Monthly Archives: February 2009

Bila Ditimpa Musibah, Termasuk Golongan Manakah Kita?


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ketahuilah, bahawa apabila kita ditimpa musibah, kita akan termasuk ke dalam salah satu daripada empat golongan iaitu:

  1. Orang yang berkeluh-kesah
  2. Orang yang sabar
  3. Orang yang bersikap redha
  4. Orang yang bersyukur

Orang yang berkeluh-kesah

Golongan yang berkeluh-kesah adalah golongan yang paling buruk, paling dibenci Allah serta paling besar kerugiannya di dunia dan akhirat. Mereka adalah orang yang tidak rela dan kecewa terhadap takdir (ketentuan) dan qadha’ (ketetapan) Allah. Mereka akan sentiasa mengeluh dan mengesali musibah yang berlaku. Lebih teruk lagi, ada yang memukul-mukul dirinya tanda tidak rela.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):

“Bukan termasuk (golongan) kami orang yang memukul-mukul pipi, menyobek-nyobek baju dan berdoa dengan doa (kaum) jahiliyah.”

(Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi)

Mereka juga akan meratap (nihayah) dan berteriak secara melampau yang mana ia boleh mendatangkan laknat. Satu riwayat yang baik dalam Shahihut Targhib wat Tarhib, disebutkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya):

“Ada dua suara yang dilaknat: suara seruling ketika mendapat kenikmatan dan suara teriakan ketika mendapat musibah.”

Orang yang sabar

Mereka yang sabar dengan musibah yang berlaku akan meraih darjah mulia dan dicukupkan pahalanya tanpa batas. Allah berfirman dalam suroh Az-Zumar ayat 10, maksudnya:

“Sesungguhnya, hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

Orang yang sabar akan menjaga beberapa bentuk kesabaran iaitu kesabaran dengan berani terhadap pelbagai kesukaran dalam jihad, kesabaran dengan menjaga kesucian diri daripada nafsu, kesabaran dengan berlemah-lembut atas pembangkit amarah dan kesabaran dengan menjaga rahsia daripada menyebarkannya. Mereka yang sabar akan bertindak atas keyakinan bahawa apa yang berlaku adalah telah ditetapkan pasti terjadi dan tidak dapat dielak.

Orang yang bersikap redha

Mereka yang redha pula merupakan pemilik darjat yang lebih tinggi daripada mereka yang sabar. Di samping bersabar, mereka akan rela dan redha dengan ketentuan Allah. Mereka akan merasa senang dengannya dan tidak menunjukkan reaksi marah yang menunjukkan dirinya tidak redha.

Perasaan senangnya terhadap musibah adalah sama saja seperti mendapat nikmat kerana baginya, kedua-duanya adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah terhadapnya.

Nabi صلى الله عليه وسلم  bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka, siapa yang redha (terhadap ujian tersebut), baginya redha (Allah), namun siapa yang marah (terhadap ujian tersebut), baginya murka (Allah).”

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Orang yang bersyukur

Terakhir, mereka yang bersyukur adalah orang yang paling agung di antara golongan sebelumnya kerana mereka menghimpun sabar, redha dan bersyukur dengan turunnya ujian kepada dirinya. Mereka yang bersyukur kerana diuji akan mampu tersenyum.

Mereka akan menginsafi apa yang berlaku adalah tanda cinta Allah kepadanya. Mereka akan menyambut cinta daripada Tuhannya dengan tenang dan gembira. Mereka akan memperkemaskan kembali rasa cinta mereka kepada Allah dengan memperbaiki amalannya, berpegang teguh pada sunnah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  serta bersedia berkorban demi Tuhannya yang tercinta.

Namun sangat sedikit sekali mereka yang bersyukur sebagaimana diberitahu Allah dalam surah Saba’, ayat 13 yang maksudnya:

“Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.”

Kerana itu, pupuklah rasa syukur kepada Allah bukan sahaja apabila menerima nikmat, bahkan apabila menerima musibah. Buahkan rasa syukur dengan mengingat Allah (zikrulloh). Sesungguhnya Allah akan mengingat kita apabila kita mengingati-Nya. Allah berfirman dalam ayat 152, surah Al-Baqarah maksudnya:

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Benteng Umum Menghadapi Gangguan Syaiton dan Sihir


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Benteng Umum

Ada pun, benteng umum untuk mengelakkan gangguan dan kejahatan syaitan ialah dengan memelihara Iman. Sentiasalah memperbaiki keimanan kita dari hari ke sehari. Sebagai manusia biasa, Iman kita ada naik dan ada turunnya. Maka adalah penting untuk kita mempraktikkan larangan-larangan dan suruhan-suruhan Rasulullah صلى الله عليه وسلم untuk memelihara diri daripada kejahatan syaitan.

Larangan dan Suruhan bagi Memelihara Diri Daripada Kejahatan Syaitan

1. Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama-kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.

Mengikut riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah صلى الله عليه وسلم  telah bersabda, ertinya:

“Mana-mana kampung mahupun kawasan-kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad yang baik).


2. Menyebut nama Allah apabila masuk ke rumah dan apabila makan
Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahihnya, sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah RA, beliau pernah mendengar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم
bersabda, maksudnya:

“Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan, syaitan akan berkata kepada teman-temannya, ‘Tidak ada tempat penginapan dan makan malam untuk kalian.’ Jika dia memasuki rumahnya tanpa menyebut nama Allah, syaitan akan berkata (kepada saudara-saudaranya), ‘Kalian boleh ikut menginap di dalamnya malam ini.’ Dan ketika makan, dia tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata, ‘Kalian boleh ikut menyantap makan malam.'”


3. Membaca doa perlindungan apabila masuk ke tandas
Terdapat hadith daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, apabila Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم
memasuki tandas, baginda mengucapkan:

Ertinya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari jin kafir (syaitan) betina dan syaitan jantan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


4. Berwuduk sebelum tidur
Disebutkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم
bersabda kepada Bara` bin Azib RA, maksudnya:

“Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidurmu, berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk melakukan solat.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


5. Membaca Ayat Kursi sebelum tidur
Dalam satu hadith yang panjang, diringkaskan di sini, bahawa Abu Hurairah RA menceritakan beliau telah didatangi seorang pencuri yang mencuri hasil kutipan zakat yang dijaganya sebanyak tiga kali, sedangkan telah dua kali diberi amaran dan dia telah berjanji tidak akan datang mencuri hasil kutipan zakat itu lagi.

Untuk kali ke tiganya, dia berkata “Lepaskanlah saya, saya akan mengajarkan beberapa kalimat semoga Allah memberikan manfaat untukmu dengan kalimat ini.” Beliau pun bertanya tentang doa itu. Dia berkata, “Jika kamu berbaring di perbaringan, bacalah ayat kursi, kerana dengan begitu, Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi harinya.

Maka beliau pun melepaskannya sekali lagi. Pagi esoknya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bertanyakan akan hal tahanannya lagi, lalu Abu Hurairah RA menceritakannya. Lalu baginda bersabda, “Mahkluk itu telah berkata benar kepadamu, sedangkan ia adalah si pendusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu siapa yang kamu ajak bicara sejak tiga hari yang lalu itu?” Beliau menjawab, “Tidak“. Baginda bersabda, “Ia adalah syaitan. ” (Hadith Riwayat Bukhari dengan ta’liq)

6. Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas kemudian sapu seluruh badan sebelum tidur
Satu hadith daripada Aishah RA, mengatakan, bahawa apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbaring di perbaringan baginda pada malam hari, baginda menyatukan kedua telapak tangan baginda lalu baginda meniup keduanya dan membacakan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian baginda mengusap tubuh baginda yang mampu diusap dengan kedua tangannya. Baginda mulai dari kepala, wajah, dan bahagian muka tubuhnya. Baginda melakukan hal itu tiga kali. (Hadith sahih Bukhari, riwayat Aishah RA)

7. Tutup mulut apabila menguap
Dalam satu hadith, Abu Said Al-Khudri RA berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda, maksudnya:

“Apabila salah seorang di antara kamu menguap, hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangan, kerana syaiton akan masuk.” (Hadith Riwayat Imam Muslim dan Ad-Damiri)


8. Bersihkan hidung jika terjaga tengah malam
Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم
bersabda, maksudnya:

“Apabila salah seorang di antara kamu terbangun dari mimpinya, hendaklah dia melakukan istintsar tiga kali, kerana syaitan bermalam pada hidungnya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


Istintsar ialah perbuatan menyedut air ke dalam hidung, kemudian menghembusnya keluar, seperti ketika berwuduk. Hikmah lain istintsar ialah ia merupakan satu penawar bagi penyakit resdung. Amalkanlah selalu, contohnya selepas keluar ke kawasan kotor berdebu seperti di jalan raya.

9. Mendirikan Solat Tahajjud
Apabila seseorang tidur, lalu bangun di pagi harinya tanpa sedikit pun qiyamullail, syaitan akan semakin dekat menguasainya. Dari Abdullah bin Masud RA, dia berkata,

“Pernah disebutkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم  seorang lelaki yang tidur semalam penuh hingga bangun di pagi harinya, maka baginda bersabda: ‘Itu adalah orang yang kedua telinganya (atau satu telinganya) telah dikencingi syaitan.'” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


10. Tutup rumah dan tahan anak-anak menjelang Maghrib
Dalam satu hadith marfu’ yang meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah RA, katanya;

“Janganlah kalian biarkan unta, lembu, kambing dan yang sejenisnya, serta anak-anak kalian masih berkeliaran di luar rumah ketika matahari terbenam hingga kabut malam (waktu Isya’) menghilang; kerana syaitan-syaitan bertebaran ketika matahari terbenam, hingga kabut malam menghilang.” (Hadith Riwayat Muslim)

11. Jangan kencing pada lubang-lubang
Imam Nasa’i meriwayatkan dari Qatadah, dari Abdullah bin Sirjis, katanya Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  bersabda, maksudnya;

“Janganlah salah seorang di antara kaluan kencing pada lubang-lubang.” Mereka bertanya kepada Qatadah, “Mengapa kita dimakhruhkan untuk kencing pada lubang-lubang?” Dia menjawab, “Kerana lubang-lubang merupakan tempat tinggal jin.” (Hadith Riwayat Abu Dawud, An-Nasa’i dan Imam Ahmad)

12. Membaca Surah Al-Baqarah di dalam Rumah

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.”

13. Mengingat Allah setiap waktu dan keadaan
Dalam satu hadith, Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda yang maksudnya;

“Dan aku memerintahkan kalian untuk mengingat Allah kerana perumpamaan mengenai hal itu seperti seorang lelaki yang dikejar oleh musuh-musuhnya hingga ia sampai di sebuah benteng kukuh yang melindungi dirinya dari mereka. Sama halnya dengan seorang hamba tidak akan dapat menjaga dirinya dari syaitan kecuali dengan mengingat Allah (berzikir kepada Allah).” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

14. Mengingat Allah ketika bangun tidur
Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, maksudnya;

“Jika seseorang dari kalian tidur, maka syaitan membuat tiga ikatan pada lehernya yang dilakukan padamu sepanjang malam tidurmu. Maka tidurlah, dan jika kamu terbangun, sebutlah/ingatlah Allah, maka satu ikatan akan terlepas. Kemudian jika kamu berwuduk, maka akan terlepas satu ikatan, dan kemudian jika kamu melaksanakan solat, maka akan terlepas satu ikatan lagi hingga ia memulakan paginya dengan semangat dan jiwa yang bersih. Jika tidak, maka jiwanya akan kotor dan dalam keadaan malas.”(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


15. Mengingat Allah ketika keluar rumah
Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata, Rasulullah
صلى الله عليه وسلم bersabda, maksudnya;

“Barangsiapa yang ketika akan keluar rumah mengucapkan; bismillahi tawakkaltu alalloh la haula wa la quwwata illa billah (dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah), maka kepadanya akan dikatakan cukuplah bagimu, kamu telah dijaga dan syaitan telah menjauh darimu.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)


16. Mengingat Allah ketika masuk masjid
Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA, dari Nabi Muhammad
صلى الله عليه وسلم bahawa ketika akan masuk masjid, baginda mengucapkan, “A’udzu billahil-azhim wa bi wajhihil-karim wa sultonihil-qodimminassyaithonirrojim (Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung, dengan wajah-Nya yang mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang qodim dari syaitan yang terkutuk.” Beliau berkata, “Itu saja?” Baginda berkata, “Ya, jika seseorang mengucapkan ini, maka syaitan akan berkata ‘Ia telah dijaga dariku sepanjang hari’. ” (Hadith Riwayat Abu Dawud)

17. Merapatkan saf solat berjemaah
Ibnu Umar berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda maksudnya;

“Luruskan barisan dan rapatkan bahu-bahu di antara kamu, dan lembutkan badan kamu untuk saudara yang di sebelah kamu. Jangan tinggalkan ruang kosong untuk syaitan mengambil tempat. Sesiapa yang merapatkan saf, maka Allah akan bersama dengannya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan putuskan hubungan dengannya.” (Hadith Riwayat Abu Dawud)


18. Mengingat Allah ketika menanggalkan pakaian
Dari Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah
صلى الله عليه وسلم bersabda maksudnya;

“Penghalang antara pandangan syaitan dan aurat anak cucu Adam adalah, apabila ia menanggalkan pakaiannya, mereka mengucapkan bismillah.” (Hadith Riwayat At-Thabarani)


Adalah penting membaca doa menanggalkan pakaian kerana banyak kes terjadi di mana jin telah tergoda dengan manusia dan menaruh cintanya kepada manusia itu hingga membawa mudarat kepadanya. Doa menanggalkan pakaian:


Ertinya: Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain dari Dia.


19. Mengingat Allah ketika akan berhubungan suami isteri
Dari Abdullah bin Abbas RA, ia mengatakan, bahawa Rasulullah
صلى الله عليه وسلم bersabda maksudnya;

“Jika salah seorang dari kalian ingin menggauli isterinya, hendaklah ia mengucapkan ‘Allahumma janibnassyaiton wa jannibissyaiton ma rozaqtana’ (Ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang telah Engkau berkan kepada kami). Jika Allah menakdirkan kepada keduanya seorang anak (dari hubungan itu), maka anak tersebut akan terhindar dari syaitan selamanya.” (Hadith Riwayat Bukhari)


20. Makan Tamar ‘Ajwah dan Tamar Madinah
Buah Tamar atau Kurma mempunyai pelbagai khasiat. Bagi Tamar ‘Ajwah dan Tamar Madinah, Rasulullah
صلى الله عليه وسلم pernah bersabda yang maksudnya;

“Barangsiapa yang memakan tujuh biji kurma Madinah setiap paginya, maka pada hari itu ia tidak akan dibahayakan oleh racun mahupun sihir.” (Hadith Riwayat Bukhari)

21. Mengelakkan pintu-pintu kemasukan jin dan syaitan
Daripada penceritaan para pengamal perubatan Islam, terdapat empat pintu utama yang ditunggu-tunggu oleh jin dan syaiton untuk merasuki manusia. Empat pintu itu ialah:

  • Terlalu marah
  • Terlalu gembira/ seronok/ leka
  • Terlalu dukacita
  • Terlalu syahwat

Selain itu, syaitan mudah menghasut manusia apabila ia dalam keadaan kenyang, terlalu sayangkan harta dunia, melakukan sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa, terdetik di dalam hati perasaan hasad dengki dan lain-lain lagi. Sebenarnya banyak lagi pintu masuknya syaitan jika dikaji secara terperinci. Untuk itu, adalah lebih baik untuk sentiasa membentengi diri dengan dzikrullah (mengingati Allah) setiap masa dan jauhilah sifat-sifat tercela.

Zikir terbaik melemahkan kejahatan syaitan

Disebut dalam Sahih Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang membaca:


(“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan segala pujian. Dia-lah yang berkuasa atas segala sesuatu.”)

dalam sehari sebanyak seratus kali, nescaya dia mendapat pahala sebagaimana memerdekakan sepuluh orang hamba. Dia juga diampunkan seratus kejahatan, dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang. Tidak diganjarkan kepada orang lain lebih baik daripadanya kecuali orang tersebut melakukan amalan lebih banyak daripadanya. Manakala mereka yang berkata: (“Maha Suci Allah, aku memujiNya”) dalam sehari sebanyak seratus kali nescaya terhapuslah segala dosanya sekalipun dosanya itu banyak seperti buih di lautan.

Zikir juga sebenarnya adalah satu latihan untuk memupuk diri sentiasa mengingati Allah s.wt dalam setiap ketika. Apabila mulut sentiasa mengucapkan zikir, hati lebih mudah mengingati Allah s.w.t di saat seseorang itu sendang marah, kecewa, sedih dan ketakutan. Cubalah menjadikan zikir sebagai ‘makanan’ kepada rohani kita setiap ketika. Contohnya, ketika memandu ke tempat kerja, ketika makan, berjalan, menggosok baju, memasak dan sebagainya. Jika ketika itu ada sesuatu perkara yang boleh menyebabkan hati kita mempunyai perasaan negatif, insyaAllah zikir itu dapat menundukkannya. Contohnya dalam keadaan kesesakan jalanraya..hiburkanlah hati kita dengan melagukan zikir di bibir. Sama-samalah kita membudayakan zikrulloh di dalam kehidupan seharian kita…

Saya temui satu buku yang baik dalam memantapkan pertahanan diri daripada kejahatan syaitan iaitu buku Benteng Ghaib: Bagaimana Melindungi Hati Dari Godaan Setan, versi terjemahan tulisan Sheikh Wahid Abdussalam Bali yang tajuk asalnya ialah Widayatul Insan Minal Jinni Wassyaithon. Buku terbitan Aqwam ini dijual dengan harga RM33.50, boleh didapati di Fajar Ilmu Baru Ent, Wisma Yakin, Jln Masjid India.

Banyak panduan berguna mengikut sunnah dan pendedahan sikap serta amalan yang kadang-kadang kita terlepas pandang, sedangkan sebenarnya ia mengundang kesukaan syaitan terhadap kita. Contohnya, angan-angan, buruk sangka, boros, membazir dan macam-macam lagi.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Kenali Surat Berantai Gaya Baru Yang Syirik Itu


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Alloh, Selawat dan salam ke atas Rosululloh Shollallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

لااله الاالله محمدرسول الله Send this kalimat to 12 nice persons and your financial position improves within 12 hrs. 100% gerenti. Memang aneh tapi NYATA.

Harap rakan-rakan yang dikasihi sekalian berhati-hati terhadap Surat Berantai gaya baru seperti di atas. Ia adalah termasuk dalam kategori surat berantai yang telah difatwakan syirik mempercayai dan menyebarkannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak tahun 1978 lagi.

Apa Itu Surat Berantai?

Bersama kemajuan teknologi, surat berantai juga mengalami kemajuan. Kalau zaman awal kemunculannya, ia ditulis di atas kertas dan dibuat salinan secara fotostat. Namun sekarang ia juga terdapat dalam bentuk emel dan SMS. Ia lebih mudah untuk disebarkan, tak perlu fotostat dan kos lebih murah..malah kalau dengan emel, tiada kos untuk menyebarkannya..lebih mudahlah ia dilakukan. Maka berhati-hatilah.
Kenali bagaimana sesuatu itu boleh termasuk dalam kategori surat berantai. Apa-apa pesanan yang disebarkan sama ada melalui kata-kata, surat, emel, sms dan sebagainya dengan memberi jaminan ganjaran apabila disebarkan berserta atau tanpa ancaman malapetaka apabila tidak menyebarkan, maka ia termasuk dalam kategori surat berantai.
Amaran Mempercayai Rasa Sial

Mempercayai akan jaminan ganjaran serta ancaman bahayanya boleh menyebabkan seseorang itu melakukan syirik kepada Alloh. Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah bersabda (maksudnya):
“Ada tiga perkara yang sukar untuk dielakkan, iaitu: bersangka buruk, tathayyur (sial-menyial) dan hasad. Oleh karena itu kalau kamu bersangka buruk jangan kamu percayainya dan laksanakan, dan kalau merasa sial jangan berhenti (dari buat kerja yang dilakukan kerana terpengaruh), dan kalau kamu hasad, jangan lanjutkan.” (Hadith Riwayat Thabarani)
Dan diriwayatkan pula dari Ibnu Mas’ud, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
“Tathayyur (merasa sial) adalah syirik.” 3 kali.
Dan Ibnu Mas’ud sendiri berkata: “Setaip orang akan ada perasaan-perasaan ‘sial’, dan lain-lain tetapi Allah akan menghilangkannya jika anda bertawakkal.” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Sikap Terhadap Surat Berantai

Sebaiknya apabila menerima perkara seperti surat berantai ini, ambillah isi pesanannya sebagai peringatan, tetapi jangan ambil dan percaya kepada ganjaran serta ancaman yang disertakan. Beri penjelasan kepada rakan yang menyebarkannya bahawa ia termasuk syirik dan wajib dihentikan. Sentiasalah percaya bahawa segala baik-buruk hidup kita tidak dipengaruhi oleh tindakan terhadap surat berantai itu, sebaliknya adalah terserah kepada ketetapan Alloh S.W.T.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Mohon maaf dan sekian terima kasih.

Hukum Menyambut Hari Valentine


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sumber: http://akob73.blogspot.com

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.

  • Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.
  • Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

  • Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
  • Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum Menyambut Hari Valentine

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)”. –Al-Baqarah (2) : 120

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”. – al-Hijr (15) : 39-40

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.