang tua yang beranggapan bahawa anaknya sudah baik, jika mereka tidak terlibat dadah, pergaulan bebas, mencuri, berzina tetapi pada masa yang sama anak-anaknya tidak solat, tidak menutup aurat, tidak berbuat ihsan kepada orang tuanya. Kita tidak menafikan bahawa semuanya dosa dan wajib dijauhi semuanya. Namun dosan tidak membuat suruhan Allah adalah lebih besar berbanding terlanggar larangan Allah. Diharap para pembaca tidak salah faham dengan penjelasan ini. Perkara ini didedahkan hanya bertujuan untuk memperbetul persepsi atau anggapan yang salah dikalangan sesetengah masyarakat kita.

7. Kewajipan utama umat manusia dimuka bumi adalah mentaati atau mematuhi Allah. Taat dalam Islam terbagi dua, iaitu : 1. Buat apa yang Allah suruh, 2. Tinggalkan apa yang Allah larang. Oleh itu, tidak sempurna ketaatan seseorang jika hanya setakat membuat apa yang Allah suruh tetapi pada masa yang sama dia melanggar larangan Allah, ataupun sebaliknya, meninggalkan larangan Allah tetapi pada masa yang sama tidak membuat suruhan Allah. Marilah kita sama sama berusaha untuk menjadi hamaba-Nya yang sentiasa berkata : ( سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ المَصِيْرُ ) : Kami dengar dan kami patuhi, (mereka berdoa) : Ampunilah kami ya Tuhan kami, dan kepada Engkau lah kami kembali. (Al-Baqarah : 285)

Topik ini ustaz rasa sangat perlu direnung kerana kita masih dalam suasana memasuki ” Tahun Hijrah Baru 1432H “. Semoga keimanan dan ke-Islam-an kita lebih baik pada tahun-tahun yang akan datang. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Hadith-hadith Anjuran Puasa `Asyura’ (10 Muharram)

“Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah – Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”

(HR. Muslim no. 1163, daripada Abu Hurairah)

Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah? Baginda menjawab, “Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Baginda juga ditanya mengenai keistimewaan puasa `Asyura’? Baginda menjawab, “Puasa `Asyura’ akan menghapus dosa setahun yang lalu.”

(HR. Muslim no. 1162)

“Di zaman jahiliah dahulu, orang Quraisy biasa melakukan puasa `Asyura’. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam juga melakukan puasa tersebut. Tatkala tiba di Madinah, Baginda melakukan puasa tersebut dan memerintahkan yang lain untuk melakukannya. Namun tatkala puasa Ramadhan diwajibkan, Baginda meninggalkan puasa `Asyura’. (Lalu Baginda mengatakan) Barangsiapa yang mahu, silakan berpuasa. Barangsiapa yang mahu, silakan meninggalkannya (tidak berpuasa).”

(HR. Al-Bukhari no. 2002 dan Muslim no. 1125)

Ketika tiba di Madinah, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa `Asyura’. Kemudian Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam bertanya, “Hari yang kalian bepuasa ini adalah hari apa?” Orang-orang Yahudi tersebut menjawab, “Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya, dan Fir’aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini dalam untuk bersyukur, maka kami pun berpuasa pada hari ini”. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam lantas berkata, “Kami lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kalian.”. Lalu setelah itu Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa.

(HR. Muslim no. 1130)

“Sesungguhnya orang-orang Jahiliah biasa melakukan puasa pada hari `Asyura’. Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam pun melakukan puasa tersebut sebelum diwajibkannya puasa Ramadhan, begitu pula kaum muslimin saat itu. Tatkala Ramadhan diwajibkan, Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam mengatakan: Sesungguhnya hari ‘Asyura’ adalah hari di antara hari-hari Allah. Barangsiapa yang ingin berpuasa, silakan berpuasa. Barangsiapa meninggalkannya juga silakan.”

(HR. Muslim no. 1126)

Sunnah juga puasa pada hari ke 9 Muharram

Ibnu Abbas radhiallahu ’anhuma berkata bahawa ketika Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam melakukan puasa hari `Asyura’ dan memerintahkan kaum muslimin untuk melakukannya, pada saat itu ada yang berkata, “Wahai Rasulullah, hari ini adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Kristian.” Lantas Baginda mengatakan, “Apabila tiba tahun hadapan, insyaAllah (jika Allah menghendaki) kita akan berpuasa pula pada hari kesembilan.” Ibnu Abbas mengatakan, “Belum sampai tahun hadapan, Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam telah meninggal dunia.”

(HR. Muslim no. 1134)

Bacaan tambahan: http://lobaitampin.blogspot.com/2009/12/dianjurkan-banyak-berpuasa-di-bulan.html